" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Wednesday, March 08, 2006

Kenaikan Harga Minyak :
BN Mula Risau Bila Rakyat Sudah Berani Bersuara

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830 http://dppnjohor.blogspot.com/

Mungkin kerajaan tidak menjangkakan rakyat akan bangkit apabila harga minyak petrol dan diesel dinaikkan pada 28 Februari 2006 yang lalu.

Kebiasaannya rakyat (khususnya penyokong setia UMNO) akan setia dan taat dengan apa jua keputusan yang kerajaan lakukan lebih-lebih lagi keputusan itu dikatakan demi kebaikan rakyat. Tetapi dengan kenaikan harga minyak petrol dan diesel baru-baru ini terdapat semacam satu kebimbangan kerajaan pimpinan Pak Lah bahawa tindakan kerajaan ini tidak disenangi oleh rakyat.

Kebimbangan Kerajaan BN dan Pak Lah terbukti apabila Majlis Perjumpaan Mengenai Isu-Isu Semasa Bersama Perdana Menteri di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) terpaksa diadakan semalam di mana penerangan berkaitan isu semasa mengenai kenaikan harga minyak telah diberikan kepada para pemimpin Barisan Nasional (BN) seluruh negara.

Pak Lah selaku Pengerusi BN terpaksa mengarahkan kira-kira 4.4 juta ahli parti komponen Barisan Nasional (BN), diketuai semua wakil rakyatnya, untuk memberi penjelasan kepada rakyat mengenai rasional kerajaan menaikkan harga minyak.

Soal pengarahan memang telah dibuat tetapi berapa peratus dikalangan 4.4 juta ahli parti komponen BN yang bersetuju dengan kenaikan ini?. Paling menyedihkan parti-parti pembangkang (termasuk PAS) dituduh mempedayakan rakyat dengan menyebarkan dakyat kononnya kerajaan menarik subsidi minyak.

Stesyen-stesyen minyak pula dikerah untuk memasang poster mengenai harga runcit minyak, subsidi diberikan kerajaan dan harga sebenar minyak, bertujuan memberi kefahaman kepada pengguna.

Kerajaan terus menabur janji bahawa akan meningkatkan penguatkuasaan bagi mengelakkan peniaga menaikkan harga barangan untuk mengaut keuntungan daripada kenaikan harga minyak. Langkah itu bagi mengelakkan berlaku inflasi yang akhirnya menimbulkan kesulitan kepada rakyat.

Seperti biasa juga, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd. Shafie Apdal diarahkan mengetuai kempen penguatkuasaan itu. Selepas daripada ini, isu kenaikan harga barangan pula yang akan dihebohkan di seluruh negara dan isu kenaikan harga minyak akan terus ‘dilenyapkan’ daripada media.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Gabungan Persatuan Pengusaha Kenderaan Perkhidmatan Awam (GPPKPA) melalui Pengerusinya, Encik Zamri Mahmud kelmarin bahawa gabungan itu akan mengenakan caj tambahan 10 peratus bagi tambang bas ekspres dan menaikkan kadar tambang 10 hingga 20 sen bagi bas berhenti-henti jika kerajaan tidak memberi harga subsidi diesel RM1 seliter dan 60 sen sekilogram gas asli kenderaan (NGV), menjelang Rabu ini.

Timbalan Perdana Menteri, Najib Razak memberi amaran kepada GPPKPA supaya tidak menaikkan kadar tambangnya kerana kerajaan sudah mengurangkan bebanan kenaikan harga minyak dengan memberikan subsidi diesel.

Timbalan Perdana Menteri mengingatkan gabungan itu, cadangan mereka mengenakan caj tambahan 10 peratus bagi tambang bas ekspres dan teksi, selain menaikkan tambang antara 10 hingga 20 sen bagi bas berhenti-henti, tidak wajar dan membebankan pengguna. (Menaikkan RM 0.30 harga minyak tidak membebankan pengguna agaknya).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamed Khaled Nordin pula memberi amaran kepada GPPKPA sama ada meneruskan operasi seperti biasa atau hadapi tindakan tegas kerajaan jika mengenakan caj tambahan.

DPPNJ yakin dan percaya bahawa suara GPPKPA adalah di antara suara rakyat yang sudah tidak tahan lagi dengan tindakan kerajaan yang menekan rakyat. Protes rakyat boleh kita tinjau dalam akhbar berbahasa mandarin (Nan Yang Siang Pau, Sin Chew Jit Poh, China Press, Guan Meng Daily dan lain-lain) yang terus menerus membincangkan isu kenaikan harga minyak ini dan pandangan rakyat disiarkan untuk dinilai oleh kerajaan.

Tapi apakan daya, ruang lingkup yang terbuka ini tidak dapat kita lihat dalam akhbar berbahasa Melayu. Kalau adapun, lebih kepada memuji langkah kerajaan dalam isu harga minyak ini. Sekian, wassalam.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

Links to this post:

Create a Link

<< Home