Fiesta Media Idola
Cemarkan Pengisian Sambutan Maulidur Rasul di Kuantan
Al-Kisah, maka tersohorlah nama bandar Kuantan selaku ibu negeri Pahang lantaran sambutan Fiesta Media Idola baru-baru ini. Program yang dinaungi oleh anakanda Sultan Pahang itu sedikit sebanyak telah memberi ruang terbuka kepada seluruh rakyat di negeri ini untuk menyanjung dan memuja-muja artis sebagai Idola mereka. Cucu, sempat melihat siaran langsung majlis pelancaran dan penutupan FMI 2006 itu menerusi saluran Astro Ria.
Sebagai anak jati Pahang dan mengenangkan tiga hari sebelum majlis berkenaan di adakan umat Islam baru sahaja meraikan sambutan "Maulidur Rasul" bagi memperingati kelahiran Nabi junjungan besar kita Muhammad S.A.W.
Bukankah janggal bunyinya dalam kita meraikan sambutan Maulidur Rasul tiba-tiba, satu perayaan dan program yang bertujuan untuk memuja-muja serta mengagung-agungkan artis diadakan selang tiga hari selepas itu. Inilah yang menjadi masalah dan persoalan yang sedang bermain dan menghantui sebahagian besar tokoh ulamak dan agama di negeri Pahang Darul Makmur ini.
Apapun, mereka terpaksa akur atas kerenah anakanda tuanku Tengku Muda yang beriya-iya benar ingin menjadikan acara Fiesta Media Idola itu sebagai acara gilang-gemilang tahunan bagi mempopularkan bandar Kuantan ini dimata dunia kononnya.
Mentaliti jumud yang dimiliki oleh kerabat di Raja Pahang ini sebenarnya telah menimbulkan konflik dan menjerumuskan negeri ini kekancah kehinaan sebenarnya. Apa yang difahamkan banyak pihak yang tidak bersetuju dengan penganjuran FMI di Kuantan baru-baru ini. Namun , dek kerana takut dikenakan tindakan oleh pihak atasan maka mereka terpaksa akur dan menurut perintah pihak-pihak berkenaan.
Kabarnya, Menteri Besar Pahang sendiri Dato' seri Adnan Yaakob amat kecewa dan tidak bersetuju dengan FMI. Bahkan, jika dilihat kepada majlis berkenaan memang tidak terlintas pun kelibat MB Pahang itu di Stadium Darul Makmur sama ada pada Majlis Perasmian ataupun penutupan.
Mungkinkah MB Pahang terlalu murka dengan program mungkar yang memuja artis serta membazirkan wang diketika kerajaan senang dalam usaha untuk memberikan kefahaman Islam Hadhari kepada seluruh Masyarakat Islam di negeri ini khasnya dan negara amnya.
Apalah bala yang bakal menimpa negeri Pahang selepas ini, lantara kebiadapan institusi di Raja negeri ini yang terlalu gemarkan hiburan dan keseronokkan. Apa yang amat mendukacitakan ialah pihak penganjur telah menghabiskan wang sebanyak RM750,000.00 untuk belanja majlis perasmian dan penutup program berkenaan.
Kabarnya, sebahagian besar wang berkenaan adalah diambil dari kantung Kerajaan Negeri Pahang sendiri. Bukankah ini satu pembaziran wang rakyat sebenarnya.
Inilah yang dikatakan "Pesta Maksiat Secara Terhormat" di akhir zaman. Selama ini pesta hiburan dan maksiat tidak disokong oleh institusi raja di negara ini. Namun apa yang dilihat di Kuantan, amat jelas sekali instusi raja di negeri ini amat berbangga dengan penganjuran pesta maksiat seperti ini.
Bukankah tiga hari sebelum ini Sultan Pahang sendiri baru saja merasmikan sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di sini. Apakah akan terjadi kepada rakyat di negeri ini sekiranya terus diperintah oleh seorang raja yang berjiwa "Hiburan" seperti ini. Sebagai ketua agama, sememangnya amat rugilah rakyat negeri ini yang bersultankan seorang Raja seperti ini.
Apa yang menariknya, bagi menggalakkan rakyat di negeri ini berbondong-bondong membanjiri Stadium Darul Makmur sejak petang lagi maka mereka digula-gulakan dengan habuan dua buah kereta Proton Myvi. Sebuah semasa perasmian dan sebuah lagi semasa penutupan. Akibatnya, ramailah warga Pahang dari seluruh pelusuk negeri berasak-asak untuk mendapatkan tiket cabutan bertuah yang dikhaskan untuk 20 ribu penonton sahaja.
Bayangkan stadium yang boleh memuatkan lebih 40 ribu penonton , tapi tiket cabutan bertuah hanya dikhaskan untuk separuh dari itu. Apa yang terjadi maka ramailah yang tercedera akibat berasak-asak mendapatkan tiket di pintu pagar stadium yang dikawal rapi oleh para petugas FMI.
Laporan yang Cucu terima, bukan sahaja para penonton tercedera kerana berasak-asak untuk mendapatkan tiket malahan juga ada beberapa orang penonton yang tercedera akibat terkena percikan bungan api semasa majlis pelancaran itu.
Selain dari insiden itu tadi, sebenarnya banyak lagi perlakuan tidak senonoh dan amat memualkan telah terjadi sepanjang tiga hari para artis di Kuantan baru-baru ini. Masing-masing amat berbangga menampilkan gaya dan aksi seksi untuk menarik perhatian umum. Bahkan tidak kurang pula, yang dengan selamba berpelukan antara satu sama lain.
Sebenarnya aksi-aksi yang ditunjukkan itu, jelas sekali tidak mencerminkan artis harus dijadikan idola kepada generasi muda hari ini. Maka mengapakah acara seperti Fiesta Media Idola ini harus dijadikan acara tahunan di negeri ini.
Harapan Cucu agar, ada pihak yang dapat memantau perkara ini. Bukan sahaja kesesuaian masa iaitu berselang dengan sambutan Maulidur Rasul malahan juga ianya jelas sekali menjatuhkan maruah agama Islam di negara ini. Sepatutnya yang harus dijadikan idola ialah Rasullullah SAW.. dan bukannya para artis. Semoga Allah SWT dapat membuka hati, istitusi Di Raja Pahang agar lebih berhati-hati dalam menjaga kepentingan agama di negeri ini.
Apalah gunanya Sultan menjadi Ketua Agama jika perlakuan dan tindakan yang dilaksanakan jelas bertentangan dengan kehendak agama itu sendiri. Sama-samalah kita mengambil ikhtibar akan peristiwa ini. Semoga kita dijauhi bala oleh Allah SWT , atas kebiadapan kita mengatur pengisian Maulidur Rasul setiap tahun dengan program mungkar seperti ini.
P/S - Tahniah diucapkan kepada MB Pahang, atas sikap beliau yang enggan bersekongkol dengan program maksat FMI 2006 baru-baru ini. Semoga beliau akan lebih terbuka dalam melaksanakan "Amal Makruf Nahu Mungkar" di negeri ini pada masa akan datang.
Salam Perjuangan.
CUCU MAT KILAU Pahang Darul Makmur
cmk_pahang@yahoo.co.uk http://www.cucumatkilau.cjb.net
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home