" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Tuesday, July 18, 2006

Kertas kerja ( 024 / siri akhir )
AQIDAH TAUHID
TIADA ILAH MELAINKAN ALLAH.

5. ILAH – Pemberi Rezeki

Kalimah Syahadah menerangkan bahawa Allah sahajalah yang memberi rezeki, manakala makluk pula hanyalah pembawa atau penyampainya sahaja dan bukannya sumber yang boleh menambah atau menguranginya walau sebesar zarah. Ini adalah hakikat yang nyata, tetapi manusia selalu terlupa terutamanya apabila mereka hilang pertimbangan ketika mengharungi pancaroba dan cabaran hidup.

“Wahai manusia, ingatlah akan nikmat Allah kepadamu. Apakah ada pencipta selain Allah yang dapat memberikan rezeki dari langit dan bumi? Tiada ILAH selain Dia. Maka di manakah akalmu?

(Al-Fatir : 3)

“Katakanlah: Bagaimana keadaan kamu jika Allah mencabut pendengaranmu, dan penglihatan serta menutup qalbumu? Apakah ada ILAH selain Allah yang berkuasa mengembalikan (itu semua) kepadamu?

(Al-An’am : 46)

Menerima Allah sebagai ILAH yang satu-satunya memberikan rezeki, akan mendatangkan kesedaran bahawa memilih jalan yang tidak diredhai Allah tidak akan menambah rezeki yang telah ditetapkan untuk kita walaupun seberat zarah. Begitu juga, dengan mentaati perintah Allah tidak sekali-kali akan mengurangkan rezeki kita walaupun sekecil mana pun ia. Maka betapa sia-sianya usaha dan ikhtiar yang durhaka kepada Allah.

6. ILAH – Sumber Perundangan

ILAH juga membawa pengertian sebagai Zat yang kepadanya kita rujuk untuk mendapatkan ketentuan baik dan buruk, untuk mendapatkan hukum dan keputusan yang akan dipatuhi. Ia adalah aqidah yang terhasil daripada kefahaman bahawa Allah adalah satu-satunya ILAH yang Maka Perkasa, mempunyai kekuasaan yang mutlak, keagungan yang tidak terbanding. Kekuasaan Allah yang meliputi segala sesuatu itu tidak mungkin boleh dibahagi-bahagi.

Ulamak bersepakat bahawa, seseorang itu menjadi kafir jika dia beriktiqad bahawa ada hukum yang lebih baik, adil dan praktikal berbanding dengan hukum Allah, atau ada sistem yang lebih baik atau setanding dengan syariatNya.

“Barangsiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir”

(Al-Maidah : 44)

Suatu ketika, seorang sahabat yang dahulunya beragama Nasrani, iaitu ‘Adi bin Hatim RA telah mendengar Nabi SAW membacakan sepotong firman Allah :

“… Mereka (Ahli Kitab) menjadikan orang-orang alim dan rahib-rahib mereka sdebagai Rab selain Allah, dan (juga mereka melakukan hal yang sama kepada) Al-Masih putera Maryam, padahal mereka hanya disuruh menyembah ILAH yang Maha Esa. Tiada ILAH selain Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan”

(At-Taubah : 31)

Lantas beliau bertanya kepada Rasulullah SAW, bahawa kami (yakni orang Nasrani) tidak pernah menyembah mereka!. Jawab Rasulullah SAW, “Tetapi mereka menghalalkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah, dan kemudian kamu patuh kepadanya. Dengan demikian itu kamu menyembah mereka.” –

Maksud hadith riwayat Tirmizi dan Ibnu Jarir.

Ketentuan untuk memutuskan halal atau haram, sah atau tidak, baik atau buruk, adalah hak Allah semata-mata.. Segala sesuatu yang berkaitan dengan hal ini mestilah tunduk dan patut kepada wahyu Allah.. Undang-undang yang kita iktiraf hanyalah undang-undang Allah, atau sesuatu yang bersumber daripada undang-undang Allah, dan pastinya tidak bertentangan dengan ketetapanNya.

“Menetapkan hukum itu adalah hak Allah.”

(Al-An’am : 57)

“Apakah mereka mempunyai sekutu-sekutu selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka Ad-Din yang tidak diizinkan Allah?”

(Asy-Syura :21)

Syahadah kita menuntut supaya kita menentang dan membenci segala perundangan yang durhaka kepada Allah, dan inilah tanda keimanan. Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa di antara kamu melihat kemungkaran maka hendaklah dia merubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu maka hendaklah merubahnya dengan lisannya dan jika tidak mampu maka hendaklah dia mencegahnya dengan hatinya. Dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.”

Riwayat Muslim

Ketaatan kita adalah kepada Allah, maka tiadalah kita terikat kepada undang-undang dan akta-akta ciptaan manusia sekiranya ia bertentangan dengan syariat Allah. FirmanNya:

“Apakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki? Dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah, bagi orang-orang yang yakin?”

(Al-Maidah : 50)

Sifat senang dan suka kepada hukum yang selain daripada hukum Allah, adalah sifat munafiq dan dilaknat oleh Allah. FirmanNya:

“Apakah kamu tidak perhatikan orang-orang yang mengaku dirinya beriman kepada apa yang telah diturunkan kepada kamu dan sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepada taghut, padahal mereka telah diperintahkan untuk mengingkari taghut itu. Dan syaitan itu bertujuan mahu menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya. Apabila dikatakan kepada mereka: Marilah kamu semua (tunduk) kepada hukum yang Allah telah turunkan dan kepada hukum Rasul, nescaya kamu lihat orang-orang munafiq akan menghalangi (manusia) dengan sekuat-kuatnya daripada (mendekati) kamu”

(An-Nisa’ : 60-61)

TAUHID AL-ASMA’ WAS SIFAT

Iaitu percaya dan mengakui segala nama dan sifat Allah SWT secara ijmal dan tafsil menurut apa yang telah diberitahu di dalam Al-Quran dan oleh Rasulullah SAW. Di mana Allah mempunyai Al-Asma’ul Husna (nama-nama yang paling baik) dan segala sifat kesempurnaan Maha Suci dari segala kekurangan.

Perlu diketahui bahawa tauhid Al-Asma’ was Sifat ini tidak memadai untuk membuktikan keIslaman dan menyatakannya, tetapi mestilah melaksanakan apa yang lazimnya terkandung di dalam Tauhid Rububiyyah dan Uluhiyyah. Ini adalah kerana orang-orang kafir juga mengakui beberapa sifat dan nama Tuhan tetapi tidak dengan cara yang sebenar, seperti mengakui beberapa nama Allah dan menafikan nama Ar-Rahman . Kata mereka, “Kami tidak mengenal Ar-Rahman (Maha Pemurah) melainkan Rahman di Al-Yamamah sahaja.”. Lalu Allah menurunkan firmanNya:

“Padahal mereka kafir kepada Tuhan Yang Ar-Rahman (Maha Pemurah)”

(Ar-Ra’d : 30)

Mereka mengakui beberapa nama dan sifat Allah SWT tetapi mereka ingkarkan nama Ar-Rahman dengan maknanya yang sebenar, begitu juga dengan sifat-sifat Allah. Bahkan mereka mengada-adakan sifat yang tidak layak bagi Allah SWT.

PENUTUP

Perlu dijelaskan di sini bahawa enam bahagian pengertian dan pengolahan maksud serta implikasi perkataan ILAH diketengahkan di sini adalah dalam rangka untuk memudahkan pengupasan tajuk dan bukannya untuk membataskan maksud-maksud serta implikasi yang terkandung di dalam Al-Asma’ul Husna. Bahkan nama-nama dan sifat Allah yang mulia itu adalah kesimpulan kepada semua intipati Tauhid Rububiyyah dan Uluhiyyah itu sebenarnya.

Bertafakurlah terhadap Al-Asma’ ul Husna nescaya ia akan membukakan hati kita kepada kefahaman yang lebih mendalam terhadap Uluhiyah dan Rububiyyah Allah SWT secara multak, tanpa sekutu dan tanpa bandingan.

Di dalam persoalan fiqh, pada keadaan-keadaan tertentu, kita dibolehkan bertaqlid kepada imam yang mujtahid. Tetapi di dalam masalah aqidah, ia tidak mungkin berlaku sedemikian rupa bahkan setiap individu wajiblah meyakinkan diri terhadap akidah yang dipegangnya secara ikhlas. Wallahu A’lam Bis Sawâb!

Diadaptasikan daripada:

1. Beriman Kepada Allah, Haji Abdul Hadi Awang, Terbitan dan Cetakan GG Edar, Cetakan Pertama, 1992.

2. Risalah Usrah Jilid 1 (Versi Asal Dengan Pendahuluan Oleh Haji Abdul Hadi Awang), Abu ‘Urwah, Terbitan Pustaka Salam, Cetakan Pertama, 1986.

1 Comments:

Anonymous Anonymous said...

Where did you find it? Interesting read veterinary vitamin k Mgm sport book Hummer rental los angeles looking group sex Blonde porn gallery

10:58 PM

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home