XPDC
MENUJU PERSONALITI RABBANI
Malam ini merupakan malam pertama saya kembali menjejak kaki ke Masjid Fatimah az Zahra' Taman KOSAS Ampang setelah lebih 6 tahun kena gam .
Sungguh syahdu apabila mendapat peluang bertemu semula sahabat dan ahli jamaah yang sekian lama tidak berjumpa. Kebetulan malam ini Masjid Fatimah Az Zahra' menganjurkan forum yang bertajuk " XPDC Menuju Personaliti Rabbani " yang menampilkan panel hebat seperti Dr. Azhar Yaacob dan saya pula bertindak sebagai teman berforumnya.
Forum yang dipengerusikan oleh Ustaz Shukri Harun ini dihadhiri oleh ahli jamaah masjid dan angkanya hampir mencecah 400 ke 500 orang.
Orang - orang Tuhan .
Alhamdulillah , topik yang sangat menarik untuk kembali membimbing masyarakat agar mereka berjaya menempatkan diri mereka sebagai Rabbaaniyyin atau orang - orang Tuhan .
Dunia hari ini sangat memerlukan orang - orang Tuhan demi menyelamatkan sebahagian besar penghuninya yang sedang mabuk dengan pengaruh duniawi dan material , malah sebahagiannya pula menjadi hamba kepada syahwat dan nafsu serakah .
Orang - orang Tuhan adalah pengawal dan pemantau agar Islam agama suci ini tidak diceroboh sewenang - wenangnya oleh musuh - musuh Allah swt. Bahkan berfungsi sebagai Duta Allah atau Khalifah Allah untuk menyelia , menyusun dan mengatur pentadbiran hidup berasaskan Syariat Ilahi.
Sifat berlawanan dengan Rabbaaniyyin atau orang - orang Tuhan ialah Syaithaniyyin yang membawa maksud orang - orang syaithan .
Kini dunia secara keseluruhannya sedang dikuasai oleh pengaruh Syaithaniyyin dalam banyak keadaan sehingga lahir generasi yang rendah moral dan tipis nilai maruah diri . Lambat bertindak atau lengah tampil akan menghela keadaan ini menjadi lebih parah dan membarah di dunia amnya dan di Malaysia khasnya.
Pengaruh syaithaniyyin ini melewati pelbagai batas sempadan tanpa mengenal mangsanya . Bisa menewaskan sang cendikiawan sehingga lumpuh aqal budinya di lembah pelacuran , melemahkan daya fikir politikus di pentas politik dan meretakkan solidariti ummah dengan fitnah perkauman dan pra sangka yang buruk serta keji.
Ciri - ciri personaliti Rabbani ini boleh dirujuk dalam surah al mukminuun bermula ayat 1 hinggalah ayat 11 , demikian juga boleh ditemui dalam surah al Furqan ayat 63 hingga 76 .
Menggapai ciri - ciri ini memang tidak mudah , namun boleh dimiliki setelah melalui satu pengembaraan dan XPDC yang getir mendepani segala mehnah yang merencam dari dalam tubuh kita sendiri.
Berbekalkan ilmu yang mantap , penguasaan rohani yang jitu dan akhlak yang luhur menjadikan XPDC menuju Personaliti Rabbani satu realiti .
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home