" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Monday, December 17, 2007

KHUTBAH AIDIL ADHA

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

الله أكبر الله أكبر الله أكبرالله أكبر الله أكبرالله أكبر الله أكبر الله أكبر الله أكبر
الله أكبر كبيرا و الحمد لله كثيرا و سبحان الله بكرة و أصيلا
لا إله إلا الله و لا نعبد إلا إياه مخلصين له الدين و لو كره الكافرون
لا إ له إلا الله وحده صدق وعده و نصر عبده و أعز جنده و هزم الأحزاب و حده
لا إله إلا الله و الله أكبر
الله أكبر و لله الحمد

أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له و أشهد أن محمدا عبده و رسوله . اللهم صل على محمد و على آله و أصحابه و من تبعهم بإحسان إلى يوم الدين . فيا أيها الناس : أصيكم و إياي بتقو الله و لا تموتن إلا و أنتم مسلمون

Saudara Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah sekalian !!

Pada saat dan ketika yang penuh keberkatan ini, marilah kita memanjatkan kesyukuran yang tulus ikhlas ke hadrat Allah SWT. yang telah mengizinkan kita bertemu dan berhimpun di dalam masjid di pagi Aidiladha, penuh kesyahduan dan keberkatan ini. Sesungguhnya perhimpunan kita ini adalah salah satu dari rangkaian perhimpunan raksasa di Padang Arafah, salah satu dari cawangan perhimpunan agung di Masjidilharam Makkah al-Mukarammah.

Pada pagi ini kaum Muslimin dan Muslimat, berduyun-duyun dengan perasaan gembira menuju ke masjid-masjid, ke surau-surau, musala-musala hatta ke markaz-markaz tanpa mengira kedudukan dan pangkat untuk berdiri rukuk`, sujud, bertakbir, bertasbih, bertahmid dan bertahlil hanyalah semata-mata, membuktikan ketaatan kepada Allah Taala .

Bermula hari ini dan selama tiga hari berikutnya pada hari-hari Tasyrik kita disunatkan melaungkan takbir, tahmid, tasbih dan melaksanakan ibadah qurban untuk mendekatkan diri kepada Allah Taala.

Keadaan ini berlaku di seluruh dunia, melambangkan kesatuan umat Islam yang menerima Allah Taala sebagai Tuhannya, Rasulullah sebagai ikutannya, al-Quran sebagai panduannya, dan jihad sebagai jalan hidupnya. Inilah sebenarnya asas kesejahteraan hidup manusia.

Di dalam kita menyambut salah satu dari hari-hari kebesaran Islam iaitu Aidiladha atau disebut juga Hari Raya Korban, marilah kita mengambil kesempatan untuk bermuhasabah dan menilai diri kita sejauh manakah kita berpegang kepada ajaran-ajaran Islam di dalam semua aspek kehidupan kita.

Adakah kita benar-benar menghayati setiap ibadah yang ditentukan kepada kita atau hanya sekadar satu amalan yang diterima turun-temurun dari ibu bapa dan nenek moyang kita.

Ibadah yang dilakukan secara adat dan budaya tanpa memahami hakikat dan falsafah pensyariatannya sebagaimana yang diperintahkan kepada kita oleh Allah Taala, akan menjadi sia-sia. Persoalan ini perlu dipertegaskan, termasuklah dua ibadah yang sedang dilakukan saat ini oleh umat Islam di seluruh dunia iaitu ibadah haji dan korban.

Makna menyahut seruan nabi Ibrahim a.s. bukan sekadar dalam mengerjakan haji dan menyembelih korban, bahkan apa yang lebih penting ialah mengikut contoh tauladan baginda a.s. Baginda adalah uswah kepada umat Islam yang benar-benar menyerah diri kepada segala ketetapan Allah Taala, sebagaimana Firman-Nya:

Rujuk surah al baqarah 130 - 132

“Tidak ada orang yang membenci agama nabi Ibrahim selain dari orang yang membodohkan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi nabi) di dunia ini; dan sesungguhnya ia pada hari akhirat kelak tetaplah dari orang-orang yang soleh (yang tinggi martabatnya). (ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: “Berserah dirilah (kepada-Ku wahai Ibrahim)!”. Nabi Ibrahim menjawab: “Aku berserah diri (tunduk taat) kepada Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam”. Dan nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) nabi Ya’qub (berwasiat kepada anak-anaknya) dengan berkata : ”Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka jangan sekali-kali kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam”.

(A- Baqarah: 130 - 132)

الله أ كبر الله أكبر الله أكبر و لله الحمد

Saudara Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah sekalian !!

Nabi Ibrahim a.s. menunjukkan contoh Islam yang sebenar, iaitu menyerah diri kepada Allah secara ‘Tauhidul Ibadah’ (memperhambakan diri hanya kepada Allah Yang Maha Esa) serta menolak syirik (menyekutukan Allah Taala dengan sesuatu yang lain) dalam segala rupa dan bentuk.

Sama ada menyembah patung berhala atau mematuhi pemerintah yang zalim yang cuba merampas milik Allah Taala. Baginda juga bersedia untuk berkorban dengan ikhlas, walaupun dihalau oleh pemerintah yang zalim dan ayahnya yang sesat. Tiada kesalahan yang dilakukan melainkan hanya kerana beriman kepada Allah Taala dan menolak kesyirikan kepada Allah Taala.

Nabi Ibrahim a.s. dipaksa untuk meninggalkan tanah air yang dikasihi dan kaum keluarganya yang disayangi. Ini merupakan ujian pertama yang mesti ditempuhi oleh nabi Ibrahim a.s., samada memilih Islam dan iman kepada Allah Taala atau memilih tanah air yang kaya dan maju di sudut kebendaan tetapi dimurkai Allah Taala, atau memilih ayah yang dikasihi tetapi terpesong dari ajaran Allah Taala.

Ujian seumpama ini adalah ketentuan dari Allah Taala kepada setiap orang yang beriman sehingga hari kiamat, kerana Allah S.W.T. berfirman di dalam Al-Quran:

Rujuk Surah al Ankabuut . Ayat 2-3

“Adakah manusia itu menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami telah beriman”, padahal mereka belum diuji. Dan demi sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian demikian) nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang benar-benar beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta”.

(Al-Ankabuut: 2-3 )

Setelah berjaya dalam ujian pertama sehingga tidak lagi tunduk kepada manusia yang menentang Allah Taala, tiba-tiba nabi Ibrahim a.s. sekali lagi diuji menunaikan perintah Allah Taala supaya menyembelih anak kesayangannya.

Kisah ini sepatutnya dihayati sepenuhnya oleh orang yang membaca Al-Quran dan mengaku beriman kepada Allah Taala. Mengambil contoh nabi Ibrahim a.s. sebagai seorang yang beriman kepada Allah Taala dengan sepenuh hati dan melaksanakan semua ketetapan Allah Taala yang ada di dalam agama dengan ikhlas dan mengharapkan keredaan Allah Taala.

Kini kita melihat kebanyakan umat Islam tidak lagi mengerti maksud ubudiah yang sebenar kepada Allah Taala. Ianya sama ada berpunca dari kealpaan mereka sendiri, atau kerana tiada kemahuan untuk mendalami ajaran agama, atau berpunca dari serangan pemikiran yang dilancarkan oleh musuh-musuh Islam.

Akibatnya, mereka membahagi-bahagikan ajaran agama. Sebahagian dari ajaran Islam mereka kerjakan dan sebahagian yang lain mereka tolak dan menganggap ianya bukan daripada ajaran Islam.

Sembahyang, puasa, zakat dan haji dianggap ibadah yang mesti ditunaikan. Manakala urusan ekonomi, sosial, politik, memilih pemimpin dan melaksanakan undang-undang Islam pada pandangan mereka tiada kena mengena dengan dosa pahala dan hari akhirat.Pegangan seperti ini jelas bertentangan dengan nas Al-Quran al-Karim yang memerintahkan supaya orang-orang beriman menerima ajaran Islam keseluruhannya. Bahkan Allah Taala menyatakan orang-orang yang menerima satu juzuk dari Islam dan menolak juzuk yang lain sebagai pengikut-pengikut syaitan.

Firman Allah swt :

Rujuk Surah al Baqarah 208

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam seluruhnya (dengan mematuhi segala hukum-hakamnya) dan jangan kamu menurut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata”.

(Al-Baqarah: 208)

الله أ كبر الله أكبر الله أكبر و لله الحمد

Saudara Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah sekalian !!

Manusia hari ini tanpa segan silu melakukan apa sahaja mengikut selera hawa nafsu mereka, walaupun ianya bertentangan dengan agama dan moral. Apa yang menjadi neraca dan pedoman mereka ialah kebendaan dan kesenangan dunia semata-mata .

Bukannya keredaan dan keampunan Allah Taala. Tidak hairanlah hari ini berlaku berbagai-bagai bentuk bencana dan malapetaka di dunia silih berganti. Bermacam-macam bencana alam yang dilaporkan oleh media berlaku di seluruh dunia. Gempa bumi demi gempa bumi, ribut taufan bermacam-macam nama diberikan, melanda dunia dan yang terkini banjir besar berlaku di utara tanah air yang mengakibatkan kerugian harta benda jutaan ringgit serta banjir lumpur yang melanda kepulauan Jawa di Indonesia yang mengorbankan ratusan nyawa.

Adakah peringatan-peringatan awal dari Allah Taala ini belum cukup menginsafkan kita agar kembali kepada Allah Taala. Apa yang menyedihkan kita ialah selesai sahaja umat Islam menyambut Aidiladha, mereka akan menyambut pula perayaan tahun baru. Pada waktu itu seperti tahun-tahun sebelumnya,, negara kita sekali lagi berpesta dengan konsert-konsert hiburan yang melalaikan.

Dua tahun lalu kerajaan mengarahkan agar dibatalkan semua konsert-konsert hiburan bersempena menyambut tahun baru. Maksiat ditinggalkan hanya kerana rasa simpati terhadap mangsa tsunami, bukan kerana takut dan menjunjung perintah Allah Taala.

Dalam perjuangan mengangkat keagungan Islam sudah semestinya kita akan berhadapan dengan tentangan dan cabaran sebagaimana nabi Ibrahim a.s. sendiri terpaksa melontar batu terhadap syaitan yang cuba menghalang perjalanannya untuk melaksanakan perintah Allah Taala menyembelih anaknya nabi Ismail a.s.

الله أ كبر الله أكبر الله أكبر و لله الحمد

Saudara Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah sekalian !!

Antara rintangan terhadap dakwah Islam ialah daripada Kristian, melalui jalan dakyah mereka terutama dalam menjayakan matlamatnya untuk mengkristiankan sekurang-kurangnya satu pertiga penduduk Asia Tenggara termasuk Malaysia, setelah sambutan kepada agama Kristian di Barat semakin merosot.

Cuma tentangan Kristian lebih bersifat lembut dan lunak berbanding cara kekerasan oleh Yahudi yang sentiasa berakhir dengan pembunuhan terhadap umat Islam seperti yang berlaku di Palestin dan Selatan Lubnan sehingga hari ini. Yahudi tidak dapat dirahsiakan lagi menjadi dalang utama dalam setiap kali tercetusnya peperangan antara Islam dan kuffar.

Begitu juga dengan penganiayaan terhadap umat Islam melalui sekatan ekonomi, beberapa siri pengeboman dan sebagainya. Bahkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan lain-lain pertubuhan dunia adalah bahan percaturan Yahudi yang akan mengeluarkan apa sahaja kenyataan dan resolusi mengikut apa yang telah diatur oleh mereka.

Yahudi juga menguasai ekonomi dunia sehingga mereka mampu menguasai negara-negara umat Islam, melalui hutang yang dibuat oleh kerajaan negara umat Islam, di samping sistem riba’ yang diamalkan oleh negara terbabit. Yahudi mampu menjatuhkan ekonomi sesebuah negara kerana hampir seluruh negara di dunia ini termasuk Malaysia terikat dengan sistem ekonomi kapitalis yang ditaja oleh Yahudi.

Yahudi juga menyerang umat Islam melalui TV, radio, akhbar, internet dan seluruh media yang mereka kuasai untuk menghancurkan Islam dan umatnya. Mereka membesarkan berita tentang kekuatan persenjataan mereka dan di saat yang sama menanamkan imej buruk nagara-nagara umat Islam, agar semua orang benci dan mual kepada Islam.

Yahudi melancarkan serangan besar-besaran melalui tentera solibiah Amerika dan sekutunya, mereka melaungkan slogan Hancurkan Islam melalui 3S. Berbilion dolar diperuntukkan kepada agen-agen mereka, supaya negara-negara umat Islam meletakan 3S sebagai matlamat hidup rakyat mereka, dengan 3S mereka berjaya mengeluarkan ratusan ribu umat Islam di serata dunia dari pegangan Aqidah Islam mereka.

Tahukah kita apakah 3S itu? 3S ialah singkatan dari Sosial, Sukan dan Seni (Hiburan).

الله أ كبر الله أكبر الله أكبر و لله الحمد

Saudara Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah sekalian !!

3S tersebut telah menjadi kegilaan masyarakat, sehinggakan masyarakat tidak dapat lagi membezakan mana yang benar dan mana yang salah. Masyarakat kini terkeliru, yang putih dikatakan hitam yang hitam pula dikatakan putih, orang yang jujur dengan agama dikatakan sesat, orang yang jahil dan melanggar peraturan agama dipuja serta disanjung.

3S menjadi punca kelalaian umat dari menghayati Islam, menjadikan mereka lalai, menjadikan mereka jauh dari ajaran Islam, yang akhirnya menjerumuskan mereka ke dalam fahaman sesat yang membawa kepada mempertikaikan kebenaran AI-Quran dan Islam.

Soalnya kenapa 3S menjadi barah, bermaharajalela di dalam nagara dan masyarakat kita? Apakah puncanya 3S menjadi kemegahan nagara dan masyarakat kita?

Jawapannya terletak kepada siapakah yang telah memberi serta membenarkan 3S bermaharajalela dalam Negara, dan masyarakat kita? TV dan akhbar dibiarkan memuja dan menyanjung penggiat 3S.

Yahudi menjadi dalang menaja acara sosial yang melampau, filem-filem yang merosakkan dan hiburan-hiburan yang melalaikan, sukan yang tidak mementingkan lagi etika berpakaian, melalui peperangan 3S mereka berjaya menghancurkan begitu ramai remaja umat Islam di seluruh pelosok dunia pada masa kini.

Yang menghairankan, sesetengah pemimpin yang mendakwa mereka adalah pemimpin Islam, mereka lebih gemar dan berminat menggunakan segala pendekatan yang diguna pakai oleh Yahudi daripada mengambil terus pendekatan dari Al-Quran.

Slogan, demi slogan dilaungkan mereka – ‘Mencari Al-Ghazali’, ‘Mencari As-Shafie’, ‘Kitab suci al-Quran hendak digali’ dan lain-lain slogan dilaungkan. Hakikatnya laungan tinggal laungan.

Cuba kita lihat keadaan umat Islam kini, keadaan remaja dan umat Islam, bukankah semakin parah dan punah.? Terbelakah Islam kini?. Terbelakah umat Islam?. Slogan tinggal slogan, impian tinggal impian. Umat Islam semakin parah, aqidah mereka, akhlak mereka, malah hubungan mereka dengan Islam semakin longgar.

Sudah tiba masanya untuk kita kembali kepada penyelesaian Islam. Satu-satunya agama yang mampu memberi kebahagiaan hidup kepada manusia di dunia mahupun di akhirat.

Pengorbanan kita amat dituntut oleh Umat Islam, tanpa pengorbanan dari kita, selama itulah Islam dipermainkan oleh musuh-musuh Islam. Musuh-musuh Islam berselindung di sebalik nama mereka Islam, berselindung di sebalik slogan-slogan kosong yang mana tujuan mereka untuk melemahkan kebangkitan Islam.

Pengorbanan yang dituntut adalah seperti mana pengorbanan Nabi Ibrahim a.s , Nabi Ismail a.s, serta pengorbanan Siti Hajar isteri baginda. Lihatlah betapa Nabi Allah Ibrahim as. sanggup menyembelih anak tunggalnya semata–mata kerana taat kepada perintah Allah SWT, demikian juga anaknya Nabi Allah Ismail a.s. sanggup berkorban menyerah tengkuknya untuk disembelih bapanya, demi tunduk dan akur kepada perintah Allah SWT, begitu juga Siti Hajar meredhai perintah dari Tuhannya tanpa ada kekesalan walaupun kepayahan menanti mereka.

Inilah sikap dan prinsip yang sewajarnya dimiliki oleh umat Islam hari ini, untuk membina kekuatan spiritual bagi menghadapi musuh–musuh Allah Taala yang jauh lebih kuat mengatasi kekuatan material umat Islam.

Kekuatan spiritual (sanggup berkorban demi tunduk kepada Allah SWT) seperti inilah, menjadikan umat Islam memiliki izzah atau kewibawaan unggul, yang tidak lagi memungkinkan umat Islam tunduk dan akur kepada Yahudi mahupun mustakbirin Amerika dan sekutunya.

Kekuatan spiritual seperti ini jua, menjadikan umat Islam memiliki keyakinan tinggi untuk berhadapan dengan kekuatan material kuasa Yahudi dan Amerika Syaithanul Akbar , meskipun dikepung dari segenap arah, bermula di peringkat antarabangsa hinggalah ke peringkat tempatan, oleh juak–juak mereka yang terdiri daripada, umat Islam yang lemah jiwanya dan boleh pula dibeli iman dan agama mereka.

Sempena hari lebaran yang mulia ini, gunakanlah kesempatan untuk membina keutuhan tali persaudaraan di kalangan kita, ziarah menziarahi antara kita. Justeru ianya adalah antara faktor penting untuk membina kekuatan ummah bagi menghadapi keangkuhan dan kesombongan musuh–musuh Allah SWT.

Dalam menangani isu yang membabitkan agama dan masa depan generasi umat Islam, maka sewajarnya seluruh umat Islam bangkit bersatu tanpa mempedulikan perbezaan latar belakang ekonomi, kaya atau miskin. Latar belakang politik, pemerintah atau pembangkang. Latar belakang sosial, berpengaruh atau masyarakat awam. Latar belakang akademik, lepasan ijazah atau menengah .

الله أ كبر الله أكبر الله أكبر و لله الحمد

Saudara Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah sekalian !!

Ayuh kita bangkit. Bangkit bertindak dengan penuh kesedaran, membantah, menolak apa jua usaha yang bakal merosakkan masa depan generasi umat Islam, generasi anak cucu kita.

Sekurang–kurangnya pada hari ini dan hari yang seterusnya, kita bersatu menadah tangan ke langit, bermunajat kepada Allah SWT sebagai mana munajat yang pernah dilafazkan oleh Nabi Musa as.:

Rujuk surah Yunus . Ayat 88

Dan Musa telah berdoa: Wahai Tuhan kami, sesungguhnya engkau telah memberi Firaun dan pembesar–pembesarnya kemewahan dan harta benda yang terlalu banyak, dalam kehidupan dunia ini . Wahai Tuhan kami, dengan sebab harta dan kemewahan tersebut, bukan sahaja mereka sesat bahkan mereka menyesatkan orang lain. Wahai Tuhan kami, oleh kerana itu, lenyapkanlah harta benda dan kemewahan mereka, ikat dan tutuplah hati mereka agar mereka tidak beriman sehinggalah mereka menyaksikan azab yang sangat pedih.

(Surah Yunus: 88)

Walaupun kita menyedari, tindakan yang berasaskan kesedaran ini, tidak akan mendapat laluan mudah melainkan terpaksa menghadapi pelbagai kemungkinan mengancam kita. Namun inilah pengorbanan yang mesti dilakukan oleh setiap individu, demi membela dan menyelamatkan Islam dan umatnya. Sebagaimana pengorbanan Nabi Ibrahim a.s, Nabi Ismail a.s dan Pengorbanan Siti Hajar, yang kita jadikan ikutan dan kita mengingatinya saban tahun setiap kali datangnya hari lebaran Aidiladha yang menggamit pengorbanan kita.

الله أ كبر الله أكبر الله أكبر و لله الحمد

Saudara Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah sekalian !!

Dan akhirnya marilah kita renungkan firman Allah SWT, sebagaimana yang tersebut dalam Al-Quran al-Karim.

Rujuk surah Thohaa . Ayat 124 - 126

"Dan barang siapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta. Berkatalah ia: "Ya Tuhanku, mengapa Engkau menghimpunkan aku dalam keadaan buta, padahal aku dahulunya adalah seorang yang melihat?" Allah berfirman: "Demikianlah, telah datang kepadamu ayat-ayat Kami, maka kamu melupakannya, dan begitu (pula) pada hari ini kamu pun dilupakan."

(Thohaa: 124-126)

بَارَكَ الله لِي وَلَكُم بِالْقُرْءآنِ العَظِيْم وَنَفَعَنِي وَإِيّاَكمْ بِالآياَتِ وَالذّكْرِ الحَكِيْم وَتَقَبَّلَ مِنّي وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْم. أُوصِيْكُمْ عِبَادَ الله وَإِيَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ المُتَّقُوْن وَاَسْتَغْف الله العَظِيْم لِي وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ المُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَات وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْه فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْن

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home