" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Wednesday, January 23, 2008

Tuntutan dan Penghayatan
asy Syahaadatain. ( siri kedua )

لا إله إلا الله: adalah kalimah tauhid yang mengesakan Allah swt .

4 kategori ini :

Ahkam ( Peraturan dan syariat )
Afa'al ( perbuatan )
Sifat
Zat

Firman Allah swt :

“ Dan katakanlah: "Segala puji tertentu bagi Allah yang tiada mempunyai anak, dan tiada bagiNya sekutu dalam urusan kerajaanNya, dan tiada bagiNya penolong disebabkan sesuatu kelemahanNya; dan hendaklah engkau membesarkan serta memuliakanNya dengan bersungguh-sungguh!"

( Al – Isra’ 111 )

Kekeliruan yang amat ketara dihadapi oleh ummat Islam hari ini , tatkala ramai dikalangan ummat Islam masih memberi hak kepada manusia untuk menentukan dasar hidup manusia di muka bumi, sedang ini nyata bercanggah dengan Tauhid Ahkam Allah swt. yang meletakkan hanya Allah swt. berkuasa mutlak menentukan dasar dan cara hidup manusia ( syariat / perundangan )

Firman Allah swt :

“ Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.”

( Ali – Imran 85 )

Syirik adalah virus yang amat merbahaya justeru ia melumpuhkan aqidah atau iman seseorang . Al – Quran telah mengisytiharkan pekelilingnya kepada dunia untuk mengesahkan bahaya syirik . Firman Allah swt :

“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar".

( Luqman 13 )

“ Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.”

( An – Nisaa’ 48 )

Mereka yang melakukan syirik dan kufur kepada Allah swt. akan menyaksikan bagaimana seluruh amal ibadah yang mereka lakukan terbatal begitu sahaja .

Firman Allah swt :

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah: "Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepadaNya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjid Al-Haraam (di Makkah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah. Dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati). Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari ugama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian); dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari ugamanya (ugama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).

( Al – Baqarah 217 )

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa jua), dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya); dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.”

( An – Nisaa’ 116 )

لا إله إلا الله : Adalah kalimah yang dilafazkan untuk seseorang itu mengaku muslim , namun begitu ianya tidak terhenti di atas lafaz yang kaku tanpa memenuhi tuntutan - tuntutannya .

Setiap individu yang melafazkannya jua wajib menafikan 4 perkara :

4 PERKARA NAFI :

1 . الآلهـــة : ( yakni sesuatu yang dianggap boleh memberi manafaat dan menolak kemudharatan )

Kalimah لا إله إلا الله sekali – kali tidak boleh berkompromi dengan mana – mana kalimah yang meletakkan kekuasaan “ memberi manafaat dan menolak kemudharatan atau sebaliknya menolak manafaat dan memberi kemudharatan ” selain Allah Azza Wajalla.

Kalimah لا إله إلا الله adalah kalimah tauhid yang mengesakan Allah swt. dengan pengertian tiada siapa yang berkuasa mutlak untuk memberi dan menolak manafaat , sekalipun ia mempunyai pengaruh yang hebat , kekayaan yang melimpah dan kuasa yang kuat .

Begitulah jua tiada siapa yang berkuasa mutlak untuk menolak dan memberi mudharat . Penguasa , pawang , benda – benda keramat , jin jembalang dan sebagainya seringkali menyebabkan ummat Islam menjadi syirik dan kufur kepada Allah swt.

Hal ini berlaku apabila ummat Islam menganggap perkara tersebut mampu memberi serta menolak manafaat dan mudharat . Satu peringkat khasnya dalam masyarakat melayu fahaman Hantuisme begitu menebal sehingga melahirkan rasa harap dan takut yang bersangatan seolah – seolah hantu itu memiliki kuasa mutlak untuk memberi manafaat dan mudharat , sedang Allah swt. telah berfirman :

“ Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka (bertauhidlah kamu kepada Allah dengan menegaskan): Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy, dari apa yang mereka sifatkan ”

( Al Anbiya’ 22 )

“ Dan kepada kaum Aad, (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Hud. Ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertaqwa kepadaNya? "

( Al A’raaf 65 )

2 . الأنداد :
( Yakni : sesuatu yang memalingkan seseorang dari agama Islam dan ianya terdiri dari perkara yang disayangi seperti isteri , anak - anak , tempat tinggal , kaum keluarga , harta dan seumpamanya .

Firman Allah swt :

“ (Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah. Dan kalaulah orang-orang yang melakukan kezaliman (syirik) itu mengetahui ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, bahawa sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya tertentu bagi Allah, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya, (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu)”.

( Al Baqarah 165 )

Firman Allah swt :

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasulnya dan ( daripada ) berjihad untuk UgamaNya , maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya ( azab seksanya ) kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang – orang yang fasik ( derhaka )

( At – Taubah 24 )

3 . الأرباب : ( Yakni : mereka yang memberi fatwa menyeleweng dan bercangggah dengan Kitab Allah swt. dan Sunnah Rasulullah saw. Seperti menghalalkan sesuatu yang diharamkan oleh Allah dan mengharamkan sesuatu yang dihalalkan oleh Allah )

Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli ugama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan.

( At Taubah 31 )

Rasulullah saw. Bersabda :

عن عدي بن حاتِم قال : جِئْتُ إلى النَّبي صلى الله عليه و سلم و عُنُقِيْ صَليبٌ مِن ذَهَبٍ فقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا عَدِي إِطْرَاحْ هَذَا الْوَثَنَ ثُمَّ تَلاَ : اِتْخَذُوْا أَحْبَارَهُمْ وَ رُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِن دُوْنِ اللهِ . فَقُلْتُ يَا رَسُوْلَ اللهِ لاَ يَعْبُدُوْنَهُمْ : قَالَ أَلَيْسَ يَحِلُّوْنَ عَلَيْهِمْ مَا حَرَّمَ اللهُ عَلَيْهِمْ فَيَسْتَحِلُّوْنَهُ أَلَيْسَ يُحَرِّمُوْنَ مَا أَحَلَّ اللهُ لَهُمْ فَيُحَرِّمُوْنَهُ قُلْتُ بَلَى قَالَ : تِلْكَ عِبَادَتُهُمْ .

رواه الإمام البيهقي

Maksudnya ; dari A’di bin Hatim telah berkata ; Aku telah menemui Rasulullah saw. sedang dileherku terkalung lambang salib yang diperbuat dari emas . Maka Rasulullah saw. telah bersabda : Wahai A’di buangkan lambang salib itu , lalu Rasulullah saw. membaca ( ayat 31 dari surah At taubah ) “ Orang Yahudi dan Nasrani telah menjadikan pendita – pendita mereka sebagai tuhan yang lain dari Allah ”. Lantas aku berkata : Ya Rasulallah: mereka ( Yahudi dan Nasrani) tidak menyembah pendita – pendita mereka . Seterusnya Rasulullah saw. Bersabda : Bukankah mereka (Pendita ) menghalalkan ke atas mereka ( Yahudi dan Nasrani) apa yang diharamkan oleh Allah keatas mereka lalu mereka turut menghalalkannya dan bukankah mereka mengharamkan apa dihalalkan oleh Allah bagi mereka maka mereka turut mengharamkannya , maka aku berkata : Bahkan . (Akhirnya ) Rasulullah saw. Bersabda : Itulah penyembahan mereka.

( Riwayat Al Baihaqi )

Negara kita hari ini juga menyaksikan bagaimana dhohirnya ulama’ yang mengeluarkan fatwa – fatwa yang menyelewengg dan karut , namun ia masih diterima oleh sebahagian ummat Islam yang jahil . Seperti fatwa Politik suku ugama suku , Hudud tidak sesuai di zaman sains dan teknologi , syariat Islam tak boleh dilaksanakan kerana masyarakat majmuk dan sebagainya .

Tambah menyedihkan keadaan apabila negara kita mempunyai ruang untuk para juhala’ mengeluarkan fatwa dan pandangan , sedang orang alim pula diam membisu .

Sebagai contoh Akta keganasan rumahtangga , membolehkan isteri mendakwa suami atas tuduhan merogolnya apabila ia tidak mahu bersetubuh dengan suaminya tetapi suaminya tetap melakukannya. ( sedangkan Islam mewajibkan Isteri melayan suami walau apa keadaan sekalipun - kecuali uzur syarie . )

Akta tanah membolehkan kerajaan mengambil tanah rakyat sewenang – wenangnya di atas nama pembangunan tanpa boleh didakwa ke mahkamah . Sedang di zaman Zahir Shah , raja yang mengambil harta baitul Mal untuk kegunaan tentera di sempadan , ditentang hebat oleh Al Imam Nawawi Rhm.

Begitulah juga dimana peristiwa Saiyidina Omar didakwa ke Mahkamah oleh Al Abbas kerana mengambil tanahnya walaupun di atas tujuan untuk membesarkan masjid An –Nabawi .

Peristiwa - peristiwa ini menunjukkan bagaimana akta – akta tersebut bercanggah dengan usul dan qaedah syariat Islam , namun ia tetap diterima oleh sebahagian ummat Islam dan ulama membungkam sejuta bahasa kecuali segelintir dikalangan mereka . Inilah bahananya apabila Ulama’ diperintah oleh Juhala’

4 . الطواغيت :
( Yakni : sesuatu yang melampaui batas.) Saiyidina Omar Al Khattab rhu. menafsirkan Toghut sebagai Jalan – jalan Syaithan, sementara Imam Malik rhm. pula berkata : Semua perkara yang disembah selain Allah swt .dan ia rela disembah maka itulah Toghut .

“ Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): "Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut". Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya.”

( An – Nahl 36 )

Syeikh Mohd Abd. Wahab Rhm. Berkata :

“ seseorang itu tidak akan menjadi mukmin yang hakiki kepada Allah swt. melainkan ia menentang Toghut.”

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home