" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Saturday, December 23, 2006

Respon Terhadap Pandangan Mufti Perlis
Dr. Asri Zainal Abidin
Mengenai Serbuan Khalwat di Hotel


oleh: al-Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Tutor jabatan Pengajian Arab & Tamadun Islam, FPI, UKM
Presiden Nadwah Ilmuwan Muslim (NAIM)
013 3621236


Isu pencegahan khalwat berkait rapat dengan hukum mencegah maksiat dan kemungkaran dalam Islam. Ulama sepakat bahawa mencegah kemungkaran adalah satu perkara yang wajib dilakukan oleh umat Islam dan juga pihak berkuasa.


Malah dalam banyak ayat Allah menyifatkan orang yang benar-benar beriman hanyalah yang melakukan kerja amar makruf dan nahi mungkar iaitu menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran.


Kewajipan ini adalah berdasarkan beberapa firman Allah antaranya:


وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُوْنَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأمُرُوْنَ بِالْمَعْرُوْفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُوْنَ


Maksudnya: Hendaklah ada di kalangan kamu satu kumpulan yang menyeru ke arah kebaikan (Islam), menyuruh melakukan makruf dan mencegah melakukan kemungkaran. Dan merekalah orang yang berjaya.


(Ali `Imran; 104)

Ayat ini mewajibkan umat Islam membentuk kumpulan yang berusaha menyuruh masyarakat melakukan kebaikan dan mencegah masyarakat melakukan kemungkaran.

Perintah ini lebih utama dilaksanakan oleh pemerintah. Dan ia terlaksana dengan terbentuknya kumpulan yang dikenali sebagai "penguatkuasa agama" hari ini walaupun bidang kuasa penguatkuasa ini agak terbatas dalam beberapa perkara sahaja.


Tugas penguatkuasaan ini dibincang oleh para sarjana Islam dalam bab khusus yang dikenali sebagai "hisbah". Masyarakat awam juga tidak terlepas daripada kewajipan mencegah kemungkaran berdasarkan hadis sahih :


مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ وَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُاْلإِيْمَانِ


Maksudnya: sesiapa yang melihat satu perkara mungkar hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya (kuasa). sekiranya tidak mampu hendaklah dengan lidahnya dan sekiranya tidak mampu hendaklah dengan hatinya. Yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.


(Hadis riwayat Muslim, Ahmad, Abu dawud, Tirmizi,
Nasa’I dan Ibn Majah serta Ibn Hibban.)

Hadis ini menjelaskan kewajipan masyarakat secara umum apabila berdepan dengan maksiat. Kewajipan ini pula berperingkat berdasarkan kemampuan. Bagi yang mempunyai kuasa atau kemampuan mencegah dengan tangan hendaklah menggunakan kuasa dan kemampuan tangannya.


Jika tidak hendaklah digunakan lidah dengan memberi nasihat dan peringatan. JIka tidak mampu juga, sekurang-kurangnya mesti membenci perlakuan maksiat di dalam hatinya. Namun apa yang perlu difahami ialah etika dalam menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran.


Menyuruh melakukan kebaikan ialah apabila ternyata sesuatu kebaikan itu ditinggalkan. Mencegah kemungkaran pula ialah apabila ternyata kemungkaran itu dilakukan.


Dari sinilah sarjana Islam membahagikan perkara mungkar yang perlu dicegah kepada 2 iaitu perkara mungkar yang dilakukan secara terang-terangan di khalayak awam dan perkara mungkar yang dilakukan secara tersembunyi.


Perkara mungkar yang dilakukan secara terang-terangan wajib dicegah dengan sepakat ulama. manakala perkara mungkar yang dilakukan secara bersembunyi pula dibahas lebih terperinci oleh sarjana Islam.


Satu riwayat daripada Imam Ahmad menyebut ia tidak perlu di selidik dan dicari. Satu lagi riwayat daripada Ahmad pula menyebut bahawa yang tersembunyi sekira dapat dipastikan perlakuannya ia boleh dibongkar dan dicari.


Perbahasan ini timbul kerana terdapat hadis yang melarang dilakukan pengintipan iaitu hadis riwayat Abi Dawud, Baihaqi, Abd Razzaq dan Tabrani dengan sanad yang sahih.


Dalam mencegah kemungkaran yang tersembunyi, perlu dibezakan antara tindakan orang awam dan tindakan penguatkuasa. Orang awam tidak dibenarkan mengintip perlakuan maksiat yang cuba disembunyikan. tetapi berbeza dengan penguatkuasa (Hisbah), dia mempunyai hak dalam keadaan tertentu antaranya seperti yang disebut oleh al-Qadi Abu Ya`la dalam karyanya tentang pemerintahan Islam iaitu "al-Ahkam al-Sultaniyyah" .


Beliau menyebut tentang kemungkaran yang cuba disembunyikan oleh pelakunya. Ia terbahagi kepada dua.


Pertamanya Sekiranya perkara mungkar yang cuba disembunyikan itu melibatkan pencemaran terhadap maruah/ kehormatan yang mungkin terlepas daripada dihalang (tak sempat dihalang) seperti zina dan pembunuhan, maka boleh dilakukan pengintipan dan dilakukan usaha membongkarnya dan menyelidiknya kerana bimbang akan terlepas daripada menghalang sesuatu yang bersifat pencemaran terhadap maruah/ kehormatan.


Contohnya - kata Abu Ya`la - orang yang dipercayai memberitahu kepada penguatkuasa bahawa seorang lelaki berada bersendirian dengan seorang lelaki untuk membunuhnya atau seorang lelaki berdua -duaan (berkhalwat) dengan seorang perempuan untuk berzina.


Pengintipan dan pendedahan boleh dilakukan demi untuk menjaga maruah dan kehormatan manusia.


Dalilnya ialah kisah al-Mughirah bin Syu`bah. Seorang perempuan daripada suku Bani Hilal bernama Ummu Jamil binti Mihjan sentiasa datang bertemunya. Perempuan itu pula telah bersuami iaitu Hajjaj bin `Ahid daripada suku Thaqif.


Apabila keadaan ini sampai ke maklumat Abi Bakrah, Sahl bin Ma`bad, Nafi` bin Harith dan Ziyad bin `Abid, mereka lalu mengintipnya. Apabila perempuan tersebut masuk bertemu dengan al-Mughirah, mereka lantas menyerbu mereka berdua. Tindakan serbuan mereka ini tidak dipersalahkan oleh Umar.


Kedua: Sekiranya martabat kemungkaran itu lebih rendah daripada itu, maka tak perlulah dilakukan pengintipan dan pendedahan. (al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 296).


Apa yang disebut oleh Abu Ya`la ini boleh diaplikasikan dalam isu pengintipan khalwat di hotel-hotel atau dirumah.


Sekiranya dengan maklumat orang yang dipercayai, perlakuan zina dibimbangi berlaku di bilik hotel tertentu atau di rumah tertentu, maka pengintipan dan pencegahan oleh penguatkuasa boleh dilakukan.


Tetapi sekiranya tanpa sebarang maklumat, tetapi hanya dilakukan pemeriksaan secara sembarangan dengan tujuan mencari dan menyelidik secara umum ia termasuk dalam pengintipan yang dilarang.


Kenyataan Abu Ya`la juga membezakan antara kemungkaran yang melibatkan maruah dan kehormatan dengan maksiat-maksiat lain. Maksiat melibatkan maruah dan kehormatan ialah seperti zina dan mukaddimah zina serta pembunuhan. Ia boleh dibongkar sekiranya terdapat maklumat orang yang diyakini.


Maksiat lain seperti minum arak, nyanyian yang diharamkan sekiranya dilakukan secara bersembunyi tidak perlu dibongkar. Tetapi sekiranya dengan nyata dan terang-terangan dimaklumi oleh masyarakat ia boleh dicegah dan dihalang. Wallahu A`lam.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home