" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Monday, August 14, 2006

Kasihmu Ibu Sedamai Dinihari.

Terlalu sukar untuk saya melelapkan mata di waktu dinihari ini setelah hampir 5 jam saya tidur dalam kenyenyakan yang sungguh memuaskan. Manakan tidak , tubuh yang kedinginan ini diselimutkan ibu dengan penuh manja , membuatkan saya lupa seketika bahawa hari itu adalah hari ke empat saya diserang demam yang teruk.

Ibu mencadangkan supaya kami pulang ke Keratong ( rumah ibu ) untuk hujung minggu ini , malah beberapa kali menelefon saya untuk bertanya khabar dan mendesak supaya saya segera ke klinik .

Kasihmu Ibu membuatkan anakmu ini cukup insaf , betapa nilai kasih seorang ibu terhadap anaknya tidakkan pudar , biarpun anaknya kini telah mempunyai kehidupan dan keluarga sendiri . Mungkin anak yang sering melupakan ibunya .

Dinihari yang Damai .

Jam 4.15 am sebentar tadi menjadi detik saya membuka mata dalam keadaan cukup berlainan berbanding hari – hari sebelumnya dalam situasi badan yang yang tidak sihat dan bermaya ini .

Kerongkong saya telah mula dipenuhi ulser yang cukup memeritkan bahkan hanya untuk menelan air liur. Bawah dan atas lidah turut mengalami jangkitan ulser . Berbekalkan juice mangga , saya membasahkan tekak dan membuatkan saya mengalir air mata menahan kepedihan yang dibahagian kerongkong dan lidah .

( Semalam , sejurus saya sampai di rumah orang tua saya , ayah terus membawa saya ke klinik untuk mengambil ubat di Bandar Tun Abd Razak .)

Saat hening di dinihari , saya gagahi diri untuk segera menelan ketiga – tiga jenis antibiotic diberikan kepada saya . Mudah – mudahan segeralah sembuh dari demam dan ulser ini .

Setelah mengambil semua prosuder rawatan itu , saya melangkah keluar rumah dan berlabuh di anjung sambil menghirup udara segar dan damai dinihari ini . Ternyata udara di perkampungan Felda Keratong ini sangat berbeza , berbanding udara di Pantai Balok ( tempat saya tinggal kini )

Maha suci Allah , indahnya malam dan dinihari yang sunyi ini. Saat terasa takjub dihati akan kehebatan Ilahi inilah , saya segera mengeluarkan note book ini untuk menukil cetusan rasa . Sudah lama saya tidak rasai keheningan begini .

Saya menghayati apa jua yang saya lihat dan dengar diwaktu sebegini dan segalanya bagaikan membawa masuk ruh keinsafan , betapa agungnya Allah dengan segala ciptaanNya dan betapa kerdil pula diri ini yang sering mengabaikan tanggungjawab terhadapNya.

Airmata mengalir membasah pipi seakan bersetuju benar ia dengan keinsafan yang sedang dirasai . Tambahan pula , keadaan diri saya yang tidak sihat begini.

Pemeriksaan Darah.

Sepanjang 2 bulan ini , saya sering di serang demam . ( kali ini agak teruk ) sehingga saya pun tidak ingat , sudah berapa kali saya mengalaminya. Apa yang pasti dan sangat terkilan kerana saya tidak dapat menghadhiri Mesyuarat DPP Pusat bagi kali yang ke 2 berturut – turut disebabkan keuzuran ini.

Saya dinasihatkan oleh doctor supaya menjalani pemeriksaan ke atas darah saya. Temu janji telah dibuat pada jam 10 pagi ini di Bandar Muadzam Shah . Saya harap tiadalah apa – apa penyakit yang kronik. ( amin ya Rabbal a’lamin. )

Ada juga dikalangan sahabat , terlalu sukar untuk menerima alasan saya . Lantaran itu, saya telah menjadi bahan sindiran apabila beberapa kali mesyuarat tidak hadhir, program – program penting jamaah pun saya tidak dapat hadhir , demikian juga demo terbaru yang dipimpin oleh Tuan Guru .

Tidak mengapalah sahabat , kerana terlalu sukar saya nak jelaskan , sakit jenis apa yang saya alami . Terkadang saya sihat dan dapat berjumpa dengan sahabat – sahabat di dalam program , esok atau lusa saya sakit dan tidak dapat menghadhiri program , tentunya sahabat akan kehairanan kenapa saya tidak hadhir.

Sedikit sebanyak saya juga mengalami tekanan , sebab saya adalah Ketua DPP Negeri . Apabila gagal menghadhiri program , sudah tentu menimbulkan tanda tanya dikalangan anak – anak buah . Sedang saya tidak tahu nak jelaskan bagaimana lagi.

Kalau acap sangat kita kata sakit , orang kata kita banyak alasan. Jika tidak maklumkan keuzuran , ada pula yang kata kita tidak bertanggungjawab. Walaubagaimanapun , saya memohon maaf berbanyak maaf dari sahabat – sahabat seperjuangan .

Bagi sahabat yang mengenali saya sejak dari kami bersama menuntut di Syria dan juga Mesir , tentu faham benar dengan sikap saya terhadap program – program amal Islami ini . Terlalu sukar bagi saya untuk mengabaikannya tanpa sebarang keuzuran yang syarie .

Salam Mujahid Beirut .

Sepatutnya , saya bukan sahaja wajib menghadhiri Mesyuarat DPPP tetapi juga menggantikan Yb. Salahudin Ayyub menyampaikan ceramah di Melaka . Malang sekali lagi saya gagal menunaikan amanah tersebut.

Tambah sayu hati ini , apabila petang kelmarin Yb. Salahudin Ayyub menghantar sms , mohon saya menyampaikan salam perjuangan buat sahabat di Melaka dengan berita yang agak cemas bagi saya apabila Yb Salahudin mengatakan kini beliau berada dibawah hujanan peluru dan bom . Hari ini ( kelmarin ) sahaja 17 bom telah digugurkan. “Doakan kami” kata beliau mengakhiri smsnya.

Saya sendiri tak tahu nak doakan macam mana ? Sebagai exco DPPP , yang tentunya masih memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar saya doakan agar beliau selamat dan kembali pulang memimpin kami .

Tetapi dalam masa yang sama , perginya seorang mujahid ke tengah medan perang seperti itu , tiada lain melainkan keinginan yang tinggi terhadap syahid di medan juang .

Perang Teluk .

Ya…. Peristiwa ini mengimbau ingatan saya pada tahun 1990 . Waktu itu , saya dan sahabat – sahabat ( sekitar 15 orang ) berada di Kota Damsyik , sementara lebih 80 orang pelajar Malaysia yang lain mengambil keputusan untuk berlepas pulang dengan pesawat khas di Turki .

Kami telah mengambil keputusan untuk tidak pulang .Setelah menandatangani surat perlepasan tanggungjawab dari pihak Kerajaan , kami nekad untuk terus berada di Syria sementara perang kian berkecamuk.

Saya dapat saksikan sendiri bagaimana helicopter pengangkut jentera perang melintasi ruang udara Syria.

Dalam kepala kami masa tu , pertama kami nak selesaikan pengajian kami kerana peperiksaan tidak lama lagi akan berlangsung sedang Maahad tidak cuti masa tu .

Kedua , kami juga membuat persiapan untuk menghadapi apa jua kemungkinan termasuk perang .

Orang lama kami , Ayah Man terus memimpin dan menasihati kami agar banyakkan qiamulaill dan berzikir serta menjaga kesihatan fizikal sebagai salah satu persiapan menghadapi segala kemungkinan .

Masa tu , kami tiada senjata dan tidak pernah memiliki senjata . Cuma kami bersiap , andainya keadaan mendesak dan memaksa , kami akan segara bergabung dengan sukarelawan Ikhwan Muslimin di Jordan .

Sedang kami menunggu sebarang isyarat dari seorang ulama’ terkenal yang juga merupakan penasihat Said Hawwa , ( saya lupa namanya , mungkin ada sahabat yang ingat ) sahabat – sahabat saya dari Yugoslavia yang menuntut di pelbagai Maahad ( di Syria ) , mengambil langkah awal untuk pergi menaiki bas menuju Jordan.

Sehingga Perang Teluk reda , kami tidak menerima apa – apa isyarat untuk keluar dari Syria menuju Jordan . Lalu kami menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar sebagaimana biasa , apabila Maahad kembali dibuka . Malangnya, sahabat saya dianggarkan sekitar 30 orang ( sebuah bas ) tidak kembali semula ke Syria . Sehingga sekarang , saya tidak lagi mendengar khabar berita dari mereka .

Ada juga saya mendapat maklumat bahawa mereka ditembak mati di sempadan Syria oleh tentera Syria pada waktu itu yang secara mendadak berubah sokongan daripada berpihak kepada Iraq , lalu menyokong Amerika . ( setelah mendapat sogokan besar dan lumayan dari Amerika )

Palestine dan Lubnan .

Sakit yang saya alami ini , apalah sangat berbanding penderitaan dan kesengsaraan yang dialami oleh ummat Islam di Palestine dan Lubnan . Mereka kehilangan orang tersayang yang disembelih kejam dihadapan mereka oleh regim Yahudi.

Tempat tinggal mereka diletupkan tanpa belas simpati dan kampong halaman mereka dihancurkan dalam operasi “pembersihan” bumi Palestine agar tidak lagi dihuni oleh penduduk Islam.

Anak – anak kecil yang belum mengerti apa – apa , terpaksa hidup mengharungi perjalanan masa depan yang suram buat mereka. Ramai pula yang menderita cacat anggota setelah mengalami kecederaan parah dalam serangan demi serangan yang dilancarkan oleh Regim Zionis. Malah ratusan ribu , bahkan jutaan ummat Islam telah terkorban dalam mempertahankan aqidah dan tanahair mereka .

Saat sakit begini , hati ini mula sensitive . Terkadang rasa ada untungnya Allah swt. mendidik diri ini dengan kesakitan , agar sekurang – kurangnya dapat mengingatkan diri bahawa ada lagi orang lain yang lebih dahsyat dan tidak tertanggung kesakitannya.

Namun saya ingin segera sembuh untuk menyambung kembali tugas dan tanggungjawab saya yang banyak tergendala . Apa yang paling saya bimbang , dalam sakit yang berpanjangan ini menyebabkan saya menjadi futur dari perjuangan suci ini . Aku berlindung dengan Allah dari yang sedemikian itu .

Saya mohon diri dulu , terasa sayu nak berhenti dari terus menatah bicara setelah lama saya tidak up date blog ini. Tapi apakan daya , mata saya pun dah mula senak , kepala pun dah rasa lain macam. Saya tak mampu lagi menatap skrin note book ini. Saya rasa letih sangat .

Akhirnya , salam dari saya buat semua. Teruskan perjuangan ini dan jangan lupa doakan ketabahan buat saya menghadapi dugaan hidup ini.

5 Comments:

Blogger irdhi_hayati said...

tabahkan hati..moga disembuhkan dan dipermudahkan segala urusan aminn :)

4:51 PM

 
Anonymous Anonymous said...

ustad,tidak bergerak sesuatu dgn gerakkan Allah,tidak terjadi sesuatu dgn kejadian yg telah Allah tentukan,semua nya tergantung di lauhil mahfuz,benar,kita wajib bersyukur akan nikmat Allah yg di beri pada kita,sakit kita tak sesakit mereka yg di tindas.....LAAHAULAWALAQUWATA ILLABILLAH.

11:29 PM

 
Blogger abiumar said...

Assalamualaikum...

Menyambung ukhti... Tiada gugur sehelai daunpun mlainkan dengan takdir ilahi ..

Adik Hassanuddin Bin slaim

11:57 AM

 
Anonymous Anonymous said...

This is very interesting site... latina free Zyrtec ucd http://www.success-stories-tenuate.info/Celexa-and-ecstasy.html Timeshare laws http://www.hepafilter0.info/will_celexa_help_anxiety.html Golf community land cary nc Vardenafil no prescription Is indicated for rosacea

6:05 PM

 
Anonymous Anonymous said...

Very cool design! Useful information. Go on! »

3:34 AM

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home