Khutbah Aidil Adha 1426
Allahuakbar .. Allahuakbar .. Allahuakbar
Muslimin dan muslimat yang dihormati sekalian,
Di dalam kita menyambut satu hari dari hari-hari kebesaran dalam Islam iaitu Idil Adha atau disebut juga hari raya korban, marilah kita mengambil kesempatan ini untuk bermuhasabah dan menilai diri kita sejauh mana pegangan kita kepada ajaran Islam. Adakah kita benar-benar menghayati setiap ibadah yang ditentukan kepada kita atau ianya sekadar satu amalan yang diterima turun temurun dari ibu bapa dan nenek moyang kita.
Ibadah yang dilakukan secara adat dan budaya tanpa memahami hakikat dan falsafah pengsyariatannya sebagaimana yang diperintahkan kepada kita oleh Allah. Persoalan Ini perlu dipertegaskan, termasuklah dua ibadah yang sedang dilakukan saat ini oleh umat Islam di seluruh dunia iaitu ibadah haji dan korban.
Muslimin dan muslimat yang dikasihi sekalian,
Menyahut seruan nabi Ibrahim a.s. bukan sahaja dalam mengerjakan haji dan menyembelih korban, bahkan apa yang lebih penting mengikut contoh tauladan baginda menjadi orang Islam yang benar-benar menyerah diri kepada segala ketetapan Allah.Firman Allah S.W.T. :
Maksudnya :
“Tidak ada orang yang membenci agama nabi Ibrahim selain dari orang yang membodohkan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi nabi) di dunia ini; dan sesungguhnya ia pada hari akhirat kelak tetaplah dari orang-orang yang soleh (yang tinggi martabatnya).(Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya : “Berserah dirilah (kepadaku wahai Ibrahim)!”.Nabi Ibrahim menjawab : “Aku berserah diri (tunduk taat) kepada Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam”. Dan nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) nabi Ya’qub (berwasiat kepada anak-anaknya) dengan berkata :”Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka jangan sekali-kali kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam”.
( Al Baqarah 130 - 132 )
Nabi Ibrahim a.s. menunjukkan contoh Islam yang sebenar , iaitu menyerah diri kepada Allah secara ‘Tauhidul Ibadah’ (memperhambakan diri hanya kepada Allah Yang Maha Esa) serta menolak syirik (menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain) dalam segala rupa dan bentuk. Samada menyembah patung berhala atau mematuhi kerajaan zalim yang cuba merampas milik Allah. Baginda juga bersedia untuk berkorban dengan ikhlas, walaupun dihalau oleh kerajaan yang zalim dan ayahnya yang sesat.Tiada kesalahan yang dilakukan melainkan hanya kerana beriman kepada Allah dan menolak syirik.
Nabi Ibrahim a.s. dipaksa untuk meninggalkan tanah air yang dikasihi dan kaum keluarganya yang disayangi.Ini merupakan ujian pertama yang mesti ditempuhi oleh nabi Ibrahim a.s., samada memilih Islam dan iman kepada Allah atau memilih tanah air yang kaya dan maju di sudut kebendaan tetapi dimurkai Allah, atau memilih ayah yang dikasihi tetapi terpesong dari ajaran Allah.Ujian seumpama ini adalah ketentuan dari Allah kepada setiap orang yang beriman sehingga hari kiamat, kerana Allah S.W.T. berfirman di dalam Al Quran :
Maksudnya :
“Adakah manusia itu menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata : “Kami telah beriman”, padahal mereka belum diuji. Dan demi sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian demikian) nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang benar-benar beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta”.
( Al Ankabuut 2-3 )
Allahuakbar .. Allahuakbar .. Allahuakbar Muslimin dan muslimat yang dikasihi sekalian, Setelah berjaya dalam ujian pertama sehingga tidak lagi tunduk kepada manusia yang menentang Allah, tiba-tiba nabi Ibrahim a.s. sekali lagi diuji menunaikan perintah Allah supaya menyembelih anak kesayangannya. Sebagaimana yang dirakamkan oleh Allah di dalam Al Quran : Maksudnya : “Maka tatkala anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-bersama dengannya, nabi Ibrahim berkata :”Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”.Anaknya menjawab :”Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insyaAllah ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”.Setelah keduanya berserah (menjunjung perintah Allah itu) dan nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami).Serta Kami menyerunya :”Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”.Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata”. ( As Shaaffaat 102 - 107 )
Kisah ini sepatutnya dihayati sepenuhnya oleh orang yang membaca Al quran dan mengaku beriman kepada Allah.Mengambil contoh nabi Ibrahim a.s. sebagai seorang yang beriman kepada Allah dengan sepenuh hati dan melaksanakan semua ketetapan Allah yang ada di dalam agama dengan ikhlas dan mengharapkan keredaan Allah. Allahuakbar .. Allahuakbar .. Allahuakbar Muslimin dan muslimat yang dihormati sekalian, Dewasa ini kita melihat kebanyakan umat Islam tidak mengerti konsep ubudiah yang sebenar kepada Allah.Ianya samada berpunca dari kealpaan mereka sendiri, tiada kemahuan untuk mendalami ajaran agama atau berpunca dari serangan pemikiran yang dilancarkan oleh musuh-musuh Islam. Akibatnya, mereka membahagi - bahagikan ajaran agama. Sebahagian dari ajaran Islam mereka kerjakan dan sebahagian yang lain mereka tolak dan menganggap ianya bukan dari Islam. Sembahyang, puasa, zakat dan haji dianggap ibadah yang mesti ditunaikan. Manakala urusan ekonomi , social , politik , memilih pemimpin dan melaksanakan undang-undang Islam pada pandangan mereka tiada kena mengena dengan dosa pahala dan hari akhirat. Pegangan seperti ini jelas bertentangan dengan nas Al Quranul Karim yang memerintahkan supaya orang-orang beriman menerima ajaran Islam keseluruhannya. Bahkan Allah menyatakan orang-orang yang menerima satu juzuk dari Islam dan menolak juzuk yang lain sebagai pengikut-pengikut syaitan. Firman Allah Taala : Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam seluruhnya (dengan mematuhi segala hukum-hakamnya) dan jangan kamu menurut jejak langkah syaitan.Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata”. ( Al Baqarah 208 ) Bukan itu sahaja, bahkan umat manusia hari ini tanpa segan silu melakukan apa sahaja mengikut selera hawa nafsu mereka, walaupun ianya bertentangan dengan agama dan moral. Apa yang menjadi neraca dan pedoman mereka ialah kebendaan dan kesenangan dunia semata-mata . Bukannya keredaan dan keampunan Allah.Tidak hairanlah hari ini berlaku berbagai-bagai bentuk bencana dan malapetaka di dunia silih berganti. Bermacam-macam bencana alam yang dilaporkan oleh media berlaku di seluruhdi dunia.Gempa bumi demi gempa bumi, ribut taufan bermacam-macam nama diberikan melanda dunia dan yang terkini banjir besar berlaku di utara tanahair yang mengakibatkan kerugian harta benda jutaan ringgit serta banjir lumpur yang melanda kepulauan Jawa di Indonesia yang mengorbankan ratusan nyawa. Adakah peringatan-peringatan awal dari Allah ini belum cukup menginsafkan kita agar kembali kepada Allah. Apa yang menyedihkan ketika menyambut perayaan tahun baru masihi baru-baru ini, negara kita sekali lagi berpesta dengan konsert-konsert hiburan yang melalaikan, setelah tahun lalu kerajaan mengarahkan agar dibatalkan semua konsert-konsert hiburan sempena menyambut tahun baru.Maka, maksiat yang ditinggalkan hanya kerana rasa simpati terhadap mangsa tsunami, bukan kerana takut dan menjunjung perintah Allah. Allahuakbar .. Allahuakbar ..Allahuakbar Muslimin dan muslimat yang dikasihi sekalian, Dalam memperjuangkan Islam sudah semestinya kita akan berhadapan dengan tentangan dan cabaran sebagaimana nabi Ibrahim a.s. sendiri terpaksa melontar batu terhadap syaitan yang cuba menghalang perjalananannya untuk melaksanakan perintah Allah menyembelih anaknya nabi Ismail. Antara rintangan terhadap dakwah Islam ialah daripada Kristian, melalui jalan dakyah mereka terutama dalam menjayakan matlamatnya untuk mengkristiankan sekurang-kurangnya satu pertiga penduduk Asia Tenggara termasuk Malaysia, setelah sambutan kepada agama Kristian di barat semakin merosot. Cuma tentangan Kristian lebih bersifat lembut dan lunak berbanding cara kekerasan oleh yahudi yang sentiasa berakhir dengan pembunuhan terhadap umat Islam seperti yang berlaku di Palestin dan Selatan Lubnan sehingga hari ini. Yahudi tidak dapat dirahsiakan lagi menjadi dalang utama dalam setiap kali tercetusnya peperangan antara Islam dan kuffar. Begitu juga dengan penganiayaan terhadap umat Islam melalui sekatan ekonomi, beberapa siri pengeboman dan sebagainya. Bahkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan lain-lain pertubuhan dunia adalah bahan percaturan Yahudi yang akan mengeluarkan apa sahaja kenyataan dan resolusi mengikut apa yang telah diatur oleh mereka. Yahudi juga menguasai ekonomi dunia sehingga mereka mampu menguasai negara-negara umat Islam melalui hutang yang dibuat oleh kerajaan negara umat Islam disamping sistem riba yang diamalkan oleh negara terbabit. Yahudi mampu menjatuhkan ekonomi sesebuah negara kerana hampir seluruh negara di dunia ini termasuk Malaysia terikat dengan sistem ekonomi kapitalis yang ditaja oleh yahudi. Yahudi juga menyerang melalui tv, radio, akhbar, internet dan seluruh media yang mereka kuasai untuk menghancurkan umat Islam. Mereka membesarkan berita tentang kekuatan senjata mereka dan memburukkan Islam agar semua orang benci kepada Islam. Yahudi turut menaja filem dan hiburan yang melalaikan sehingga berjaya menghancurkan ramai remaja umat Islam. Yang menghairankan, sesetengah pemimpin yang mendakwa mereka adalah pemimpin Islam lebih gemar dan berminat menggunakan segala pendekatan yang digunapakai oleh Yahudi daripada mengambil terus dari Al Quran. Sebagai satu contoh, membogelkan tahanan walau apa sahaja alasan yang diberikan adalah bertentangan dengan ajaran Islam kerana ianya boleh menjatuhkan maruah seseorang, walaupun seorang pesalah. Lihat bagaimana Rasulullah S.A.W. tatkala ingin menjatuhkan hukuman rejam ke atas seorang penzina perempuan yang telah thabit kesalahan, baginda memerintahkan agar diikat pakaian wanita tersebut dengan kuat agar tidak terdedah auratnya ketika dilaksanakan hukuman rejam. Bahkan Islam memandang berat terhadap maruah manusia agar dijaga dengan sempurna. Sebenarnya, membogelkan tahanan adalah di antara pendekatan yang dilaksanakan oleh Yahudi untuk mendera dan menghina seseorang tahanan. Tidak hairanlah, pelbagai gejala jenayah bertambah dan membiak dari hari ke hari sehingga ke tahap yang sangat membimbangkan.Walaupun pelbagai usaha dibuat, pelbagai saranan dilontarkan.Kesemuanya menemui jalan buntu.Inilah akibatnya apabila tidak menjadikan Islam sebagai jalan penyelesaian. Walaupun wujud penguatkuasaan undang-undang tetapi tiada keberkatan dan tidak mampu menyelesaikan masalah manusia. Allahuakbar ..Allahuakbar .. Allahuakbar Muslimin dan muslimat yang dirahmati oleh Allah, Sudah tiba masanya untuk kita kembali kepada penyelesaian Islam.Satu-satunya agama yang mampu memberi kebahagian hidup kepada manusia di dunia mahupun di akhirat. Maka di dunia inilah peluang untuk kita bertaubat kepada Allah dan kembali kepada Islam, kerana penyesalan di akhirat tidak ada apa-apa lagi faedah dan manfaat kepada manusia.Renunglah akan apa yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam Al Quranul Karim : Maksudnya : “ Dan (ingatlah) perihal hari orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (kerana marahkan diri sendiri) sambil berkata : ‘Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul’, ‘Aduhai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si pulan itu menjadi rakan karibku, kerana sesungguhnya dia telah menyesatkan aku dari jalan peringatan (Al Quran) setelah ia disampaikan kepadaku’.Dan adalah syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia rakan karibnya”. ( Al Furqan 29 - 27 )
Nota : Saya minta maaf , krn program saya mengalami masaalah untuk muat turun nas dlm bahasa Arab. Insyaallah jika sempat dipulihkan , saya akan masukkan Nas Arabic selewat - lewatnya pada hari isnin nanti . Untuk itu , sahabat diharapkan dapat taip/tulis sendiri nas arab/ Al Quran sementara saya telah kemukakan Nama dan nombor surah .
1 Comments:
Sungguh menghairankan, begitu ramai org datang solat sembahyang raya dan begitu ramai org yang terlibat dengan korban ternakkan, korban wang dan masa, tapi pada hari itu, masjid kosong pada waktu zohor dan asar dan hari2 seterusnya,
apa sudah terjadi pada korban?
keretamayat.
12:03 PM
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home