" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Tuesday, June 12, 2007

Banjir Kilat :
Peringatan Allah sebelum Pilihanraya.

Banjir kilat yang melanda ibu kota baru – baru ini adalah sangat memalukan Negara , dimana sebelum ini pemerintah dan pentadbirnya sangat angkuh dengan tahap pembangunan dan kemajuan yang dicapai .

Tanpa pernah memperdulikan syariat dan hukum Ilahi , mereka bangunkan negara bersendi material dan nafsu rakus .

Bangunan yang mereka dirikan dan kemajuan yang mereka cipta seolah – olah menjadi lambang betapa mereka tidak memerlukan Allah swt dalam hidup mereka di dunia ini.

Manakan tidak ! Andai Allah swt. diperlukan dalam hidup mereka , tentu sahaja mereka tidak mempersendakan syariat dan memperlekehkan agama Allah swt. Sebaliknya segera melaksanakan syariat sebagai peraturan yang berdaulat dalam Negara ini.

Lihat sahaja bagaimana keangkuhan sang pemerintah dan pentadbir Negara yang berbangga dengan kemajuan dan tamaddun mempersenda agama suci ini apabila Negara dibanjiri pelbagai aktiviti hiburan yang merosakkan akhlak dan maruah ummah serta perlakuan pemimpin yang membelakangkan hukum.

Konsert Jom Heboh yang kian rancak dengan road shownya ke seluruh Negara tanpa memperduli fatwa mufti , Karaoke 50 jam tanpa henti yang tidak lagi mengenal waktu sujud kepada Ilahi , program reality tv yang sarat dengan hiburan melampau dan melunturkan jati diri dan gaya hidup kelompok berkuasa yang rakus dan hanya mementingkan diri sendiri.

Saat seperti inilah , banjir kilat melanda ibu kota. Biarpun kerajaan berbangga dengan terowong SMART , tetapi ternyata Allah lebih smart dalam memberi peringatan kepada hambanya.

Firman Allah swt :

ظهر الفساد في البر و البحر بما كسبت أيدي الناس ليذيقهم بعض الذي عملوا لعلهم يرجعون

Telah zahir kerosakkan di darat dan dilautan angkara perbuatan tangan manusia. Bagi merasakan mereka ( azab ) terhadap sebahagian apa yg mereka lakukan , mudah – mudahan mereka kembali kepangkuan Ilahi.

Surah ar Ruum : 41

Peringatan Allah dalam bentuk banjir kilat ini , biarpun antara yang terburuk pernah melanda ibu kota , adalah satu bentuk peringatan yang masih kecil dan ringan . Memberi kesempatan kepada seluruh penghuninya untuk insaf dan bersyukur kepada Allah swt.

Allah masih ada tsunami yang belum dilepaskan ke tengah ibu kota , Allah masih ada taufan yang belum ditiup ke tengah ibu kota , Allah masih ada gempa bumi yang masih belum bergegar di tengah ibu kota. Allah masih ada segalanya yang belum ditaqdirkan dengan kalamNya Kun Fa yakuun .

Peluang yang diberi oleh Allah swt. ini adalah untuk hambanya kembali melaksanakan cara dan gaya hidup berasaskan wahyu Ilahi dan mendaulatkan syariatNya.

Kini rakyat umum dapat menyaksikan sendiri , biapun UMNO dan BN menang besar dengan mandat rakyat dalam pilihanraya umum yang lalu , mereka masih degil dan enggan untuk melaksanakan syariat Ilahi. Sedang kedegilan ini punca kemusnahan dan kehancuran .

Justeru itu , rakyat mesti bijak dalam menentu dan mencorak masa depan yang gemilang dengan membangun berasaskan wahyu dan maju berlandaskan syariat bukan lagi membangun bertunjangkan nafsu dan maju berpaksikan material yang bebas dari unsur spiritual.

Jika UMNO dan BN enggan dan degil melaksanakan syariat , kenapa tidak kali ini rakyat memberi peluang kepada PAS dengan seluruh saff kepimpinannya sangat komited untuk membentuk sebuah Negara yang adil dan berkebajikan berteraskan syariat .

Kelak negara ini dilindungi rahmat Ilahi dan membangun dengan penuh keberkatan.

Firman Allah :

ولو أن أهل القرى ءامنوا و اتقوا لفتحنا عليهم بركات من السماء و الأرض و لكن كذبوا فأخذناهم بما كانوا يكسبون

Jika penghuni sesebuah Negara beriman dan bertaqwa kepada Allah , nescaya Allah membuka pintu keberkatan dari langit dan bumi , akan tetapi mereka telah mendusta ( Allah ) maka kami timpakan ke atas mereka ( sebagai balasan ) terhadap apa yang telah mereka lakukan.

Surah al A'araaf : 96

Apa yang di Tanam itulah yang di Tuai:

Firman Allah swt

فمن يعمل مثقال ذرة خيرا يره و من يعمل مثقال ذرة شرا يره

Barang sesiapa yang melakukan amal kebajikan biarpun sebesar zarrah , nescaya ia akan memperolehi ganjarannya dan barangsiapa yang melakukan amal kejahatan biarpun Cuma sebesar zarrah , nescaya ia akan menerima balasannya.

Surah az - Zalzalah : Ayat 7 – 8

Lantaran itu , kalau kita hendak menanam , pastikan tanaman yang menghasilkan pulangan yang baik dan lumayan atau lebih tepat kalau kita mahu hasil yang baik untuk kita dan generasi selepas kita , kita mesti mesti tanam suatu yang baik pula hari ini .

Kalau kita nak makan nasi , kita kena tanam padi , tidak boleh tanam ubi dan kalau kita nak makan bubur kacang , kita kena tanam kacang , tidak boleh tanam lalang .

Kalau kita mahu Negara kita aman dan sejahtera , adil dan diberkati maka kita kena lahirkan :

Pemimpin yang adil dan amanah
Rakyat yang beriman dan soleh
Undang – undang dan peraturan hidup yang berlandaskan syariat .

Kalau hari ini kita memilih pemimpin yang korup dan rakus , kita membentuk rakyat yang leka dan lalai dan kita mengagungkan undang – undang dan peraturan hidup ciptaan manusia , lihatlah apa yang telah kita tuai hari ini :

Pemimpin yang ada hari ini bergelumang dengan rasuah dan jenayah .

Rakyat hanyut dalam hiburan dan fatamorgana dunia dengan tidak lagi memperdulikan halal dan haram .

Kelab – kelab malam dan pusat hiburan lebih ramai dikunjungi berbanding rumah – rumah Allah yang sunyi dan sepi .

Konsert – konsert hiburan seperti Akademi Fantasia lebih ramai dikunjungi berbanding kuliah – kuliah agama di masjid dan surau .

Pusat – pusat serenti semakin ramai dihuni dan hampir menyamai penghuni kampus – kampus universiti .

Operasi pelacuran makin diiktiraf sehingga promosinya boleh mendapat tempat dalam buku panduan melancong Negara sempena TMM 07'

Kumpulan – kumpulan sesat yang tidak lagi mempercayai tuhan seperti skin head , punk , black metal , ayah pin dan tidak kurang juga kumpulan yang menganut faham secular yang memisahkan agama dengan politik semakin hari semakin bercambah .

Akhirnya bagaimana Negara boleh terlepas dari murka Allah swt ?

فكلا أخذنا بذنبه فمنهم من أرسلنا عليه حاصبا و منهم من أخذته الصيحة و منهم من خسفنا به الأرض و منهم من أغرقنا و ما كان الله ليظلمهم و لكن كانوا انفسهم يظلمون

Maka masing – masing ( mereka itu ) kami azabkan kerana dosa – dosanya , diantara mereka ada yang kami timpakan kepadanya hujan batu kerikil , ada yang ditimpa suara yang keras yang memecahkan , ada yang kami benamkan ke dalam bumi , dan pula yang kami tenggelamkan ( dalam banjir besar ) Allah sama sekali tidak mahu menzalimi mereka akan tetapi merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri .

Surah al Ankabut : 40

Menginsafi penegasan ini , maka buatlah pilihan yang tepat . Kuasa memilih ditangan kita semua . Semoga Allah memberkati kita semua.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home