" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Friday, November 30, 2007

AL MURAABITUN

Muqaddimah

Umat Islam yang diamanahkan untuk mentadbir dunia sudah tentu memerlukan pendukung yang komited dan memiliki tasawur Islam yang jelas. Pendukung-pendukung dan pejuang-pejuang yang berjiwa besar ini hendaklah bersedia untuk berkorban masa, harta dan jiwa untuk mempastikan Islam diletakkan di tempatnya yang tinggi lagi mulia.

Sudah sekian lamanya PAS berusaha dan berjihad untuk mendaulatkan Islam di bumi Malaysia yang bertuah ini. Alhamdulillah, sejak akhir-akhir ini seruan dan laungan PAS telah menampakkan petanda positif penerimaan ummah.

Sokongan ini hendaklah dipertahankan dan dipertingkatkan agar seluruh umat Islam khususnya dan manusia amnya dapat menerima dan menikmati keadilan dan kebenaran serta kesejahteraan yang dijuarai oleh Islam.

Tugas dan tanggungjawab yang besar lagi berat ini hendaklah dipikul oleh para petugas sepenuh masa yang diistilahkan sebagai Al-Murabitun.

KONSEP AL-MURABITUN

Apabila Islam semain berkembang maka menjadi suatu keperluan untuk menjaga keutuhan pemerintahan dan mempertahankan sempadannya sepanjang masa daripada diancam oleh musuh. Kumpulan mukmin yang bertugas sepenuh masa ini dikenali sebagai al-Murabitun.

Kalimah ini juga digunakan bagi merujuk kepada orang-orang beriman yang berkekalan di dalam Masjid Nabawi selepas solat Maghrib untuk menunggu solat Isya’.

Takrifan di atas bolehlah dirumuskan bahawa al-Murabitun itu adalah kumpulan mukmin yang bertugas sepenuh masa untuk tujuan-tujuan tertentu. Apabila sesuatu tugas itu dilaksanakan secara sepenuh masa maka sudah tentu ianya merangkumi sumbangan masa, tenaga dan pemikiran.

Allah s.w.t. berfirman, maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).”

(Ali ‘Imran: 200)

Daripada nas di atas, dapat difahami bahawa menyediakan petugas sepenuh masa “al-Murabitun” merupakan suatu kewajipan. Antara rasional kewajipan ini ialah:

a) tenaga perofesional
b) menjimatkan tenaga
c) menjimatkan kos

Apabila sesuatu golongan itu ditugaskan secara sepenuh masa maka sudah tentu akan lahirlah para petugas yang berpengalaman yang mana hasil dari pengalaman ini menjadiakn seseorang itu pakar dalam bidangnya dan disebut sebagai professional.

Aspek ini dianggap sangat penting untuk memastikan keberkesanan dan kejayaan yang optima. Iannya juga penting untuk memastikan kebolehpercayaan dan kesahihan sesuatu rancangan mahupun tindakan.

Petugas sepenuh masa tentu menjimatkan tenaga memandangkan tenaga pakar yang sedia ada tidak memerlukan tenaga gantian, dan factor ini sudah pasti boleh menjimatkan kos yang merupakan salah satu daripada ajaran Islam.

Tenaga-tenaga yang dimaksudkan di atas telah dijanjikan ganjaran oleh Rasulullah s.a.w. sebagaimana sabdanya yang bermaksud:

Daripada Sahl bin Sa’ad al-Sa’idi r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bermurabitunlah satu hari di jalan Allah lebih baik daripada dunia dan apa yang ada di atasnya.”

(Riwayat al-Bukhari)

Maksudnya: Daripada ‘Aisyah, bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Dan bahawasanya sebaik-baik pekerjaan kepada Allah ialah yang paling berkekalan walaupun sedikit.”

(Riwayat al-Bukhari)

Kedua-dua hadith di atas memberi keyakinan kepada pendukung yang memahaminya untuk berkorban masa, tenaga dan jiwa demi kepentingan Islam dalam apa jua bidang yang ditugaskan.

KEPENTINGAN AL-MURABITUN DALAM GERAKAN ISLAM

Gerakan Islam masa kini menamakan al-Murabitun dengan al-Mutafarr’ghun. Adalah tanggungjawab al-Mutafarrighun masa kini agak mencabar dari masa-masa yang lampau memandangkan penyebaran Islam telah sampai ke segenap pelosok dunia serta pesatnya perkembangan teknologi moden.

Dengan meningkatnya tahap keintelektualan manusia, maka keperluan kepada al-Murabitun menjadi semakin mendesak lebih –lebih lagi bagi negeri-negeri yang belum berdaya maju.

Perkara ini berdasarkan kepada pengalaman beberapa buah negeri yang mula menerima Islam di mana factor penting kepada kejayaan tersebut disandarkankepada kesedaran rakyat hasil daripada pengorbanan al-Murabitun yang tidak jemu-jemu dalam menjalankan tugas.

Terdapat beberapa bidang yang memerlukan al-Murabitun di dalamnya antaranya:

1.Penyelidikan

Bidang ini amat penting diutamakan untuk merancang strategi, kedudukan dan tindakan yang bakal dilaksanakan seperti Jabatan Pilihanraya Negeri.

2.Pendidikan

Pendidikan memainkan peranan utama dalam menyedarkan rakyat jelata yang berbilang latar belakang maka keperluan kepada tokoh-tokoh yang bekerja sepenuh masa dalam bidang ini haruslah diutamakan seperti para mursyid dan nuqaba’.

3.Penerangan

Dalam melaksanakan prinsip menerang bukan menyerang kita memerlukan para murabitun yang terdiri dari tenaga-tenaga penceramah yang berkemampuan secukupnya.

4.Ekonomi

Tidak dinafikan bahawa bidang inipenting dalam menggerakkan jentera gerakan Islam. Justeru itu, kita memerlukan pakar-pakar ekonomi seeprti para usahawan yang bertugas sepenuh masa untuk membiayai program-program dan aktiviti-aktiviti gerakan Islam.

5.Perundangan

Pakar-pakar di bidang ini haruslah dilahirkan dan dikaderkan dalam bilangan yang mencukupi untuk mempastikan proses pemulihan kuasa dan pelaksanaan undang-undang Islam dapat dijalankan.

CABARAN DAN HALANGAN

Terdapat beberapa cabaran dan halangan untuk melahirkan para murabitun di setiap negeri antaranya:

a) sifat fasik dan jumud
b) tidak sanggup berkorban
c) tidak mempunyai tasawur yang jelas

PENUTUP

Kemenangan Islam dapat dilihat apabila cabaran-cabaran di atas dapat diatasi. Justeru, saya menyeru kepada semua pihak untuk membincangkan perkar di atas dan mencari jalan penyelesaian demi untuk memastikan keutuhan dan kekuatan gerakan Islam dapat diperkembangkan dari masa ke semasa.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home