Al Amru bil Ma’ruf wan Nahyu A’nil Mungkar
Tugas Yang Wajib di Kuatkuasa
Tugas Yang Wajib di Kuatkuasa
Kenyataan Rasmi Lajnah Tarbiyyah Dan Kepimpinan
Dewan Pemuda PAS Pusat Berhubung Kenyataan Mufti Perlis
Dewan Pemuda PAS Pusat Berhubung Kenyataan Mufti Perlis
Lajnah Tarbiyyah Dewan Pemuda PAS Pusat memandang serius kenyataan Mufti Perlis berhubung isu serbuan khalwat di hotel supaya dihentikan oleh pihak berkuasa agama. Beliau menyatakan tujuannya agar dapat membersihkan imej Islam daripada perkara-perkara yang tidak sewajarnya.
Lajnah Tarbiyyah Dewan Pemuda PAS Pusat ingin menegaskan bahawa cadangan ini akan menimbulkan implikasi yang lebih negatif. Ini kerana jika cadangan beliau dipersetujui, ia akan menggalakkan lebih banyak pasangan yang bukan mahram berkhalwat di hotel dan rumah tumpangan tanpa pemantauan dan penguatkuasaan dari pihak berkuasa agama.
Pihak Lajnah Tarbiyyah Dewan Pemuda PAS Pusat yakin pihak berkuasa agama akan menangkap pasangan yang berkhalwat berdasarkan maklumat orang ramai dan hasil risikan yang mengambil masa yang agak lama.
Kami meyakini pihak berkuasa agama tidak akan mengambil langkah yang semberono kerana ia akan mencemarkan imej jabatan agama dan Islam itu sendiri. Walaupun ada tangkapan yang salah dilakukan, ia hanyalah kes terpencil dan Mufti Perlis tidak sepatutnya mengambil kesempatan untuk memburukkan penguatkuasa jabatan agama dalam menangkap pasangan yang berkhalwat.
Tidakkah Mufti Perlis sedar bahawa cadangan beliau seolah-olah mengambil langkah berundur ke belakang. Di manakah konsep saddu al-zarai' yang semestinya diambil oleh pihak berwajib jika serbuan kepada pasangan berkhalwat diabaikan.
Adakah Mufti Perlis sanggup memejamkan mata apabila menerima aduan masyarakat setempat mengenai perbuatan sumbang yang dilaporkan di rumah jiran beliau, hanya kerana memegang prinsip dosa khalwat hanya melibatkan antara mereka yang berkenaan dengan Allah. Apa tanggungjawab kita sebagai seorang jiran yang perlu merealisasikan hadith Nabi saw yang bermaksud
“Apabila seseorang kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah diubah dengan tangannya (kuasa), jika tidak mampu hendaklah diubah dengan lidahnya (nasihat) dan jika tidak mampu hendaklah membencinya di dalam hati dan itulah selemah-lemah iman”.
Adakah Mufti Perlis hanya akan membenci kemungkaran tersebut di dalam hati sedangkan beliau mempunyai kuasa untuk menegahnya.
Lajnah Tarbiyyah Dewan Pemuda PAS Pusat ingin mengingatkan Mufti Perlis bahawa bala Allah tidak hanya akan menimpa orang yang zalim di sesuatu tempat semata-mata, bahkan ia akan juga menimpa kepada golongan alim ulama yang hanya sibuk beribadat tetapi mengabaikan usaha untuk memperbaiki masyarakatnya yang rosak.
Tidakkah Mufti Perlis sedar bahawa gejala zina mutakhir ini semakin berleluasa di kalangan remaja, belia, dewasa, tua bahkan VIP yang mengaku dirinya seorang Muslim.
Justeru, tindakan proaktif sebagaimana yang dilakukan oleh JAWI perlu diberikan kredit kerana berjaya membongkarkan kemaksiatan yang berlaku di kalangan golongan VIP Melayu Islam yang menggunakan kondominium sebagai tempat mereka menikmati belaian gundik-gundik mereka kerana khuatir dihidu oleh isteri mereka.
Menjawab Kenyataan MUFTI PERLIS .
Kenyataan yang mengelirukan dan akan menimbulkan tanggapan buruk masyarakat terhadap nama baik Jabatan Agama dan pegawai-pegawai agama. Seolah-olah mereka merupakan orang-orang yang suka mengintai dan mengendap untuk mencari salah dan aib orang lain.
Walhal mereka melakukan tugas atas nama jawatan dan tanggungjawab rasmi yang diperakui oleh undang-undang. Sepatutnya, jika ada kesilapan yang berlaku, beliau sepatutnya mengemukakan teguran mengikut saluran yang betul, bukan membuat kenyataan di dada akhbar yang dibaca oleh khalayak ramai dan akan menimbulkan salah-tanggapan orang ramai.
Kenyataan di dalam akhbar tersebut jelas berniat jahat kepada pegawai-pegawai agama yang bertugas membenteras maksiat. Penggunaan bahasa mengintip, mengendap dan mencari-cari pasangan, jelas merupakan suatu penghinaan yang ditujukan kepada mereka. Amat mengecewakan jika bahasa sebegitu keluar dari mulut seorang mufti. Bahasa yang sepatutnya ialah menyiasat, membuat tinjauan, menyelidik.
Adakah apabila pegawai-pegawai agama tersebut memperolehi maklumat atau mendapat laporan tentang sesuatu kes di mana dua orang ( lelaki dan wanita ) yang meragukan di dalam sebuah bilik ( di mana orang yang melapor mengkhuatiri mereka berdua bukan pasangan suami-isteri ), lalu pegawai agama datang untuk menyiasat, ia mengetuk pintu bilik, apabila dibuka ia meminta dari mereka berdua surat atau sijil pengesahan perkahwinan, maka apakah perbuatannya itu dapat dikatakan sebagai mengintip atau mengendap.
Jika hendak dikatakan aib, apa yang aibnya bagi kedua pasangan tersebut untuk mengemukakan surat atau sijil pengesahan nikah jika mereka benar-benar pasangan suami isteri. Apabila polis meminta kad pengenalan dari kita, kemudian kita memberinya, adakah itu suatu yang mendatangka aib bagi kita ?
Jika memberi surat/sijil pengesahan nikah apabila diminta merupakan suatu yang aib, maka tidak ada gunanya undang-undang memperkenalkan sijil tersebut, begitu juga tiada guna masing-masing ada kad pengenalan kerana ia mengaibkan orang dan melanggar hak individu.
Begitu juga, apabila pihak jabatan agama mendapat laporan ada tempat-tempat awam ( taman-taman, kawasan-kawasan reakreasi ) yang menjadi sarang maksiat dari orang ramai, lalu mereka melakukan operasi tinjauan dengan pergi menyiasat tempat-tempat tersebut, maka apakah mereka dapat kita katakan mengintai dan mengintip.
Kemudian, dalam siasatan tersebut mereka menangkap pasangan yang sedang bercumbu-cumbuan ( beromen ), apakah tangkapan tersebut salah di sisi Syarak. Apa yang ingin kita tegaskan, sekalipun suami-isteri, bercumbu-cumbuan di tempat terbuka yang terdedah kepada khalayak ramai atau ada kemungkinan besar akan dilihat oleh orang lain merupakan suatu dosa di sisi Syarak.
Di dalam hadis Rasulullah menegah si suami menceritakan kisah hubungan ( seks ) antaranya dengan isterinya kepada orang lain, begitu juga ditegah si isteri menceritakan kisah hubungannya dengan suaminya. Jika menceritakan sudah dilarang, maka lebih-lebih lagilah dilarang jika hubungan itu dilakukan di hadapan orang lain.
Beberapa kenyataan beliau sebagaimana tulisan akhbar tersebut- bercanggah dengan prinsip dan pendirian Islam yang sebenar;
Pertama:
Menyalah-tafsirkan makna hak peribadi menurut Islam.
Kenyataan akhbar tersebut menyebutkan; Mufti Perlis, Dr. Asri Zainul Abidin mengatakan amalan tersebut adalah bertentangan dengan prinsip hak peribadi menurut ajaran Islam dan juga terjumlah kepada suatu tindakan pencerobohan.
Penjelasan:
Di dalam Islam, hak peribadi diiktiraf selagi ia tidak bercanggah dengan hukum Syarak. Tidak ada di dalam Islam apa yang dinamakan hak atau kebebasan untuk melakukan maksiat atau kemungkaran. Seorang muslim tidak hanya diseru menjauhi munkar dan maksiat, malah diseru agar mengelak dari tempat-tempat yang meragukan, yakni menimbulkan salah tanggap orang lain terhadap dirinya. Sabda Rasulullah s.a.w.:
Elakkanlah dari yang meragukan kepada yang tidak meragukan.
(Riwayat Imam at-Tirmizi dan an-Nasai.
Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini soheh)
Berkata Imam al-Mawardi di dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyyah ( Hukum-Hakam Pemerintahan ) dalam bab berkenaan al-Hisbah ( Tugas menjalan amar makruf nahi munkar );
Jika orang yang bertanggungjawab menjalankan tugas amar makruf nahi munkar ( yakni al-Muhtasib ) telah melihat seorang lelaki bersama seorang wanita di satu jalan yang sunyi, maka kedududukan jalan yang sunyi itu merupakan suatu yang menimbulkan keraguan (terhadap pasangan tersebut ), maka hendaklah ia menegah mereka, namun janganlah tergesa-gesa mengenakan hukuman/denda ke atas mereka berdua kerana dibimbangi wanita itu adalah mahramnya.
Jika ia dapati wanita itu adalah mahramnya, maka hendaklah ia berkata kepada lelaki tersebut; Jagalah wanita kamu itu dari tempat-tempat yang mendatangkan keraguan.
Adapun jika ia mendapati wanita itu bukan mahramnya, maka hendaklah ia berkata kepada lelaki itu; Takutlah kepada Allah dari bersunyian ( dengan wanita yang bukan mahram ) yang akan membawa kamu kepada melakukan maksiat kepada Allah. Dan cara ia bertindak mencegah perkara tersebut hendaklah bergantung kepada tanda-tanda yang dilihatnya.
(Halaman 376)
Jika berada di satu jalan yang sunyi sudah dianggap meragukan, maka bagaimana jika seorang lelaki dan wanita yang diketahui bukan muhrim dilihat oleh orang yang mengenali mereka telah menyewa bilik yang sama, tidakkah itu lebih meragukan? Adakah hal sedemikian perlu dibiarkan dengan alasan menjaga hak peribadi?
Kedua:
Terdapat kenyataan beliau di dalam akhbar tersebut; Islam tidak menggalakkan manusia untuk pergi mendedahkan perbuatan maksiat.
Penjelasan :
Sememangnya Islam tidak menggalakkan pendedahan maksiat, namun harus diingat bahawa Islam juga mewajibkan maksiat dicegah apabila ia berlaku atau diketahui akan berlaku. Pencegahan terhadap munkar menjadi tanggungjawab yang amat besar di dalam Islam.
Ini dibukti dengan banyaknya ayat di dalam al-Quran yang mewajibkan umat Islam melaksanakan tugas al-Amru Bil-Makruf Wa an-Nahyu Anil-Munkar ( Mengajak kepada makruf dan mencegah dari Munkar ). Mengikut banciannya, sebanyak sembilan kali perintah tersebut diulang oleh Allah di dalam al-Quran.
Apabila dua orang yang bukan mahram dilihat atau diketahui berada dalam satu bilik yang tertutup, adakah mereka tidak perlu diselidiki atau dicegah dengan alasan Islam tidak membenarkan pendedahan maksiat atau munkar? Apakah apabila telah berlakunya zina dan perempuan yang terlibat dilihat mengandungkan anak haram, ketika itu barulah pencegahan boleh dibuat?
Kita meyakini bahawa para pegawai agama yang menjalankan operasi pencegahan maksiat, niat dan tujuan mereka pergi ke sarang maksiat atau ke tempat-tempat yang dikhuatiri berlaku maksiat bukan untuk mendedah maksiat tetapi untuk menyelidik dan melakukan pencegahan jika didapati maksiat/munkar benar-benar berlaku.
Tugas ini menepati peranan Hisbah yang telah lama dihuraikan oleh ulamak-ulamak Islam dalam kitab-kitab karangan mereka. Malah menurut ulamak, peranan Hisbah ini merupakan salah satu cabang tugas atau tanggungjawab yang wajib dilaksanakan dalam sebuah pemerintahan Islam. Huraian lebih terperinci tentang Hisbah ini akan kita kemukakan di depan nanti.
Ketiga:
Antara kenyataan beliau dalam akhbar tersebut; Prinsip amr makruf nahi munkar hanya boleh dilaksanakan apabila sesuatu perbuatan maksiat dan jenayah dilakukan secara terbuka.
Penjelasan:
Kenyataan tersebut pada amnya benar, namun ia memerlukan penjelasan lanjut untuk mengelak kekeliruan.
Dalam Sistem Pemerintahan Islam terdapat satu jawatan khusus yang dinamakan al-Hisbah. Orang yang menjawatnya dinamakan dengan al-Muhtasib. Jawatan Hisbah tersebut berperanan secara rasmi bagi menangani tugas dalam negara untuk mengajak orang ramai kepada makruf (melaksana perintah Allah) dan mencegah munkar dan maksiat.
Menurut ulamak, antaranya Imam al-Mawardi; Al-Muhtasib (orang yang menjawat jawatan Hisbah tersebut) hendaklah benar-benar menjalankan peranannya tersebut. Tidak harus ia meninggalkan peranan tersebut kerana urusan-urusan yang lain.
Atas dirinya tugas amar makruf nahi munkar adalah fardhu ain yang tidak boleh diabaikannya. Kenyataan tersebut menggambarkan kepada kita bahawa betapa pentingnya tugas amar makruf dan nahi munkar dalam sebuah negara dan masyarakat Islam pada pandangan ulamak.
(al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 363)
Dalam hal berkaitan dengan perbahasan kita, Imam al-Mawardi menjelaskan; Harus al-Muhtasib untuk menyelidik kemungkaran-kemungkaran yang diketahui secara zahir dengan tujuan untuk mencegahnya dan juga menyemak jika ada perkara makruf (perintah Allah) yang diabaikan dengan tujuan untuk mengajak orang ramai melaksanakannya.
Sememangnya munkar yang menjadi tanggungjawab al-Muhtasib menurut ulamak ialah munkar yang dzahir. Lebih jelas, para ulamak meletakkan tiga syarat bagi munkar yang hendak dicegah oleh al-Muhtasib;
Munkar itu adalah munkar yang zahir.
Munkar itu ialah munkar yang sedang berlaku atau dikhuatiri berlaku, yakni bukan munkar yang telah berlalu (kerana munkar yang telah berlalu menjadi tanggungjawab pemerintah untuk mengenakan hukuman).
Munkar itu bukanlah yang diiktilafkan terhadap hukum munkarnya.
Namun demikian, perlu difahami bahawa syarat pertama ( iaitu Hendaklah munkar itu zahir ), bukan bermaksud hanya munkar yang berlaku terang-terangan atau di depan mata sahaja yang perlu diselidiki dan dicegah.
Secara tepatnya, syarat tersebut bermaksud; Hendaklah munkar itu terdedah kepada al-Muhtasib atau sampai ke pengetahuannya, bukan melalui intipannya.
Menurut penjelasan Dr. Abdul-Karim Zaidan; Termasuk dalam pengertian munkar yang zahir (nyata) ialah mana-mana tempat yang dirasai oleh al-Muhtasib dengan sangkaan yang ghalib bahawa terjadi munkar di situ, maka wajib atasnya untuk keluar ke tempat tersebut dan melakukan pemeriksaan serta pencegahan. Tidak harus ia mengabaikan perkara tersebut dengan duduk di rumahnya dengan alasan munkar itu belum berlaku atau belum diketahui.
(Usul ad-Dakwah, hlm. 190).
Berhubung dengan hukum melakukan intipan oleh al-Muhtasib, menurut Imam al-Mawardi dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyyah; larangan-larangan Allah ( maksiat atau munkar ) yang tidak zahir (yakni yang tidak terdedah atau tidak sampai ke pengetahuan al-Muhtasib ), tidak harus ia membuat intipan terhadapnya.
Oleh demikian, tidak harus al-Muhtasib mengintai-ngintai ke dalam rumah seseorang untuk melihat ada berlaku munkar atau tidak.
Namun dalam pada itu, beliau ( yakni Imam al-Mawardi ) menegaskan; jika al-Muhtasib merasai dengan sangkaan yang ghalib bahawa ada kumpulan atau pasangan sedang merancang secara rahsia untuk melakukan munkar berdasarkan tanda-tanda atau kesan-kesan yang dapat dilihat atau menjadi petunjuk, maka dalam hal ini, hendaklah diperhatikan jenis munkar tersebut;
Pertama:
Munkar dari jenis yang boleh membawa kepada rosaknya kehormatan jika dibiarkan seperti pembunuhan atau penzinaan.
Contohnya; al-Muhtasib telah diberi tahu oleh seorang yang siqah (dapat dipercayai) bahawa seorang lelaki sedang bersunyian dengan seorang wanita (yang bukan mahram) untuk berzina dengannya. Dalam kes ini menurut Imam al-Mawardi, harus al-Muhtasib membuat intipan dan melakukan tinjauan atau siasatan.
Kedua:
Munkar dari jenis yang tidak sampai pada tahap tersebut, maka tidaklah harus dilakukan intipan oleh al-Muhtasib.
(Rujuk; Halaman 379-380)
Itu adalah ulasan Imam al-Mawardi tentang munkar yang berlaku secara tertutup.
Adapun munkar atau maksiat yang dilakukan di tempat terbuka (di taman, di tepi jalan, tempat-tempat reakreasi dan sebagainya), apa yang dapat kita fahami dari tulisan beliau dalam kitab tersebut ialah; munkar-munkar yang berlaku secara terang-terangan tidak harus dibiarkan sama sekali.
Menjadi kewajipan al-Muhtasib (atau pegawai agama yang bertangjawab hari ini) untuk melakukan tindakan mencegahnya sama ada dengan amaran atau disusuli dengan denda/hukuman jika perlu. Malah beliau menyebutkan; Jika seorang lelaki terang-terangan meminum arak di khalayak ramai, jika ia seorang muslim, maka hendaklah dicurahkan araknya dan dikenakan hukuman ke atasnya.
Jika ia seorang kafir zimmi, hendaklah didenda atas kesalahan meminum arak secara terang-terangan (bukan atas kesalahaan meminumnya).
(al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 377).
Yang Benar .
Nasrudin bin Hj. Hassan
Pengerusi
Lajnah Tarbiyyah DPP Pusat.
14 Comments:
As'kum wrt..
tuan haji, bacalah kenyataan Mufti Perlis tu betul2, setiap kenyataan yg dikeluarkan di media bercetak. L
10:17 PM
As'kum wrt..
tuan haji, bacalah kenyataan Mufti Perlis tu betul2, setiap kenyataan yg dikeluarkan di media bercetak. L
10:17 PM
As'kum wrt..
tuan haji, bacalah kenyataan Mufti Perlis tu betul2, setiap kenyataan yg dikeluarkan di media bercetak. L
10:17 PM
As'kum wrt..
tuan haji, bacalah kenyataan Mufti Perlis tu betul2, setiap kenyataan yg dikeluarkan di media bercetak. L
10:17 PM
As'kum wrt..
tuan haji, bacalah kenyataan Mufti Perlis tu betul2, setiap kenyataan yg dikeluarkan di media bercetak. L
10:17 PM
As'kum wrt..
tuan haji, bacalah kenyataan Mufti Perlis tu betul2, setiap kenyataan yg dikeluarkan di media bercetak. L
10:18 PM
As'kum wrt..
tuan haji, bacalah kenyataan Mufti Perlis tu betul2, setiap kenyataan yg dikeluarkan di media bercetak. L
10:18 PM
As'kum wrt..
tuan haji, bacalah kenyataan Mufti Perlis tu betul2, setiap kenyataan yg dikeluarkan di media bercetak. L
10:18 PM
As'kum wrt..
tuan haji, bacalah kenyataan Mufti Perlis tu betul2, setiap kenyataan yg dikeluarkan di media bercetak. L
10:18 PM
As'kum wrt..
Tuan Haji, bacalah kenyataan Mufti Perlis tu betul2, setiap kenyataan yg dikeluarkan di media bercetak. Lps tu baru boleh komen
Kalau jenis yg baca sekerat2, baca tajuk jer atau setakat dengar kata2 org, jgnlah keluarkan statement yg merapu2. Buat jatuh imej parti saja, bercakap tak der bukti @ berdasarkan bukti yg tak tepat
Kalau kenyataan Mufti Perlis tu keluar pd thn 1995, confirm Tuan Haji & Idris Ahmad sokong kenyataan Mufti Perlis ni. Tak ler Mohamad Sabu kena tangkap atas tuduhan berkhalwat dgn isteri org & dimalukan di media arus perdana, sampai kecoh satu Malaysia. Tak la juga jenuh pimpinan PAS nak backing Mat Sabu dulu, kan???
10:22 PM
Maaf tertekan "publish" byk kali, posting yg atas2 yg tak lengkap tu harap boleh delete
10:23 PM
Assalamualaikum .
2:44 AM
Assalamualaikum .
Ya , saya telah membaca kenyataan dan telah pun juga mendengar penjelasan Dr. Asri .
Lantas begitulah respon balas dari saya . Saya merasakan tidak mengapa saya berbeza pendapat dan mengkritik Dr. Asri sebagaimana banyak pula keadaan Dr. Asri tidak sependapat dan mengkritik ulama' ulama' yang lain .
Saya tidak sukar untuk menerima tanggapan saudara bahawa hujjah saya hanya merapu . Terpulang pada tanggapan sdr.
Namun ingin saya tegaskan , bahawa perbedaan pendapat antara saya dan Dr. Asri dlm beberapa isu seperti Isu serban sebelumnya , langsung tidak mengurangkan rasa hormat saya terhadap Dr. Asri yang juga merupakan sahabat karib saya sewaktu di luar negeri dulu.
Dr. Asri mengemukakan pandangan bersama hujjah beliau , sementara saya dalam beberapa isu yang saya lihat perlu saya berbeza pendapat dengannya , maka saya berhujjah .
Saya jelas dalam menyatakan hujjah terhadap plot perbezaan saya dengan Dr. Asri .
Melalui dimensi sdr. sdr melihat hujjah saya hanyalah merapu , tetapi dari dimensi yang lain , saya mungkin dilihat betul .
Apapun , kebenaran adalah milik Allah dan saya memohon petunjuk Ilahi dalam setiap hal .
Saya pun , tidaklah selamanya berbeza pandangan dengan Dr. Asri . Terkadang , saya setuju pandanganya tetapi tidak pada cara dan pendekatannya.
Terkadang saya memang tidak bersetuju dengan pandangannya bahkan pendekatannya . dan terkadang pula saya setuju dengan pandangan dan pendekatannya .
Saya harap perbezaan pendapat antara kami tidak membawa belah , apalagi di api - api oleh pihak ketiga biarpun dia datang penyokong pandangan saya.
Saya tidak pernah gembira dengan mereka yang menyokong pandangan saya membuta tuli sebagaimana saya juga agak tidak senang dengan mereka yang menutup ruang perbezaan secara ilmiyyah.
2:59 AM
Sebagai contoh mudah , saya bersetuju dengan pandangan Dr. Asri agar kerajaan tidak membenarkan atau melarang penggunaan ayat - ayat suci Al Quran sebagai nada dering telefon bimbit dengan hujjah yang dikemukakan .
Adapun capaian sdr terhadap isu Mohd Sabu dengan artikel saya , rasanya ia agak jauh dari sikap dan prinsip saya .
Saya tidak pernah menyalahkan Jabatan Agama (JA) sewaktu menangkap Mohd Sabu lalu dituduh khalwat sehingga dibicarakan di mahkamah .
Mahkamah telah membebaskannya bukan pemimpin PAS .
Dasar Islam yang kita perjuangkan , meletakkan siapa pun yang bersalah disisi agama , maka ia tetap salah sekalipun ia adalah pemimpin PAS .
Isu itu itu menjadi kecoh dan heboh kerana media kerajaan mengambil kesempatan utk menjatuhkan Mohd Sabu lantaran ia adalah tokoh dan pemimpin PAS ( pembangkang ) seperti juga isu Anwar Ibrahim.
Yang perlu diperbetulkan ialah sistem dan dasar kerajaan yang memerintah sementara Jabtan Agama sebagai badan pelaksana semestinya dimantapkan operasi mereka agar kekerapan melakukan kesilapan itu dapat diminimakan .
Sewaktu Jbt'n Agama melakukan kesilapan , ia wajar ditegur dan saya percaya Dr. Asri tahu saluran yang wajar untuk berbuat demikian . Pastinya bukan NST dan lainnya
Sebagaimana Islam melarang kita mendedahkan aib org lain , demikian juga kita mesti memahami bahawa aib kesilapan operasi JA tidak didedahkan kepada umum melewati media massa.
3:13 AM
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home