" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Saturday, March 25, 2006

Sahabat ku Azhari dan Azhariah.... Jangan berkecil hati !!

Semalam saya mendapat maklumat dan juga beberapa aduan yang kelihatan seperti tidak boleh menerima apa yang telah saya pertegaskan dalam beberapa siri kenyataan saya mengenai sikap Azhari dan Azhariah.

Terlebih dahulu saya memohon maaf kepada semua , khasnya kepada sahabat Azhari dan Azhariah yang tersentuh perasaan apalagi terhiris luka perasaan mereka dek kenyataan saya . Apa yang pasti , saya tidak menginginkan demikian , sebaliknya apa yang saya maksudkan ialah kebaikan semata – mata .

Saya tetap rindukan kalian malah akan menanti kalian di Permatang Jihad suci ini , agar kita bersama memacu perjuangan ini ke mercunya.

Apabila saya memberi penegasan dan teguran terhadap beberapa perkara seperti sikap `syadid ` akhawat Azhariah dan `manja` ikhwah Azhari bukan bermakna saya merendahkan keupayaan dan potensi ilmu mahupun semangat juang warga Azhar justeru saya jua adalah seorang Azhari dan saya bangga dengannya.

Azhari dan sikap `Manja`

Mentor saya dalam perjuangan ini juga seorang Azhari ( Dato’ Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi ) , malah bekas Presiden PAS sebelum ini juga seorang Azhari . ( Dato Fadhil Mohd Noor - Al marhum ) dan ramai pimpinan jamaah merupakan Azhari termasuk dalam Dewan Pemuda PAS Pusat .

Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz , Ustaz Azman Syafawi , Ustaz Ariffin Abd Rahman , Ustaz Zulkifli Yaacub , Ustaz Nasarudin Daud , Ustaz Zulkifli Ismail , Ustaz Ahmad Adnan Fadhil dll ( sekadar menyebut beberapa nama ) masih bersama saya dan kita semua dalam perjuangan untuk mendaulatkan islam di bumi tercinta ini .

Apa yang saya tegaskan sebagai manja ialah merujuk kepada jumlah mereka yang graduate dari University Al Azhar berbanding jumlah mereka yang terlibat dengan perjuangan menegakkan Islam di Malaysia ini , terlalu besar jurangnya .

Sekali kali saya tidak menafikan penglibatan dan saham Azhari dan Azhariah terhadap perjuangan islam ini , tetapi kita tidak boleh berpuas hati bila melihat jumlah mereka yang tenggelam dalam arus material dan sosial kehidupan hari ini .

Bukan bermaksud merendah dan jauh sekali menghina kalian . So jangan jangan sahabat berkecil hati dengan kenyataan dan penegasan itu .

Azhariah dengan sikap `Syadid`

Konsep yang sama saya bawa terhadap penegasan dan teguran saya kepada Akhawat Azhariah dengan sikap syadid mereka .

Saya tidak maksudkan semua akhawat Azhariah mempunyai sikap sedemikian dan tidak pula saya bermaksud apabila pulang ke tanahair kelak , maka hendaklah disingkatkan segala jilbab , dibuka segala furdah serta pakaian mereka mestilah colouring .

Tetapi apa yang saya mahu agar sikap kita tidak Ifrat dan tidak pula Tafrit . ( tidak terlalu syadid dan tidak pula terlalu longgar ) Isu sekarang bukan isu pakaian dan prinsip tetapi isu sikap dan penampilan .

Akhawat Azhariah sangat dialu – alukan pulang berjuang bersama dengan prinsip dan pakaian mereka , tetapi apa yang saya mahu tegaskan ialah agar kita bersedia untuk `engage` dengan masyarakat kerana tidak mungkin perjuangan islam diurus tanpa engagement yang baik dan murni antara kita dengan segenap lapisan organ masyarakat .

Maksudnya tidak mengapa akhawat Azhariah mahu berfurdah , tetapi tidak menjadikan furdah itu sebagai hijab antara Akhawat Azhariah ( pejuang ) dengan masyarakat atau maduu .

Malah saya telah berulangkali tegaskan bagaimana kaifiat berfurdah dan prinsipnya . Saya percaya ini sangat difahami oleh Akhawat Azhariah . Furdah adalah dipakai dengan i’llah menjauhkan diri dari fitnah bukan kerana tidak mahu orang mengenali kita .

Sikap syadid menjadikan setengahnya sukar mendekatkan diri dengan masyarakat , malah dilihat interaksi dengan adik beradik , mertua dan ipar duai dalam satu keluarga juga masih berfurdah sedang elemen fitnah dilihat sukar bercambah dalam situasi seperti itu , sementelah pula suaminya disisi .

Sikap syadid menjarakkan kita dengan masyarakat apabila masyarakat melihat aksi yang memakai furdah , sesama muslimat pun berfurdah semata mata majlis itu bersifat umum dan bimbang orang lelaki akan lalu , demikian juga sewaktu makan , kelihatan sanggup tidak makan atau makan dalam keadaan ganjil sambil menyelak tabir furdahnya , sedang majlis sedemikian sukar untuk dilihat fitnah itu bercambah .

Saya membuat penegasan ini lantaran sikap syadid tidak baik untuk agama . Ini boleh dirujuk kepada pelbagai perbahasan ulama’ muktabar dan pandangan ulama’ kontemporary yang pastinya bumi Kinanah menyimpan ramai ulama’ berkaliber.

Bukan saya prejudis dengan akhawat Azhariah untuk pulang berjuang , sebalik sangat mengharap Azhariah pulang berjuang setelah menyedari realiti yang berlaku dimana , terlalu minima Azhariah yang terlibat dengan perjuangan ini berbanding jumlah mereka yang pulang ke tanahair.

Kalau sangsi dengan kenyataan saya , pulanglah wahai Azhariah ku dan saksikan sendiri , atau carilah dimana Azhariah kita dalam peta perjuangan ini , kecuali ia akan berakhir dengan rasa kecewa memburu mereka yang menghilangkan diri ( bukan hilang ) .

Justeru itu , janganlah berkecil hati dengan penegasan dan kenyataan saya terhadap Azhari dan Azhariah . bahkan ia lebih bersifat motivasi untuk kalian lebih bersemangat dan segera pulang berjuang.

Apa pun , maafkan saya andai terlanjur lidah ini menutur bilah perkataan , tapi sekali lagi saya nyatakan di sini bahawa saya tidak maksudkan sesuatu melainkan kebaikan buat kita semua .

1 Comments:

Anonymous Anonymous said...

salam Ustaz,

saya ingin bertanya apa maksud Azahariah Thurayya dan Ahmad Azaraaei Zaffran. SAya dgn suami bercadang untuk meletakkan nama pada anak kami.Adakah maksudnya elok ?atau apa cadangan ustaz.

trkh
Puan Aza

6:20 PM

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

Links to this post:

Create a Link

<< Home