Di dalam Islam, persoalan kepimpinan amat penting kerana ia menentukan pelaksanaan Islam sebagai satu sistem. Imam al-Mawardi di dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyyah menyebutkan “adalah wajib melantik ketua negara untuk menggantikan Rasulullah bagi melindungi agama serta mentadbir dunia dengan agama”. Tujuan pemerintahan Islam menurut Mohamad S.El-Wa ( On the political system of Islamic state,1984) adalah untuk terciptanya identiti Islam dalam masyarakat. Agar seluruh aspek penghidupan berpijak kepada prinsip-prinsip nilai-nilai Islam.Jelas disini, tugas ketua negara bukan sekadar meningkatkan sosio-ekonomi umat, tetapi yang lebih penting lagi memertabatkan agama sebagai satu sistem yang mengatur seluruh perjalanan hidup muslim.
[2][2] Oleh kerana kesinambungan Islam amat bergantung kepada pemimpin, maka Islam menetapkan pemilihan pemimpin tersebut harus memenuhi syarat seperti keadilan, ilmu yang membolehkan ia berijtihad dalam hal-hal yang berlaku serta mengeluarkan hukum, sempurna pancaindera, tidak cacat, mempunyai idea yang boleh memimpin rakyat ,menjaga kepentingan negara dan berketurunan mulia (al-Mawardi, al-Ahkam al-Sultaniyyah). Golongan yang wajar memikul tanggungjawab tersebut adalah golongan yang soleh seperti fatwa Ibn.Taymiah dalam kitabnya Ro’ul ma lam ‘an a’immatil a’lam, katanya: “kaum muslimin setelah memberikan wala’ (kesetiaan/ketaatan)kepada Allah dan Rasulnya, wajib memberikan wala’ kepada orang-orang mukmin sebagai ditegaskan oleh al-Qur’an, terutama ulamak yang menjadi pewaris para nabi dan dijadikan Allah sebagai bintang-bintang penunjuk jalan dikegelapan malam” (lihat,Dr.Yusof al-Qardowi, Fiqhul Iktilaf, 1995). Pandangan ini memperjelaskan adalah tidak salah bahkan tepat sekiranya ulamak melibatkan diri dalam kegiatan politik dalam rangka menjalankan amanah Allah. Namun, sekirannya pemimpin yang dilantik itu tidak mencapai taraf sebagai seorang ulamak adalah wajar menjadikan ulamak sebagai penasihat mereka di dalam menjalankan urusan negara seperti mana yang telah dijalankan oleh pemimpin umat Islam waktu silam. 3). Masjid ,Fungsi dan Perpecahan Salah satu isu yang hangat diperkatakan pada hari ini adalah berlegar tentang persoalan peranan masjid di dalam masyarakat. Terdapat berbagai persepsi umat Islam di negara ini tentang fungsi masjid, antaranya pandangan masjid hanya sekadar tempat beribadah, manakala persoalan politik tidak boleh dibincangkan di dalam masjid. Apakah persepsi tersebut mempunyai asasnya di dalam Islam? . Prof.Ahmad Shalaby telah menggariskan peranan institusi masjid semenjak zaman Rasullulah adalah seperti berikut: ia adalah tempat melakukan ibadat, tempat bermesyuarat, mahkamah menjatuhkan hukuman, institusi pengajian, balai pertemuan, tempat kegiatan kesusteraan, tempat perbincangan mengenai perihal ekonomi dan perdagangan dan tempat memutuskan urusan negara. Sidi Gazalba pula menyimpulkan institusi masjid di dalam Islam adalah pangkal tolak dan penghujung dari setiap segi kehidupan mereka.Dari keterangan di atas adalah tidak salah idealisme politik dibincangkan di dalam masjid tetapi ia mestilah berasaskan kepada nilai ketakwaan dan masjid tidak boleh sama sekali mengadakan kegiatan atau aktiviti kemasyarakatan (termasuk politik) yang boleh membawa pepecahan umat Islam (Zakaria Stapa, Fungsi dan kegunaan Masjid simbol perpaduan ummah). Segala permasalahan umat Islam semasa seperti perbalahan dan perselisihan pendapat harus diselesaikan di dalam masjid melalui semangat syura. Masjid seharusnya menjadi badan bebas yang memantau semua kegiatan umat Islam yang berada dipersekitarannya dan mejadi mekanisme memupuk perpaduan umat Islam. Zakaria Stapa menyimpulkan piawian kegiatan masjid mesti didasarkan kepada tiga asas,iaitu: ketakwaan, perpaduan dan kesucian. Semua aktiviti dibenarkan di masjid sekiranya tiga piawian tersebut tidak dilanggar. Sekirannya masjid hendak dikawal, maka ia hendaklah diasaskan kepada pandangan al-Qur’an dan Hadis dan bukannya berasaskan pandangan manusia semata-mata. Menurut Al-Qadi Abu Bakar al-Arabi dalam kitab tafsirnya Ahkam al-Qur’a (Lihat Akbar Eklusif, 21-27 Feb, 2000), mengatakan; umat Islam dianggap merobohkan masjid sekirannya mereka menghilangkan fungsinya dan menghalang muslimin untuk melahirkan syiar dan kesatuan pendirian. Pemilihan Imam di dalam masjid mengikut al-Mawardi boleh dilakukan oleh pemerintah atau persetujuan ramai warga masyarakat yang berasaskan kepada syarat-syarat tertentu seperti hendaklah seorang yang Qari dan Faqih. Sekiranya terdapat dua orang calon imam, iaitu seorang yang qari tetapi tidak faqih, manakala seorang lagi adalah faqih tetapi tidak qari, maka al-Mawardi memutuskan yang faqih lebih layak dilantik menjadi imam. 4) Wanita , Poligami Dan Gangguan Sexual Isu poligami dikalangan wanita bukanlah isu baru, malah ia sentiasa menjadi perbincangan pelbagai pihak, khususnya golongan wanita. Isu tersebut telah mendapat perhatian di kalangan pertubuhan wanita seperti Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia, Sisters In Islam, Persatuan Peguam-Peguam Wanita Muslim dan lain-lain yang telah menyuarakan dengan lantang kebimbangan mereka terhadap suami yang ingin berpoligami.Isu tersebut menjadi hangat terutama apabila kerajaan Selangor memansuhkan peraturan tandatangan isteri yang sedia ada di dalam borang permohonan jika sesorang suami itu berhasrat untuk berpoligami. Kemudian isu ini dikaitakan dengan bermacam-macam insiden seperti pengabaian tanggungjawab suami terhadap isteri pertama, keadilan, nafkah dan lain-lain (Al-Manar,Jun 1997). Meskipun poligami merupakan isu kontraversi sepanjang zaman, namun hukum Islam adalah jelas memberikan keizinan kepada kaum lelaki berkahwin sehingga 4 orang isteri (lihat An.Nisa’:3). Poligami diizinkan berasaskan tindakan Rasulullah sendiri sama ada berbentuk sunnah amaliah atau taqririah.Bagaimanapun, keizinan itu tertakluk kepada dua syarat lain, iaitu kemampuan material, fizikal dan keadilan antara isteri dari sudut material bukannya melibatkan rohani/emosi. Rasulullah sentiasa berlaku adil di kalangan isterinya dari aspek material tetapi dari aspek emosi beliau lebih mengasihi Aisyah dan Siti Khadijah. Ketika dikritik oleh Ummu Salamah (salah seorang isteri Rasulullah), Rasulullah bersabda: “Jangan kamu menyakitiku tentang Aisyah, sesungguhnya wahyu tidak datang kepadaku, dalam keadaan aku berada di dalam selimut seorang wanita melainkan dengan Aisyah”. Hanya Allah sahaja mempunyai kecintaan yang mutlak untuk seluruh makhluknya sepertimana doa Rasulullah: “Ya Allah, inilah pembahagian terhadap apa yang aku miliki.Janganlah engkau mengambil kira terhadapku sesuatu yang Engkau miliki dan aku tidak miliki” (Dr.Sa’adduddin al-Sayyid Salih, Strategi musuh menentang Islam (trj.), 1996). Meskipun amalan poligami di kalangan kaum lelaki di negara ini ada bukti yang jelas kelemahannya, namun kita tidak boleh menentang hukum tersebut kerana ia diputuskan oleh Allah sendiri. Poligami yang positif adalah penyelesaian terhadap masalah andartu, ibu tunggal, dan pertambahan bilangan penduduk wanita di negara ini. Zamakhsyari pengarang kitab Tafsir al-Kasyaf menyatakan diantara sebab-sebab Islam mengharuskan berkahwin lebih dari satu adalah unntuk menjaga masyarakat dari jatuh ke lembah perzinaan (Dipetik oleh Dr.Mohammad al-Bahi, Sikap wanita Islam kini (trj.), 1981). Ramai wanita yang sukar mendapat jodoh di kalangan lelaki tempatan telah bertindak mengawini lelaki pendatang sehingga menimbulkan pelbagai masalah kepada diri dan keluarga mereka. Mutakhir ini gangguan sexual yang dilakukan oleh kaum lelaki terhadap golongan wanita di tempat kerja mendapat perhatian kerajaan sehingga diperkenalkan akta khas gangguan sexsual. Akta tersebut diperkenalkan kerana banyak laporan dikemukkan menunjukkan terdapatnya gangguan sexsual ke atas golongan wanita di tempat kerja atau dimana sahaja mereka berada. Kita memang menyokong undang-undang ini, tetapi adalah tidak adil menyalahkan kaum lelaki seratus peratus sebagai sebab utama berlakunya fenomen tersebut. Kaum wanita juga harus dipersalahkan dan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya perlakuan mereka seperti bentuk pakaian yang sexy, suara yang mengoda, perbuatan yang merangsang dan lain-lain lagi yang boleh mendorong kaum lelaki melakukan gangguan seksual. Dengan sebab itu, Islam telah memberikan syarat-syarat tertentu kepada kaum wanita yang ingin berkerja, seperti:- tidak menjejaskan kehormatannya sebagai seorang wanita, isteri yang setia dan ibu yang dimuliakan, apabila berada dengan lelaki di tempat kerja.
- Tidak menjejaskan kehidupannya dalam rumahtangga sebagai seorang isteri yang mempunyai sifat lemah lembut dan kasih sayang serta tanggungjawab terhadap suami dan anak.
- Tidak menjejaskan kedudukannya sebagai ibu yang sepatutnya memberi asas-asas pelajaran yang baik terhadap anak-anaknya yang masih kecil
- Tidak mempunyai sikap bahawa bekerja di pejabat-pejabat dan kerja-kerja lain yang ringan sebagai jalan untuk melarikan diri daripada tugas-tugas sebagai suri rumah yang dianggap membosankan.(Lihat,Jurnal Minda Usuluddin, N0.6, Jun 1997).
5) Finatik dan Ekstrimisme Kedua-dua istilah tersebut seringkali dirujuk kepada gerakan yang bercorak keislaman terutama untuk memperlihatkan tindakan mereka yang tidak bertolak ansur dengan kelompok lain terutama melibatkan persoalan dasar keislaman. Apakah finatisme dan ekstrimisme dalam bentuk ini sesuatu yang dicela oleh Islam?. Al-Qardowi telah memberikan ruang lingkup ekstrimisme adalah dalam bentuk:
- finatik terhadap sesuatu pendapat dan menolak pendapat yang lain
- memaksa orang lain mengikut apa yang tidak diiltizamkan oleh Allah
- mempraktik hukum bukan pada tempatnya
- sikap kasar dan keras
- terjerumus dalam mengkafirkan orang Islam lain.
Manakala Abd Rahman al-Maidani telah memberikan definisi ekstrimisme sebagai “melampaui batas-batas hukum Allah dengan meluaskan wazan agama yang telah ditetapkan dengan batas-batas hukum tersebut”. Golongan sekularis pula mendifinasikan ekstrimisme sebagai “mempraktikkan ajaran agama dan seruan ke arah perlaksanaan syariat Islam dalam semua bidang”(untuk keterangan lanjut lihat, Majalah Pengasuh, Nov.-Dis.,1999). Kesimpulannya, sekirannya seseorang itu melaksanakan cara hidup Islam bukanlah termasuk di dalam kelompok ekstrimisme agama mengikut pandangan ulamak Islam tetapi ia dikelompokkan sebagai ekstrimisme agama kalau mengikut pandangan golongan sekularis. Apa yang ditentang oleh Islam menurut Yusof al-Qardowi ialah sikap finatik kepada diri, kelompok atau parti. Finatik kepada diri ialah dengan menolak pendapat orang lain, finatik kepada mazhab sampai memaksumkan mazhab atau imam mereka dan finatik kepada kelompok atau parti dengan tidak memperdulikan kebatilan kelompok atau kebenaran kelompok lain. Islam menurut al-Qardowi mengharuskan bersifat adil kepada orang yang dicintai atau kepada orang yang tidak dicintai.
Janganlah kemarahan membuatkan ia keluar dariapada kebenaran atau kecintaan menjerumuskan kepada kebatilan. Akhlak untuk keluar dari finatikisme ini adalah dengan melihat kepada perkataan bukannya melihat kepada siapa yang memperkatakan serta berani mengkritik (Lihat Yusof al-Qardowi, Fiqhul Iktilaf, 1995). Kesimpulan Dari huraian di atas, jelaslah persepsi masyarakat Islam terhadap isu-isu yang melibatkan persoalan keagamaan tidak dilihat dari perspektif ilmu dan Islam secara menyeluruh. Persepsi songsang umat Islam di negara ini berpunca dari kecetakan ilmu keagamaan, pengaruh pemikiran Barat, finatikisme, phobia Islam dan faktor-faktor lain. Apabila timbul sesuatu permasalahan umat Islam, sewajarnya dirujuk kepada ahlinya, bermuzakarah secara baik bukannya menggunakan media massa untuk menghantam golongan yang lain sehingga melebarkan lagi perpecahan masyarakat Islam di negara ini. Allahua’lam. Nota Kaki :
[1][1] Beliau kini adalah Koordinator Pusat Pendidikan Islam, UiTM Kampus Segamat. Berkelulusan B.A (Hons), UKM, M.A (Islamic Studies) UKM , Pengkhususan dalam bidang pemikiran Islam. Setakat hari ini, beliau telah menghasilkan lebih dari 20 artikel yang disiarkan di dalam Jurnal,majalah Dewan Budaya, Tamadun dan lain-lain lagi, kebanyakkannya dalam bidang pemikiran Islam.[2][2] Menurut Abu Yusuf (ketua mahkamah Agong Bani Abbasiah) tugas ketua negara ialah menegakkan hak Allah dan menguatkuasakan batasan yang ditentukan oleh Allah, menentukan dengan betul pemegang hak yang lain dan memastikan mereka dapat menikmati hak-hak tersebut, menjalankan perintah Allah dan menjauhkan maksiat (Lihat, M.M. Shariff, sejarah Islam dari segi falsafah (trj.), jilid.1, 1994).
1 Comments:
Satu sorotan ilmiah yang bagus.
Terima kasih.
3:29 AM
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home