PENGGUNAAN FEQH MUWAZANAH
DALAM MEMBUAT KEPUTUSAN.
Membuat keputusan tidaklah semudah ungkapan atau arahan untuk mencapainya . Terkadang proses kajian dan perbincangan untuk membuat keputusan hanya berakhir dengan kebuntuan apabila ianya tidak berada di atas landasan atau manhaj membuat keputusan yang baik dan betul .
Terutama keputusan yang melibatkan soal strategi dan gerakkerja amal Islami dalam Gerakan Islam . Tidak mudah kerana ia berhadapan dengan 1001 kemungkinan sementara harapan yang disandarkan dari keputusan tersebut sangat tinggi .
Justeru itu , kita mesti benar - benar menguasai manhaj dan mekanisme membuat keputusan agar kita mampu meminimakan unsur kelemahan dan kekurangan dalam keputusan yang diambil , jauh sekali unsur kesilapan dan kesalahan dalam memuktamadkan sesuatu keputusan .
Saya melihat antara mekanisme yang perlu dikuasai oleh para amilin Gerakan Islam khasnya para pemimpin ialah Feqh Muwazanah atau Kefahaman yang jelas , benar dan tepat dalam pertimbangan sebelum membuat keputusan .
Peranan Feqh Muwazanah .
Feqh Muwazanah [ Feqh Pertimbangan ] adalah satu makenisme yang sangat berkait rapat dengan Feqh al Awlawiyyat [ Feqh Keutamaan ] dalam kita mengambil sesuatu keputusan dan tindakan agar apa yang kita lakukan adalah suatu yang terbaik .
Secara garis kasarnya , Feqh Muwazanah ialah :
* Membuat pertimbangan antara pelbagai bentuk kemaslahatan dan manafaat dari berbagai kebaikan yang telah disyariatkan .
* Membuat pertimbangan antara pelbagai bentuk kemudharatan , kerosakan dan kejahatan yang dilarang atau ditegah oleh Syariat .
* Membuat pertimbangan antara maslahat ( kepentingan ) dan mudharat ( kerosakan ) , antara kebaikan dan keburukan apabila 2 perkara yang bertentangan ini bertemu antara satu sama lain .
PERTIMBANGAN [ AT - TAWAZUN ] ANTARA MASLAHAH .
Kita akan dapati Maslahah ( kepentingan / kebaikan ) yng telah ditetapkan oleh syara' tidak berada dalam satu kategori sahaja bahkan ia terbahagi kepada beberapa kategori :
a ] Dhoruriyat - ضروريات
Jika tidak memilikinya ( dhoruriyat ) nescaya kita tidak boleh menjalani kehidupan ini seperti agama , nyawa dan aqal .
b ] Haajiyat - حاجيات
Kita masih mampu hidup sekalipun tanpa memilikinya ( haajiyat ) tetapi kita akan mengalami kesukaran dan kesulitan hidup yang getir seperti rumah , kenderaan dan perkara seumpamanya.
c ] Tahsiiniyat - تحسينيات
Suatu yang menambah keselesaan , kesenangan dan kemewahan dalam hidup kita dan ia juga sering disebut sebagai pelengkap ( كماليات ) seperti kenderaan kedua , rumah kedua , perabot tambahan dan lain - lain .
Keputusan yang kita hendak ambil ialah pastinya keputusan yang terbaik atau yang afdhal dan yang Aula . Maka pertimbangannya secara prinsip umum ialah mendahulukan Dhoruriyat ke atas Haajiyat demikian juga Tahsiiniyat .
Begitu pula sewajarnya kita mendahulukan Haajiyat ke atas Tahsiiniyat dalam pertimbangan yang melibat perkara dalam 2 kategori tersebut .
Dhoruriyat terbahagi kepada 5 :
* Agama
* Jiwa
* Keturunan
* Aqal
* Harta
Sebahagian Ulama' menambah perkara yang ke enam dalam senarai Dhoruriyat ini iaitu Maruah ( penghormatan ) .
Proses membuat keputusan ialah mengambil pertimbangan dengan teliti dan meletakkan Agama sebagai perkara yang terpenting daripada senarai dhoruriyat dan ia mesti didahulukan berbanding Jiwa , keturunan , aqal dan harta .
Pertimbangan teliti dan cermat ke arah menghasilkan keputusan yang baik dan wajar terhadap pelbagai maslahah ( kepentingan ) tersebut ialah dengan menggunakan kaedah berikut :
1. Mendahulukan maslahah ( kepentingan ) yang sudah pasti ke atas maslahah ( kepentingan ) dalam jangkaan atau masih diragui kedudukannya .
2. Mendahulukan maslahah ( kepentingan ) yang besar ke atas maslahah ( kepentingan ) yang kecil .
3. Mendahulukan maslahah ( kepentingan ) awam berbanding maslahah ( kepentingan ) individu .
4 . Mendahulukan maslahah ( kepentingan ) yang banyak berbanding maslahah ( kepentingan ) yang sedikit .
5 . Mendahulukan maslahah ( kepentingan ) yang berterusan dan berkesinambungan berbanding maslahah ( kepentingan ) yang sementara .
6. Mendahulukan maslahah ( kepentingan ) inti dan prinsip yang fundamental berbanding maslahah ( kepentingan ) yang bersifat luaran ( cabang ) dan tidak penting .
7. Mendahulukan maslahah ( kepentingan ) masa depan yang kuat , kukuh dan pasti berbanding maslahah ( kepentingan ) semasa yang lemah dan tidak pasti .
Iktibar dari Hudaibiyah
Sebagai contoh kita boleh melihat peristiwa Perjanjian Hudaibiyah bagaimana Nabi saw telah mengutamakan maslahah ( kepentingan ) prinsip dan masa depan berbanding maslahah ( kepentingan ) yang bersifat cabang dan semasa .
Nabi saw. setuju memadam kalimah Bismillahirrahmanirrahim sebagaimana yang dituntut oleh Kafir Quraisy pada surat perjanjian lalu diganti dengan Bismikallahumma . Demikian juga Nabi saw. setuju memadam nama Baginda Muhammad Rasulullah lalu diganti kepada Muhammad bin Abdullah .
Tindakan yang diambil oleh Nabi saw. adalah menafikan ( maslahah ) kepentingan semasa yang bukan sahaja membuatkan Nabi saw terpaksa menangguhkan umrah pada tahun itu ( walau telah berihram ) tetapi juga terpaksa berhadapan dengan bantahan dari para sahabat yang merasakan bahawa mereka ditewaskan oleh kuffar Quraisy secara diplomatik .
Namun begitu , Nabi melihat maslahah ( kepentingan ) masa depan dengan mewujudkan perjanjian damai atau gencatan senjata dengan musuh yang membolehkan Islam bergerak dan berkembang pesat di era damai itu , lalu akhirnya membawa kepada kemenangan besar bagi ummat Islam iaitu Fathul Makkah ( pembukaan Kota Makkah )
PERTIMBANGAN [ AT - TAWAZUN ] ANTARA MUDHARAT
Mudharat ( kerosakan ) juga mempunyai beberapa tahap . Mudharat ( kerosakan ) yang memusnahkan dhoruriyat seperti agama adalah tidak sama dengan mudharat ( kerosakan ) yang membinasakan Haajiyat dan Tahsiiniyat seperti rumah dan perabot .
Demikianlah juga mudharat yang merosakkan harta dan jiwa tidak sama tahapnya dengan mudharat yang meruntuhkan agama dan aqidah ( walau dalam satu kategori iaitu dhoruriyat ) .
Justeru itu , para Fuqaha' menetapkan beberapa kaedah untuk menangani persoalan ini :
1. Tiada bahaya ( tidak boleh mencetuskan bahaya ) dan tidak boleh membahayakan ( diri sendiri atau pihak lain )
2. Suatu bahaya seboleh mungkin mestilah disingkirkan .
3. Suatu bahaya tidak boleh dihapuskan dengan bahaya yang serupa atau lebih .
4. Bahaya yang ringan jika dibanding dengan bahaya yang lain ( lebih berat ) mesti dipilih ( bahaya yang ringan ) dan boleh dilakukan .
5. Bahaya yang lebih ringan boleh dilakukan untuk menolak bahaya yang lebih besar .
6. Bahaya yang bersifat khusus boleh dilakukan untuk menolak bahaya yang sifatnya lebih umum dan luas .
PERTIMBANGAN APABILA MASLAHAH DAN MUDHARAT BERTEMU
Apabila dalam satu perkara mempunyai maslahah ( kepentingan ) dan mudharat ( kerosakan ) secara serentak . Ada bahaya dan dalam masa yang sama ada manafaat . Keadaan ini sangat - sangat memerlukan kita menimbangnya dengan teliti , tekun dan cermat sebelum membuat keputusan .
Situasi seperti ini menuntut kita mengambil keputusan berasaskan pertimbangan yang lebih berat dan lebih banyak dengan mengabaikan yang lebih ringan dan sedikit .
Contohnya arak . Kita terpaksa mengabaikan sedikit manafaat yang terkandung didalamnya berbanding mudharat yang lebih besar dan banyak padanya . Firman Allah swt :
يسئلونك عن الخمر و الميسر قل فيهما إثم كبير و منافع للناس و إثمهما أكبر من نفعهما
Mereka bertanya kepadamu Wahai Muhammad mengenai Khamar ( arak ) dan judi , katakanlah : pada keduanya ada dosa ( kemudharatan ) yang besar dan manafaat bagi manusia dan dosa ( kemudharatan ) pada keduanya lebih banyak dari manafaat keduanya .
Surah al Baqarah : 219
Sebaliknya jikalau dalam satu perkara itu terdapat manafaat yang banyak dan lebih besar maka perkara itu boleh dilakukan sementara kerosakan kecil yang ada padanya boleh diabaikan .
Antara kaedah penting dalam menangani perkara ini ialah :
1. Menolak mudharat ( kerosakan ) mestilah didahulukan ke atas pengambilan manafaat .
درء المفاسد على جلب المصالح
Kaedah ini disempurnakan oleh kaedah yang lain :
1. Kerosakan yang kecil dimaafkan untuk mendapatkan kemaslahatan yang lebih besar .
2. Kerosakan yang bersifat sementara dimaafkan demi kemaslahatan yang sifatnya berterusan / berkesinambungan .
3. Kemaslahatan yang sudah pasti tidak boleh ditinggalkan hanya kerana ada kerosakan yang baru dijangka wujudnya .
Penutup
Sesungguhnya Feqh Muwazanah ini mempunyai erti yang sangat besar dan penting , khususnya dalam masaalah siasah syari'yah kerana ia merupakan landaan pembinaan ummah yang pemeringkatannya juga boleh dilihat sebagai Feqh al Aulawiyat .
Sewaktu kita membuat keputusan dalam menetapkan gerakkerja jamaah sebagai contoh , seringkali kita berdepan dengan dilemma antara dua perkara dimana kedua - duanya dilihat baik atau paling baik seperti menentukan calon dalam pilihanraya .
Feqh Muwazanah memainkan peranan besar dalam perkara ini . Tatkala sukar membuat keputusan , terkadang kita terpaksa mendahulukan perkara baik tanpa risiko berbanding perkara yang paling baik tetapi mempunyai risiko .
Begitu juga disaat berat kita buat keputusan , feqh Muwazanah menetapkan cara kita membuat keputusan seperti kita terperangkap antara dua situasi " kalau berjuang mungkin kita mati tetapi kalau tidak berjuang agama pula mungkin mati " maka pertimbangannya ialah dibaca sekali dengan Feqh Aulawiyat bahawa kita kita mesti mendahulukan Agama berbanding Jiwa kita . lalu wajib kita kita turun berjuang walau risikonya mengorbankan nyawa .
LAMPIRAN :
BAGAIMANA MENGENAL PASTI MASLAHAT DAN MUDHARAT
Nota : 1
Asasnya , kemaslahatan yang perlu dipelihara ialah kemaslahatan akhirat demikian juga kemaslahatan dunia menurut urutannya .
Bertolak dari nokhtah itu , kita boleh mengenal pasti kemaslahatan dan kemudharatan ini melalui :
a. Ketetapan Agama ( Nas Naqli )
b. Fungsi Aqal Fikiran ( Nas Aqli )
c. atau kedua - duanya sekali .
Pendapat Imam Izzudin Abdus Salam dalam kitabnya : Qawai'd al Ahkam Masholih al Imam seperti berikut :
" Kebanyakan kemaslahatan dunia dan kerosakannya dapat diketahui dengan aqal sekaligus menjadi bahagian terbesar dari syariah kerana telah diketahui bahawa sebelum ajaran agama diturunkan , orang yang beraqal telah mengetahui bahawa usaha mereka untuk mencapai suatu kebaikan dan menghindar terjadinya suatu kerosakan pada diri manusia menurut pandangannya suatu yang terpuji dan baik ."
Nota 2 :
" Mendahulukan sesuatu kemaslahatan yang diterima kuat ( rajih ) atas kemaslahatan yang tidak diterima ( marjuh ) juga merupakan suatu yang terpuji dan baik . Sementara penolakan terhadap kerosakan yang dianggap pasti berbanding penolakan ke atas perkara yang dianggap belum pasti juga merupakan suatu yang baik . "
Nota 3 :
Konsep asal yang diambil dalam membuat pertimbangan ( tawazun ) :
Tindakan yang menghasilkan kemaslahatan yang baik merupakan perbuatan yang paling mulia sedang perbuatan yang menghasilkan kerosakan merupakan amalan atau tindakan yang paling hina .
Nota 4 :
a.] Kemaslahatan mempunyai 3 bahagian :
- Wajib
- Sunat
- Mubah ( harus )
b.] Kemudharatan mempunyai 2 bahagian :
- Haram
- Makruh
Sekian , semoga keputusan dibuat adalah yang terbaik :
Salam Perjuangan dari saya.
Nasrudin bin Hj. Hassan at Tantawi
10 Comments:
Salam,
Persoalannya adalah siapakah yg berhak menetapkan / memutuskan suatu itu memberi maslahah atau mudharat ?
Berdasarkan perbincangan ustaz...kelihatannya maslahah dan mudharat menjadi suatu yg nisbi / relatif. Pd akhirnya...akan menimbulkan "pertentangan". Persis seperti yg terjadi kepada masyarakat Barat @ penganut "falsafah" ideologi kapitalisme.
Kaedah berfikir kapitalisme antara lain adalah....tuhan tidak boleh campur tangan dlm urusan hidup manusia didunia. Oleh itu,manusialah yg memutuskan apa yg terbaik utk dirinya. Bagaimana mempertimbangkan baik dan buruk ? Maka di timbang-timbanglah antara maslahat dan mudharat.
Saya dapati, antara Persamaan kedua-dua cara berfikir di atas adalah : AQAL MANUSIA YG MENENTUKAN SAMADA MANFAAT DAN MUDHARAT.
Muhammad Muhammad Ismail didlm Fikrul Islam menjelaskan, bukan aqal manusia yg menetapkan samada sesuatu itu memberi maslahat atau mudharat, tetapi syarak.
Oleh itu perkara pertama yg perlu diketahui sebelum memutuskan samada maslahat atau mudharat adlh HUKUM SYARAK.
Jadi status hukum perlu diketahui samada wajib, sunnat, harus, makruh atau haram.
Jika hukumnya wajib, maka pastilah ianya memberi kemaslahat dan kebaikan. Contohnya tegaknya sebuah negara khilafah yg dipimpin oleh seorg khalifah bagi melaksanakan Islam, tentunya ianya memberi kebaikan, walaupun aqal manusia beranggapan sebaliknya.
Sebaliknya jika ianya haram, pastinya ia menyebabkan mudharat. Contohnya arak dan demokrasi, hukumnya adlh haram, maka pastilah ianya menyebabkan kemudharatan.
Walhasil...di mana ada hukum syarak (dilaksanakan) maka di situ pastilah ada maslahat.
Sebagai kesimpulan, hanya Allah yg mampu memahami hakikat sebenar ttg maslahat atau mudharat. Utk memahami & mengetahui samada suatu perbuatan atau benda itu baik atau buruk, prioriti atau tidak ialah dgn mengetahui hukum Allah ttgnya, berdasarkan dalil-dalil syar'ie.
RIRK
2:47 AM
Salam,
Saya tidak begitu jelas ttg maksud dharuriyah yg dibincangkan. Adakah ianya perbincangan ttg aulawiyat atau rukhsah ?
Kalau ttg aulawiyat....hanya Allah yg berhak menetapkan manakah yg patut di prioritikan. Ringkasnya, yg wajib lebih utama drpd yg sunat dsbgnya.
Jika ttg rukhsah, para ulamak menetapkan, rukhsah yg syar'ie adlh bila seseorg berhadapan dgn pilihan hidup atau mati atau kecacatan yg kekal.Namun begitu, memilih utk tidak mengambil rukhsah itu lebih afdhal.
Wallahualam.
RIRK
3:00 AM
Assalamualaikum
Pertama : Jika dibaca dgn teliti dan diperhalusi satu persatu , insyaallah semua soalan yg dikemukakan itu telah terjawab dalam artikel .
Kedua : sbg contoh dalam lampiran nota satu telah disebut bahawa method mengenal pasti maslahah dan mudharat ialah melalui :
a. Nas Naqli ( iaitu quran dan hadis )
b. Nas Aqli ( jika tiada dlm quran dan hadis - ijtihad ulama' yg muktabar )
c . atau kedua-keduanya sekali .
Ketiga : Feqh Muwazanah hanya membenarkan tawazun atau pertimbangan dgn kaedah yg telah ditetapkan oleh ulama' melalui usul feqh sebagaimana banyak telah digariskan dalam artikel .
Keempat : Tidak pula kita boleh menafikan peranan aqal yg dikurniakan Allah kelak menjadi golongan Qadariah yang segalanya taqdir Allah menentukan tanpa adanya ikhtiar dari manusia .
Aqal adalah alat utk memahami dan merealisasikan syara'.
Dalam perkara yang telah sabit seperti ayat muhkamah maka jelas tawazunnya berasaskan dalil naqli terhadap apa yang telah dihukumkan seperti zina itu haram dan nikah itu halal .
Maka tidak timbul kesukaran dalam menimbang , nak berzina ker nak bernikah , sbb jelas ketetapan dan petunjuk hukum Allah di situ.
Tetapi apabila keputusan atau timbangan itu berlaku dalam skop strategi atau gerakkerja atau tindakan amal islami yang tiada keputusan qate'i dari al quran dan hadis kecuali petunjuk umum yg menggariskan asas dan dasar umum maka aqal kurnia allah ini berfungsi untuk menilai .
Seperti memilih pemimpin . Al quran dan hadis meletak syarat umum , tapi siapa pemimpin yg menepati syarat , aqal mesti menimbang berasaskan kaedah yg telah dikemukakan .[ hanya rasul dan nabi yg dipilih sebagai pemimpin tanpa melalui pertimbangan aqal ]
Kelima : berkait isu dhoruriyat. Feqh Muwazanah berkait rapat dgn Feqh Aulawiyat malah pada kebanyak keadaan menjadi alat utk memperolehi Aulawiyat
Kaedah telah dikemukakan jika dibaca dan dihalusi .
a. Dhoruriyat mesti didahulukan ke atas Haajiyat atau tahsiiniyat .
b. Dhoruriyat itu mempunyai tahap yg berbeza mengikut kategorinya tersendiri yg telah dibahas dlm artikel umpamanya agama dan jiwa . keduanya adalah termasuk dlm dhoruriyat pada tahap yg berbeza .
contoh jihad fi sabilillah . Quran dan hadis meletak kaedah umum mengenai jihad sebagai satu kewajipan ummat islam .
Ulama' bertawazun sebagai alat ijtihad mereka dlm meletakkan pemeringkatan jihad yg ahkhirnya pula membawa kepada perbedaan tahap hukum .
Seperti adakala jihad menjadi fardhu ain dan adakalanya jihad menjadi fardhu kifayah .
sedikit contoh dlm menetapkan situasi jihad fardhu ain ( umpama dlm keadaan musuh datang menyerang negara kita . )
Maka timbul pertembungan antara dua maslahat dlm kategori yg sama (dhoruriyat) cuma pada tahap yg berbeza iaitu agama dan nyawa .
Kalau berperang risikonya mati - melayang nyawa sdg nyawa adalah dhoruriyat yg mesti dipertahankan dan dijaga .
Kalau tidak turut berperang risikonya agama mati - sdg agama adalah dhoruriyat yg mesti dipertahan dan dijaga .
Maka kaedah - kaedah tawazun sebagaimana yg telah digariskan dalam artikel digunakan dlm kes seperti ini .
contoh perbahasan ;
a. Dahulukan agama kerana ia kepentingan ummah berbanding nyawa kerana ia kepentingan kita secara individu .
Maka tiada rukhsah di situ sebab ia menjadi fardhu ain malah hukumnya haram bagi mrk yg berkemampuan lari meninggalkan tanah air yg diserang oleh musuh malah ia termasuk dlm al kabair - dosa besar lari meninggalkan medan apabila musuh telah melanggar negara kita sendiri.
b. situasi yg sama seperti dlm kes ( a ) tetapi setelah ditimbang / tawazun , didapati ramai org telah turun berperang sedang dia mempunyai amanah justeru ia adalah pemegang amanah anak - anak yatim sebagai contoh .
Kalau dia turut sama berperang dan mati , maka amanah yg banyak dipegangnya terabai dan boleh menginaya anak yatim . Dalam keadaan agama sedang dipertahankan oleh ummat isam yg lain dan ada kebarangkalian yg banyak bahawa agama akan selamat
sedangkala kalau dia pergi berperang hanya ada kebarangkalian yg sedikit dia akn pulang dlm keadaan hidup sedang dia pemegang amanah .
Maka ambil kebarangkalian yg banyak serta boleh abaikan kebarangkalian yg sedikit . dgn maksud si pemegang amanah ini dibolehkan utk tidak berperang malah wajib pulang untuk menunaikan amanah
disinilah ulama' menyebutnya sebagai rukhsah .
Rukhsah hanya dibenarkan guna secukupnya . iaitu setelah selesai tunai amanah , maka wajib ia turun berperang mempertahankan agama .
demikianlah sedikit tambahan dan ulasan . jika ada kekeliruan juga harap direct hubungi saya di talian : 019 916 8182
sebab jawab secara tulisan ini mungkin difahami berbeza dgn apa yg dimaksudkan oleh penulis . barangkali krn penulis tidak berapa pandai mengatur dan menyusun ayat .
Lagi pun saya sdg sibuk di Kuala Terengganu , masa utk menulis agak terbatas . maaf .
Lagipun artikel tu hanya ringkasan untuk dibentang dalam satu seminar ...... so penambahan dan ulasan detail nya dari pembentang semasa membentang
sekian
Nasrudin Hassan
7:27 AM
Sebaiknya....saya tok sah "kacau" ustaz dulu.
Semoga ustaz tidak termasuk org yg takut berterus terang memperkatakan kewajipan pelaksanaan syariah bagi ummat Islam,
Serta tidak termasuk org yg mengganggap aspirasi Islam sebagai titik lemah bagi survival politik PAS.
Islam, aqidah dan syariah adlh sumber kekuatan org beriman dan parti-parti politik Islam....sekaligus "pelemah" org2 kafir dan munafiq.
Semoga PAS terus GAGAH berterus terang memperjuangkan syariat....
Terima kasih.
RIRK
9:26 AM
Aqidah, syariah dan akhlaq.. Akhlaq ni selalunya syabab HT jeling pun tidak..
12:54 PM
Inilah perangai HT, bila dah terdesak guna hujah 'tak nak ganggu'..
2:24 PM
Salam,
RIRK bukanlah wakil HT dalam forum ni. RIRK mewakili dirinya sendiri berdasarkan prinsip dan keyakinan yg diyakininya. Tapi tak pasal-pasal HT pulak yg kene hentam. emmm...nasib kau lah Labu....
Sebenarnya...masalah yg saya hadapi ketika membaca dan ingin mengomen tulisan ini persis spt yg diungkapkan ustaz Din iaitu :
" sebab jawab secara tulisan ini mungkin difahami berbeza dgn apa yg dimaksudkan oleh penulis . barangkali krn penulis tidak berapa pandai mengatur dan menyusun ayat."
Kedua, kita ada adab dan akhlak. Walaupun saya tidak menghormati demokrasi, tetapi saya menghormati ustaz Din, empunya blog ini. beliau ada mengungkapkan..."Lagi pun saya sdg sibuk di Kuala Terengganu , masa utk menulis agak terbatas . maaf ."
Maka saya mengambil keputusan....utk tidak mennganggunya dalam isu ini, ketika ini. Saya percaya pd masa dan ketika yg lain, ianya akan timbul semula.
8:12 AM
SAJAK TENTANG AKHLAQ
Ada org beramal dgn akhlak...
walaupun tidak pernah mendabik dada dan berkata,
sesungguhnya aku seorg yg sangat berakhlak,
kerana jika demikian,
dia bukanlah seorg yg berakhlak,
berakhlakkah org yg menuduh org lain tidak mementingkan akhlak tanpa hujjah yg dapat dipertanggungjawabkan di yaumul hisab ?
RIRK
8:19 AM
Assalamu'alaikum ust, mf bertanya, boleh tak ust tolong trgkan lg ttg fiqh muazzanat ni dgn cara bg cth yg praktikal utk isu2 yg berlaku skrg ni.dan yg ke2, mcm mane nak implemenkan fiqh ni dlm khdpn seorg ahli gerakan.syukran
11:50 AM
Assalamu'alaikum ust, mf bertanya, boleh tak ust tolong trgkan lg ttg fiqh muazzanat ni dgn cara bg cth yg praktikal utk isu2 yg berlaku skrg ni.dan yg ke2, mcm mane nak implemenkan fiqh ni dlm khdpn seorg ahli gerakan.syukran
11:52 AM
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home