" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Saturday, December 15, 2007

Kenyataan Media :

PAK LAH
SEMAKIN ANGKUH

Apabila Pak Lah menegaskan bahawa beliau tidak rasa bersalah dan juga bersedih menjatuhkan hukuman ISA kepada siapa sahaja yang beliau rasakan perlu adalah dilihat sebagai sikap angkuh dan memaparkan wajah sebenar beliau yang selama ini berselindung disebalik karektornya .

ISA adalah satu akta yang zalim dan kejam bahkan primitif justeru ia menafikan hak pertuduhan dan penghakiman . Mangsa terbaru Akta primitive ( ISA ) ini ialah pemimpin Hindraf .

Dewan Pemuda PAS Pusat melahirkan rasa kesal dan menentang sekeras – kerasnya penggunaan ISA dalam menangani isu ini , sebaliknya menggesa supaya pihak kerajaan mengemukakan kes ini ke mahkamah untuk diputuskan melalui proses penghakiman yang adil dan telus.

Apakah negara ini tidak mempunyai undang – undang dan mahkamah ? atau apakah negara ini tidak lagi mempunyai hakim yang berwibawa untuk membicarakan kes seperti ini ? atau mungkin juga negara ini tidak mempunyai pendakwaraya yang berkredebiliti untuk mengheret orang yang dituduh agar mereka dijatuhi hukuman setimpal di mahkamah ?

Bukankah kerajaan mendakwa bahawa mereka memiliki bukti bahawa Hindraf menimbulkan keganasan dan kekacauan serta ketegangan kaum dalam negara ini ? maka buktikanlah di mahkamah !

Dewan Pemuda PAS Pusat tidak pernah menyokong mana – mana tindakan ganas dan mencetus ketegangan kaum dalam negara ini. Malah Dewan Pemuda PAS menyelar siapa sahaja yang cuba mencetus suasana tidak aman dalam negara tercinta .

Tetapi setiap pertuduhan sebelum mereka disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman , mestilah melalui proses pembuktian yang jelas dan pembicaraan yang adil .

Islam mengajar kita menangani persoalan ini melalui kaedah " pembuktian yang nyata bagi pihak yang menuduh dan mendakwa serta hak membela diri bagi mereka yang mengaku tidak bersalah " .

Kaedah ini untuk memastikan agar tidak berlaku pendakwaan yang tidak berasas serta pertuduhan melulu yang menghela kepada fitnah dan penginayaan .

Kaedah ini juga untuk memastikan mereka yang benar – benar terbukti bersalah menerima hukuman setimpal dengan kesalahan mereka.

Menggunakan ISA bukan sahaja menafikan hak pertuduhan bagi pihak yang menuduh mahu pun yang tertuduh , bahkan mencetus rasa tidak puas hati pelbagai pihak terutama pihak yang tidak mendapat pembelaan wajar.

Ini adalah episod malang bagi negara kita yang masih menggunakan akta primitif seperti ISA sedang ianya telah sekian lama dimansukhkan dalam peradaban moden negara – negara maju sementara negara – negara ini sering menjadi contoh kepada negara kita dalam hal – hal yang lain .

Persoalannya , kenapa Pak Lah cuba mengelakkan pembicaraan ke atas mereka yang dituduh ? Apakah kerena tidak mempunyai bukti ?

Andainya tiada bukti , maka hilanglah hak untuk menuduh apalagi menghukum . Menuduh dan menghukum tanpa bukti adalah suatu perbuatan yang sangat hina , zalim dan kejam .

Janganlah menangani keganasan dan kekejaman dengan melakukan keganasan dan kekejaman yang lain pula kerana kelak negara kita tidak akan aman dari keganasan dan kekejaman .

Andainya pihak kerajaan mempunyai bukti nyata , sila heret mereka ke galeri mahkamah untuk dibicarakan , sebagaimana yang dilakukan oleh kerajaan terhadap kes – kes besar seperti kes al-Tantunya dan lainnya. Kenapa pula kes al-Tantunya boleh dibicarakan sedang kes Hindraf tidak boleh ?

Kes al-Tantunya turut dilihat mengancam keselamatan negara apabila membabitkan pihak anggota keselamatan yang sememangnya memiliki senjata malah bom , sebagai yang dituduh melakukan kekejaman dan jenayah.

Begitu juga kes video klip V.k Lingam yang melibatkan soal integriti badan kehakiman dan boleh membawa kepada terhakisnya kepercayaan rakyat kepada sistem kehakiman dalam negara ini dan tentu sahaja effectnya sangat tinggi kepada keselamatan negara apabila sistem kehakiman dan perundangan negara bocor .

Kes video klip V.k Lingam pun disiasat rapi , yang membawa kepada penubuhan suruhanjaya diraja untuk menyiasat bagi mencari bukti nyata sebelum ianya disabitkan bersalah atau dibebaskan sebagai orang yang tidak bersalah .

Persoalannya jika kes al-Tantunya boleh dibicarakan dimahkamah dan kes video klip V.k Lingam boleh ditubuhkan suruhanjaya penyiasat kenapa tidak kes Hindraf ? Kenapa kerajaan terpaksa menggunakan ISA ?

Persoalannya lagi disini ialah , siapa yang terancam sebenarnya ? negara atau UMNO dan Pak Lah ? dan ISA digunakan untuk keselamatan dalam negara atau keselamatan dalam UMNO ?

Justeru itu , Dewan Pemuda PAS Pusat sangat konsisten dalam menentang penggunaan ISA walau dalam apa jua situasi dan mendesak agar akta primitif ini segera dimansukhkan kerana ia jelas bercanggah dengan syara' dan menafikan hak asasi .

HJ. NASRUDIN BIN HJ. HASSAN at Tantawi
TIMBALAN KETUA DPP PUSAT.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home