JALAN JALAN DENGAN BAJU KUNING
ALTERNATIF KEPADA DEMONSTRASI
Ketua Pemuda PAS Pusat, YB Salahudin Ayub telah mengetuai 30 orang pemuda berbaju kuning dalam program ‘Ziarah Rakyat’ di Jalan Tunku Abd Rahman lewat waktu petang sabtu yang lalu.
Turut kelihatan adalah Timbalannya, Ust Nasaruddin Hassan dan Sdr. Kamaruzaman Mohamad, Ketua pemuda PAS Wilayah Persekutuan.
Program bermula dari bangunan PAS Pusat di Jalan Raja Laut, melalui SOGO dan seterusnya memasuki Jalan TAR. Kumpulan berbaju Kuning ini berjaya menarik perhatian orang ramai yang memandu dan bersiar-siar di sekitar gedung-gedung pakaian.
Ada yang melambaikan tangan dan ada yang membunyikan hon bagi menyambut kehadiran kumpulan KUNING ini.
Salahuddin yang memimpin kumpulan ini menyatakan, bahawa, ”tidak salah untuk berpakaian kuning pada hari sabtu atau hari-hari lain. Sebaiknya semua ahli PAS dan pendokong BERSIH memakai baju Kuning pada tiap hari Sabtu dan keluar untuk membeli belah dengan pakaian BERSIH.
Walaupun kita tidak berceramah atau berdemontrasi, tetapi orang sekeliling kita dapat baca apa yang tertulis dibaju tersebut. Ini juga satu cara untuk kita sampaikan maklumat dan promosikan BERSIH”
Sepanjang perjalanan, kumpulan Kuning ini mengedarkan risalah BERSIH dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Cina. Seorang peserta Melayu yang boleh bertutur dalam Cina turut bersama dan memudahkan para petugas memberikan maklumat tentang BERSIH kepada mereka yang berbangsa cina.
Kumpulan Kuning ini juga menghabiskan masa lebih kurang sejam di sekitar Jalan TAR dan meninjau suasana peniaga dan pengunjung. Rata-rata peniaga yang ditemui berharap agar pihak Kerajaan dapat mengawal kenaikkan harga barang bermula dari kilang dan juga pemborong.
Para peniaga juga mengakui bahawa mereka terhimpit dengan kenaikkan harga minyak dan tol. Keadaan tersebut menjadikan mereka tiada pilihan melainkan turut menaikkan harga barang jualan mereka walaupun dibantah oleh pelanggan.
Para pengunjung yang ditemui turut berharap agar Kerajaan dapat memainkan peranan yang efektif dalam mengawal kenaikkan harga barang.
Disamping itu mereka juga mahu Kerajaan menjaga keselamatan rakyat. Isu peningkatan kadar jenayah amat merisaukan mereka. Bagi mereka, keutamaan sekarang adalah soal keselamatan negara, mereka tidak kisah parti mana yang memerintah, tetapi jika parti yang sedia ada gagal menjaga keselamatan rakyat, mereka tidak teragak-agak untuk menukar undi kepada parti alternatif.
Sebelum beredar, Kumpulan KUNING ini sempat berhenti untuk minum disebuah gerai dan pemilik gerai gembira kerana gerainya berjaya diKUNING pada hari berkenaan.
Semasa dalam perjalanan pulang, Kumpulan KUNING ini sempat singgah sebentar di SOGO dan mengambil gambar bersama rakyat yang duduk berehat disitu.
Kumpulan ini juga terserempak dengan beberapa orang anggota Polis yang sedang menyaman beberapa kenderaan yang diletakkan disiar kaki sekitar SOGO dan Pertama Kompleks. Mereka juga tidak terlepas dari diberikan risalah BERSIH.
Seorang anggota polis yang enggan menyatakan namanya sempat ditemubual dan meluahkan ketidakpuashatiannya terhadap sikap Kerajaan yang suka mempergunakan mereka bagi menghadapi Perhimpunan Rakyat yang dilakukan secara aman. Bagi mereka, banyak lagi tugas lain yang lebih penting dari menjaga perhimpunan aman.
Pengalaman mereka bertugas menjaga perhimpunan BERSIH telah menyedarkan mereka bahawa rakyat mampu mengawal perasaan jika tidak diprovok. Mereka juga mengakui bahawa wujudnya provokasi dikalangan anggota cawangan khas bagi menggangu perhimpunan BERSIH sekaligus memastikan unit-unit PDRM yang lain dapat bertindak agreasif kepada rakyat yang berhimpun.
Mereka berharap agak Kerajaan tidak lagi menjadikan mereka sebagai alat politik mereka. Tidak semua anggota Polis minat dengan politik dan bagi mereka, tugas membanteras jenayah adalah penting dari melayani karenah politik Kerajaan.
Tenyata bahawa rakyat yang ditemui sepanjang ziarah ini mempunyai pelbagai harapan kepada Kerajaan. Tanpa mengira latar belakang dan profesyen, mereka juga berhak untuk bersuara.
Program BERSIH seterusnya akan bersambung di hadapan Parlimen pada pukul 11 pagi, 11 Disember ini bagi memastikan tempoh perkhidmatan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman tidak disambung lagi untuk sesi akan datang. Seluruh rakyat Malaysia dijemput hadir dan syorkan membawa sepanduk dan placard bagi menyatakan tuntutan mereka terhadap pemulihan demokrasi dinegara ini.
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home