PERUTUSAN AIDIL ADHA
DEWAN PEMUDA PAS PUSAT .
DEWAN PEMUDA PAS PUSAT .
PEMUDA :
BERKORBAN MENDEPANI CABARAN .
Terlebih dahulu , Dewan Pemuda PAS Pusat ( DPPP ) mengucapkan selamat menjalani ibadah korban bagi semua umat Islam sempena hari mulia Aidil Adha ini. Semoga segala ibadah atau pengabdiaan diri kita kepada Allah swt. dinilai dan diterima olehNya.
Meskipun A'idil Adha yang disambut pada tahun ini berlatarkan suasana suram dan muram , namun keceriaan dan kesyukuran di hari yang penuh berkat ini tidak mungkin dibiar luntur begitu sahaja . Setiap ummat Islam terpaksa menggagahkan diri serta cekal hati melintasi zon sukar ini demi sebuah ubudiyyah kepada Tuhan Pencipta sekelian alam .
A'idil Adha kali ini membawa kita bersaksi mata , bagaimana ia berhadapan dengan suatu keadaan yang cukup pilu dan keliru meletakkan ummat Islam terus sengsara dan menderita dihimpit kezaliman dan kekejaman sang penguasa yang enggan tunduk kepada Allah swt.
Manakan tidak , hanya kerana pentingkan survival kuasa , mereka nyata tergamak memperbodoh dan memperalatkan pihak keselamatan ( PDRM ) untuk membantai dan membelasah rakyat mereka sendiri .
Rakyat Yang Bersalah ( RYB )
Kononnya rakyat bersalah kerana membantah keputusan mereka , rakyat bersalah kerana tidak bersetuju dengan dasar mereka , rakyat bersalah kerana tidak menyokong mereka , rakyat bersalah kerana berpihak kepada pembangkang , rakyat bersalah kerana melahirkan bantahan terbuka buat mereka , rakyat bersalah kerana turun ke jalan dan padang menyatakan bantahan terhadap mereka , rakyat bersalah kerana menghantar memorundum kepada mereka , rakyat bersalah kerana menyertai perhimpunan aman lalu menyuarakan penentangan terhadap penyelewengan mereka , rakyat bersalah kerana mereka sememangnya mahu rakyat yang tidak menyokong mereka bersalah .
Atas alasan apa sebahagian pimpinan PAS ditangkap semasa ingin menyerahkan memorandum kepada speaker Dewan Rakyat ? bukankah kerana mereka sememangnya mahu pimpinan PAS ini bersalah ?
Atas alasan apa akhi Suwandi ditembak dengan peluru hidup dalam peristiwa Batu Buruk dan terpaksa merengkok dalam lokap kerana tidak dibenarkan ikat jamin ? Beliau yang tidak bersenjata dituduh cuba untuk membunuh polis ? atau sememangnya mereka mahu Suwandi tetap bersalah ?
Atas alasan apa , Tuan Hj. Mohd Sabu ditangkap ala gengster tanpa menunjukkan sedikitpun rasa simpati dan peri kemanusiaan disaat Mohd Sabu meraikan kegembiraan anaknya diijab kabul ? Jenayah apa yang dilakukan oleh Mohd Sabu ? sementara pembunuh adik Nurin sehingga kini belum ditangkap polis . Bukankah fenomena ini menunjuk tepat kearah sikap mereka yang sememangnya mahu pemimpin PAS itu bersalah?
Atas alasan apa mereka menyerang dan memukul rakyat yang berhimpun secara aman di Kuala Lumpur pada 10 November lalu ? sehingga ada yang mengalami cedera parah dan ada yang terpaksa bermalam di lokap polis. Bukankah mereka berhimpun tanpa senjata dan provokasi ? Mereka hanya membantah beberapa dasar kerajaan yang salah dan menyeleweng . Sebab itukah lalu mereka tetap dikira bersalah ?
Atas alasan apa pun rakyat yang tidak sehaluan dengan mereka , akan tetap dianggap bersalah ! Kalau tak salah ? kalau tak salah pun bersalah ! Kalau tiada bukti ? Ada bukti atau tiada , bantah mereka adalah salah .
Rakyat dalam keadaan serba salah .
Tidak menegur dan membantah mereka , salah dari sudut syara' kerana mereka menyeleweng dan melakukan perkara mungkar sedang kita diperintah Allah swt. agar menentang kemungkaran .
ولتكن منكم أمة يدعون إلى الخير و يأمرون بالمعروف و ينهون عن المنكر و أولئك هم المفلحون .
Dan hendaklah ada dikalangan kamu , ummat yang mengajak manusia melakukan kebajikan , mengarahkan manusia menegakkan yang makruf ( syariat ) dan mencegah kemungkaran , mereka adalah golongan yang beroleh kemenangan ( di dunia dan di akhirat ) .
Jika menegur dan membantah mereka , salah dari sudut " Islam Hadhari " bahkan rakyat yang membantah akan berhadapan dengan OSA , AUKU , Aku Janji , ISA dan pelbagai perauturan yang direka cipta sekehendak mereka.
Dewan Pemuda PAS Pusat ( DPPP ) merlahirkan rasa simpati terhadap dilema yang sedang dihadapi oleh kebanyakkan rakyat . Tetapi soalnya sampai bila rakyat harus diletakkan dalam situasi seperti ini ?
Rakyat yang rasa serba salah dan terbelenggu pula dengan dilema yang berpanjangan adalah rakyat yang tidak pro aktif dan tidak pula dinamik . Rakyat seperti ini akan terus menjadi bahan ratahan penguasa yang mahu bermaharajalela dengan kuasa dan pengaruh kebendaan yang mereka miliki.
Pemuda Agen Perubahan .
Perubahan wajib dilakukan tanpa syak . Lewat dan lambat melakukan perubahan merupakan punca utama kenapa kini negara kita sarat dengan jenayah dan rasuah . Apabila jenayah dan rasuah telah mengakar umbi dalam struktur pentadbiran negara dan kehidupan masyarakat hari ini , perubahan kian sukar untuk dilakukan .
Sabda Rasulullah saw .
لتأمرن بالمعروف و لتنهون عن المنكر أو ليسلطن الله عليكم شراركم فيدعوا خياركم فلا يستجاب لكم
Hendaklah kamu menegakkan perkara makruf ( syariat ) dan mencegah kemungkaran ( maksiat ) atau ( jika kamu enggan ) Allah akan menjadikan orang – orang jahat dikalangan kamu bermaharajalela menguasai kamu , lalu berdoalah orang – orang yang baik dikalangan kamu ( untuk berdoa menolak bala ini ) nescaya ianya tidak mustajab lagi .
Namun sebelum keadaan menjadi lebih parah dan tenat , Dewan Pemuda PAS ( DPPP ) mengharapkan generasi pemuda hari ini bangkit untuk melakukan perubahan dan sekaligus menjana kebangkitan yang berasaskan kesedaran dan bertunjangkan perjuangan yang suci pula .
Pemuda adalah institusi yang layak dipertanggungjawabkan sebagai agen perubahan dan pemuda mampu melakukannya.
Prinsip " Pemuda Duta Penyelamat dan Kasih Sayang " mestilah benar – benar diterjemahkan dalam misi menjana kebangkitan dan meledak kesedaran berubah dikalangan masyarakat yang sekian lama dibelenggu rasa serba salah dan dilema .
Pemuda Sedia Berkorban .
Operasi ini bakal berhadapan dengan tahaddiyyat yang tidak sedikit. Kepentingan diri dan duniawi pasti sahaja akan terabai teruk bagi menjayakan operasi besar ini. Tetapi , inilah harga yang perlu dibayar oleh pemuda untuk melihat masa depan yang cerah bersama sinar Islam yang kita perjuangkan hari ini . Firman Allah swt.
إن تنصروا الله ينصركم و يثبت أقدامكم
Jika kamu memperjuangkan agama Allah , nescaya Allah akan memberi kemenangan kepada kamu dan menetapkan pendirian kamu .
Sempena A'dil Adha , semangat pengorbanan Nabi Allah Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail Alaihimassalam adalah inspirasi perjuangan kita. Kesanggupan mereka melaksanakan perintah Allah swt. biarpun perintah itu di luar kesanggupan manusia biasa pula sangat jauh dari rasional aqal biasa sangat menakjubkan.
Hanya kerana Allah swt. Mereka berdua sanggup melakukan apa sahaja . Mudah – mudahan , prinsip " Berkorban apa sahaja demi kerana Allah " akan menjadi slogan dan prinsip pemuda yang sedang menggalas tanggungjawab mulia ini.
Pemuda tidak perlu rasa kerdil dan rendah diri berhadapan dengan keangkuhan sebuah pemerintahan yang enggan mendaulatkan syariat Allah swt. Sebaliknya kebesaran dan keangkuhan mereka adalah sangat lemah dan hina di sisi Allah swt .
Firman Allah swt :
الذين آمنوا يقاتلون في سبيل الله و الذين كفروا يقاتلون في سبيل الطاغوت فقاتلوا أولياء الشيطان إن كيد الشيطان كان ضعيفا .
Orang – orang yang beriman , mereka berjuang di jalan Allah sementara orang – orang yang ingkar kepada Allah ( kafir ) mereka berjuang di jalan Toghut. Maka perangilah olehmu akan penolong – penolong syaithan itu ( orang yang berjuang di jalan Toghut sekalipun mereka berkuasa ) kerana sesungguhnya tipu daya syaithan itu adalah terlalu lemah .
Pengorbanan anak muda seperti nabi Allah Ismail Alaihissalam yang sanggup menerima perintah Allah swt. agar dirinya disembelih oleh ayahnya Nabi Ibrahim bukan kisah penglipur lara untuk dibaca sebagai kisah lagenda .
Kesanggupan anak muda seperti Saidina Ali Karramallahuwajhah yang sedia menerima arahan lalu mengambil tempat tidur Rasulullah swt. menggalang ganti baginda Rasul saw. pada hari hijrah , juga bukan riwayat 1001 malam yang dibaca untuk menidurkan sianak kecil .
Keberanian anak muda seperti Usamah bin Zaid Rha. mengambil risiko memimpin tentera Islam sedang usianya belasan tahun , bukan semangat kepahlawanan yang ditiup secara dongeng untuk membangkit semangat generasi hari ini .
Tetapi , kisah – kisah itu adalah bukti keupayaan pemuda dalam sejarah gemilang mereka sebagai generasi yang menjadi taruhan ummah untuk mobilisasi kebangkitan sekaligus memimpin tindakan menuju perubahan.
Sekali lagi , Dewan Pemuda PAS Pusat ( DPPP ) meletakkan ini adalah era kebangkitan semula ummah dan pemuda adalah agennya.
Selamat berjuang .
Hj. Nasrudin bin Hj. Hassan at Tantawi
Timbalan Ketua DPP Pusat .
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home