" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Sunday, November 09, 2008

Harakah Islamiyyah
Kepimpinannya
Bersifat Fardiyyah
atau Jama’iyyah ?

Oleh :
Ustaz Nasharudin bin Mat Isa
Timbalan Presiden PAS

Siri Ketiga :

Inilah di antara persoalan yang sering ditimbulkan oleh beberapa kalangan pendokong harakah Islamiyyah pada masa kini. Sesungguhnya para fuqaha’ harakiyy telah menjelaskan bahawa pada dasarnya, kepemimpinan dalam sesebuah jamaah Islamiyyah haruslah bersifat fardiyyah (perseorangan) kerana bentuk inilah yang diungkapkan oleh lafaz daripada nas-nas yang terdapat dan juga oleh petunjuk yang diperlihatkan dalam sunnah Rasulullah SAW. Kepemimpinan fardiyy akan memperlihatkan keberkesanan arahan , pengurusan yang efektif dan tindak yang serta-merta

Betapapun demikian, dalam melaksanakan arahan tersebut Amir jamaah seringkali juga melakukan syura dengan seluas mungkin dan ini memperlihatkan tindakan jama’iyy dengan melibatkan segolongan seniors dalam barisan kepimpinan. Ini biasanya terjadi dalam kes-kes besar yang melibatkan dasar dan memerlukan pendapat yang paling rajih supaya keputusan yang diambil adalah menyeluruh dan dipertangungjawabkan oleh seluruh barsian kepimpinan. Inilah bentuk kepemimpinan harakah islamiyyah yang paling tepat dan selamat.
[1]

Pelaksanaan syura yang meluas, menurut sebahagian besar pimpinan harakiy, adalah wajib
[2] dan sebahagian fuqaha’ berpendapat pula Amir jamaah mesti ilzam dengan keputusan syura.[3] Kaedah pelaksanaan syura ini pula adalah berdasarkan prinsip pendapat yang paling kuat (al-ra’yu al-rajih) di kalangan mereka yang bersyura.

Kaedah ini dpegang berdasarkan alasan bahawa salah satu nas yang berhubungan dengah syura meletakkan ia bersampingan dua rukun Islam yang utama, iaitu solat dan zakat[4] sehingga memberikan konotasi bahawa pentingnya syura seakan-akan syarat asasi sebagai seorang Muslim-Mukmin! Selain itu, amalan syura juga adalah perintah langsung daripada Allah SWT berdasarkan ayat 159 daripada surah Ali ‘Imran.

Pelaksanaan syura yang meluas di kalangan ahli Jama’ah adalah cara terbaik untuk mengelakkan Jama’ah tergelicir daripada landasan kebenaran. Sistem syura merupakan komponen terpenting dalam tanzim, di mana, tanpanya cacatlah perjalanan organisasi Jama’ah itu.

Keputusan syura mestilah binding dan dipatuhi oleh semua peringkat anggota hatta oleh Amir sekalipun. Pernah disebutkan di dalam banyak hadith bagaimana digambarkan bahawa Rasulu’Llah SAW adalah orang yang paling kerap melakukan syura lalu amalan ini dicontohi oleh para sahabat.[5] Membiarkan Amir membuat keputusan bersendirian boleh memudharatkan jamaah dan menjadikan jamaah terlalu autokratik.

Keindahan bersyura akan dirasai secara automatik apabila ahli berasa yakin dengan perjalanan dan matlamat Jama’ah serta berasa amat senang dengan kepemimpinan barisan pimpinan Jama’ah. Inilah akhlak dan adab berjamaah
[6] yang kita mahukan. Inilah bentuk saff Jama’ah yang sedang kita usahakan sehingga lahirnya Jundiyyah yang menepati syarat-syarat Hizbu’Llah seperti yang termaktub di dalam al-Qur’an, surah al-Ma’idah, ayat 54-56,

“Wahai orang-orang yang beriman, barangsiapa yang murtad di kalangan kamu, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasih kepada-Nya; mereka bersifat rendah diri dengan orang-orang mu’min dan bersikap tegas terhadap orang-orang kafir, mereka berjihad bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan mereka yang mencela. Yang demikian itu adalah Limpah Kurniaan Allah yang diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas Limpah Kurniaan-Nya lagi meliputi Ilmu-Nya.

Sesungguhnya, pemimpin (Wali) bagi kamu hanyalah Allah dan Rasul-Nya dan orang-orang Mu’min, iaitu mereka yang mendirikan Sembahyang, mengeluarkan zakat, dan mereka yang ruku’ merendah diri (patuh kepada Allah).

Dan barangsiapa yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya dan orang-orang Mu’min sebagai penolongnya, demi sesungguhnya Hizbu’Llah itu pasti mendapat kemenangan.”

(Surah al-Ma’idah: 54-56)

Peri Pentingnya Aspek Perancangan Dalam Tanzim Jamaah

Bahawa betapa pentingnya sesebuah jama’ah Harakah Islamiyyah menyusun dan memperkemaskan tanzim Jama’ahnya, telah banyak kali dibahaskan oleh para ulamak haraki termasuklah al-Imam Hasan al-Banna sendiri
[7] yang telah menyusun suatu sistem tarbiyyah Ikhwan yang amat berkesan. Usaha gigih beliau disambung dengan tekun oleh Syaikh Hasan Hudaybi , al-Ustaz Mustafa Masyhur[8], al-Ustaz Sa`id Hawwa[9] dan al-Ustaz Fathi Yakan[10] (sekadar menyebut beberapa nama sahaja[11]). Di dalam al-Qur’an, Allah SWT telah menyebutnya beberapa kali, di antara lainnya termasuklah ayat yang telah kita ungkapkan di awal kertas ini:

“Sesungguhnya Allah SWT amat mengasihi orang-orang yang berperang pada jalan-Nya dalam barisan yang teratur rapi, seolah- olah mereka seperti sebuah bangunan yang tersusun kukuh.”

(As-Saff: Ayat 4)

Asy-Syahid Syed Qutb dalam Tafsir Fi Zilal al-Qur’annya telah menguraikan dengan terperinci ruh dan tuntutan sebenar yang disyariatkan oleh Islam di dalam ayat tersebut di mana Allah SWT mewajibkan Islam ditegakkan secara berencana dan berjamaah dalam satu tanzim yang tersusun rapi laksana sebuah bangunan kukuh yang dimithalkan dengan sususan saff angkatan perang.
[12]

Ahli dan pimpinan perlu djuga ditarbiyyah supaya menitikberatkan aspek-aspek pengurusan tanzim jamaah dan yang paling penting ialah aspek perancangan dalam jamaah. Terdapat enam (6) kriteria utama dalam perancangan sesuatu organisasi, iaitu:-

(i) Analisis suasana persekitaran
(ii) Penentuan matlamat
(iii) Menyediakan input/alternatif
(iv) Menentukan input/alternatif
(v) Pelaksanaan
(vi) Pengawalan

Kita dapat menganalisis keenam-enam criteria di atas dengan mengambil satu kisah yang amat menarik yang menjelaskan kepada kita bagaimanakah sebuah jamaah Islam disusun di bawah pimpinan seorang ketua. Di dalam al-Qur’an, surah an-Naml ayat 15 – 44, telah dikisahkan bagaimana Nabi Allah Sulaiman AS telah berda’wah dan menyusun bala tenteranya untuk menghadapi kerajaan yang tidak tunduk patuh kepada Allah SWT, iaitu Kerajaan Saba’ pimpinan Maharani Balqis.

Pada permulaan cerita itu telah dikisahkan bahawa Nabi Allah Sulaiman AS telah menyusun bala tenteranya yang terdiri daripada jin, manusia dan burung untuk menyerang tentera Balqis yang engkar terhadap Allah SWT dan seruan Nabi Sulaiman AS supaya tidak menyembah matahari dan cakerawala, sebaliknya beriman kepada Allah SWT. Di dalam tanzim Nabi Allah Sulaiman AS itu, kita melihat bagaimana Nabi membuat semakan (check-list) persiapan saff Jundu’Llahnya dan mengesan ketidakhadiran burung Hud-Hud (Belatuk). Baginda AS mengecam tingkahlaku Hud-Hud itu yang gagal mematuhi arahan baginda AS selaku Ketua Tentera.

Hampir-hampir Nabi AS ingin mengambil tindakan disiplin ke atas Hud-Hud (dengan menyembelihnya) tetapi Hud-Hud yang berada tidak jauh dari situ, yang mendengar kemarahan pimpinannya lalu bergegas segera, (mungkin diberitahu oleh sahabatnya) datang menyembah membawa berita bahawasanya ketidakhadirannya bukan disengajakan malah ia telah mengintip kekuatan bala tentera Maharani Balqis.[13]

Kita saksikan di peringkat cerita ini bagaimana Nabi Allah Sulaiman AS amat memahami kekuatan bala tenteranya dan menganalisis suasana persekitarannya:

(i) Siapakah yang terpilih menganggotai tenteranya;
(ii) Cukupkah bilangan tenteranya;
(iii) Tindakan disiplin akan diambil kepada yang engkar;
(iv) Keperihatinan Nabi tentang keluhan Raja Semut yang meminta semut-semut sekalian menyembunyikan diri takut- takut kalau dipijak oleh bala tentera Nabi Sulaiman AS;

(v) Kebolehan Hud-Hud membela diri.

Selanjutnya Nabi Sulaiman AS telah secara terus terang menyatakan matlamatnya ingin menyampaikan Risalah Islam atau jika Maharani Balqis engkar, Nabi AS akan menyerang. Mesej warkah yang diutuskan jelas menyatakan Da’wah yang dibawanya agar maharani Balqis dan seluruh rakyatnya menyembah Allah SWT. Surat tersebut diarahkan untuk dibawa oleh Hud-Hud sendiri, sebagai ujian apakah Hud-Hud berkata benar atau ia termasuk di kalangan golongan mereka yang berdusta. Amat jelas kandungan surat tersebut apabila Nabi berkata:

Pengiriman warkah oleh Nabi merupakan alternatif terbaik Nabi AS kepada Balqis sebelum Nabi menyerangnya jika kandungan surat itu ditolak. Pemergian Hud-Hud terbang membawa warkah Nabi, kesungguhan Nabi akan menyerang, tawaran membawa Singgahsana Balqis di hadapan mata Nabi oleh ‘Ifrit yang ditolak oleh Nabi sebaliknya menerima tawaran seorang yang mempunyai ilmu daripada Kitab Allah SWT jelas menunjukkan kepada kita bahawa Nabi amat serius dan terus melaksanakan rancangannya.

Ingatlah Hud-Hud diminta balik segera setelah melaksanakan tugasnya menyampaikan warkah (kemudian kamu berundurlah daripada mereka, dan [nantilah untuk] melihat apakah jawapan yang mereka balaskan kembali). Amat jelas bahawa Nabi Sulaiman AS menggunakan strategi terbaiknya untuk melaksanakan serangan, amat berhati-hati, memberi peluang terakhir kepada musuh untuk bertaubat kembali kepada Allah SWT tetapi tetap teguh dengan pendirian asal untuk menyerang jika mereka engkar.

Cerita menarik ini juga memperlihatkan kawalan yang cukup baik dan kemas dilakukan oleh Nabi Sulaiman AS dalam menyusan tanzimnya sebagai berikut:

(i) Mengawal anggota tenteranya: burung, Jin dan manusia;
(ii) Mengawal dirinya dengan sentiasa mengingati Allah;
(iii) Mengawal diri dan tenteranya apabila berhadapan dengan musuh.

Penolakan Nabi AS terhadap tawaran hadiah oleh Maharani Balqis membuktikan keupayaannya istiqamah dengan perjuangannya. Jelasnya, prinsip perjuangan organisasi Islam tidak boleh digadaikan dengan apa jua bentuk pujukan.

Satu aspek yang perlu kita pelajari daripada kisah ini juga ialah bagaimana pihak musuh juga merencana dan membuat persiapan untuk menghadapi Jama’ah Islam. Maharani Balqis meminta pandangan pembesar-pembesarnya bagaimanakah cara terbaik untuk menghadapi tentera Nabi Sulaiman AS.

Dan setelah dimaklumkan bahawa Nabi Sulaiman merupakan seorang Raja yang gagah lagi perkasa, beliau memilih kaedah lembut, iaitu dengan memberikan tawaran hadiah dan godaan. Pada fikiran Balqis, itulah kaedah terbaik untuk melembutkan hati Nabi Sulaiman AS agar membatalkan hasratnya untuk menyerang. Inilah strategi musuh yang mesti kita pelajari agar kita tidak mudah terperangkap dan tertipu. Ingatlah pesan Sayyidina ‘Ali Abi Talib bahawa :

“Perencanaan batil (musuh) yang tersusun kukuh hampir pasti menumbangkan kebenaran (Islam) yang kucar-kacir”.

Dalam kisah di atas adalah jelas kepada kita bahawa ketaqwaan Nabi Sulaiman AS, kemurahan hatinya, ketegasan kepemimpinannya, keberaniannya menghadapi musuh dengan tidak ada rasa takut atau boleh dipujuk-rayu dan ketelitiannya merencana dan menyusun bala tenteranya membolehkan baginda beroleh kejayaan. Inilah model tarbiyyah yang hendak kita terapkan dalam PAS. Inilah di antara sifat-sifat Jundu’Llah
[14] yang perlu ada dalam Jama’ah Islam untuk beroleh kejayaan.

[1]Lihat Yusuf al-Qardhawi, al-Hallu’l-Islamiyyu Faridatun wa Darurah, Qaherah, 1397H, hlm: 232.

[2]Lihat umpamanya tulisan Syaikh Mustafa Masyhur, Dr. Hasan al-Huwaidi, Dr. Yusuf al-Qardhawi dan Sa’id Hawwa sekadar contoh.

[3]Lihat juga karangan Sa’id Hawwa, Durus Fi al-‘Amal al-Islami dan dalam kitab terkenalnya, al-islam.

[4]Al-Qur’an, Ayat 30, Surah asy-Syura.

[5]Lihat huraian tentang pelaksanaan Syura dalam Jama’ah oleh al Ustadh Sa’id Hawwa, Durus Fi al-‘Amal al-Islami dan Syura Dalam Islam oleh Dr. Hasan al-Huwaidi, Kota Baru 1985.

[6]Sila rujuk kertas kerja penulis berjudul, “Akhlak Berjamaah” yang telah dibentangkan dalam Konvensyen PAS Sabah, 3 Mei 202.

[7]Sila lihat kumpulan karangan al-Syahid Hasan al-Banna dalam Majmu`ah al-Rasa’ilnya.

[8]Lihat magnum opusnya, Fiqh ad-Da’wah Jld. I dan II yang telah menggariskan jalan-jalan dakwah yang amat jelas berdasarkan nas-nas al-Qur’an dan Sirah Rasulullah SAW, serta pengalaman para sahabat dan juga Jama’ah Harakah Islamiyyah khususnya al-Ikhwanu’l-Muslimun. Karangan Ustaz Mustafa Masyhur tersebut pernah dicadangkan menjadi antara teks wajib Fiqh ad-Da’wah barisan pimpinan pelajar kita di luar negara.

[9]Kitab-kitab karangan tokoh ulamak ini mestilah didampingi dan dikaji dengan mendalam untuk memberikan fikrah yang amat jelas kepada al-akh ad-Da’iyyah yang ingin merentasi jalan da’wah yang cukup berliku ini. Kitab-kitab karangannya seperti Al-Islam, Jundu’Llah Thaqafatan wa Akhlaqan (Tentera Allah: Ilmu dan Akhlaknya), Fi afaqiyyat-Ta’alim (Ufuk Risalah Ta’alim) dan Al-Asasi Fi Tafsirnya mesti menjadi kajian barisan pimpinan kita. Karangan dan analisisnya terhadap fiqh da’wah al-Imam Hasan al-Banna terutamanya dalam al-Madkhal ila ad-Da’wah al-Ikhwanu’l-Muslimun (Pengenalan Kepada Da’wah al-Ikhwanu’l-Muslimun) amat detail lengkap dengan syarah-syarahnya. Ia mengandungi banyak petua dan analisis yang penting untuk membina seseorang da’i dan meningkatkan keupayaanya menjadi seorang mujahid dan qiyadah yang berkemampuan memimpin sesebuah Jama’ah Islam.

[10]Di antara karangan terpenting beliau termasuklah Maza Ya’ni Intima’ al-Islam (Apa Ertinya Saya Menganut Islam), Qawarib an-Najah fi Hayah ad-Du’ah (Bahtera Penyelamat Dalam Kehidupan Pendakwah), Musykilah ad-Da’wah wa Da’iyyah (Masalah Da’wah dan Penda’wah), Abjadiyyat at-Tasawwur al-Haraki li’l-’Amal al-Islami dan al-Mutasaqitun ‘ala Tariq ad-Da’wah (Golongan Yang Gugur Di Sepanjang Jalan Da’wah). Kitab-kitab ini dicadangkan untuk dibahas dan difahami secara mendalam oleh semua barisan pimpinan kita.

[11]Amat menarik sekali untuk disebutkan di sini bahawa gabungan tenaga du’at dalm tanzim al-ikhwan ini mengenengahkan mereka yang bukan sahaja arif dalam bidang pengajian Islam sebagai fuqaha’ dan ulamak sahaja seperti Hasan al-Banna sendiri dan Sa’id Hawwa, tetapi Syaikh Mustafa Masyhur adalah seorang pakar fizik manakala Fathi Yakan adalah seorang jurutera. Inilah gabungan mantap profesional dan ulamak yang komited dengan dakwah.

[12]Bagi kalangan mereka yang mampu menguraikan Tafsir, Kelas Tafsir berdasarkan teks Fi Zilal al-Qur’an oleh Syed Qutb (yang ditulis ketika asy-Syahid berada dalam penjara semata-mata kerana berdakwah) dicadangkan untuk dimanfaatkan oleh semua anggota Jama’ah. Keutamaan ditumpukan kepada surah dan ayat-ayat tertentu yang berkaitan dengan Fiqh ad-Da’wah dan manhaj tarbiyyah kita.

[13]Al-Qur’an, Surah An-Naml: 20-26.

[14]Al-marhum Ustadh Sa’id Hawwa acapkali menekankan persiapan para du’at dan Jama’ah untuk memenuhi tuntutan sebagai Jundu’Llah. Menurutnya apabila lengkap sifat-saifat Jundu’Llah pada Jama’ah, maka Allah SWT akan menganugerahkan al-Falah kepada Jama’ah. Lihat bahasan beliau dalam Jundu’Llah thaqafatan wa Akhlaqan dan Durus Fi al-‘Amal al-Islami.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home