" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Monday, March 06, 2006

Kertas Kerja ( 015 )

TAUHID ULUHIYYAH DAN RUBUBIYYAH: KESAN DALAM KEHIDUPAN MUSLIM.

MUQADDIMAH .

Kalimah tauhid ( لا إله إلا الله ) memberi erti : “ sesungguhnya aku mengetahui , mengakui , mengiktiraf dan beriktiqad bahawasanya tiada tuhan yang disembah dengan penyembahan yang sebenarnya melainkan Allah .Tiada perhambaan kecuali kepadanya dan bahawa aku mencernakan yang demikian itu dengan lidahku , perbuatanku dan perjalanan hidupku .”

Perbahasan tauhid ini terbahagi kepada dua kategori :

Tauhid Rububiyyah .

Maksudnya ialah iktiqad yang putus ( jazim ) dan yakin bahawasanya Allah adalah Tuhan pencipta segala suatu dan tiada tuhan melainkan Ia .

Rabb ( رب ) adalah kalimah asal dari perkataan Rububiyyah yang memberi makna menurut bahasanya ialah Pemilik Yang Menguasai dan Pentadbir . Justeru itu Rububiyyah Allah terhadap makhluknya bermakna Tunggal atau Esanya Ia didalam penciptaan makhluk dan penguasaanNya serta pentadbiranNya terhadap seluruh makhluk .

Tauhid Rububiyyah juga ialah iqrar dan pengakuan bahawa hanya ia sahaja Pencipta segala makhluk . Pemilik yang mengurus , mentadbir , menurunkan rezki dan mengawal perjalanan seluruh alam cakerawala .

Seseorang yang menganggap bahawa ada pihak atau kuasa lain yang mampu dan boleh mengurus , mentadbir dan menguasai makhluk ( manusia ) seperti mengamal hukum atau undang - undang barat ( yakni selain daripada apa yang telah diputuskan oleh Allah ) maka hukumnya adalah KUFUR . ( batal aqidah )

قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ يُوحَى إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ فَمَنْ كَانَ يَرْجُوا لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلا صَالِحًا وَلا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا

“ Katakan , Sesungguhnya aku adalah manusia seperti kamu yang diturunkan wahyu kepadaku , sesungguhnya tuhan kamu adalah tuhan yang satu maka barangsiapa yang mengharapkan pertemuan dengan tuhannya ( keredhoaannya ) maka beramallah dengan amalan yang soleh dan janganlah kamu mempersekutukan Allah di dalam pengabdian kamu.” ( Surah Al Kahfi 110 )

Dialah ( Allah swt. ) yang menghidup dan mematikan . Dialah yang memberi manafaat dan mudharat . Dialah yang menunai dan menolak permohonan . Dialah yang berkuasa dan berhak ke atas seluruh makhluk dan kepadanyalah terserah segala urusan .

Dalam ungkapan lain , tauhid Rububiyyah ini memberi makna :

“ Ikrar bahawa Allah swt. yang melakukan segala suatu secara mutlak di alam ini dengan mencipta makhluk , mentadbir , mengubahsuai , menghidup , memati dan sebagainya , tiada yang lain bersekutu denganNya dalam perbuatan – perbuatan tersebut .”

Allah jualah yang layak menerima penyembahan , pengabdian , peribadatan dengan penuh kusyuk , tunduk dan patuh .Malah kepadaNya kembali segala bentuk puja , zikir , doa , harapan , rasa takut dan gerun .

TAUHID ULUHIYYAH

Pengertian tauhid Uluhiyyah Ialah :

“ Iktiqad yang Jazim bahawa Allah swt. Tuhan yang sebenarnya (hak) tiada tuhan yang lain , selain daripadaNya dan mengesakanNya dalam beribadat tanpa mempersekutukanNya.”

Tauhid Uluhiyyah terbina di atas asas Ikhlasul Ibadah semata – mata untuk Allah swt secara dhohir dan bhatinnya. Mengikhlaskan kecintaan , ketakutan . harapan , permohonan , tawakkal , taat , penghinaan diri , ketundukkan dan semua jenis ibadat semata – mata kepada Allah swt.

Tauhid ini pada hakikatnya merangkumi makna/hakikat semua jenis tauhid yang lain Ia merangkumi Tauhid Rububiyyah dan Tauhid Sifat dan Asma’ akan tetapi tauhid - tauhid tersebut tidak semestinya merangkumi Tauhid Uluhiyyah .

Berkata Imam Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah :

“ Tauhid ini ( Uluhiyyah ) merupakan pemisah diantara orang –orang yang mengesakan Allah dan orang – orang yang mensyirikkanNya.”

Justeru itu tauhid Uluhiyyah merupakan hakikat ugama Islam dan kerananya ( tauhid Uluhiyyah ) diutuskan para rasul dan diturunkan kitab – kiitab sebagai panduan . Tidak diutuskan rasul melainkan membawa tauhid Uluhiyyah ini sebagai asas dakwah mereka .

لا إله إلا الله
Mesti nafikan Empat perkara :

الآلهة : Segala perkara / berhala yang disembah selain Allah termaksuk nafsu .

الأنداد Kaum keluarga / harta benda / orang yang disayangi menjadi sekutu bagi Allah swt .

الطواغيت Jalan – jalan syaithan atau suatu yang melampaui batas syara’.

الأرباب Paderi / ulama’ atau tokoh yang menghalalkan suatu yang diharamkan oleh Allah dan mengharamkan suatu yang dihalalkan oleh Allah swt.

Penutup :

Setiap individu muslim bertanggungjawab memastikan tahap dan mutu iman yang dimiliki oleh mereka boleh melayakkan mereka mendapat keredhoaan dan keampunan daripada Allah swt . Apa yang malang , mutaakhir ini , kebanyakkan ummat Islam tidak mengambil berat urusan aqidah dengan menganggap solat , puasa, zakat dan haji yang mereka lakukan sudah memadai , tanpa mereka menyedari kadangkala aqidah mereka telah batal . Ini mengakibatkan seluruh amal yang mereka lakukan turut terbatal .

Aqidah yang batal mengharamkan seseorang yang terlibat daripada memasuki syurga Allah swt . Sementara dosa bagi mereka yang syirik dan batal aqidah ini tidak diampunkan oleh Allah swt .

عن عبد الله بن مسعود رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم :
من مات يشرك بالله شيئا دخل النار . ( البخاري و مسلم )

“Barang siapa yang mati dalam keadaan syirik kepada Allah masuklah ia kedalam api neraka .”

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ افْتَرَى إِثْمًا عَظِيمًا ( النساء 48 )

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar."

1 Comments:

Blogger Azlina Ahmad said...

Assalamualaikum ustaz, kertas kerja yang bagus.

5:56 PM

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home