" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Wednesday, December 12, 2007

AKHIRNYA AKU
TERTANGKAP JUA

Peristiwa ar Raafiq yang berlaku pada bulan Ramadhan yang lalu , masih tersimpan dalam memori saya . Bagaimana saya bersama rakan yang lain terlepas dari kepongan hampir 120 orang anggota JAIS dan anggota PDRM yang lengkap beruniform .

Saya mendapat pelbagai reaksi dari sahabat - sahabat seperjuangan dan mereka yang bersimpati terhadap perjuangan ini , dimana mereka sedikit kehairanan bagaimana saya mampu bolos kepongan algojo - algojo UMNO dan BN itu .

Tetapi ..... semalam saya berjaya ditangkap oleh pihak PDRM yang rata-ratanya berpakaian biasa pada waktu itu .

Apa boleh saya buat , ratusan polis beruniform , berpakaian biasa dan FRU yang mengepong sementara saya pada waktu itu sedang mengiringi Dr. Hatta Ramli ( Bendahari PAS Pusat ) untuk memasuki parlimen guna menyerahkan memorundum .

Saya bersama Dr. Hatta tiba di simpang akhir untuk memasuki jalan menuju parlimen pada jam 9.45 am . Sewaktu ketibaan kami , saya dapati Ustazah Nuridah Salleh ( Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat ) dan Dr. Lo' Lo' Ghazali ( AJK PAS Pusat ) telah pun berada di situ .

Sekitar jam 10.15 am , sekumpulan wartawan antarabangsa dan tempatan menerpa ke arah kami untuk mendapatkan kenyataan dan pengesahan mengenai memorundum yang akan diserahkan pada pagi itu ke parlimen .

Dr. Hatta menjawab segala persoalan yang dikemukakan oleh wartawan dan tidak sampai 10 minit Dr. Hatta membuat kenyataan , kami diterpa oleh sepasukan mereka berpakaian biasa dan mendakwa mereka adalah polis lalu menarik Dr. Hatta untuk dihumban ke dalam black maria .

Saya segera menghalang perbuatan mereka yang kelihatan agak rakus dan kasar agar mereka tidak memperlakukan Dr. Hatta sedemikian rupa . Saya bertanya kenapa kami hendak ditangkap ? Kami bukan berhimpun ? kami berdua hanya dalam perjalanan menuju parlimen .

Saya mahu berjumpa dengan Yb. Salahudin dan kami mahu mengikuti perkembangan perbahasan di parlimen pada waktu itu berkaitan dengan pindaan akta yang akan mengubah umur persaraan wajib 65 kepada 66 tahun .

Sebelum itu saya telah melihat bagaimana Ustazah Nuridah dan Dr. Lo' Lo' telah diiring menaiki black maria yang disediakan tidak jauh dari situ .

Ternyata pihak polis langsung tidak boleh berunding dan bertolak ansur , walau mereka pernah dan boleh berunding dengan penternak khinzir di Melaka . Berkali saya minta agar kami tidak ditangkap kerana kami adalah rakyat yang baik . Kami tidak melakukan sebarang jenayah dan juga sebarang kekacauan. Kami hanya mahu masuk ke parlimen ( Dewan Rakyat ) sebagai seorang rakyat yang prihatin .

Saya merayu berulang kali agar diberi sedikit masa kepada kami , apabila mereka bertegas ingin menarik Dr. Hatta . kami sedang menunggu ketibaan Memorundum yang akan diserahkan kepada parlimen dan selepas itu kami akan bersurai . Nyata , rayuan itu langsung tidak berkesan .

Waktu itu saya terpaksa memegang lengan Dr. Hatta yang terus diseret dengan kasar dan cuba menghalang tindakan polis tersebut . Masa itu lah , saya dapati rupa - rupanya agak ramai juga para simpati dan penyokong yang berada di belakang dan turut cuba menghalang tindakan polis .

Tarik menarik berlaku , kedengaran Dr. Hatta menjerit kesakitan kerana tangannya ditarik kasar oleh pihak polis. Anggota polis kian bertambah mengerumuni kami , maka saya dan rakan - rakan lain terpaksa beralah untuk tidak lagi menarik atau menghalang .

Sebaliknya membiarkan sahaja pihak polis membawa kami semua ke black maria yang kemudiannya kami dibawa pergi menuju IPK Kuala Lumpur di Jalan Hang Tuah .

Turut dihumban ke dalam black maria selain Ustazah Nuridah dan Dr. Lo' Lo' yang telah terkurung disitu ialah Dr. Mohd Nasir , akhi Azira , Akhi Hashim , Akhi Badilah dan Akhi Sabri .

Sejurus tiba di IPK KL , saya dapati Tian Chua dan beberapa orang rakannya telah tertangkap dan berada di IPK untuk tindakan lanjut . Saya melihat keadaan Tian Chua tidak terurus dan mengalami kecederaan hasil tindakan kasar pihak polis sewaktu cubaan untuk menangkap beliau .

Cermin mata beliau pecah dan patah dan seluruh badannya mengalami sakit dan apa yang paling dikesali ialah kereta yang dinaikinya untuk ke parlimen telah terbakar sewaktu berada di dalam "tangan" polis.

Sedang saya menunggu apakah yang bakal dilakukan keatas saya dan rakan rakan selepas ini , saya melihat satu persatu pimpinan dibawa masuk untuk ditahan , bermula dengan Tan Sri Khalid Ibrahim ( Setiausaha Agong PKR ) , Dato Hj. Mustafa Ali ( Pesuruh Jaya PAS Terengganu ) , Dr. Zulkifli Ahmad ( AJK PAS Pusat ) , Norazimah / Nora ( Aktivis Reformasi ) dan termasuklah beberapa aktivis NGO .

Negara Polis .

Saya hanya mampu mengeluh , apa yang saya saksi kini Malaysia benar - benar menuju pembentukan sebuah Negara Polis . Sebuah negara yang ditadbir dengan kekerasan , kekasaran dan keganasan tanpa runding , tolak ansur dan belas simpati .

Tambahan pula saya terbaca satu kenyataan akhbar Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi bahawa beliau tidak akan rasa bersalah dan tidak juga akan bersedih ketika menjatuhkan hukuman ISA kepada siapa sahaja yang beliau rasakan perlu.

Saya dan rakan - rakan , dalam kesempatan masa yang diberi untuk solat hanya mampu mengambil peluang tersebut untuk solat dan munajat kepada Allah swt. agar golongan banjingan politik tidak terus berkuasa dan bermaharajalela menindas rakyat mereka sendiri .

Saya tidak bimbangkan diri saya yang ditangkap dan ter"penjara" pada waktu itu. Kerana sememangnya merentasi perjuangan suci ini , saya telah bersedia dari awal untuk menghadapi apa jua mehnah dan tabiat perjuangan malah saya telahpun mewaqafkan diri ini untuk perjuangan .

Apa yang saya kesal ialah nasib rakyat yang menderita dan sengsara menyaksikan aqidah runtuh , akhlak luntur dan fikrah mundur lantaran cara dan gaya pemerintahan kerajaan UMNO dan BN yang hanya memikirkan soal pembangunan duniawi dan pengaruh kuasa politik mereka.

Alhamdulillah , kami tidaklah terpisah dari suara kesal dan kebangkitan rakyat diluar . Sedang kami ditahan , saya mendapat maklumat bagaimana dipintu masuk IPK KL berlaku satu piket dan bantahan rakyat agar kami dibebaskan segera kerana tiada alasan yang munasabah untuk kami terus ditahan.

Ya ! Masuk aqal kah kami ditahan sebagai seorang rakyat yang ingin memasuki Dewan Rakyat ? . Inilah demokrasi UMNO dan BN yang kini kian berubah membentuk Kerajaan Polis.

Akhirnya setelah kenyataan setiap daripada kami diambil , sekitar jam 6.30 pm kami dibawa ke Lokap Jalan Pudu sementara Ustazah Nuridah dan Dr. Lo' Lo' dibawa ke Lokap Balai Polis Travers .

Namun sejurus kami sampai ke Lokap jalan Pudu , kami diarah kembali menaiki black maria untuk "pulang" semula IPK KL , begitu juga Ustazah Nuridah dan Dr. Lo' Lo' di bawa kembali ke IPK KL .

Mula saya berasa hairan atas apa yang berlaku . Sehinggalah waktu saya dan rakan - rakan bersiap untuk solat maghrib berjamaah , seorang dikalangan anggota datang memberi saya atas kemungkinan kami pada malam itu akan dibenarkan jaminan mulut untuk bebas.

Kami dibebaskan keseluruhannya sekitar jam 11.00 malam .

Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan terima kasih atas sokongan semua pihak yang berdoa , solat hajat dan menjadi penjamin kepada semua yang ditahan .

Teruskan perjuangan hingga ke detik akhir hayat ini , Thabat dan tetap bersama dengan Islam dan perjuangannya.

Salam perjuangan dari saya buat semua.

Hj. Nasrudin Hassan at Tantawi
Timbalan Ketua DPP Pusat .

11 Comments:

Anonymous aye said...

syabas ustaz... afuan semalam sy kerja.

2:23 PM

 
Anonymous Sahabat Seperjuangan said...

Jangan mengalah ustaz . teruskan perjuangan anda. kami bersama

7:07 PM

 
Blogger Us.Hj. Nasrudin Hj. Hassan At Tantawi said...

Alhamdulillah , setakat ini , yg bertambah hanya semangat meneruskan perjuangan suci ini.

Ini adalah kali ke tiga saya ditahan oleh polis . Sebelum ini saya ditahan kerana menyampaikan ceramah tetapi kali ini krn ingin ke parlimen .

Malaysia tanahairku ....

7:09 PM

 
Anonymous Anonymous said...

Teruskan perjuangan ustaz...doa dari kami agar semua pejuang islam akan diberi kemenangan.....

12:06 PM

 
Anonymous Anonymous said...

alhamdulillah sekalung tahniah buat ustaz kerana di tangkap masa berkopiah...
itu mnunjukkan musuh2 Islam amat takut ngan penampilan pejuang2 yg berpakaian mngikut acuan Islam..
bila di kaitkan masa ust pakai topi cepia di himpunan bersih dulu x de lak kena tangkap..
maka hikmahnya ALLah nk mnjaga maruah ustaz ketika itu.. malangla kalau ustz kene tangkap time pakai topi cepia sedangkan baru tu skali la ustaz sarungkan topi cepia tu kt kpala ustaz..

harapnya pasnih ustz istiqamah ngan identiti ustz. no more topi cepia ok?:)

1:46 PM

 
Anonymous cikgumat jiran umno said...

Assalamualaikum ustaz.
Tahniah di atas istiqamah ustaz. Ustaz, sebagai pemerhati dan yang ingit melihat kemenangan Islam khususnya PAS, ingit saya bangkit beberapa persoalan agar usta dan pimpinan PAS renungi bersama tentang hala tuju perjuangan. Adakah perancangan yang telah dan akan dilaksana mempunyai kesan positif atau sebaliknya. Persoalan saya di sini apakah kesan demostarasi yang telah diadakan oleh BERSIH? rasa risau nanti ahli BERSIH syok sendiri dan hasilnya entah ke mana.Saya tidak bermaksud tidak bersetuju dengan tindakan tersebut tetapi saya lebih risau tetang hasilnya. Sekiranya tindakan demostari yang diadakan itu dapat meningkat sokongan kepada kebenaran dan keadilan(khususnya pembangkang) Alhamdulillah, teruskan.Apakah rakyat bawahan, khususnya masyarakat kampung dapat memahami tujuan tindakan ini. Apakah poyokong kerajaan, khususnya ahli UMNO di kampung akan beralih menyokong pembankang ekoran demostrasi tersebut. Saya sebagai penyokong gerakan amat risau apakah impact daripada gerakan tersebut. Saya amat pasti pihak DPPP Pusat sudah ada hasil posr-motennya. Sebagaimana yang saya nyatakan pada awal, sekiranya positif, iaitu dengan demostrasi tersebut pemikiran penyokong kerajaan akan berubah kepada pembangkang, ayuh teruskan dan saya sentiasa di depan dariapada ustaz.
Ustaz,
Setakat ini yang kita nampak ialah demostrasi. Saya scara jujur masih ragu-ragu apakah rakyat telah memahami apakah masalah di negara kita. Apak pihak pimpinan menyedari bahawa pihak penyokong kerajaan sentiasa memberi alasan bahawa kita masih mampu menghadapi situasi sekarang dan tidaklah gawat sangat, mereka dapat melihat ucapan-ucapan pemimpin kerajaan dengan penuh yakin mengatakan negara kita ok. Berdasarkan riaksi dari penyokong bawahan UMNO agak sukar untuk kita memasti penyokong kerajaan akan berbondol-bondol menyokong pembangkang.
Ustaz, Apakah strategi yang diambil oleh pimpinan meliputi memadai bagi memastikan pembangkang mendapat sokongan. Saya cadangkan kita ambil pendekatan di negara maju yang kerajaannya sering bertukar ganti. Apakah strategi yang mereka ambil sehingga rakyatnya tidak statik dalam meberi sokongan kepada sesebuah parti.Mereka bentangkan arah tuju dan menifesto parti seluas-luas agar rakyat memahami apakah bentuk pemerintahan atau kebaikan yyang mereka dapat dengan mengubah kerajaan yang ada. Adakah pimpinan telah laksanakan? Sehingga kini saya belum menerima sebarang rislah berkaitan secara "Black and White" sedangkan pilihanraya semakin hampir. Sepatutnya risalah dan menifesto telah dihafal oleh rakyat dan mereka hanya saling membandingkan di antara parti pembangkang dan pemerintah. Pada saya strategi masih belum berkesan dan sekiranya tindakan segera tidak diambil, kita akan akan lihat hasil pilihanraya ke 12 nanti tiada apa yang meningkat. Ustaz, bincanglah dengan pimpinan bagaimana kita dapat menyedarkan pihak penyokong kerajaan di peringkat bahawa agar mereka dapat berubah. Apa yang saya perhatiakan ialah kehadiran orang ramai samada pada majlis ceramah pelotok atau pendemostrator adalah penyokong pembangkang dan tidak ramai penyokong kerajaan yang ikut serta dan penyokong kerajaan di kampung-kampung tidak peduli pun. Saya mohon maaf ustaz tetapi ini adalah pandangan penyokong bawahan yang dekat dengan penyokong kerajaan dan meliahit gelagat penokong kerajaan bawahan yang tidak banyak berubah. Fikii-fikirkan lah. waalua'llam.

5:08 PM

 
Anonymous Abdullah Al Machangni said...

Ustaz, saya sokong pendapat cikgumat jiran UMNO. Pihak pembangkang perlu mengedar seluas-luasnya risalah tentang rasuah, kenaikan harga barang, harga minya yang bakal naik, bayaran tol, penyelewengan dan sebagai. Sebarkan risalah secara meluas sehingga ke desa terpencil dan jangan lupa apakah altenatif sekiranya mandat diberi kepada pembangkang. Saya rasa ini yang dilakukan di negara maju. Ayuh segerakan kerana masa sudah suntuk dan masyarakat marhein belum ada maklumat. Teruskan perjuangan ustaz dan kami sentiasa mendoakan.

5:22 PM

 
Blogger KelawarHijau said...

Teringat ana pada kisah Bilal bin rabah, sewaktu sedang diseksa dengan batu atas dadanya.

Datang seorang sahabat, menawarkan ingin membeli Bilal drp tuannya itu.

Realiti kini, kita 'membeli hamba' melalui wang jaminan dan sebagainya.

Andaikata Islam teramat miskin, mampukah kita untuk membebaskan tubuh-tubuh Islam ini dari diperhambakan, biarpun jiwanya merdeka?

Sekadar nk mengatakan, betapa ekonomi amat penting dalam perjuangan Islam.

Sekali berjuang, jangan mengalah! Kemengangan Islam makin hampir, moga tidak terhijab dengan dosa2 kita.

Takbir!

7:46 PM

 
Anonymous muhaiminsulam said...

kerana kita lebih bangsat
dari penternak babi,
seekor babi
dan sekangkang kandang babi

2:16 AM

 
Anonymous Abdullah Al Mcahangni said...

Assalamualaikum Ustaz, Mudah-mudah tulisan in ditatap oleh al ustaz kerana sifat keterbukaan ustaz. Saya melihat perjuangan ustaz mempunyai visi dan misi sebagaimana Tuan Guru MB Kelantan. Setiap ucapannya jelas iaitu ingin menegakkan agama Allah. Ucapan beliau tidak pernah lari dari unsur dakwah walaupun dalam ceramah politik. dan saya nampak ciri-ciri ini cuba ustaz praktikkan. Alhamdulillah. Jika nawaitu kita Islam setiap ucapan dan dam gerakgeri kita hendaklah selari dengan Islam. Sama ada disukai atau sebaliknya.Apa lagi politik Islam. Biarlah setiap ucapan kita berkaitan dengan Islam kerana Islam meliputi kesemua aspek dalam kehidupan.
Ustaz, UNTUK PEJUANG ISLAM yang tiada akar umbi pendidikan Islam yang begitu komited dengan Islam harapan saya ialah:
1. Gunakan kepakaran yang ada sama ada dalam bidang ekonomi, perundangan, sosial, psikologi, pengurusan dan sebagainya sebagai asas atau sumber untuk menzahirkan kesyumuran Islam. Apa yang saya perhatikan sejak akhir-akhir ini, ceramah PAS parti yang kita sayangi semacam tiada arah dan zero content. Sama ada kita sedar atau tidak dalam ceramah-ceramah parti kita lihat para penceramah lebih gemar menceritakan tentang peristiwa tangkapan dirinya dan kawan-kawan secara tersusun dan semacam suatu fiction. Hadiran semacam datang kemajlis pengkisahan bukan majlis untuk mendapatkan maklumat bagi menhadapi parti lawan. kita dihidang seolah penceramah tersebut adalah jaguh(berani mati), memang kita akui dan sokong dengan sifat berani tersebut tetapi apakah dengan penceritaan tersebit dapat menarik penyokong kerajaan menyokong kita. Saya sebagai pemerhati dan penyokong perjuangan suci ini SANGAT BERHARAP ustaz dapat ketengahkan isu ini supaya perjuangan kita lebih berkesan. tumpukan kepada isu-isu yang dapt menarik sokongan rakyat kepada pati kita(sokong pendapat cikgumat jiran Umno). Mohon maaf

6:47 AM

 
Blogger Us.Hj. Nasrudin Hj. Hassan At Tantawi said...

Assalamualaikum .

Terima kasih atas semua pandangan dan respon . Saya pasti tidak tinggal diam meninggalkan pandangan dan cadangan kalian sepi diruangan ini .

Saya akan laksanakan semampu mungkin dan apa yg perlu saya bawa ke atas , pasti saya akan lonjakkan ke atas utk perhatian dan tindakan pimpinan .

9:55 AM

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

Links to this post:

Create a Link

<< Home