KENYATAAN MEDIA (18 MAC 2005)
PRODUK HARAM-
PENIAGA JANGAN DEGIL, PENGGUNA JANGAN GELABAH
Serbuan demi serbuan yang dijalankan oleh pihak JAKIM kebelakangan ini telah mendedahkan banyak penyelewengan yang dilakukan oleh para pekilang dan peniaga di Negara ini. Pihak Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mengucapkan syabas dan terima kasih atas usaha gigih yang ditunjukkan oleh pihak JAKIM dan Persatuan Pengguna Islam (PPIM) dalam usaha membanteras penyalahgunaan tanda logo HALAL.
Pihak DPPWP berasa terkilan kerana masih ada lagi pengkilang dan peniaga yang berani melanggar peraturan undang – undang dan tidak memahami sensitiviti umat Islam terhadap masalah produk HARAM. Isu sosej yang bersalutkan usus babi dan rumah penyembelihan yang HARAM baru – baru ini telah menimbulkan rasa kurang senang dikalangan pengguna Muslim.
Pihak DPPWP ingin mengingatkan para pekilang dan peniaga bahawa perbuatan mereka ini bukan sahaja akan menjejaskan perniagaan mereka tetapi akan menyebabkan gangguan besar dalam sistem ekonomi Negara sekiranya pengguna mengambil sikap memboikot produk tertentu dalam pasaran selepas ini. Kita berharap agar adanya kesedaran dikalangan peniaga khususnya peniaga restoran dan Hotel yang menyediakan rangkaian makanan muslim untuk mempastikan produk yang dibawa masuk ke dalam dapur mereka adalah dari kumpulan produk yang Halal sahaja.
Pihak DPPWP berasa hairan bagaimana Hotel-hotel besar di Negara ini tidak begitu sensitif dan proaktif dalam menangani isu HALAL HARAM ini. Jika ditinjau ke kafe dan Restoran di beberapa Hotel besar sekitar ibu kota Kuala Lumpur ini, tidak banyak yang mempamerkan tanda HALAL. Kita juga dimaklumkan bahawa hanya Hotel THE ROYAL BINTANG KUALA LUMPUR sahaja yang disahkan HALAL oleh pihak Jabatan Agama Islam Persekutuan. Beberapa lagi hotel Seperti KUALA LUMPUR INTERNATIONAL SDN. BHD., LEGEND HOTELTKT, GRAND CENTRAL (KL) SDN BHD pula sedang dalam proses memperbaharui Sijil HALAL.(Sila rujuk http://www.halaljakim.gov.my)
Jika inilah suasana yang berlaku maka kehadiran pengunjung muslim ke Hotel-hotel di Malaysia pastinya akan berkurangan pada masa depan. Perkara ini amatlah mendukacitakan bila mana Malaysia kini sedang menumpukan kepada program promosi pelancongan untuk rakyat tempatan dan juga dari luar Negara khususnya pelancong dari Timur Tengah (Negara Muslim). Ia juga bertentangan dengan Visi Malaysia yang ingin menjadi Malaysia sebagai Negara pengeksport produk HALAL terkemuka (HALAL HUB) pada masa akan datang.
Justeru itu, kesedaran kepada para Pekilang dan Peniaga haruslah dipupuk melalui program pendidikan dan penerangan kepada semua pekilang dan peniaga dalam Negara. Kementerian yang berkaitan, seperti Kementerian Penerangan, Kem. Pertanian dan Industri Asas Tani, Kem. Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan yang lain perlulah proaktif bagi menangani isu ini secara bersama. Kita tidak boleh membiarkan JAKIM membuat kerja pemantauan dan penyiasatan ini secara bersendirian bersama Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri Sahaja..
Jika diteliti kepada pengakuan Pengarah JAKIM, Datuk Mustafa Abdul Rahman dalam Berita Harian semalam (17/3/2005), jelas menunjukan bahawa tiadanya inisiatif serius oleh Kerajaan untuk menangani isu ini. Amat mustahil jika 6 orang pegawai penguatkuasa JAKIM diminta untuk membuat pemeriksaan diseluruh Negara dengan hanya dibantu oleh beberapa orang pegawai Jabatan Agama Negeri.
Selain terpaksa bekerja hingga lewat malam, kakitangan penguatkuasa ini juga berhadapan dengan gangguan dan ancaman dari pihak samseng yang dupah oleh syarikat berkenaan. Pihak DPPWP berasa prihatin untuk menyarankan kepada kerajaan untuk memberikan elaun tambahan kepada mereka bagi memastikan kebajikan mereka dijaga dan juga mengelakkan mereka dari menerima rasuah pada masa akan datang.
Disamping itu, permohonan pihak JAKIM untuk menambahkan seramai 120 orang pegawai penguatkuasa diseluruh Negara perlulah diluluskan segera. Mereka juga perlu diberikan perlindungan dengan memberikan latihan seni mempertahankan diri serta diiringi oleh pihak Polis dalam setiap serbuan yang dilakukan.
Sekali lagi, DPPWP memberikan amaran kepada kepada para pekilang dan peniaga di Negara ini agar sentiasa peka terhadap keperluan dan sensitiviti pengguna khususnya penguna muslim di Negara ini jika tidak mahu perniagaan mereka ditutup. Pihak DPPWP dan PAS sedia bekerjasama dengan pihak JAKIM dan badan-badan kerajaan lain untuk memastikan usaha membasmi penyalahgunaan tanda halal dan penipuan para peniaga dihapuskan.
Kita berharap agar pengguna di Malaysia juga peka terhadap produk baru yang berada dipasaran dan tidak panik dalam berhadapan dengan pendedahan yang sebegini. Pengguna yang bijak tidak perlu terlalu risau sehingga memboikot semua barangan yang ada dipasaran. Bertanya kepada peniaga tentang produk adalah tidakkan bijak dari terus memboikot atau risau tanpa usul periksa.
“Hadharah Islamiyyah bukan Islam Hadhari”
Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home