" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Saturday, December 13, 2008

CUTI - CUTI BEGINI .......

Kebetulan seminggu dua ni saya berehat panjang kerana diserang demam yang agak lama . Mulanya bimbang juga dijangkiti chikungunya kerana kebetulan Ma dan Ayah juga terkena jangkitan demam chikungunya . Habis sakit seluruh sendi tulang dan apa yang paling membimbangkan , penyakit ini akan berulang - ulang dalam tempoh 4 ke 6 bulan .

Alhamdulillah , segalanya beransur pulih walaupun semalam terasa seperti nak demam semula . Orang paling sibuk dan susah dalam situasi seperti ini pasti sahaja insan tersayang , Ma ( ibu ) dan isteri .

Lebih bermakna bagi saya , "rehat" ini berbetulan pula dengan waktu cuti sekolah . Semua anggota keluarga berkumpul . Sungguh bahagia detik - detik seperti ini yang terlalu sukar untuk diperolehi kalau saya tidak sakit begini .

Manakan tidak , sepanjang tahun masing - masing sibuk dengan aktiviti dan jadual tugas masing - masing . Anak - anak dengan waktu persekolahan mereka yang bermula seawal jam 7 am dan hanya pulang ke rumah menjelang jam 4 pm . Itu pun anak sulong saya berada jauh di Maahad Muhammadi Kota Bharu Kelantan.

Isteri pula dengan rutin tugas hariannya sebagai guru agama di sekolah menengah juga terpaksa keluar jam 6.30 am bagi mengelak kesesakan lalu lintas dan hanya sampai ke rumah sebelah petangnya pada jam 4 .

Saya sendiri sebagai petugas parti memang tidak mempunyai jadual tetap tetapi secara umumnya jauh lebih padat dari isteri dan anak - anak . Kadang - kadang terpaksa keluar rumah sehingga seminggu atau lebih . Adapun keluar ke medan dakwah untuk 3 hari dalam seminggu , itu menjadi rutin tugas harian saya bersama jamaah .

Dari hari ke hari , matahari tenggelam dan timbul tanpa kami sempat duduk bermesra kecuali seketika yang sangat terhad dan terbatas .

Al waajibat Aksara Minal Awqaat ( kewajiban lebih banyak dari masa yang ada ) memang satu realiti dalam perjuangan ini . Bukan lah tidak timbul rasa ingin "lebih masa" bersama anak - anak dan isteri saban hari . Tetapi hambatan tugas perjuangan , biarpun ia tidak bergaji malah kita yang mesti membiayainya membuatkan kita tidak mempunyai masa untuk bersidai di rumah .

Lebih - lebih lagi apabila saya mengenangkan kehidupan pimpinan kita seperti Tok Guru Mursyidul Am , Tok Guru Presiden dan lain - lain pimpinan yang telah mengabadikan seluruh jiwa raga mereka untuk perjuangan ini , terasa apa yang telah dilakukan selama ini hanya secebis tindakan yang menuntut lebih sejuta pengorbanan demi islam dan perjuangannya.

Bila berehat panjang begini , terasa rindu pula untuk turun bergelanggang menyabung segala apa yang masih berbaki asal sahaja Islam terus dibela dan dipertahankan . Jemu juga berehat panjang . Cuma saya tidak dapat nafikan betapa hati ini cukup bahagia diselubungi hilai tawa anak beranak yang berada di sisi sepanjang musim cuti ini . Kalaulah boleh selalu begini ......

Terkenang sahabat sahabat lama .

Saat begini , masa banyak terluang untuk kembali mengenang detik silam yang penuh kenangan terutama kenangan bersama sahabat seperjuangan yang meniti susah sukar bersama membina dan mengkader diri agar layak untuk duduk sebaris dengan para pejuang Islam biarpun di penghujungnya.

Terasa manis ukhuwwah yang ditempa , lazat berjamaah dan indah beraktiviti . Hari ini di manakah kalian semua ? rindu sungguh bukan kepalang , saat mengingat kembali detik tika kita bersama . Namun saya yakin , kalian semua juga pastinya sibuk dengan urusan perjuangan suci ini di peringkat masing - masing . Kalau lah ada ruang biarpun seketika untuk kita bersua semula . Tentu banyak perkara yang nak di bualkan .......

2 Comments:

Blogger star watcher said...

Alhamdulillah, ustaz beransur sihat dah tu.

Memang seronok berjuang di medan dakwah - rancang tu, buat ni, pergi sana, berkumpul disini, bergerak bersama, jumpa orang sana sini, berdepan musuh depan belakang dll.

Namun ada yang keciciran, karam dari medan dakwah, hilang senyap entah hidup atau mati...

10:20 AM

 
Blogger Zul Mohamed Hassan said...

Syukur alhaamdulillah ustaz semakin segar.
Saya pun begitu jugak Ustaz, kekadang tu terkenang rakan-rakan seusrah dikampus dahulu. Rindunya bukan kepalang pada sahabat-sahabat.
Saya ingat lagi janji hari terakhir dikampus, kami akan jadikan Muktamar Pusat sebagai tempat untuk berkumpul semula andai masing-masing berlainan daerah (dan memang pun banyak yg lain negeri dan daerah).
kalau ke muktamar, saya masih mengharap janji lama.
Setakat ni.. entahlah..

12:39 PM

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home