" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Friday, January 11, 2008

KEARAH MEMAHAMI

DASAR - DASAR AQIDAH


1 - MAKNA AQIDAH DAN PERANANNYA SEBAGAI LANDASAN (DASAR) DALAM BERAGAMA


Aqidah berasal dari kata ‘aqd yang membawa maksud pengikatan (iqtikad). Maksudnya saya mengikat hati terhadap hal tersebut. Aqidah adalah apa yang diyakini oleh seseorang. Jika dikatakan, “Dia mempunyai aqidah yang benar,” bererti aqidahnya adalah bebas daripada keraguan.


Aqidah merupakan perbuatan hati, iaitu kepercayaan hati dan pembenarannya kepada sesuatu.


Definisi Aqidah Secara Syara’


Iaitu iman kepada allah, para malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, para Rasul-Nya, dan kepada Hari akhirat serta Qadar yang baik mahupun yang buruk. Hal ini disebut juga sebagai rukun iman.


Syari’at terbahagi kepada dua bahagian:


1 - Iqtiqadiyah

2 – amaliyah


Iqtiqadiyah adalah hal-hal yang tidak berhubungan dengan tatacara amal. Seperti iqtiqad (kepercayaan) terhadap Rubbubiyyah Allah dan kewajiban beribadah kepada-Nya, juga beriqtiqad terhadap rukun-rukun iman yang lain. Hal ini disebut ashliyah (pokok agama).


Maka aqidah yang benar adalah asas bagi bangunan agama serta merupakan syarat sahnya amalan. Sebagaimana firman Allah s.w.t. berikut:


قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ يُوحَى إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ فَمَنْ كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلا صَالِحًا وَلا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا


“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya Aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang satu; oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya".


(al-Kahfi: 110)


وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ


“Dan Sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (Wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: "Demi sesungguhnya! jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu Yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi.”


(az-Zumar: 65)


إِنَّا أَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ فَاعْبُدِ اللَّهَ مُخْلِصًا لَهُ الدِّينَ (2) أَلا لِلَّهِ الدِّينُ الْخَالِصُ وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مِنْ دُونِهِ أَوْلِيَاءَ مَا نَعْبُدُهُمْ إِلا لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَى إِنَّ اللَّهَ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ فِي مَا هُمْ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ إِنَّ اللَّهَ لا يَهْدِي مَنْ هُوَ كَاذِبٌ كَفَّارٌ (3)


“Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran ini kepadamu (Wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran; oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat dan bawaanmu kepada-Nya. Ingatlah! (hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari Segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): "Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya", - Sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik).”


(az-Zumar: 2-3)


Ayat-ayat di atas dan yang seumpamanya, yang jumlahnya amat banyak, menunjukkan bahawa segala amal tidak akan diterima jika tidak bersih dari syirik. Kerana itulah perhatian Nabi s.a.w. yang pertama kali di-dakwahkan (disampaikan dan diterapkan) adalah hal-hal perlurusan dan pemurnian aqidah. Dan merupakan hal yang paling utama dan pertama yang di-dakwahkan oleh para rasul kepada setiap umatnya adalah menyembah Allah semata-mata dan meninggalkan segala yang dituhankan selain Dia (menghapuskan syirik). Sebagaimana firman Allah berikut:


وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ فَمِنْهُمْ مَنْ هَدَى اللَّهُ وَمِنْهُمْ مَنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ الضَّلالَةُ فَسِيرُوا فِي الأرْضِ فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ


“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): "Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut". maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat Yang mendustakan rasul-rasulNya.”


(an-Nahl: 36)


لَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَى قَوْمِهِ فَقَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ إِنِّي أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍ عَظِيمٍ


“Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya, lalu berkatalah ia: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadanya. Sesungguhnya Aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari Yang besar (hari kiamat)"


(al-A’raaf: 59)


وَإِلَى عَادٍ أَخَاهُمْ هُودًا قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ أَفَلا تَتَّقُونَ


“Dan kepada kaum Aad, (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Hud. ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadanya. oleh itu, tidakkah kamu mahu bertaqwa kepadanya? "


(al-A’raaf: 65, rujuk juga 73 dan 85)


Pernyataan tersebut diucapkan oleh Nabi Nuh, Hud, Saleh, Syu’aib, dan seluruh rasul a.s. Dan selama 13 tahun baginda Nabi s.a.w. di Makkah sesudah kerasulannya, baginda mengajak manusia kepada tauhid dan pemurnian aqidah, kerana hal itu merupakan landasan (asas) bangunan (binaan) Islam. Para da’i dan para pemurni agama dalam setiap masa telah mengikuti jejak para rasul dalam manhaj dakwah mereka ini. Iaitu mereka memulakan dakwah mereka bermula dari asas ketauhidan dan penerapan aqidah yang tulen, dan kemudiannya barulah mereka mengajak kepada seluruh perintah Islami yang lain.


2 - SUMBER-SUMBER AQIDAH YANG BENAR DAN MANHAJ SALAF DALAM MENGAMBIL AQIDAH


Aqidah adalah tauqifiyah. Yang mana ertinya, tidak boleh ditetapkan kecuali dengan dalil syar’i, tidak ada medan ijtihad dan pendapat di dalam-nya. Kerana itulah sumber-sumbernya terbatas kepada apa yang ada di dalam al-Qur’an dan as-Sunnah. Sebab tidak seorang pun yang lebih mengetahui tentang Allah, tentang sebarang apa yang wajib bagi-Nya dan apa yang harus disucikan dari-Nya melainkan Allah sendirilah yang sedia mengetahui. Dan tidak seorang pun sesudah Allah yang lebih mengetahui tentang Allah selain Rasulullah s.a.w. Oleh yang demikian, manhaj salafus soleh (golongan beriman yang terdahulu) dan para pengikutnya dalam mengambil aqidah terbatas kepada al-Qur’an dan as-Sunnah.


Maka segala apa yang ditunjukkan oleh al-Qur’an dan as-Sunnah tentang hak Allah mereka mengimaninya, meyakininya dan mengamalkannya. Sedangkan apa yang tidak ditunjukkan oleh al-Qur’an dan as-Sunnah mereka menolak dan menafikannya dari Allah. Kerana itu tidak ada pertentangan di antara mereka di dalam iqtiqad. Bahkan aqidah mereka adalah satu dan jama’ah mereka juga satu. Kerana Allah sudah menjamin orang yang berpegang teguh dengan al-Qur’an dan sunnah rasul-Nya dengan kesatuan kata, kebenaran aqidah dan kesatuan manhaj (dasar prinsip). Allah s.w.t. berfirman:


وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَى شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ


“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai;”


(Ali Imran: 103)


قَالَ اهْبِطَا مِنْهَا جَمِيعًا بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ فَإِمَّا يَأْتِيَنَّكُمْ مِنِّي هُدًى فَمَنِ اتَّبَعَ هُدَايَ فَلا يَضِلُّ وَلا يَشْقَى


“Allah berfirman: "Turunlah kamu berdua dari syurga itu, bersama-sama, dalam keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi setengahnya yang lain; kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu, maka sesiapa yang mengikut petunjuk-Ku itu nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara.”


(Thaha: 123)


إِنَّمَا كَانَ قَوْلَ الْمُؤْمِنِينَ إِذَا دُعُوا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ أَنْ يَقُولُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَخْشَ اللَّهَ وَيَتَّقْهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ


“Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada Kitab Allah (al-Qur’an) dan Sunnah Rasul-Nya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: "Kami dengar dan Kami taat": dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya dan takut melanggar perintah Allah, serta menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah, maka merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan.”


(an-Nuur: 51-52)


Dan mereka inilah golongan yang selamat (firqatun-najiyah). Di dalam sabda Rasulullah s.a.w. (maksudnya):


“Ketahuilah, sesungguhnya orang-orang sebelum kamu dari ahlu kitab telah berpecah belah menjadi 72 golongan. Dan sesungguhnya agama ini (Islam) akan berpecah-belah menjadi 73 golongan, 72 golongan tempatnya di dalam neraka dan satu golongan di dalam syurga, iaitu al-Jama’ah.”


(Hadis Riwayat Abu Duad, Ahmad, ad-Darimi, al-Ajury, al-Lalikaiy.

Disahihkan oleh al-Hakim, dan disepakati oleh Imam Az-Zhahabi)


Dalam riwayat yang lain disebutkan; “Semua golongan tersebut tempatnya di Neraka kecuali satu (iaitu) yang aku dan para sahabatku meniti di atasnya.”


(Hadis Riwayat at-Tirmidzi, dinilai Hasan oleh al-Albani)


Ketika Rasulullah memberitahukan bahawa umat ini akan terpecah menjadi 73 golongan yang kesemuanya di neraka, kecuali satu golongan. Baginda Rasulullah ditanya tentang perihal siapa yang satu itu..., lalu baginda Rasulullah s.a.w. menjawab;


“Mereka adalah orang yang berada di atas ajaran yang sama dengan ajaranku pada hari ini, dan para sahabatku.”


(Hadis Riwayat Ahmad)


Kebenaran sabda baginda Rasulullah s.a.w. tersebut telah terbukti ketika sebahagian manusia membangunkan aqidah dan manhaj mereka di atas selain kitab Allah dan sunnah yang sahih, iaitu dengan mengambil landasan ilmu kalam (mantiq dan aqal) yang diwarisi daripada falsafah Yunani dan Romawi. Maka atas sebab itulah, terjadinya pelbagai penyimpangan dan perpecahan dalam hal aqidah yang mana seterusnya mengakibatkan pecahnya umat dan retaknya masyarakat Islam kepada pelbagai jenis firqah (kelompok perpecahan) dan manhaj beragama yang berbeza-beza.


3 - BEBERAPA FAKTOR UTAMA TERJADINYA PENYIMPANGAN AQIDAH


1 – Kebodohan terhadap aqidah yang sahih. Ini berlaku adalah atas sebab tidak mahu mempelajari serta mendalami ilmu aqidah itu sendiri. Kurangnya inisitif untuk menyebarkan aqidah yang benar ke dalam diri setiap masyarakat yang ada. Ramai yang sengaja menjauhkan diri (berlepas diri) daripada mempelajari aqidah yang tulen ini. Sehingga tumbuhlah generasi yang tidak mengenal aqidah yang sahih dan juga tidak mengetahui yang haq atau batil. Akibatnya mereka meyakini yang haq sebagai sesuatu yang batil dan yang batil dianggap sebagai yang haq. Sebagaimana yang pernah dikatakan oleh Saidina Umar r.a.:


“Sesungguhnya ikatan simpul Islam akan pudar satu demi satu, manakala di dalam Islam terdapat orang yang tumbuh tanpa mengenal kejahilan.”


2 – Faktor yang kedua adalah kerana Taksub (fanatik) kepada sesuatu yang diwarisi dari puak-puak mereka atau orang-orang tua mereka, sekalipun hal itu jelas kebatilannya, dan mencampakkan apa yang menyalahinya, sekalipun hal itu benar. Sebagaimana yang difirmankan allah s.w.t.:


وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ اتَّبِعُوا مَا أَنْزَلَ اللَّهُ قَالُوا بَلْ نَتَّبِعُ مَا أَلْفَيْنَا عَلَيْهِ آبَاءَنَا أَوَلَوْ كَانَ آبَاؤُهُمْ لا يَعْقِلُونَ شَيْئًا وَلا يَهْتَدُونَ


“Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Turutlah akan apa Yang telah diturunkan oleh Allah” mereka menjawab: "(Tidak), bahkan Kami (hanya) menurut apa Yang Kami dapati datuk nenek kami melakukannya". Patutkah (Mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (Apa pun tentang perkara-perkara agama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?


(al-Baqarah: 170)


3 – Taqilid buta, dengan mengambil pendapat manusia dalam masalah aqidah tanpa mengetahui dalilnya dan tanpa menyelidiki seberapa jauh kebenarannya. Sebagaimana yang terjadi pada golongan-golongan seperti Muktazilah, Jahmiyah, dan lain-lainnya. Mereka bertaqlid kepada orang-orang sebelum mereka dari para imam yang sesat, sehingga mereka juga mengikut kesesatan imam ikutan mereka itu dan menyimpang jauh dari aqidah yang sahih.


وَلا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولا


“Dan janganlah Engkau mengikut apa Yang Engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa Yang dilakukannya.”


(al-Israa’: 36)


4 – Ghuluw (berlebih-lebihan) dalam mencintai para wali, para imam, dan orang-orang soleh, serta mengangkat mereka di atas darjat yang melebihi kewajaran, sehingga meyakini pada diri mereka sesuatu yang tidak mampu dilakukan kecuali oleh allah, baik berupa mendatangkan kemanfaatan mahupun menolak kemudharatan. Juga menjadikan para wali itu sebagai perantara Allah dan makhluk-Nya, sehingga sampai pada tingkat penyembahan para wali tersebut dan bukan menyembah Allah. Mereka bertaqarrub kepada kuburan para wali itu dengan haiwan kurban, nadzar, doa-doa, istighatsah, dan meminta pertolongan. Sebagaimana yang terjadi kepada kaum Nabi Nuh a.s.:


وَقَالُوا لا تَذَرُنَّ آلِهَتَكُمْ وَلا تَذَرُنَّ وَدًّا وَلا سُوَاعًا وَلا يَغُوثَ وَيَعُوقَ وَنَسرا


"Dan (Ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: `Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa', dan Yaghuth, dan Ya'uuq, serta Nasr.”


(Nuh: 23)


Dan demikianlah yang terjadi pada pengagung-pengagung kuburan di pelbagai negeri sekarang ini.


5 – Ghaflah (lalai) daripada menghayati ayat-ayat Allah yang terhampar di jagat raya ini (ayat-ayat kauniyah) dan ayat-ayat Allah tertuang dalam Kitab-Nya (ayat-ayat Qur’aniyah). Di samping itu, juga terbuai dengan hasil-hasil teknologi dan kebudayaan, sehingga mengira bahawa itu semua adalah hasil ciptaan manusia semata-mata, sehingga mereka mengagung-agungkan manusia serta menisbatkan seluruh kemajuan ini kepada jerih payah dan penemuan manusia semata-mata. Sebagaimana kesombongan Qarun yang mengatakan:


قَالَ إِنَّمَا أُوتِيتُهُ عَلَى عِلْمٍ عِنْدِي أَوَلَمْ يَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ قَدْ أَهْلَكَ مِنْ قَبْلِهِ مِنَ الْقُرُونِ مَنْ هُوَ أَشَدُّ مِنْهُ قُوَّةً وَأَكْثَرُ جَمْعًا وَلا يُسْأَلُ عَنْ ذُنُوبِهِمُ الْمُجْرِمُونَ


Qarun menjawab (dengan sombongnya): "Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku". (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah ia mengetahui dan pandai memahami, Bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan? dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya).”


(al-Qashash: 78)


Dan sebagaimana perkataan orang lain yang juga sombong:


وَلَئِنْ أَذَقْنَاهُ رَحْمَةً مِنَّا مِنْ بَعْدِ ضَرَّاءَ مَسَّتْهُ لَيَقُولَنَّ هَذَا لِي وَمَا أَظُنُّ السَّاعَةَ قَائِمَةً وَلَئِنْ رُجِعْتُ إِلَى رَبِّي إِنَّ لِي عِنْدَهُ لَلْحُسْنَى فَلَنُنَبِّئَنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِمَا عَمِلُوا وَلَنُذِيقَنَّهُمْ مِنْ عَذَابٍ غَلِيظٍ


“Dan Demi sesungguhnya! jika Kami beri dia merasai sesuatu rahmat dari Kami sesudah ia ditimpa sesuatu kesusahan, berkatalah ia (dengan sikap tidak bersyukur): "Ini ialah hakku (hasil usahaku semata-mata), dan aku tidak fikir bahawa hari kiamat akan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sekalipun), sudah tentu aku akan beroleh kebaikan di sisiNya (seperti kesenanganku sekarang ini)!" maka Demi sesungguhnya! Kami akan memberi tahu kepada orang-orang aang kufur ingkar itu akan keburukan apa aang mereka telah kerjakan, dan Kami akan beri mereka merasai azab seksa yang seberat-beratnya.


(Fushilat: 50)


فَإِذَا مَسَّ الإنْسَانَ ضُرٌّ دَعَانَا ثُمَّ إِذَا خَوَّلْنَاهُ نِعْمَةً مِنَّا قَالَ إِنَّمَا أُوتِيتُهُ عَلَى عِلْمٍ بَلْ هِيَ فِتْنَةٌ وَلَكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لا يَعْلَمُونَ


“Maka apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, ia segera berdoa kepada kami; kemudian apabila Kami memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) dari kami, berkatalah ia (dengan sombongnya): "Aku diberikan nikmat ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku". (tidaklah benar apa yang dikatakannya itu) bahkan pemberian nikmat yang tersebut adalah ujian (adakah ia bersyukur atau sebaliknya), akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu).”


(az-Zumar: 49)


Mereka tidak berfikir dan tidak pula melihat keagungan Tuhan yang telah menciptakan alam ini dan yang telah memperlihatkan berbagai macam keistimewaan di dalam-nya. Juga yang telah menciptakan manusia lengkap dengan bekal ilmu dan kemampuan yang berguna untuk menemukan keistimewaan-keistimewaan alam serta mengaplikasikannya demi kepentingan manusia.


وَاللَّهُ خَلَقَكُمْ وَمَا تَعْمَلُونَ


"Padahal Allah Yang mencipta kamu dan benda-benda Yang kamu buat itu!"


(as-Shaffat: 96)


أَوَلَمْ يَنْظُرُوا فِي مَلَكُوتِ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَمَا خَلَقَ اللَّهُ مِنْ شَيْءٍ وَأَنْ عَسَى أَنْ يَكُونَ قَدِ اقْتَرَبَ أَجَلُهُمْ فَبِأَيِّ حَدِيثٍ بَعْدَهُ يُؤْمِنُونَ


“Patutkah mereka (membutakan mata) tidak mahu memperhatikan alam langit dan bumi dan segala yang diciptakan oleh Allah, dan (memikirkan) bahawa harus telah dekat ajal kebinasaan mereka? maka kepada perkataan yang mana lagi sesudah (datangnya Kalamullah Al-Quran) itu mereka mahu beriman?”


(al-A’raaf: 185)


6 – Pada umumnya rumah tangga dan institusi kekeluargaan sekarang ini kosong dari pengisian dan pendidikan yang benar menurut Islam. Padahal baginda Rasulullah s.a.w. telah bersabada:


“Setiap bayi itu dilahirkan atas dasar fitrah (Islam). Maka kedua orang tuanyalah yang (kemudian) menjadikannya Yahudi, Nasrani, atau Majusi.”


(Hadis Riwayat Bukhari)


Jadi, di sini jelas bahawa orang tua atau ahli keluarga perlu memainkan peranan dalam hal-hal pendidikan anak-anak mereka kepada akidah yang benar.


7 – Enggannya media melaksanakan tugasnya. Sistem pendidikan di sektor pendidikan juga tidak menerapkan perihal pendidikan yang sewajarnya berkaitan aqidah yang sebenar. Malahan, media maklumat samaada media cetak atau elektronik berubah menjadi sarana penghancur dan perosak, atau paling tidak hanya memfokuskan pada hal-hal yang bersifat materialistik dan hiburan semata-mata. Tidak memperhatikan hal-hal yang dapat meluruskan moral dan menanamkan aqidah serta menangkis aliran-aliran sesat. Dari sini, muncullah generasi yang telanjang tanpa asas pertahanan (iman), dan tidak berdaya berhadapan dengan pasukan kekufuran yang lengkap persenjataannya.


4 - BEBERAPA LANGKAH MENGATASI PENYIMPANGAN AQIDAH


1 – Kembali kepada Kitabullah dan Sunnah Rasulullah s.a.w. untuk mengambil aqidah yang sebenar. Dan mengambilnya sebagaimana para salafus soleh mengambilnya. Mempelajari aqidah yang benar dan berupaya membezakan fahaman yang menyimpang.


2 – Memberi perhatian pada pengajaran aqidah sahih, aqidah yang dipegang oleh para salaf (golongan terdahulu), di pelbagai lapangan pendidikan. Memberi ruang pengajian yang baik serta mengadakan pengawalan yang ketat dalam menyediakan sumber-sumber ini.


3 – Harus ditetapkan kitab-kitab salaf yang bersih sebagai wadah (bahan) pengajian. Sedangkan kitab-kitab kelompok yang menyeleweng haruslah dijauhkan.


4 – Menyebarkan para da’i yang meluruskan aqidah umat Islam dengan mengajarkan aqidah salaf serta menjawab dan menolak seluruh aqidah yang batil.


Sumber: Kitab Tauhid - jilid 1, Sheikh Soleh bin Fauzan bin Abdullah al-Fauzan, (edisi terjemahan), Darul Haq, Cetakan ke-3 (2000).

3 Comments:

Anonymous Anonymous said...

Assalamualaikum,

Menemui Ustaz al-Fadhil Nasaruddin Tanta semoga dirahmati Allah swt. Terima kasih di atas 2 artikel berkenaan Akidah yang menarik. Semoga Allah swt menganugerahkan kita akidah yang murni, Insya Allah.

Cuma di kesempatan ini saya sekadar ingin mengambil perhatian Ustaz berkenaan kesinambungan 2 artikel tersebut. Dalam artikel pertama Ustaz mengemukakan kenyataan yang menunjukkan dorongan dan kelebihan menggunakan akal dalam mengenal Allah swt.
Artikel kedua pula Ustaz petik pandangan sarjana yang menyatakan sesat dan tercelanya pihak yang memahami akidah dengan menggunakan akal dan mantiq.

Dalam artikel pertama Ustaz memetik ayat2 Allah swt yang mendorong manusia menggunakan akal untuk mengenal Allah swt. Manakala dalam artikel kedua pulak Ustaz petik kenyataan manusia yang mengutuk penggunaan akal.

Saya lihat perkara ini tidak berkesinambungan. Pandangan saya yang masih belajar ini melihat perkara akidah sewajarnya perlu ditonjolkan dalam bentuk yang seimbang dan berkesinambungan agar ia dapat menyerlahkan kesederhanaan dan keindahan Islam. Jika kita mengambil pandangan secara tidak seimbang dibimbangi akan menimbulkan salah faham di kalangan anggota masyarakat dalam memahami agama.

Sekadar mengingatkan diri saya dan juga Ustaz pemindahan dari suatu buku tanpa penelitian dan pertimbangan berdasarkan Al-Qur'an dan al-Sunnah yang sahih boleh juga menjadi satu bentuk taqlid di zaman mutakhir ini.

Itu saja pandangan saya yang serba kekurangan ini. Semoga kita diberkati Allah swt dan tidak tergolong dalam golongan yang rugi. Dengan kita berpesan dengan kebenaran dan kesabaran.

Jika saya salah, keampunan saya pohon dari Allah swt. Jika Ustaz melihat ada sedikit kebenaran pada pandangan tersebut maka, alhamdulillah moga dapat dimenafaati.

Akh fillah
Peminat Ustaz Din

7:20 AM

 
Anonymous Anonymous said...

Mengelak daripada terjebak dalam penyimpangan aqidah ;

Bagaimana ?

Saya fikir antara perkara yg perlu ditegaskan di sini adalah aspek sumber kepada aqidah itu sendiri. Maksudnya, seperti pendirian yg diambil oleh Imam Syafie, Imam al Ghazali, Syeikh Taqiyuddin, yg membatasi dalil aqidah (dalil naqli)hanya dalil-dalil yg qotie sahaja.

Jadi, dalil-dalil yg tdk dpt dipastikan maknanya @ menimbulkan pelbagai interpretasi spt dalil dzon, awal-awal lagi telah ditutup.

Dengan demikian, penyimpangan aqidah dpt dielakkan. Waallahualam.

10:37 AM

 
Anonymous Anonymous said...

Alfadhil Ustaz..

Sekadar satu tazkirah buat sesama kita, rujukan Ustaz, iaitu Soleh Fauzan tersebut, bukan beraqidah Ahli Sunnah WAljamaah Asyairah, malah menyesatkan Imam Ibnu Hajar Al-Asaqalani dalam urusan aqidah. Jadi secara automatik rujukan tersebut gugur autentiknya dan tidak boleh dipakai. Adalah lebih selamat rujuklah kitab2 muktamad Aqidah Ahlissunnah Waljamaah seperti Syarh Jauharah Tauhid oleh Imam Baijuri dsb. Wallahu A'lam

11:51 PM

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home