MUNAJAT :
RINTIHAN KEMENANGAN .
RINTIHAN KEMENANGAN .
Muqaddimah .
Perjuangan suci demi mendaulatkan syariat Allah swt di atas muka bumi ini kian terdesak dan ianya berasaskan tuntutan ummah masa kini , yang tidak lagi mampu bertahan menghadapi proses pemusnahan global ke atas fikrah , syakhsiyyah dan aqidah mereka .
Ummah kini secara sedar atau tidak , sangat memerlukan Islam sebagai benteng berlindung , dahan berpaut dan bumbung berteduh dari segala ancaman yang mampu membinasakan diri dan peradaban mereka.
Justeru itu , kemenangan Islam adalah detik yang dinanti oleh semua , guna membebaskan mereka dari bencana besar ekoran terhakisnya nilai aqidah , lunturnya nilai akhlak dan merosotnya nilai fikrah .
Munajat .
Selain daripada keperluan fizikal dan material dalam mengisi agenda perjuangan bagi memperolehi kemenangan , kita tidak boleh menafikan satu unsur terpenting yang mampu menepati kekuatan dalaman perjuangan kita , sementara kekuatan dalaman adalah paksi kepada segala kekuatan yang melayakkan kita beroleh kemenangan.
Unsur yang saya maksudkan itu ialah unsur spiritual sedang munajat adalah teras kejernihannya yang berasaskan keakraban hubungan antara kita sebagai pejuang dengan Allah Jalla wa A'la selaku pembekal kemenangan .
Meng"agenda"kan Munajat dalam Medium Perjuangan.
Sewajarnya kita melakukan apa sahaja untuk memenangkan perjuangan Islam ini , selama ianya tidak bercanggah dengan syara' . Malah kita sanggup mempertaruhkan jasad dan nyawa jika ia merupakan harga semasa yang perlu dibayar untuk mengukir sebuah kemenangan.
Bertolak pada masa yang sama , munajat mempunyai fungsi atau peranan yang sangat besar serta penting dalam menjana kemenangan dan ianya sekali – kali tidak boleh diabaikan.
Perjuangan Baginda Rasul saw. sejak hari pertama ia digerakkan hinggalah ke suatu saat dimana Islam telah lengkap dan sempurna , munajat senantiasa mengiringi usaha gigih baginda saw. bersama para sahabatnya rhm.
Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dengan sanad – sanadnya bahawa seorang Arab Badwi telah bertanya : Ya Rasulullah , Apakah tuhan kita hampir lantas kita bermunajat kepadanya atau tuhan kita jauh lantas kita menyerunya ? Nabi saw. diam lalu turunlah firman Allah swt. :[1]
و إذا سألك عبادي عني فإني قريب أجيب دعوة الداع إذا دعان فليستجيبوا لي و ليؤمنوا بي لعلهم يرشدون .
Dan apabila hamba – hambaKu bertanya kepada mu ( Muhammad ) tentangKu maka sesungguhnya Aku hampir . Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu . Hendaklah mereka memenuhi perintahKu dan beriman kepadaKu agar mereka memperolehi petunjuk.
( Surah al Baqarah : 186 )
Perjuangan Rasul saw. adalah perjuangan Islam , sementara Islam pula adalah agama wahyu yang diturunkan oleh Allah swt. Bahkan Allah swt. jua tuhan yang akan memberi kemenangan kepada mereka yang ikhlas memperjuangkan agamaNya.
يا أيها الذين آمنوا إن تنصروا الله ينصركم و يثبت أقدامكم
Jika kamu memperjuangkan agama Allah swt. Nescaya Allah akan memberi kemenangan ( nusrah ) kepada kamu dan menetapkan pendirian kamu.
( Muhammad : 7 )
Manakala munajat adalah jambatan penghubung antara kita dengan Allah swt. . sedang melalui hubungan inilah , Allah swt. akan menyalurkan nusrahNya kepada para pejuang .
Demi tahqiqun nusrah ( memastikan kemenangan ) perjuangan ini, munajat mesti diagendakan semaksima mungkin tanpa juak dan culas .
Munajat Rasulullah saw. Melakar Kemenangan .
Mengharapkan sokongan dan penyertaan individu atau golongan tertentu guna memperkuat dan memperkasakan saff perjuangan , Nabi saw. telah bermunajat :
اللهم أعز الإسلام بأحد العمرين
Ya Allah , perkuatkan Islam dengan salah seorang dari dua omar . ( antara Omar al Khattab dan Amru ibnu Hisyam / Abu Jahal )
Menghadapi tekanan yang semakin hari semakin hebat oleh pihak musuh , berdepan pula dengan kemuncak kebiadaban musuh sehingga Baginda saw. dilumuri najis oleh Uqbah bin Abi Mu'it sedang Baginda saw. khusyuk sujud kepada Allah swt dihadapan Kaabah , sejurus selesai solat Baginda saw. bermunajat :
اللهم عليك بقريش
Ya Allah ! Aku serahkan kepadaMu urusan untuk membinasakan Quraisy. ( sebanyak 3 kali )
Orang - orang kafir yang sedang mentertawakan Nabi saw. terdiam kerana takutkan munajat Baginda . lalu Nabi saw. menyambung munajatnya :
اللهم عليك بأبي جهل بن هشام و عتبة بن ربيعة و شيبة بن ربيعة و الوليد بن عتبة و أمية بن خلف و عقبة بن أبي معيط
Ya Allah , aku serahkan kepadaMu untuk membinasakan Abi Jahal ibnu Hisyam , Utbah bin Rabi'ah , Syaibah bin Rabi'ah , al Walid bin Utbah , Umaiyyah bin Khalaf dan Uqbah bin Abi Mui't .
Ibnu Masu'd bersumpah : Demi Allah yang diriku di dalam genggamannya, kesemua nama yang disebut oleh Rasulullah saw. didapati terbunuh dalam perang badar al Kubra yang kemudiannya bangkai bangkai mereka dicampak ke dalam perigi buta.
Saat menerima penghinaan dan dihalau oleh mereka yang jahil mengenai perjuangan yang diperjuangkan oleh Baginda saw. , Baginda telah bermunajat :
اللهم إليك أشكو ضعف قوتي وقلة حيلتي وهواني على الناس يا أرحم الراحمين أنت رب المستضعفين و أنت ربي إلى من تكلني إلى بعيد يتجهمني أم إلى عدو ملكته أمري إن لم يكن بك على غضب فلا أبالي و لكن عافيتك هي أوسع لي أعوذ بنور وجهك الذي أشرقت له الظلمات وصلح عليه أمر الدنيا والآخرة من أن تنزل بي غضبك أو يحل علي سخطك لك العتبى حتى ترضى ولا حول ولا قوة إلا بك
Ya Allah , Ya Tuhanku , Aku mengadu kepadaMu betapa lemahnya kekuatanku , sedikitnya helahku dan hinanya aku pada pandangan manusia . Ya Tuhan yang Maha Penyayang mengatasi segala yang menyayangi , Engkau adalah Tuhan orang orang yang lemah dan Engkau adalah TuhanKu . Kepada siapa engkau serahkan diriku ini ?
Kepada orang jauh yang memandangku dengan muka masam atau kepada musuh yang ingin menguasai diriku . Jika tiada murkaMu terhadap diriku , aku tidak peduli tetapi kemaafanMu lebih luas kepadaku .
Aku berlindung dengan cahaya wajahMu yang telah engkau pancarkan ke arah segala kegelapan , menjadi baiklah di atasnya segala urusan dunia dan akhirat. Aku berlindung daripada turunnya ke atasku murkaMu atau berlakunya ke atasku murkaMu . KepadaMu pengaduan yang sungguh sungguh sehingga capai keredhaanMu . Tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolonganMu .
Doa ini dianggap oleh para ulama' sebagai detik bermula kronologi peristiwa Isra' dan Mikraj yang menyaksikan bagaimana nabi saw. dilayan dan diundang ke langit mengadap hadhrat Ilahi , Tuhan yang telah mendengar rintihan pejuangNya.
Ketika melangkah untuk melepasi kepungan maut oleh pemuda pemuda tahan lasak Quraisy yang ingin membunuh Baginda saw. pada malam peristiwa hijrah , Baginda saw. telah bermunajat lalu membacakan ayat suci al Quran :
و جعلنا من بين أيديهم سدا و من خلفهم سدا فأغشيناهم فهم لا يبصرون
Dan kami adakan di hadapan mereka dinding dan di belakang mereka dinding pula dan Kami tutupkan mata mereka sehingga tidak dapat melihat .
( Surah Yasin : 9 )
Munajat ini akhirnya menghadhirkan pertolongan Allah swt. dan Baginda berjaya melepasi kepungan tersebut dengan selamat tanpa disedari oleh musuh .
Jauh dari kampong halaman , tanah tumpah darah dan sanak saudara demi menyelesaikan urusan perjuangan ( mendaulatkan syariat Allah swt. ) , Baginda saw. dan para sahabat memendam rasa rindu yang cukup menekan jiwa , memaksa Baginda saw. bermunajat :
اللهم حبب إلينا المدينة كحبنا لمكة أو أشد
Ya Allah , Ya Tuhanku , jadikanlah kami kasihkan Madinah sebagaimana kami kasihkan Makkah atau lebih darinya .
( Riwayat Imam al Bukhari , Muslim dan Ahmad )
Membangunkan Negeri berasaskan prinsip tauhid disaat musuh menekan dari segenap arah merupakan satu cabaran besar . Baginda Rasul saw. dalam satu gerakkerja membangunkan Madinah agar ianya Membangun Bersama Islam , Baginda saw. telah membina sebuah Masjid sebagai komplek bangunan pertama wujud di negeri Islam itu . Sewaktu membina bangunan ( masjid ) inilah , kedengaran Baginda saw. bermunajat :
لا عيش الا عيش الآخرة . اللهم ارحم المهاجرين و الانصار
Tiada kehidupan yang sebenar melainkan kehidupan akhirat , Wahai Tuhan , kasihanilah Muhajirin dan Ansar .
Menyaksikan kehadhiran[2] musuh dengan segala kekuatan material yang dimiliki oleh mereka , bermaksud untuk mengalahkan Islam dan ummatnya serta menghancurkan Negara Islam yang dibina oleh Rasulullah saw. Baginda Rasul saw. telah bermunajat :
اللهم هذه قريش قد أقبلت بخيلائها و فخرها , تخادك و تحارب رسولك . اللهم فنصرك الذي وعدتني . اللهم احنهم الغداة .
Ya Allah , Ya Tuhanku , inilah Quraisy , mereka datang dengan segala kesombongan dan kemegahan . Mereka menentangMu dan membohongi RasulMu . Ya Allah Ya Tuhanku kurniakan kemenangan yang telah Engkau janjikan kepadaku . Ya Allah Ya Tuhanku , binasakanlah mereka pada pagi ini .
( Sirah Ibnu Hisyam )
Keadaan getir dan tidak seimbang berbanding kekuatan fizikal ummat Islam dengan kekuatan yang dimiliki oleh musuh di medan pertempuran Badar , Baginda telah bermunajat penuh harapan dan perasaan seraya mengangkat tangan sehingga terjatuh selindang Baginda , memohon pertolongan Allah swt. agar Islam dipelihara.
اللهم أنجزني ما وعدتني , اللهم آت ما و عدتني , اللهم إن تهلك هذه العصابة لا تعبد .
Ya Allah Ya Tuhanku , tunaikan apa yang telah engkau janjikan kepadaku . Ya Allah Ya Tuhanku kurniakanlah apa yang telah engkau janjikan kepadaku . Ya Allah Ya Tuhanku , jika engkau binasakan pasukan yang kecil ini , Engkau tidak lagi disembah di bumi selepas ini .
Setelah menerima pukulan teruk dalam peperangan Uhud , Baginda saw. mengalami cedera parah ( gigi Baginda saw. patah dan pipinya luka ) lalu Rasul saw. bersabda : " Allah sangat murka hari ini kepada kaum yang melukakan muka RasulNya " setelah diam seketika , Rasulullah saw. bermunajat :
اللهم اهد قومي فإنهم لا يعلمون
Ya Allah Ya Tuhanku , berilah petunjuk kepada kaumku , sesungguhnya mereka melakukan demikian ( menentang dan mencederakanku ) kerana mereka tidak mengerti ( mengenai risalah perjuangan suci ini ).
( Riwayat at Tabrani )
Sejurus berjaya setelah melintas garis yang paling sukar , mengorbankan nyawa dan segala kepentingan hidup . Baginda saw. meminta para sahabatnya berdiri dalam satu saff sambil bersabda , " betulkan saff sehingga aku memuji Tuhanku " ( sedang musuh telah mengundurkan tenteranya dari medan Uhud ) lalu baginda saw. bermunajat :
اللهم لك الحمد كلّهُ , اللهم لا قابضَ لِمَا بَسَطَتَ و لا باسِطَ لما قبَضْتَ و لا هادِيَ لِمَنْ أضْلَلْتَ و لا مُضِلَّ لمن هديْتَ و لا مُعْطِيَ لما مَنَعْتَ و لا مانِعَ لما أعْطَيْتَ و لا مُقَرِّبَ لما باعَدْتَ و لا مُبْعِدَ لما قَرّبْتَ .
اللهم ابْسُطْ علينا مِن بركاتِك و رحْمتك و فضْلك و رِزْقِك . اللهم إني أسألك النّعيم الْمُقيمَ الذي لا يَحُوْلُ و لا يَزُوْلُ . اللهم إني أسألك العَوْنَ يومَ الْعَيْلَةِ و الأمْنَ يومَ الخَوْفِ . اللهم إني عائذٌ بِك مِن شَرّمَا أعْطَيْتَنَا و شَرّما مَنَعْتَنَا . اللهم حَبّبْ إلينا الإيمانَ و زيّنْهُ في قلوبنا و كَرّهْ إلينا الكفرَ و الفُسوقَ و العِصيانَ و اجعلنا من الراشدين . اللهم تَوَفّنا مسلمين و ألْحِقْنَا بالصالحين غيْرَ خَزَاياَ و لا مَفْتُوْنِيْنَ .
اللهم قاتِلَ الْكَفَرَةِ الّذين يُكَذّبُون رُسُلَكَ و يَصُدّونَ عن سبيلك واجْعلْ عليهم خِزْيَكَ و عذابَك . اللهم قاتِلَ الْكَفَرَةِ الّذين أوتو الكتاب . إلهَ الْحقّ .
Wahai Tuhanku , bagiMu pujian semuanya . Wahai Tuhanku , tiada siapa yang dapat menahan apa yang engkau berikan , tiada yang dapat memberi apa yang engkau tahankan . Tiada yang dapat beri petunjuk kepada siapa yang engkau hukumkan kesesatannya , tiada siapa yang dapat menyesatkan sesiapa yang engkau beri petunjuk kepadanya . tiada siapa yang dapat memberi kepada sesiapa yang engkau tegahkan pemberian kepadanya. Tiada yang dapat menghalang sesiapa yang engkau berikan kepadanya . Tiada siapa yang dapat menghampirkan sesiapa yang engkau jauhkan . Tiada siapa yang dapat menjauhkan sesiapa yang engkau hampirkan .
Ya Tuhan , hulurkan kepada kami daripada keberkatanMu , RahmatMu dan kurniaMu . Wahai Tuhanku , aku memohon kepadaMu nikmat yang tetap yang tidak terhalang dan tidak hilang. Wahai Tuhanku , Aku memohon kepadaMu pertolongan di hari kesempitan , keamanan dihari takut . Wahai Tuhanku , Aku berlindung dengan mu daripada kejahatan yang engkau jadikan berlaku kepada kami dan kejahatan yang engkau tegahkan kami .
Wahai Tuhanku , Jadikanlah kami ini kasih kepada iman dan hiaskanlah iman itu di dalam hati – hati kami . Jadikanlah kami benci kepada kufur fasiq dan maksiat dan jadikanlah kami termasuk dikalangan orang – orang yang mendapat petunjuk . Wahai Tuhan , matikanlah kami di dalam Islam , hidupkanlah kami di dalam Islam dan masukkanlah kami dikalangan orang – orang yang soleh bukan yang hina dan menimbulkan fitnah.
Wahai Tuhan , Perangilah orang orang kafir yang membohongi rasul – rasulMu dan menyekat jalan agamaMU . Jadikanlah ke atas mereka azab siksa Mu . Wahai Tuhan , Perangilah orang orang kafir ahli kitab . Wahai Tuhan yang Benar !
( Riwayat Imam Ahmad )
Semangat dendam yang sangat mendalam terhadap golongan Islam membuatkan kaum Musyrikin bergabung dalam satu pakatan besar dan barisan yang sangat ramai , merangkumi semua pihak yang memusuhi Islam. Menghadapi pakatan musuh ini , diriwayatkan daripada al Barra' bin 'Azib Rha bahawa Nabi saw. bermunajat dengan mengulangi syair Abdullah bin Rawahah Rha :
اللهم لو لا أنت ما اهتدينا *** و لا تصدقنا و لا صلينا
فأنزلن سكينة علينا *** و ثبت الاقدام إن لا قينا
إن الأولى رغبوا علينا *** و إن أرادوا فتنة أبينا .
Wahai Tuhan Kami , Kalau tidak keranaMu nescaya kami tidak mendapat petunjuk , tidak bersedekah dan tidak sembahyang .
Oleh itu , turunkanlah ketenangan kepada kami dan teguhkan pendirian kami jika bertemu dengan musuh .
Sesungguhnya musuh itu mahukan kami binasa dan tiadalah sebenarnya yang mereka kehendaki melainkan mendatangkan bencana terhadap pegangan kami kepada agama
(Rujuk al Bidayah wan Nihayah Jil. 4 M/s 96 .
Sirah an Nabawiyyah Ibni Kathir Jil. 3 m/s 185)
Demikian saya membawa sebahagian dari siri munajat Rasulullah saw. yang mewarnai perjuangan suci Baginda saw. demi memartabatkan Islam dan ummatnya sebagai Khalifah Allah di atas muka bumi ini .
Jelasnya , Nabi sebagai kekasih Allah , tidak lekang dari bermunajat untuk memastikan perjuangannya mencapai kejayaan dan kemenangan , malah itulah rahsia terbesar disebalik kejayaan gemilang penuh keagongan yang akhirnya menyaksikan Islam pernah menguasai tiga per empat muka bumi ini.
Bermunajatlah demi sebuah Kemenangan .
Munajat adalah senjata bagi para pejuang untuk menghadapi kekuatan dan kedegilan musuh . Dari Abi Hurairah Rha . Sabda Rasulullah saw :
الدعاء سلاح المؤمن و عماد الدين و نور السماوات و الأرض .
Doa ( munajat ) adalah senjata orang yang beriman , tiang agama dan cahaya yang menerangi langit dan bumi .
( Riwayat al Haakim dan sohih rangkaian sanadnya )
Munajat adalah antara pelengkap syarat kemenangan yang ingin dicapai dalam pertembungan sengit kita dengan pihak musuh musuh Allah swt. Telah meriwayatkan oleh Abu Ya'la dari Jabir Rha . dari Nabi saw. telah bersabda :
ألا أدلكم على ما ينجيكم من عدوكم و يدرّ لكم أرزقكم ؟ تدعون الله في ليلكم و نهاركم فإن الدعاء سلاح المؤمن .
Mahukah kamu aku tunjukkan sesuatu yang memenangkan kamu ke atas musuh kamu dan membekalkan bagi kamu rezeki kamu ? ( iaitu ) kamu bermunajat kepada Allah swt. pada waktu malam kamu dan juga siang kamu . Sesungguhnya doa ( munajat ) adalah senjata orang yang beriman .
Munajat adalah rintihan penuh syahdu , tunduk merendah diri dihadapan kebesaran dan keagongan Allah swt. sementara hati penuh yakin bahawa Allah pasti mendengar dan menerima rintihan para pejuang agamaNya.
Dari Abi Hurairah Rha. dari Nabi saw. :[3]
ادعو الله و أنتم موقنون بالإجابة و اعلموا أن الله لا يستجيب دعاء من قلب غافل لاه .
Bermunajatlah olehmu kepada Allah sedang kamu yakin bahawa Allah swt. menerima ( doa kamu ) dan ketahuilah sesungguhnya Allah tidak suka doa / munajat dari hati yang lagha lagi lalai .
( Riwayat at Tarmizi dan al Haakim )
Firman Allah swt :
ادعوا ربكم تضرعا و خفية إنه لا يحب المعتدين .
Bermunajatlah kamu kepada Tuhan kamu secara merendah diri dan bernada lembut sesungguhnya Allah tidak suka orang orang yang melampau .
( Surah al A'raaf : 55 )
Kita tidak pernah menafikan kepentingan material yang mantap dan fizikal yang kuat bagi memacu perjuangan ini , tetapi menafikan kepentingan dan keperluan munajat atau meremehkannya , meletakkan kita jauh daripada Allah swt dan hubungan kita dengan Allah swt. menjadi bertambah sukar .
Berasaskan keinsafan ini , munajat kini mesti menjadi agenda utama perjuangan kita disamping gerak kerja gigih tanpa mengenal penat dan bosan.
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home