" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Saturday, September 30, 2006

Tazkirah Mengganggu
Kekusyukkan Solat Terawih ?

Beberapa buah Masjid di Lembah Kelang ini ada memaparkan pekeliling daripada JAIS yang melarang tazkirah di adakan antara 4 rakaat terawih .

Alasan utama yang dikemukakan ialah , mengganggu kekusyukkan solat terawih. Saya apabila membaca pekeliling tersebut terasa jauh hati dengan sikap JAIS yang mengeluarkan pekeliling tersebut.

Ada beberapa sebab atau alasan kenapa saya mesti berasa jengkel dengan pekeliling seumpama itu .

Manakan tidak !

Pertama : Tazkirah adalah merupakan satu aktiviti yang menepati Prinsip Amal Islami untuk meletakkan ummah senantiasa dalam keadaan beringat - ingat terhadap ugama dan tanggungjawab mereka .

Allah jua telah mengarahkan dalam "pekeliling"nya dengan ayat tegas berbunyi :

و ذكر فإن الذكر تنفع المؤمنين

"dan berilah tazkirah ( peringatan ) , sesungguhnya tazkirah adalah suatu yang sangat bermanafaat bagi orang - orang yang beriman .

Apalah pekeliling JAIS berbanding "pekeliling" Ilahi .

Kedua : Jika tazkirah di buat antara 4 rakaat , itu bermakna ia diadakan semasa rehat antara 8 rakaat terawih . Tazkirah semasa rehat sekitar 20 hingga 30 minit tidak menjejaskan kekusyukkan solat . Sebab itu masa rehat bukan masa solat !

Tiada pentazkirah yang kurang aqalnya untuk mengadakan tazkirah di saat orang ramai sedang solat . ( Kalau di taqdirkan ada , saya pun tidak bersetuju dan saya percaya bahawa pentazkirah tersebut adalah manusia istemewa yang tidak normal aqalnya . )

Ketiga : Kenapa JAIS sesak nafas melihat masjid dan surau mengadakan Tazkirah ? sedang itu menambah kesedaran dan keinsafan ummah terhadap agama . Sementelah pula hukum memperingatkan ummah yang lalai adalah wajib bagi mereka yang berilmu sementara hukum solat terawih hanya sunat. ( ini bukan bermakna saya merendahkan solat terawih tetapi apa yang saya maksudkan ialah , kalau kita boleh terawih , kita juga mesti boleh bertazkirah . )

Adalah satu kekeliruan yang mesti disingkap dan kesilapan yang mesti diperbetulkan , apabila kita sering menganggap bulan Ramadhan hanya untuk terawih . Segala aktiviti agama yang lain seperti majlis ilmu atau tazkirah diberhentikan . Ini tidak betul !! .

Menuntut ilmu itu bukan ibadah kah ? tazkirah itu bukan ibadah kah ? dan kalau ada yang beralasan bahawa majlis ilmu dan tazkirah boleh buat dibulan yang lain sedang terawih hanya di bulan Ramadhan sahaja .

Persoalannya , bukankah bulan Ramadhan adalah bulan yang digalakkan agar kita menambah dan memperbanyakkan ibadah . saya tidak nampak rasionalnya alasan agar majlis ilmu dan tazkirah mesti dihentikan di bulan Ramadhan .

Keempat : Lebih menjengkelkan saya , apabila pekeliling tersebut dilihat begitu prejudis terhadap tazkirah atau menuntut ilmu . Sedang tidak pula memperdulikan kelab - kelab malam dan pusat hiburan yang masih rancak beroperasi di bulan Ramadhan ini .

Sewajarnya pekeliling itu berbunyi begini :

Di arahkan kepada semua pemilik kelab malam dan pusat hiburan agar menghentikan operasi mereka sempena bulan Ramadhan ini bagi menghormati "kekusyukkan" ummah Islam dalam melakukan ibadah .

Tidak tahulah saya kalau pihak JAIS pula nanti akan berhujjah bahawa pemilik kelab tidak ganggu kita solat sebab kita solat di masjid sedang mereka berdansa di kelab mereka . Wallahua'lam bissowab .

Kelima : Kemusykilan yang terdetik dalam benak saya , apakah JAIS hanya menjadi alat kepada pihak tertentu yang rasa tergugat dan sakit hati dengan aktiviti amal Islami yang marak subur di bulan Ramadhan . Mereka bimbang kalau ummah mempunyai kesedaran dan keinsafan . Justeru mereka tidak lagi boleh mempermainkan pemikiran dan sikap ummah .

Sebetulnya mereka yang takut dan sakit hati dengan tazkirah Ramadhan ini ialah mereka yang hati mereka berpenyakit , laksana seorang yang mengidap penyakit kencing manis , hanya mereka yang takut kakinya dipotong oleh doktor , sementara mereka yang sihat , tiada apa yang perlu di takuti .

Saya harap , kepada seluruh ummat Islam teruskanlah menyemarakkan Ilmu dan aktiviti amal islami di bulan Ramadhan al Mubarak ini .

Ramadhan Kareem !!

Monday, September 25, 2006

Menangani masalah Khilafiyah dan Bid’ah :
Mengelak fitnah dan perpecahan

بسم الله الرحمن الرحيم، الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد:

Berkata Syeikh Hasan al-Banna; “Khilaf Fiqh dalam masalah-masalah cabang hendaklah jangan menjadi sebab berlakunya perpecahan dalam agama dan membawa kepada permusuhan dan kebencian kerana setiap mujtahid akan mendapat pahalanya….”.
[1]

Taujihat Hasan al-Banna tersebut sewajarnya menjadi ingatan setiap muslim hari ini kerana di depan kita ada matlamat perjuangan yang perlu kita capai. Kalau kita asyik bergaduh sesama sendiri dalam masalah furu’, sudah tentu penumpuan tidak dapat kita berikan kepada agenda yang lebih besar dan utama.

Islam membenarkan berlakunya khilaf di kalangan para mujtahid dalam perkara-perkara furu’ yang tidak berkait dengan usul. Apabila berlaku khilaf tidak semestinya yang satu benar dan yang satu lagi salah, yang satu hak dan yang satu batil.

Abu Sa’id al-Khudri r.a. menceritakan; “Dua orang lelaki keluar bermusafir (pada zaman Rasulullah s.a.w.). Apabila masuk waktu solat, mereka tidak memiliki air untuk mengambil wudhuk, lalu mereka bertayammum dan mengerjakan solat. Namun setelah itu mereka menemui air dan waktu solat masih ada. Maka salah seorang dari mereka mengambil wudhuk dan mengulangi solatnya, adapun yang seorang lagi tidak mengulangi solatnya. Tiba di Madinah, mereka datang merujuk kepada Rasulullah s.a.w.. dan menceritakan apa yang berlaku itu. Lalu Rasulullah berkata kepada lelaki yang tidak mengulangi solatnya; “Apa yang kamu lakukan menepati sunnah dan solat kamu adalah sah/dikira bagi kamu”. Kepada seorang lagi pula Rasulullah berkata kepadanya; “Bagi kamu pahala/ganjaran dua kali”.

(Riwayat Imam Abu Daud dan an-Nasai.
Lihat hadis ini dalam Subulus-Salam, bab at-Tayammum)

Kerana itu bagi Imam as-Suyuti, khilaf yang berlaku di antara mazhab-mazhab berlegar antara yang paling benar dan yang benar, bukan di antara yang benar dan yang salah.
[2]

Oleh demikian, berdasarkan pandangan ini, apabila kita berpegang dengan suatu pandangan mazhab –dalam masalah khilaf-, kita hanya layak untuk berkata; ‘Pada hemat saya inilah pandangan yang paling benar, adapun pandangan lain adalah benar’. Tidak harus kita berkata; “Bagi saya inilah sahaja pandangan yang benar, adapun pandangan lain adalah batil, munkar, bid’ah atau salah”.

Perbezaan pendapat di antara para ulamak mujtahid mendatangkan rahmat kepada umat. Hal ini ditegaskan oleh banyak ulamak.

Antaranya Imam Ahmad yang berkata; “Perbezaan pendapat itu adalah kelapangan (bagi umat)”.

Berkata Umar Abdul ‘Aziz; “Aku tidak gembira jika para sahabat tidak berbeza pendapat. Kerana jika mereka tidak berbeza pendapat tidak akan ada kelapangan bagi umat…”.

Berkata Imam as-Syatibi; “Ikhtilaf antara ulamak adalah rahmat bagi umat”.
[3]

Oleh demikian, setiap orang Islam hendaklah berlapang dada dan menerima kepelbagaian pandangan dalam Islam yang dikeluarkan oleh para ulamak mujtahid.

Tidak menjadi kesalahan jika ia hendak mengkaji di antara semua pandangan ulamak dalam suatu masalah, mana yang paling tepat. Namun hendaklah ia benar-benar memiliki kemampuan untuk berbuat demikian, di samping menjaga adab dengan para ulamak terdahulu serta meraikan adab-adab khilaf.

Khilaf yang tidak diizinkan

Namun, harus difahami juga bahawa bukan semua perkara harus berlaku khilaf. Khilaf hanya harus dalam masalah furu’. Adapun dalam masalah aqidah atau usul, tidak harus berlaku khilaf. Oleh demikian, apabila berlaku pertembungan antara aqidah Ahlus-Sunnah dengan Muktazilah, Qadariah, Syi’ah dan seumpamanya, orang Islam wajib berpegang dengan aqidah Ahlus-Sunnah kerana ia adalah satu-satunya fahaman aqidah yang menepati al-Quran dan as-Sunnah.

Dalam suasana hari ini, umat Islam wajib menolak segala bentuk ideologi yang bertentangan dengan aqidah Islam seperti Sekular, Komunis, Sosialis, Liberalisme dan sebagainya kerana tidak harus berlaku perbezaan dalam pegangan aqidah di kalangan umat Islam.

Berkata Imam al-Khattabi; Khilaf dalam agama ada tiga bahagian;

Pertama; dalam mengisbatkan Pencipta dan keesaanNya. Mengengkari yang demikian adalah kufur.

Kedua; Dalam masalah sifat-sifat Allah dan kehendaknya. Mengengkarinya adalah bid’ah.

Ketiga; Dalam masalah furu’ yang diihtimalkan pelbagai pandangan. Hal ini dijadikan Allah sebagai rahmat dan kemuliaan bagi para ulamak.

Khilaf jenis inilah yang dimaksudkan dalam hadis “Ikhtilaf (ulamak mujtahid) umatku adalah rahmat”.
[4]

Berkata Imam as-Subki; “Tiada syak bahawa khilaf dalam usul adalah sesat dan menjadi penyebab kepada segenap kefasadan sebagaimana ditunjuki al-Quran”.[5]

Tidak harus mengingkari masalah khilaf

Dalam senarai kaedah-kaedah fiqh, terdapat satu kaedah yang menegaskan;

لا ينكر المختلف فيه وإنما ينكر المجمع عليه

“Tidak diingkari perkara yang diikhtilafkan, akan tetapi diingkari perkara yang telah diijmakkan”.
[6]

Berkata al-Hafidz Ibnu Rajab; “Munkar yang wajib diingkari ialah yang telah diijmakkan oleh para ulamak ke atasnya. Adapun perkara yang diikhtilafkan berkenaannya, maka di antara pandangan sahabat-sahabat kami (yakni ulamak-ulamak mazhab Hanbali); tidak wajib mengingkari orang yang melakukannya kerana ijtihadnya atau kerana ia bertaklid kepada seorang mujtahid dengan taklid yang harus”.[7]

Imam al-Ghazali menegaskan di dalam Ihya’nya; Tidak harus bagi seorang bermazhab Hanafi mengingkari seorang bermazhab Syafi’ie yang memakna dhab, dubu’ dan yang tidak dibacakan Basmalah (ketika disembelih). Begitu juga, tidak harus seorang bermazhab Syafi’ie mengingkari seorang yang bermazhab Hanafi yang meminum nabiz yang tidak memabukkan…”.

Berkata Imam Nawawi; “Amalan-amalan dan ucapan-ucapan yang rumit yang tertakluk dengan ijtihad, tidak harus orang-orang awam menceburinya dan tidak harus mereka mengingkarinya. Hal demikian hendaklah diserahkan kepada para ulamak. Para ulamak pula mereka hanya mengingkari/menegah perkara yang telah diijmakkan. Adapun perkara yang diiktilafkan, tidak ada keingkaran terhadapnya kerana menurut salah satu dari dua mazhab (berkenaan ijtihad); setiap mujtahid adalah benar. Pandangan ini adalah yang terpilih di sisi ramai para muhaqqiqin (penganalisis) atau kebanyakan mereka. Adapun menurut satu pandangan/mazhab lagi; yang benar satu sahaja dan yang salah tidak tertentu bagi kita dan dosa terangkat darinya…”.

Berkata Imam Ibnu Taimiyyah; “Jika suatu masalah itu harus ijtihad padanya maka tidak dipertikaikan orang yang berbeza pandangan sama ada ia seorang mujtahid atau yang bertaklid”.

Berpegang dengan mazhab

Kaum muslimin terdiri dari dua golongan;

1. Golongan yang memiliki kemampuan untuk berijtihad. Golongan ini dikenali sebagai mujtahid dan bilangan mereka amat sedikit kerana para ulamak silam meletakkan syarat yang cukup ketat bagi ijtihad demi menjaga agama dari diseleweng atau disalahtafsirkan. Golongan ini tidak harus bertaklid. Mereka wajib mencungkil sendiri hukum hakam dari al-Quran dan as-Sunnah.

2. Golongan yang tidak memiliki kemampuan untuk berijtihad. Golongan ini adalah kebanyakan penganut Islam. Mereka dituntut merujuk kepada alim-ulamak berdasarkan perintah Allah;

"…dan bertanyalah kamu kepada orang-orang Yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui”.

( Surah an-Nahl. Ayat : 43 )

فإنما شِفَاء العِيّ السُّؤالُ

“Sesungguhnya ubat bagi orang yang jahil ialah bertanya”.

(Riwayat Imam Abu Daud dan ad-Daruqutni)

Berkata Imam Ibnul-Qayyim; “Harus bertaklid bagi orang yang tidak sampai darjah ijtihad. Wajib atasnya mengikuti seorang imam yang dapat ia mengambil panduan darinya dan bertaklid kepadanya dalam mengenali hukum-halam halal dan haram. Tidak harus bagi orang sepertinya untuk memberi fatwa kepada orang lain sekalipun ia memiliki keseluruhan kitab-kitab hadis”.
[8]

Berkata Imam as-Syatibi; “Fatwa-fatwa para mujtahidin dinisbah kepada orang-orang awam umpama dalil-dalil Syarak dinisbah kepada para mujtahid”.
[9]

Dr. Abdul Karim Zaidan menjelaskan; Seorang mujtahid hendaklah memperolehi hukum-hakam dari sumber-sumbernya yang asli dengan cara pemerhatian dan ijtihad. Tidak harus taklid baginya. Adapun orang yang tidak mampu berijtihad, wajib atasnya bertanya ahli ilmu (ulamak).

Bertanyakan ahli ilmu sama ada secara musyafahah atau dengan merujuk kepada pandangan-pandangan mereka yang termuat di dalam kitab-kitab yang dipercayai yang menceritakan tentang pandangan-pandangan mereka dan menaqalkan dengan penaqalan yang soheh. Oleh demikian, harus bagi orang awam untuk mengikuti satu mazhab tertentu dari mazhab-mazhab yang makruf dan wujud hari ini dan dinaqalkan kepada kita dengan penaqalan yang soheh….”.
[10]

Masalah Bid’ah

Bid’ah akhir-akhir ini telah menggoncang kesatuan para pendokong Islam dalam menghadapi musuh-musuh mereka yang semakin hebat dan semakin licik mengatur serangan.

Melakukan bid’ah sememangnya suatu kesalahan atau dosa dalam Islam. Tetapi harus diingat bahawa bukan bid’ah sahaja satu-satunya penyakit yang bakal merosakkan umat Islam dan kekuatan mereka.

Di sana terdapat penyakit kufur, syirik, nifaq, munkar, dosa dan maksiat yang di mana penyakit-penyakit ini diulangi berpuluh kali oleh Allah di dalam al-Quran (malah juga as-Sunnah) berbanding dengan bid’ah yang disebut dalam beberapa hadis sahaja.

Malah dewasa ini munkar dan maksiat menjadi masalah besar dalam masyarakat kita, namun terdapat sesetengah pihak cuba memalingkan perhatian kita dari memikirkan masalah besar tersebut kepada memikirkan persoalan bid’ah dalam hal-hal furu’.

Para ulamak sepakat bahawa istilah bid’ah mengikut Syarak hanya berlaku dalam masalah agama. Secara khususnya ia merangkumi tiga persoalan;

Aqidah
Ibadah
Halal dan haram

Begitu juga, mereka mensepakati bahawa perkara baru dalam agama yang direka-reka tanpa mempunyai sebarang asas atau asal-usul dari Syarak (sama ada dari al-Quran, as-Sunnah, Ijmak atau sebarang bentuk pendalilan yang muktabar di sisi ulamak), maka ia adalah bid’ah yang sesat.

Ia dinamakan sebagai bid’ah haqiqiyah yang disepakati ulamak bahawa ia haram dan tercela. Contohnya ialah;

Dalam masalah aqidah; bid’ah Muktazilah, Jabariyah, Qadariah. Pada hari ini dapat kita masukkan dalam bid’ah jenis ini; Islam liberal, Sekular, Sosialis dan sebagainya.

Dalam masalah ibadah; memuja dan berdoa kepada kubur-kubur yang dianggap keramat, bernazar kepada selain Allah.

Dalam masalah halal-haram; menghalalkan riba, arak, judi, pelacuran, pendedahan aurat dan sebagainya.

Di sana terdapat bentuk bid’ah yang diikhtilafkan antara ulamak iaitu bid’ah yang dinamakan sebagai bid’ah idhafiyyah.

Bid’ah Idhafiyyah ialah suatu amalan yang terdapat asal-usulnya dalam syarak, cuma kaifiyat dan cara pengamalannya sahaja yang ditambah dari yang disebutkan Syarak. Kerana itu ia dinamakan Idhafiyah yang bermaksud sandaran/tambahan.

Contoh amalan yang termasuk dalam kategori bid’ah idhafiyah ini ialah;

· Berzikir dan berdoa selepas solat beramai-ramai (secara berjamaah).

· Bersalaman selepas solat fardhu.

· Membaca tahlil beramai-ramai.

· Muazzin membaca selawat dengan suara yang kuat selepas melaungkan azan.

· Tambahan Saidina dalam selawat.

· Membaca Yaasin malam jumaat.

· Berpuasa nisfu Syaban

· Himpunan mathurat yang dibaca di waktu pagi dan petang.

Para ulamak dalam mentafsirkan bid’ah terdapat dua kecenderungan;
[11]

Pertama :

Meletakkan semua jenis bid’ah adalah haram dan sesat tanpa membahagikannnya kepada bid’ah hasanah dan bid’ah saiyyiah atau mazmumah.

Antara ulamak yang mempunyai kecenderungan ini ialah Imam Ibnu Taimiyyah, Ibnul-Qayyim, as-Syatibi dan aliran Salafi hari ini. Bagi kumpulan ini, bid’ah idhafiyah juga tergolong dalam bid’ah yang diharamkan. Bagi mereka, bukan hanya amalan perlu ada dalil, malah kaifiyat dan cara mengamalkan juga perlu ada dalil.

Kedua :

Membahagikan bid’ah kepada dua kategori iaitu bida’h hasanah dan bid’ah saiyyiah.

· Bid’ah hasanah ialah amalan-amalan yang menepati dalil-dalil Syarak.

· Adapun bid’ah saiyiah ialah yang bercanggah dengan dalil-dalil Syarak.

Pandangan ini menjadi pegangan jumhur ulamak termasuk Imam Syafi’ie, Imam Ibnu Hazm, Imam al-Ghazali, Imam Ibnu al-Athir, Imam Nawawi, Imam Ibnu Hajar, Imam al-Zarkasyi, Imam al-Qarafi dan sebagainya.

Bagi pandangan ini, jika suatu amalan itu terdapat asal-usulnya dari Syarak, maka tidak boleh dinamakan bid’ah yang sesat jika dilakukan dengan kaifiyat yang ditambah asalkan kaifiyat itu tidak bertentangan dengan Syarak.

Kecualilah jika terdapat dalil yang menegaskan suatu amalan itu wajib dilakukan dengan kaifiyat tertentu, maka tidak harus berpaling kepada kaifiyat yang lain seperti solat lima waktu dan sebagainya.

Berkata Imam Syafi’ie; “Perkara-perkara baru dalam urusan agama ada dua jenis;

· Pertama : Perkara baru yang menyalahi al-Quran, as-Sunnah, atsar (kata-kata sahabat) atau ijmak, maka ia adalah bid’ah yang sesat.

· Kedua : Perkara baru yang berbentuk kebaikan yang tidak ada seorang ulamak pun yang mempertikainya, maka ia adalah perkara baru yang tidak tercela.

Saidina Umar r.a. pernah berkata mengenai solat Terawikh (yang dilakukan berjamaah di belakang seorang imam); “Sebaik-baik bid’ah ialah ini”. Ianya membawa erti bahawa ianya benda baru dan belum pernah dilakukan sebelumnya…”.
[12]

Berkata Imam Ibnu Rajab; “Yang dimaksudkan dengan bid’ah itu ialah perkara yang baru diwujudkan yang tidak ada dalil yang membuktikannya di dalam Syariat. Manakala sesuatu yang mempunyai dalil yang menunjukkannya, maka ia bukanlah bid’ah dari segi Syarak walaupun ia bid’ah dari segi bahasa”.[13]

Dalam apa keadaan sekalipun, setiap muslim harus menerima hakikat bahawa amalan-amalan dalam bid’ah idhafiyah tersebut menjadi medan khilaf di kalangan ulamak.

Sebagaimana ditegaskan tadi, dalam masalah khilafiah kaum muslimin hendaklah berlapang dada sesama sendiri demi menjaga kesatuan sesama mereka.

Adalah lebih baik memberi tumpuan kepada membasmi gejala murtad, maksiat, munkar dan bid’ah haqiqiyah dari menyibukkan diri dengan bid’ah idhafiyah yang pastinya tiada penyudahnya.

Hal tersebut telah diperingatkan oleh Syeikh Hasan al-Banna sejak 50 tahun yang lalu di mana beliau menulis dalam risalah Usul al-‘Isyrinnya;

و كل بدعـة فى دين الله لا أصـل لـهـا اسـتـحـسـنهـا الناس بأهوائهم سواء بالزيادة فيه أو بالـنـقـص فيه ضـلالة تجب محاربتـها و القـضـاء عليها بأفضـل الوسـائل التى لا تؤدى إلى ما هو شـر منها

“Setiap bid’ah di dalam agama yang tiada asal-usulnya (dari nas Syarak), hanya semata-mata dipandang elok oleh hawa-nafsu manusia sama ada dengan menambah atau mengurangnya, ia adalah sesat dan wajib diperangi. Namun untuk membasminya hendaklah dengan jalan terbaik yang tidak membawa kepada keburukan yang lebih besar”.

( Usul ke 11 )

و البدعة الإضـافيـة و الـتركية و الإلتـزام فى العـبادات المطلقة خلاف فقهى
لكل فيه رأيه و لا بأس بتمحـيص الحقيقة بالدليل و البرهان

“Bid’ah Idhafiyyah dan at-Tarkiyyah dan melazimi ibadah-ibadah yang mutlak merupakan khilaf fiqh di mana setiap ulamak terdapat pandangannya tersendiri. Namun tidak menjadi kesalahan untuk mencari kebenaran berdasarkan dalil dan bukti”.

(Usul ke 12).

Syeikh Said Hawa juga menegaskan; “Tidak harus kita menghukum suatu amalan sebagai bid’ah yang diharamkan kecuali apabila telah disepakati oleh imam-imam mujtahid atau imam-imam fatwa bahawa ia adalah bid’ah.

Adapun jika mereka berikhtilaf dalam membid’ah atau mengharamkannya, maka perkara terbabit adalah luas (yakni diberi kelonggaran) dinisbah kepada orang awam.

Adapun bagi orang yang mengetahui jalan-jalan dalil, maka perkara tersebut baginya lebih sempit di mana jika yang rajih baginya ialah dalil terkuat yang membid’ahkannya, maka wajib atasnya menjauhi perkara tersebut. Namun tidak ada hak baginya untuk berkeras mengingkari orang yang mengikuti imam-imam mujtahid atau imam-imam fatwa dalam hal atau masalah seumpama itu…”.
[14]

*** والله أعلم بالصواب***
Akhukum,
Us. Ahmad Adnan Fadzil, Pusat Bimbingan Wawasan Ummah,
Changlun, Kedah.
18 Sya’ban 1427, 11 Sept. 2006.

[1] Usul ke 8 dari Usul Isyrin, Syeikh Hasan al-Banna.
[2] Ikhtilaf al-Mazahib, Imam as-Suyuti, hlm. 34.
[3] Fahmul-Islam, hlm. 134.
[4] Soheh Muslim Bisyarhi an-Nawawi.
[5] Faidhul-Qadier, hadis no. 288.
[6] Al-Asybah wa An-Nazair, Imam as-Suyuti, hlm. 202.
Dikecualikan khilaf yang lemah dan boleh menjadi faktor pendorong kepada larangan yang telah disepakati. Contohnya; Khilaf dalam masalah riba an-Fadl. Sekalipun terdapat pandangan Ibnu ‘Abbas dan Ibnu ‘Umar mengharuskannya, tetapi pandangan mereka amat lemah kerana terdapat hadis soheh yang banyak yang menegaskan pengharamannya. Malah terdapat keterangan bahawa mereka berdua telah menarik kembali pandangan mereka itu. Begitu juga, khilaf dalam masalah nikah Mut’ah. Khilaf tersebut adalah lemah dan boleh membawa kepada penzinaan. (Rujuk; Taghyir an-Munkar, al-Hafidz Ibn Rajab al-Hanbali, hlm. 64. Lihat juga; Al-Asybah wa An-Nazair, Imam as-Suyuti, hlm. 202.).
[7] Taghyir an-Munkar, al-Hafidz Ibn Rajab al-Hanbali, hlm. 63-64.
[8] Fahmul-Islam, hlm. 111.
[9] Fahmul-Islam, hlm. 111.
[10] Al-Wajiz Fi Usul al-Fiqh, hlm. 409.
[11] Fahmu Usul al-Islam, Dr. Ali Abdul Halim Mahmud, hlm. 123.
[12] Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat, Imam an-Nawawi, jil. 3, hlm. 21.
[13] Jami’ al-Ulum wa al-Hikam (dinaqalkan dari kitab Al-Asas fi As-Sunnah wa Fiqhhuha, Syeikh Said Hawa, jil. 1, hlm. 361).
[14] Al-Asas fi As-Sunnah wa Fiqhhuha, Syeikh Said Hawa, jil. 1, hlm. 341-342.

Sunday, September 24, 2006

Perutusan
Ramadhan al Mubarak edisi 1427 .

Sahabat seperjuangan .

Kebelakangan ini , saya agak jarang on line untuk bersama dengan sahabat seperjuangan di persada maya . Namun tidak bermakna saya melupakan tanggungjawab menyumbang ilmu dan fikrah untuk dikongsi bersama , tatkala kita mengenderai bahtera perjuangan ini.

Ternyata sukar memikul beban amanah dan tanggungjawab perjuangan tanpa taufiq dan hidayah Ilahi . Menambah sulit andainya perjuangan yang serba sukar ini pula dilangsungkan tanpa sahabat seperjuangan mengirim doa , menitip idea dan mengerah jasa .

Sahabat ! , hadhirnya kalian bertapak di atas satu wadah dan satu manhaj perjuangan dengan diriku ini , menjadikan diri ini kian bertenaga meredah ranjau dan berasa bangga menggalas wasiat perjuangan .

Demi Allah ! tidak mungkin dapat saya lupakan persahabatan yang terjalin antara kita biarpun kemesraannya hanya seketika , namun kenangannya telah terukir di sanubari ini . Semoga persahabatan kita terus berkekalan dan apa yang paling penting , ia menjadi asset bernilai tinggi buat perjuangan yang kita dokong ini.

Tatkala Ramadhan kembali menjelma bersama Rahmat Ilahi yang mencucuri hambanya yang soleh dan bertaqwa , hati ini hiba dalam rindu dendam terhadap semua insan yang bernama “sahabat seperjuangan” .

Iftar Jamae’i

Alangkah indahnya Ramadhan edisi ini , andai saya dapat meraikannya di samping sahabat seperjuangan . Masih segar dalam ingatan saya , bagaimana kita menceria dan menghidupkan Ramadhan silam dengan Iftar Jamaei yang mengandungi pelbagai aktiviti .

Mengerat Taqarrub dengan wirid al Ma’thurat.
Mengukuh Ribat dengan doa Rabitah .
Mempertaut Kasih dengan Taaruf Mesra .
Menghening Petunjuk dengan Tadarrus .
Memperkaya Ganjaran dengan Taawwun .
Menghalus Budi dengan Nasihat .
Mengingat Hati dengan Wasiat .
Menjati Diri dengan Motivasi .
Menyihat badan dengan Riadhah .
Menceria Rasa dengan Berbuka .
Merapat Hubungan dengan Solat Jamaah
Memperkasa Semangat dengan Tazkirah .
Memantap Jiwa dengan Qiamulail .
Menambah Ilmu dengan Kuliah
Menghakis Hasad dengan Salam .

Madrasah Ramadhan .

Masih ingatkah sahabat , bagaimana kita lalui Ramadhan silam ? Sejurus kita mendaftarkan diri pada 1 Ramadhan , kita jalani hidup ini dengan penuh disiplin laksana berada di sebuah Madrasah .

Sebahagian besar dari hari – hari yang berlalu , kita programkan bersama dengan meletak marhalah atau peringkat yang selayaknya. Kita kemukakan silibus dan kita lengkapkan tentative dengan perlaksanaan dan penghayatan bersama untuk graduate dari madrasah ini sebagai Insan Muttaqin dan Rijal Tarbawi .

Ramadhan dihayati dengan skimanya yang tepat sebagaimana dikehendaki oleh Allah Jalla wa A’la .

Nafsu dan penguasaan Syaithan dikekang dengan berPuasa.

Semangat Jihad dijana bersama Tarbiyyah Ghazwatul Badar

Keimanan ditajdid melalui penghayatan Nuzul al Quran .

Sikap optimistic terhadap Islam ditempa dengan Ruh Fathul Makkah.

Mengharap Redho dan Keampunan Ilahi melalui ruang Lailatul Qadar.

Kemenangan dirai berpaksi Aqidah tanpa leka di Pagi Syawal.

Ramadhan Terbaik .

Entah mengapa , sejak pagi kotak fikiran saya hanya dihuni oleh kenangan silam yang diimbau penuh emosi . Dari satu episode nostalgia ke satu episode berikutnya , jiwa saya resah dalam hambatan rindu yang tidak berpenghujung.

Sahabat seperjuangan yang melakar sejarah sukaduka bersama , para pemimpin yang gigih dan sabar membimbing , Ibu dan ayah yang tidak pernah jemu menitip doa buat anaknya ini , Isteri dan anak yang tabah mengharungi pahit getir akibat perjuangan ini silih berganti sebagai kenangan yang mewarnai fikiran saya di saat ini.

Mereka semua adalah segalanya bagi diri saya. Tanpa mereka , diri ini pasti hilang motivasi untuk istiqamah menelusuri lurah sukar perjuangan Islam ini .

Entah berapa kali Ramadhan telah saya lalui bersama mereka membuatkan diri saya sukar untuk menyambut Ramadhan tahun ini tanpa sebahagian dari mereka.

Apa yang saya harapkan agar , Ramadhan yang kita lalui pada edisi ini menjadi lebih baik dan lebih bererti buat kita semua berbanding apa yang telah kita lalui bersama .

Malang , andainya edisi ini menyaksikan Ramadhan terburuk yang pernah kita lalui . Ya , saya sendiri cukup takut dan bimbang , kalau – kalau ia menjadi kenyataan . wal I’yazubillah.

Kemalangan .

Sekembali saya dari xpdc atau Jaulah Dakwah di 3 buah negeri iaitu Kuala Krai , Kulim dan Taiping beberapa hari yang lalu , sekali lagi meninggalkan kenangan namun kenangan kali ini amat pahit .

Dalam perjalanan pulang ke Kuantan , sebaik sahaja saya memasuki lebuhraya Gombak ke Karak sekitar jam 4.20 am , Kenderaan yang saya naiki terbabas dalam hujan lebat sehingga melanggar penghadang jalan.

Alhamdulillah saya bersama Ust Fadhli Ibrahim dan seorang sahabat dari Kemaman selamat dalam kemalangan tersebut. Trauma masih dirasai .

Manakan tidak , kemalangan adalah suatu yang mengerikan. Selain daripada ia merosakkan harta benda kita , nyawa hampir terkorban . Sementelah pula saya entah berapa kali terlibat dalam kemalangan justeru sebahagian besar masa saya habis di jalanraya .

Nyawa ini dirasakan senantiasa berada di hujung landasan . namun apakan daya , urusan dan tanggungjawab perjuangan ini meletakkan saya dalam situasi yang demikian.

Apapun , demi agama Allah , terpaksalah dihadapi jua cabaran ini dengan mengharap doa restu dari semua khasnya sahabat seperjuangan , agar diri ini senantiasa dilindungi Ilahi dari segala jenis bencana yang tidak diingini.

Kelmarin , sewaktu mentaksirkan kos membaik pulih kenderaan saya yang terlibat dalam kemalangan tersebut di workshop , hampir sahaja mencecah RM 3 ribu .

Sekali lagi ia menjadi satu tamparan dan tekanan hebat kepada saya , namun situasi ini pernah di alami beberapa kali sebelum ini. Semoga kali ini , saya sekali lagi berjaya menghadapinya.

Sahabat ! demikianlah satu tragedy

Namun lebih parah andainya kemalangan yang berlaku , melibatkan retak dan pecahnya hati – hati dikalangan insan yang berjuang untuk agama Allah swt.

Islam dihina , wajarkah kita masih berkhilaf ?

Kemalangan dahsyat ini seringkali melibatkan pertembungan fikrah dan manhaj yang tidak sealiran.

Lebih ngeri kiranya kemalangan itu hanya berpunca dari keegoan dan sikap eragon terhadap kelebihan diri yang mungkin tiada pada yang lain.

Demikian juga kemalangan yang berlaku akibat individu yang teruja dengan pencapaian ilmu dan certificate nya . Sehingga ia bertindak liar merempuh penghadang adab berbicara , seolah – olah hanya dia yang merajai pentas ilmu . Tiada benar pada pihak lain melainkan dirinya jua yang berhak tahqiq dan ta’liq .

Kemalangan ini mengakibatkan jumlah mangsa yang ramai. Seringkali pula mangsa kemalangan jenis ini , berakhir dengan korban jiwa bagi yang tewas dan trauma yang panjang bagi yang masih selamat .

Tidak hairanlah , cabaran terbesar buat perjuangan Islam dewasa kini bukanlah kehebatan musuh , justeru mereka tidak pernah hebat dihadapan Islam . Sebaliknya kelemahan sendiri yang berpunca dari pecah dan retak hati sesama pejuang .

Tiada lagi kerjasama dan tolak ansur dalam menatang amanah perjuangan , hanya kerana berbeza fikrah dan manhaj walhal masih memiliki nokhtah matlamat yang sama .

Sedang musuh – musuh Islam yang berbeza matlamat perjuangan mereka mampu bersatu dan bekerjasama guna menghadapi ummat Islam .

Ramadhan membentuk peribadi Pejuang.

Justeru itu , renunglah aduhai sahabat ku , sempena kita bersama menuntut di Madrasah atau University of Ramadhan ini sekalipun kita berlainan faculty , kita masih mampu bersua dan berbincang , bersahabat dan bermesra kerana matlamat kita satu , iaitu graduate sebagai Insan Muttaqin .

يا أيها الذين آمنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون .

Wahai orang – orang yang beriman ! diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ianya diwajibkan ke atas mereka yang terdahulu , semoga mereka bertaqwa kepada Allah swt.

Al Baqarah : 183

Kesempatan ini selayaknya digunakan sebaik mungkin guna menatah syakhsiyyah solehah . Satu keperibadian atau syakhsiyyah yang melayakkan seorang pejuang menyandang statusnya.

Kita tidak mahu dilabel sebagai seorang pejuang yang mengalami krisis kualiti dan identity . Pejuang yang hanya memiliki “lesen terbang” untuk terjun ke medan , sementara mereka terlalu jauh dari tahap keupayaan sebenar sebagai seorang pejuang Islam .

Krisis kualiti dan identity ini jangan dipandang rendah oleh semua individu yang berhasrat untuk terjun ke medan justeru medan perjuangan bukan pentas pentomen , juga bukan aksi lasak wayang gambar .

Sebaliknya perjuangan ini mendambakan pejuang yang sedia dengan segala komitmen . Bermula dengan :

pembinaan aqidah yang jitu ,
peribadi yang soleh ,
fikrah yang mantap ,
fizikal yang tabah ,
semangat yang ampuh ,

hinggalah ke tahap rela dan sedia untuk mengorbankan darah dan nyawa demi agama Allah swt.

Ramadhan menyediakan segala pakej pembinaan dan pengkaderan tersebut . Satu pakej yang siap dengan modus operandinya yang menepati jadual perlaksanaan.

Menjelang 1 Syawal kelak , ia merupakan hari konvokesyen buat semua siswa / siswi university of Ramadhan dan menerima pengiktirafan sebagai Graduate University of Ramadhan .

Mereka yang gagal , bukan sahaja tidak berhak menerima pengiktirafan tersebut di hari lebaran , sebaliknya ia terpaksa menunggu setahun berikutnya untuk memperbaiki prestasi .

Islam memberi peluang kedua . Persoalannya , apakah kita benar – benar mampu manafaatkan peluang dihadapan kita kini atau kita hanya akan mensia – siakan peluang tersebut biarpun peluang kedua , ketiga , keempat dijanjikan .

Sahabat ku !

Jangan sia – siakan peluang yang terbentang di hadapan kita , untuk memperbaiki prestasi setelah kita tidak berpuas hati terhadap pencapaian silam .

Sahabat ku !

Cabaran yang dihadapi kini , meletakkan kita di “perbatasan” antara iman dan kufur atau hak dan bathil . Hanya hukum “wajib berjuang” yang wajar kita halusi perlaksanaannya. Sementara “harus” dan “sunat” tidak lagi menjadi perkiraan dalam situasi sebegini .

Sahabat Ku !

Apalagi yang harus dimenungkan ? Persiapkan bekal , sarungkan uniform dan semak diary seta selaraskan jadual untuk terus menyahut seruan perjuangan dan semboyan gerakan islam yang pastinya sedang menunggu kehadhiran kita .

Sahabat Ku !

Sedetik kita lewat bermakna kitalah yang mengkhianati ummah sedang mereka mendambakan pertolongan cemas dari kepungan jahiliyyah modern yang tidak pernah bersimpati terhadap mereka.

Sahabat ku ! bangkitlah …..

Ramadhan Kareem !

Thursday, September 21, 2006

DEMONSTRASI
MEMBANTAH KEBIADAPAN POPE BENEDICT XVI

22 sept. 06 ( selepas Solat Jumaat )

Di Perkarangan Masjid al Fatah
Batu 3 Kuantan Pahang .

Semua Muslim Prihatin dijemput hadhir bagi melahirkan bantahan dan kecaman kita terhadap keceluparan dan kebiadaban Pemimpin Roman Katholik ini.

Demontrasi ini bermaksud untuk melahirkan rasa sensitif dikalangan ummat Islam yang sekian lama diam membisu dalam pelbagai isu yang mencabar maruah ummah dan agama .

Kini kita tidak sanggup lagi membiarkan Islam terus dibantai dan dibelasah tanpa kita melahirkan sekelumit rasa untuk bersama dengan Islam yang dicintai.

Demontrasi ini akan dilangsungkan secara aman di Perkarangan Masjid al Fatah untuk melahirkan rasa tidak aman ummat Islam dewasa kini yang sering menjadi mangsa ganas dan rakus kuasa besar dunia dan juga Yahudi dan Nasara a'laihi Laknatullah .

Sebarkan kepada semua.

Sunday, September 17, 2006

KembaliLah Kepangkuan Agama al Hanif

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah .

Kini ummat Islam dinodai . Sejarah gemilangnya dipalit arang. Prestasi cemerlangnya dipandang sinis sementara pejuang kedaulatannya pula dicurigai .

Ummat Islam menjadi bangsat di atas tanahair sendiri , menjadi hina di hadapan kaum bangsa sendiri dan menjadi lemah dalam jumlah mereka yang ramai . Mereka hilang identiti dan luntur kualiti .

Bukankah kita ummat yang terbaik ?

Firman Allah swt yang bermaksud:

Kamu adalah sebaik – baik ummah , dikeluarkan dikalangan manusia . Kamu menegakkan perkara Ma’ruf dan mencegah perkara Mungkar dan kamu beriman kepada Allah swt.

( Surah Aali Imran . Ayat 110 )

Ummat ini tetap menjadi ummat yang terbaik asal sahaja mereka masih komited dengan 3 prinsip
[1] yang dinyatakan oleh Allah di dalam ayat 110 dari surah Aali Imran .

Ummat ini adalah ummat yang terbaik justeru inilah :
[2]

Ummat yang dilahirkan oleh Allah di atas muka bumi ini sebagai khalifah , untuk menjadi tuan dan pentadbir urusan hidup , kearah sebuah kemakmuran yang abadi dan hakiki .

Ummat yang mempunyai Kitab suci ( al Quran ) sebagai pedoman dan panduan hala tuju yang bukan sahaja menjanjikan tamaddun yang soleh tetapi juga kehidupan yang dirahmati dan diredhoi oleh Allah swt.
[3]

Ummat yang diutuskan Rasul ( nabi Muhammad saw. ) sebagai pembimbing dan penunjuk arah yang bukan sahaja menjanjikan kesejahteraan dan kejayaan hidup tetapi juga menghindarkan kemurkaan dan azab ilahi .[4]

Ummat yang dikurniakan aqal dan nafsu untuk mengendalikan sebuah kehidupan yang normal serta dikurniakan pula agama dan syariat untuk memelihara dan mengawal pengendalian tersebut. ( bukan bertujuan menghalang dan menafikan hak sebuah kehidupan.)

Muslimin dan Muslimat yang dihormati sekelian .

Persoalannya , kenapa dan mengapa ummat ini mengalami kemerosotan yang amat parah dan sangat kritikal ? Malah kenapa ummat ini terperangkap dalam kancah yang merosakkan prinsip aqidah mereka , melunturkan nilai akhlak dan moral mereka jua mengheret mereka dalam konflik perasaan dan polemic jiwa yang tidak berkesudahan .

Realiti ini telah memaparkan satu landskap kehidupan ummat yang sangat menghiris dan memilukan perasaan kita yang masih memiliki selembar iman dan secangkir agama ini . Manakan tidak……..

Institusi keluarga porak peranda .

Ibubapa sibuk memburu kemewahan dunia sementara anak terabai tanpa didikan dan asuhan yang sempurna. Hilang kasih sayang , lekang kemesraan dan hancur adab susila . Keluarga sedemikian hanyalah melahirkan anak yang liar tanpa kawalan , isteri durhaka tanpa rasa hormat kepada suami dan ketua keluarga yang tidak bertanggungjawab tanpa rasa bersalah .

Remaja tanpa jati diri .

Dunia mereka hanya dilingkari hiburan dan rakan sebaya yang tidak membantu pertumbuhan jati diri yang berwibawa dan bertaqwa .

Masa depan mereka terumbang ambing laksana langkah kaki mereka yang tidak berketentuan . malah ramai yang terjebak dalam dunia maksiat yang keji dan jenayah yang jijik.

Mereka menyumbang kepada peningkatan taraf index jenayah yang menggugat rasa aman dalam Negara .
[5]

Aktiviti maksiat dan Pusat hiburan bercambah .

Ianya bercambah bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan tanpa sebarang sekatan dan kawalan . Sebaliknya dengan rasa bangga , aktiviti dan pusat maksiat ini diperluas tanpa mengira sentiment ummat Islam .
[6] Rentak muziknya menenggelamkan ketinggian suara azan dari menara rumah Allah ( masjid ) dan aksi lincah mereka mengatasi keaktifan seorang pendakwah yang tekun menyebarkan agama .

Program agama dan gerakkerja dakwah difitnah .

Aktiviti amal Islami sering berhadapan dengan fitnah dan terpaksa berhadapan pula dengan pelbagai implikasi yang tidak sedikit , khasnya dari pihak tertentu yang sering memandang perkembangan ini dengan rasa cemburu yang negative .

Fenomena ini hanya melahirkan masyarakat yang jahil dan menjadikan mereka lemas dalam arus deras mungkar dan maksiat yang sukar dikawal dan dibatasi .

Elemen inilah yang menghancurkan peradaban insaniyyah ( kemanusiaan ) dan anasir inilah pula yang menjadikan keadaan ummah mengalami dilemma dalam mencari identity dan kuality diri mereka .

Insafilah , bahawa kejatuhan ummat ini bukan kerana mereka berpegang teguh dengan ajaran agama Islam tetapi kerana hubungan mereka dengan Islam yang kian renggang , penghayatan mereka yang kian luntur , amalan mereka yang kian surut , akhlak mereka yang kian terhakis dan keimanan mereka kepada Allah serta hari akhirat kian malap .

Marilah , kita bergandingan dengan seluruh upaya dan daya yang kita miliki serta mengambil segala ruang dan peluang yang ada untuk mengembalikan semula kegemilangan dan kecemerlangan ummat ini .

Pastinya pula tiada formula dan tiada pilihan yang paling tepat melainkan kita kembali ke pangkuan agama dengan segala penghayatan dan perlaksanaannya. Komited dan istiqamah dengan setiap suruhan dan ajaran Ilahi . Hayatilah Firman Allah swt ini : ( yang bermaksud )

Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk Yang sebaik-baik ciptaan ( dan lengkap sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika ia panjang umur dan menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan Dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang Yang rendah, Kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala Yang tidak putus-putus. (jika demikian kekuasaanKu), maka apa pula Yang menjadikan Engkau seorang pendusta, (berkata tidak benar) mengenai hari pembalasan, sesudah (ternyata dalil-dalil Yang membuktikan kekuasaanKu mengadakan hari pembalasan) itu? Bukankah Allah (yang demikian kekuasaanNya) seadil-adil Hakim?

( Surah at Tiin : Ayat 4 – 8 )

Muslimin dan Muslimat sekelian .

Agama lah yang mengajar kita supaya membina silaturrahim agar wujud perpaduan yang merentasi kepentingan bangsa dan kaum serta agama dan budaya .

Agama lah yang mendidik kita supaya mentaati ibubapa , menghormati orang yang lebih dewasa dan menyayangi mereka yang lebih muda , agar lahir masyarakat penyayang yang saling hormat menghormati diantara satu sama lain .

Agama lah yang membimbing kita supaya menghindarkan diri dari segala maksiat , mungkar dan jenayah , semoga masyarakat bukan sahaja mendapat redho dan rahmat Ilahi tetapi juga bebas dari kerosakan dan kemusnahan serta hidup dalam keamanan dan kesejahteraan .

Agama lah yang membentuk nilai akhlak dan moral terpuji bagi meletakkan ummat Islam sebagai ummat yang bermartabat dan berdaulat jua bertamaddun dan berkeperibadian tinggi.

Agama lah yang menjana kekuatan spiritual dengan nilai pengabdian diri kepada Allah swt . Kekuatan rohani inilah pula yang mencetuskan rasa takut kepada Allah dan mampu menilai antara syurga dan neraka serta dosa dan pahala .

Muslimin dan Muslimat sekelian .

Demi masa depan ummah dan tanahair tercinta ini , malah demi masa depan kita bersama , marilah kita kembali dengan sehayun tangan dan selangkah kaki ke pangkuan agama suci ini , justeru hanya inilah jalan yang lurus , jalan yang membawa kita ke pintu syurga .

Dan Bahawa Sesungguhnya Inilah jalanKu (ugama Islam) Yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan Yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.

( Surah al – An a’am : Ayat 153 )

[1] Prinsip tersebut ialah : Menegakkan perkara ma’ruf ( syariat ) , Mencegah perkara Mungkar , Beriman kepada Allah swt.

[2] Sila rujuk Tafsir Al Munir Juzuk ke 4 . M/s 40 .
[3] Firman Allah swt .

dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran guna menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita Yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam.

( Surah an – Nahl : Ayat 89 )

[4] Firman Allah swt.

Dan Sesungguhnya Kami telah mengutus Dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): "Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut". maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada Yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula Yang berhak ditimpa kesesatan.

( Surah an – Nahl : Ayat 36 )

[5] 156 , 455 kes jenayah berakhir tahun 2004 berbanding hanya 70 , 823 kes jenayah pada tahu 1980 . ( Laporan Harian Metro : 24 September 2005 .)

[6] Menteri Pelancungan Tengku Adnan Mansur telah mencadangkan agar Pusat hiburan di Bandar – Bandar tumpuan pelancung melanjutkan tempoh operasi hingga jam 5 am.

Wednesday, September 13, 2006

TREND MENGURANGKAN RASA BERDOSA

Seorang sahabat mengirim e - mail kepada saya sehari dua yang lalu dengan membawa kisah atau tajuk ini . Ermm.... satu keluhan yang sangat menarik dan saya rasa ia sedang dikeluhkan oleh ramai muslim dalam negara kita kini .

Tidak kurang juga , mereka yang terus tenggelam dalam kebingunggan tanpa mampu merungkai belenggu kebingungan tersebut .

Setelah saya membaca dan mengamati tulisan " Trend Mengurangkan Rasa Berdosa " mengingatkan saya kepada sahabat saya Ust. Mohd Hasrizal . Saya sangat yakin , bahawa ini adalah hasil tulisan dan keluhan beliau yang difowardkan oleh sahabat yang menghantar e - mail kepada saya . ( Tidak sukar untuk memahami gaya bahasa yang unik dan pendekatan penulisan yang baik sebagaimana yang dilakukan oleh Ust. Mohd Hasrizal . )

Tahniah ! dan saya kongsikan tulisan ini dengan semua sahabat untuk sama - sama kita ambil iktibar dan merangka tindakan .

TREND MENGURANGKAN RASA BERDOSA .

Saya benar-benar kebingungan. Bagi seorang yang hidup 11 tahun di perantauan, kembali ke Malaysia di era seperti hari ini, memang membingungkan. Semasa di Ireland, saya sudah mendengar tempias American Idol yang sesekali menghiasi dada akhbar Irish Independent dan lain-lain.

Talk of the town kadangkala diisi dengan isu siapakah yang sepatutnya mewakili Ireland ke acara Eurovision Contest yang sememangnya tempat pertama pertandingan itu sinonim dengan penyanyi dari Ireland zaman berzaman khususnya penyanyi seperti Johnny Logan. Namun ia hanya acara biasa. Kerja-kerja harian orang ramai berlangsung seperti biasa... tiada yang luar biasa.

Saya terkasima semasa bersiap-siap untuk pulang ke tanah air for good, ketika membaca pengumuman nama Rais Yatim diberikan peranan sebagai Menteri Kebudayaan kabinet Pak Lah yang baru. Hairan bin Ajaib, apa yang saya kenal tentang Rais Yatim, menimbulkan tanda tanya.

Mengapakah seorang menteri yang begitu genius khususnya dalam hal ehwal berkaitan undang-undang, tiba-tiba ditempatkan sebagai menteri di sebuah kementerian yang menguruskan hal ehwal zapin dan joget, pesta budaya dan orang filem Malaysia yang sering berbalah sesama sendiri. Adakah ini menjadi langkah ke arah memandulkan politik Rais Yatim?

Namun, kehairanan saya terjawab apabila saya membaca temuramah bersama Rais Yatim di akhbar The Star bersama HL Wong [17 April 2004] di bawah tajuk "Stop ‘Arabising’ Malay Culture" atau "Berhenti MengArabkan Budaya Melayu". Tegasnya, temuramah itu menggambarkan misi Rais Yatim yang mahu mengembalikan semula identiti Melayu yang padanya telah terpadam oleh proses Islamisasi yang diterjemahkannya sebagai Arabisasi.

Antara budaya Melayu yang mahu ditonjolkan kembali adalah budaya tari menari. Orang Melayu tak mungkin dapat dipisahkan daripada tari menari kerana ia telah mendarah daging di dalam tubuh kita, tegas beliau.

Nampaknya apa yang dinyatakan oleh beliau benar-benar terealisasi di dalam masyarakat kita. Usahlah pergi jauh, kampung saya sendiri telah terasa kesannya. Seingat saya, kali terakhir kampung saya dihiruk-pikukkan oleh Joget Lambak ialah semasa saya masih di bangku sekolah rendah. Itu bererti Joget Lambak telah pupus di kampung saya semenjak 20 tahun yang lalu.

Tetapi pupusnya Joget Lambak bukanlah kerana kampung saya telah diArabkan seperti bangsa Sudan. Bangsa Sudan membuang bahasa asli mereka dan mengambil sepenuhnya Bahasa Arab sebagai bahasa pertuturan mereka. Kampung saya masih pekat 'kome', 'mike' dan sambal belacannya.

Namun yang pasti, apabila masjid makin ramai yang datang, perempuan makin ramai yang tutup aurat, emak ayah makin gemar menghantar anak ke kelas fardhu 'ain, maka dengan sendirinya Joget Lambak terketepi dan terhakis dari keMelayuan orang kampung saya. Tetapi saya kekal sebagai salah seorang daripada beberapa orang anak kampung yang reti Bahasa Arab.

Tetapi, selepas 11 tahun saya meninggalkan kampung, saya dikejutkan dengan suatu pengalaman pahit di malam itu. Hanya beberapa ratus kaki dari rumah saya, kenduri kahwin jiran yang siang tadi diTahlilkan dan di'doa selamat'kan oleh Imam kampung, malam ni berjoget terlambak-lambak. Berdentam-dentum dram dan gitar, anak-anak muda terloncat-loncat dan lebih mendukacitakan saya, ia berlaku bersebelahan masjid.

Aduh... gelisah saya sepanjang malam di samping anak-anak saya yang tidak boleh tidur akibat kebisingan mereka yang berlanjutan hingga ke tengah malam. Walaupun anak saya lahir di bandar yang penuh orang mabuk dan saling berbunuhan sesama sendiri (di Belfast), namun fitrahnya masih merintih kedamaian yang dibunuh 'orang kahwin' malam itu.

RAKYAT KETAGIH HIBURAN

Fenomena hiburan melampau sememangnya menakutkan saya. Kalau di Ireland, rancangan realiti TV mencari bakat baru berlangsung satu demi satu, tetapi di Malaysia, lima program berjalan serentak. Ada untuk remaja, ada untuk kanak-kanak, ada untuk ibu bapa dan ada juga untuk orang tua yang sudah senja.

Lagu-lagu lama muncul kembali supaya jiwa rakyat yang hari ini telah beruban, terusik kembali untuk mengenang zaman remaja mereka di taman-taman bunga. Semua berhibur, semua berkhayal dan semua terbang ke cloud nine masing-masing.

Iklan mesti menghiburkan, pendidikan mesti menghiburkan, ring tone telefon bimbit juga mesti berlagu hiburan, malah ceramah agama juga mesti ada unsur hiburan. Mana-mana agenda yang tiada unsur hiburan dengan sendirinya terpinggir.

Kehidupan masyarakat kita sudah 'entertainment centered'. Segala keperluan hidup diarahkan kepada hiburan malah wang yang dicari dengan penat lelah, amat mudah ditaburkan kepada sms demi memenangkan idola masing-masing. Akhirnya terhibur menjadi tujuan hidup! Mana-mana yang tidak menghiburkan, tiada makna dan tiada nilai.

Namun, mungkin akibat desakan kemahuan Islam yang masih ada nyawa, suara-suara menegur masih kedengaran walaupun tidak begitu diendahkan. Mufti berfatwa, pendakwah menegur, pemimpin mengeluh. Namun untuk berundur daripada dunia hiburan, jiwa sudah ketagihan.

Bagai penagih yang keluar masuk pusat serenti, begitulah rakyat yang sudah ketagih hiburan. Sembahyang, sembahyang juga. Tapi kemudian kembali berhibur. Tarian dan lagu-lagu pathetic terus didendangkan, namun nama-nama Tuhan diselitkan jua. Akhirnya muncullah suatu trend baru dalam masyarakat kita di mana Islam menjadi kosmetik paling murah tapi laku.

Persoalannya, salahkah berhibur? Tentu tidak salah... namun hiburan yang bagaimana? Mentor saya memberikan analogi yang menarik. Katanya, nasyid umpama iklan. Iklan yang berkesan adalah iklan yang berjaya meningkatkan penjualan produk. Tetapi jika yang dikenang hanyalah iklan dan kecantikan paras rupa modelnya, sedangkan barangan tidak terjual malah tersisih dari pasaran, maka iklan itu sudah tersasar. Produk yang diiklankan, pelakon iklan yang naik saham!

Nasyid menjadi wadah 'mempromosikan' Islam dengan citarasa yang kontemporari. Nasyid bertujuan 'memperkenalkan' Tuhan. Namun bagi yang mendengar nasyid cintan cintun dan rap sampah sarap hari ini, berapa ramai yang 'membeli' Tuhan?

Adakah cinta kepada Ilahi meningkat selepas menghayati nasyid seperti itu? Walaupun ada penyanyi wanita tergamak mengheret jubah dan tudung ke pentas tari menari, atau yang lelaki menyelitkan kalimah-kalimah Arab di celah caca merba nyanyiannya itu, persoalannya yang manakah yang laku?

Adakah Islam semakin laku? Adakah Tuhan semakin dibesarkan? Amat pelik, jika nasyid itu kononnya mempromosikan Islam tetapi Islam tetap tidak laku di pasaran. Jika ia sebuah iklan, maka nasyid hari ini menjadi contoh iklan yang tidak berkesan. Iklan laku, barang tak laku. Nasyid laku, Tuhan tetap terpinggir dan dilupakan.

APAKAH SEMUA INI?

Inilah soalan yang membingungkan saya. Kita melihat bagaimana menyebut kalam-kalam iman seperti Insya Allah, Alhamdulillah, Syukur, Ameen dan lain-lain sudah menjadi seperti adat. "Semoga Tuhan memurahkan rezeki saya dalam bidang ini!", Tuhan mana yang mengurniakan kemurahan rezeki dalam bentuk maksiat dan kebinasaan jati diri? Kepada Tuhan manakah, si artis tadi berdoa?

Habis, apa ertinya mereka yang berpenat lelah melawan hawa nafsu dan syaitan dalam kehidupan sedangkan dalam keadaan menaja maksiat, Tuhan masih mengurniakan kemurahan rezeki?

Saya masih ingat bagaimana salah sebuah kumpulan ditemuramah oleh televisyen tentang rahsia kejayaan dan keyakinan diri mereka. Mereka menjelaskan bahawa mereka ada sejenis meditation. Apabila diminta membuat demonstrasi, mereka yang terdiri daripada beberapa lelaki dan seorang perempuan berpegangan tangan membentuk bulatan dan... AL-FATIHAH!

Selepas itu ketua kumpulan membacakan doa sambil menadah tangan, memohon supaya Allah melindungi band mereka dari kekalahan dan mala petaka bahaya. Terpegun saya menontonnya. Wartawan tersebut pula mengucapkan syabas kerana walaupun kumpulan tersebut menyanyikan lagu kontemporari dan moden, tetapi masih tidak lupakan agama!

Bingung saya memikirkan hal ini. Apakah sebenarnya kefahaman mereka tentang Islam? Adakah mereka benar-benar memaksudkan bahawa Allah, Tuhan Muhammad, Tuhan Abu Bakr, Tuhan Imam Syafie, adalah Tuhan yang sama boleh mengurniakan keredhaanNya kepada acara henjut-henjut mereka di dalam konsert tersebut?

Apakah pelajar-pelajar Akademi Fantasia benar-benar percaya bahawa di alam bukan Fantasia, Allah SWT telah menghalalkan perlakuan mereka hanya kerana sebelum jamming, mereka memberikan salam? Seperti orang yang makan daging yang unknown, baca sahaja Bismillah dan baham! Lantaklah daging tu babi ke atau lembu mati dilanggar kereta, yang penting tadi Bismillah telah dibaca. Err... saya benar-benar kebingungan.

Akhirnya, saya sampai kepada suatu kesimpulan. Saya terkenangkan kepada hadith riwayat Huzaifah, bahawa Nabi Muhammad SAW telah memperingatkan bahawa di akhir zaman, kebenaran itu masih bertahan tetapi bezanya dengan Islam di zaman silam ialah, Islam di akhir zaman ini berdebu, samar-samar dan berasap.

Jika realiti di akhir zaman ini begitu, ini bererti Islam tidak boleh dinilai dengan pandangan mata biasa kerana di dalam suasana yang berdebu lagi berasap, dua biji mata di kepala ini akan kemerah-merahan, kabur, berair dan kelam penglihatannya.

Sesungguhnya yang perlu dicelikkan demi mencari kebenaran di akhir zaman, adalah mata hati! Hati telah kenal Tuhan kerana dia datang dari Tuhan. Dia tahu di mana nilai kebenaran. Sebab itu Nabi Muhammad SAW menyuruh kita meminta pandangan hati dalam menilai kebenaran.

Dosa itu adalah apa yang mendatangkan keresahan di hati dan kebaikan pula mententeramkan jiwa. Asalkan hati itu bersih, ia akan meilhat dengan pandangan Allah. Pandangan Allah itu adalah world view yang berasaskan tauhid. Tauhidic Mindset itu adalah suatu pandangan yang menilai kehidupan ini berasaskan pandangan Tuhan. Apa yang baik di sisi Allah, baiklah padanya, dan apa yang keji di sisi Allah, kejilah terhadap dirinya. Hakikat ini tidak dapat dicapai oleh mata kasar, namun yang perlu disuburkan adalah pada mata di hati yang kenal Tuhan dan tahu ke mana ia patut pergi.

Oleh yang demikian, adanya rap dan pop yang dinasyidkan, adanya penari dan penyanyi yang bertudung dan berjubah, adanya juara Akademi Fantasia yang berlatar belakangkan agama, hanyalah kosmetik Islam. Kita masih mahu berhibur tetapi kita sedar yang kita sudah terlalu terhibur. Kita sedar hiburan kita sekarang adalah dosa.

Maka dengan adanya kosmetik Islam tersebut ia dapat mengurangkan rasa berdosa. Sama seperti seorang artis yang pergi umrah. Menangis-nangis di depan Kaabah dan kemudian balik ke KL berdansa semula. Namun diceritakan kepada wartawan perasaannya semasa berumrah itu.

Sedangkan tidak sedikit pun kemungkarannya yang ditinggalkan. Namun, dengan menggunakan hasil nyanyian itu untuk mengerjakan umrah, ia dapat mengurangkan rasa berdosa tersebut. Sama juga seperti orang yang menyamun harta orang lain, menipu dan menindas, kemudian sedekah sedikit hasil kerjanya itu kepada rumah kebajikan. Kurang sedikit rasa berdosa.
Sedangkan apa yang saya belajar, apa yang Imam al-Ghazali tegaskan di dalam pengajarannya ialah: MEMBUANG RASA BERDOSA KETIKA MASIH MELAKUKAN DOSA ADALAH SEBESAR-BESAR DOSA! Allah.. selamatkan kami dari fitnah akhir zaman.

“…Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna”. (Surah Zumar: 9)

Friday, September 08, 2006

SEMINAR
ISLAM DAN CABARAN UMMAH SEMASA

Diumumkan, satu seminar akan diadakan di negeri Pahang yang bertajuk "Seminar Islam dan Cabaran Ummah Semasa" anjuran Himpunan Ilmuan Muda Ummah (HIMMAH) seperti maklumat berikut :-

Tarikh :
16 September (2006) - Sabtu

Masa :
8.30 pagi – 6.30 petang

Tempat :
Dewan Seminar Masjid Negeri Sultan Ahmad I, Kuantan.

Yuran : RM50 seorang

Objektif :

1. Menghidupkan budaya ilmu dan penyebaran maklumat di dalam masyarakat

2. Membudayakan suasana sensitif dan respon masyarakat terhadap isu semasa

3. Membangkitkan kesedaran tentang ancaman yang dihadapi oleh ummah

Aturcara Program :

8.30 pagi Pendaftaran peserta
9.00 pagi Perasmian oleh :

YH Dato' Hj. Zulkifli b. Hj. Ali Al-Hafiz
Imam Besar Masjid Negeri Sultan Ahmad 1

9.30 pagi Minum Pagi
10.00 pagi Pembentangan Kertaskerja 1
11.30 pagi Pembentangan Kertaskerja 2
1.00 tengahari Jamuan Tengahari dan Solat Zohor

1.45 petang Pembentangan Kertaskerja 3
2.45 petang Pembentangan Kertaskerja 4
4.00 petang Minum Petang dan Solat Asar

4.45 petang Diskusi Ummahbr> 6.15 petang Bersurai

Kertas Kerja :

Kertaskerja 1

Jaringan Islam Liberal & Plural ; Satu Pendedahan
Al-Fadhil Ustaz Hj. Anhar b. Opir
Pensyarah Pengajian Islam, UITM Kampus Kuantan

Kertaskerja 2

Gerakan Israel Raya ; Satu Catatan Sejarah
Al-Fadhil Ustaz Hj. Zaharuddin b. Muhammad
Timbalan Pengerusi, Ikatan Intelektual Muda Islam (ILMI)

Kertaskerja 3

Cabaran Islam & Perundangan Negara
Peguam Fadhli b. Ramli
AJK Peguam Pembela Islam (PPI)

Kertaskerja 4

Khilafiah @ Bid'ah ; Fitnah Yang Berpanjangan
Al Fadhil Ustaz Ahmad Adnan b. Fadzil
Pensyarah Madrasah Ad-Diniah Al-Islamiyyah, Perlis

Diskusi Ummah :

Cabaran Umat Islam Di Malaysia ; Apa Tanggungjawab Kita?

Panel :

1. YDP ABIM Pahang
2. KPN ISMA Pahang
3. Pengerusi HIMMAH

Semua muslimin dan muslimat dijemput hadir. Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi sekretariat seminar:

En. Khaspi : 019-9143212
En. Ahmad Fikri : 017-9311468
En. Zainol Asri : 012-9587076

Pendaftaran bolehlah dibuat melalui :-

Bank-in – ke akaun Maybank Al-Wadiah @
Maybank2u.com

No Akaun :- 156169059443 atas nama
AHMAD FIKRI MOHAMED ZAHARI.

Sila daftarkan diri anda dengan menelefon atau melalui email (
himmah.kuantan@yahoo.com) atau menghantar sms ke talian seperti yang disertakan di atas dengan memberikan butir-butir tajuk, nama, cara bayaran dan nombor resit (jika ada).

Pihak muslimin/muslimat dikenakan bayaran sebanyak RM 50.00 seorang.
, , , .

Contoh : Seminar HIMMAH, Azmi Manaf, Maybank, 1204124.

Monday, September 04, 2006

Siri Kertas Kerja Tarbiyyah & Fikrah.

MUSLIMAH :
MENDEPANI CABARAN DAN ISU
( Membina Institusi Naqibah )

إن الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفره ونعوذ بالله من شرور أنفسنا وسيئات أعمالنا من يهده الله فلا مضل له ومن يضلله فلن تجد له وليا مرشدا . والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين ، أما بعد ...

Mukaddimah:

Cabaran dan ujian adalah sunnatullah yang akan diberikan kepada setiap mukmin bahkan terhadap perjuangan Islam, berdasarkan firman Allah swt: al Ankabut : 1 - 3 :

Maksudnya: Alif, Laam, Miim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan Demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang Yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian Yang demikian), nyata apa Yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.

Terdapat sesetengah cabaran dan isu yang menyebabkan perjuangan Islam lemah dan lumpuh, tetapi ada juga cabaran yang menghasilkan kekuatan baru kepada Jamaah Islam. Jamaah yang tidak kukuh dari aspek penyusunan dan barisan pimpinan, biasanya tidak mampu bertahan lama apabila dipukul dengan cabaran dan ujian (luar dan dalam). Manakala jamaah yang berada dalam keadaan baik dan tersusun di semua peringkat, cabaran dan isu boleh melahirkan kekuatan baru. Ujian itu akan meningkatkan daya juang dan keyakinan.

Pada keseluruhannya jamaah yang kuat dan tersusun adalah suatu yang dicita-citakan kerana ia akan memiliki benteng pertahanan yang kukuh dan strategi yang berkesan. Untuk tujuan tersebut, catatan ringkas ini dicadangkan sebagai garis panduan dan bahan pemikiran ke arah melahirkan barisan tenaga kerja jamaah yang mantap yang dapat meneguhkan jamaah khususnya muslimat dalam mendepani cabaran dan isu yang mendatang. Ia merangkumi beberapa noktah yang dirasakan perlu mendapat perhatian muslimah.

PENGERTIAN NAQIBAT

Naqibat berasal daripada perkataan: نقب على القوم- نقابة ertinya : seseorang yang mengurus dan mengendalikan urusan masyarakat. Firman Allah Taala : Al-Maidah : 12

Maksudnya: Dan Demi sesungguhnya! Allah telah mengambil perjanjian setia Bani Israil (supaya mereka menjunjung perintahNya dan menjauhi laranganNya), dan Kami telah utuskan dari kalangan mereka dua belas ketua (untuk memimpin golongan masing-masing); dan Allah berfirman (kepada mereka): "Bahawa Aku adalah beserta kamu (memerhati segala-galanya). Demi Sesungguhnya jika kamu dirikan sembahyang, serta kamu tunaikan zakat, dan kamu beriman Dengan Segala Rasul (utusanku) serta menolong bantu mereka (dalam menegakkan ugama Allah), dan kamu pinjamkan Allah (dengan sedekah dan berbuat baik pada jalanNya) secara pinjaman Yang baik (bukan kerana riak dan mencari keuntungan dunia), sudah tentu Aku akan ampunkan dosa-dosa kamu.

Dalam sejarah dakwah Islamiah pula, Rasulullah saw pula telah mengambil bai'ah pada waktu malam di Aqabah/Mina daripada 12 orang yang terdiri daripada 3 orang mewakili golongan Aus dan 9 orang mewakili golongan Khazraj.

Naqib di dalam Harakah Islamiah bermaksud : seorang ahli jamaah yang mempunyai kelayakan thaqafah, khasais dan iltizamat yang mantap dan diamanahkan untuk memimpin dan mentarbiyah ahli-ahli jamaah mengikut wasilah-wasilah tertentu (umum dan khusus).

NAQIBAT DALAM KACAMATA JAMAAH ISLAM

Di dalam bahagian ini saya akan menggambarkan kedudukan naqibat sebagai sebuah institusi/markaz yang amat penting dalam jamaah Islam. Naqibat merupakan tenaga penggerak yang amat penting dalam jamaah, sebab itu muslimat tidak akan mampu mendepani cabaran dan isu dengan baik sekiranya berlaku kepincangan dalam institusi naqibat.

Akibatnya muslimah akan menghadapai persoalan : Bagaimanakah ahli dapat dipimpin arah perjuangan mereka? Bagaimanakah ahli dapat ditarbiyah rohani, jasmani dan thaqafah mereka? Seterusnya muslimah akan menghadapi kesukaran-kesukaran untuk menyerahkan mandat penting dalam mengendalikan tugas-tugas jamaah.

Semua persoalan dan kesukaran itu tidak akan terungkai dan terjawab selagimana tidak wujud dalam saf jamaah suatu barisan tenaga naqibat yang mempunyai kelayakan dan persediaan yang cukup mantap.

Naqib di dalam kacamata jamaah Islam merupakan sepohon pokok yang baik dan berguna kepada manusia dan alam seluruhnya. Firman Allah Taala : Ibrahim : 24

Maksudnya: Tidakkah engkau melihat (Wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit.

Ini bererti institusi Naqibat adalah merupakan pokok-pokok yang tersebut yang menghiasi taman gerakan Islam. Untuk menghasilkan kekuatan dan keutuhan jamaah maka setiap pokok itu hendakhlah dirangkai dengan pokok-pokok yang lain dengan ikatan-ikatan berikut :

- Ikatan iman dan amal
- Ikatan ukhuwwah dan mahabbah.
- Ikatan saling hormat-menghormati
- Ikatan kerjasama dan jihad
- Ikatan syura
- Ikatan taaruf, tafahum dan takaful
- Ikatan perasaan.

Rangkaian para Naqibat ini akan melahirkan suatu kesatuan. Kesatuan itu pula akan menghasilkan kekuatan dan keutuhan. Allah swt menggesa supaya meneguhkan kesatuan ini melalui firmannya : As-Saf : 4
Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela ugamaNya dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.

Ayat di atas sebenarnya mengarahkan supaya diwujudkan suatu rangkaian para naqibat yang sehati sejiwa, satu kefahaman, satu matlamat dan hasrat perjuangan.

Inilah suatu perkara yang amat sukar dicapai oleh umat Islam. Namun begitu usaha-usaha melahirkan barisan tenaga nuqaba’ yang baik dan mantap adalah merupakan tugas asasi kepada jamaah kita, kerana bertolak dari rangkaian tenaga inilah jamaah dapat mengatur pelbagai usaha ke arah melahirkan ahli-ahli yang bermutu.

Setelah memahami kedudukan institusi naqibat, maka dapatlah kita nyatakan bahawa para naqibat adalah bertanggungjawab sebagai :

1) Madrasah-madrasah kecil kepada jamaah bagi menyalurkan ilmu dan tarbiah kepada ahli-ahli mengikut manhaj / muqarar yang ditentukan oleh jamaah.

2) Mursyid, tempat rujuk dan bernaung kepada ahli-ahli jamaah dalam melicinkan perjalanan hidup mereka.

3) Cermin dan tempat mengukur kekuatan dan kemantapan jamaah dan ahli-ahli. Sekiranya Nuqaba’/ Naqibat lemah, maka kita dapat bayangkan realiti jamaah dan ahli-ahli .

4) Benteng pertama kepada jamaah dalam mempertahankan kekuatan dari serangan dan tekanan-tekanan musuh dari luar.

5) Tentera-tentera jamaah yang bertanggungjawab mengawal keselamatan sempadan jamaah dari dicerobohi oleh syaitan dan musuh-musuh.

6) Pengawal-pengawal yang bekerja mengawal keselamatan dalaman jamaah dari sebarang anasir yang boleh menghuru-harakan kestabilan organisasi dan ahli-ahli atau pergerakan dalaman jamaah.

Bertolak dari tanggungjawab di atas, maka para naqibat hendaklah mempunyai persiapan berikut :

1) Membersihkan hati dan perasaan dari perkara-perkara yang tidak baik seperti sifat-sifat keji: nifaq, hasad, mementingkan diri sendiri, malas dan sebagainya. Sebaliknya tanamkan di dalam jiwa sifat-sifat yang mulia seperti ikhlas, sedar dan bersungguh-sungguh, kasih sayang, hormat-menghormati sesama sendiri dan sebagainya.

2) Menanamkan keyakinan yang tinggi terhadap kebesaran dan keagungan Allah swt.

3) Menghayati sepenuhnya keagungan Rasulullah saw sebagai perutusan Allah swt kepada ummat akhir zaman.

4) Meyakini kesempurnaan Islam dan masa depannya (kemenangan).

5) Meyakini bahawa wadah perjuangan yang didokong adalah wadah yang diredhai Allah dan menepati kehendak-kehendak syara'.

6) Menghiasi diri dengan syakhsiah yang mulia.

7) Meyakini bahawa Amal Jama’ie dan amalan syura adalah kaedah perjuangan yang dijamin oleh Allah swt.

8) Meyakini bahawa pengorbanan dan kesabaran adalah tangga-tangga kejayaan.

CIRI-CIRI ASAS PARA NAQIBAT

Apa yang dimaksudkan dengan ciri-ciri asas para naqibat ialah : Ciri-ciri yang mesti dimiliki oleh para naqibat bagi menjamin suatu pengendalian usrah yang sempurna dan berkesan, seterusnnya menjayakan peranan mereka sebagai naqibat di luar usrah.

PERTAMA : CIRI-CIRI MURABBI

Naqib ialah seorang Murabbi yang mempunyai syakhsiah yang unggul, semangat dan kesungguhan yang tinggi untuk mentarbiah, melatih, mendidik, membina akhlak, sikap dan perjalanan hidup ahli-ahli sehingga mampu memikul amanah perjuangan di semua peringkat. Para Murabbi adalah orang-orang yang tidak mengenal putus asa, malah menghadapi tugas-tugas pentarbiahan dengan meletakkan sepenuhnya pergantungan kepada pertolongan dan hidayah Allah swt.

KEDUA: CIRI-CIRI GURU ATAU MU'ALLIM

Naqib adalah seorang mu’allim yang mempunyai persiapan ilmu dan thaqafah yang luas, memiliki semangat yang tinggi untuk mencurahkan seluruh ilmu pengetahuan kepada ahli-ahli usrah dan membimbing mereka di dalam bidang keilmuan.

Ditegaskan di sini bahawa para Naqibat hendaklah mendalamkan pembacan dan pengetahuan tentang Usuluddin, Syariah dan Akhlak, serta ilmu-ilmu lain berkaitan dengan dakwah, psikologi dan sosiologi.

Qodiman berkata:

العلم لا يعطيك بعضه إلا إذا أعطيته كلك

Maksudnya: Tiadalah memberikan ilmu itu sebahagiannya melainkan apabila kamu memberikan seluruh diri kamu kepadanya.

KETIGA: CIRI-CIRI SEORANG IBU

Naqibat adalah seorang ibu (yang bertanggungjawab) menumpukan sepenuh perhatian, kasih sayang, belaian mesra kepada anak-anaknya dengan menaruh harapan yang tinggi agar anak-anaknya menjadi manusia yang berguna dan berjasa kepada agama setelah dewasa nanti.

Sifat-sifat seperti ini mesti dimiliki oleh para naqibat. Segala tindak-tanduknya adalah bertitik-tolak dari rasa kasih sayang dan kasih mesra dengan niat mendidik ahli-ahli usrah supaya berjasa kepada Islam.

KEEMPAT: CIRI-CIRI UKHT MUSLIMAH

Naqibat adalah seorang ukht Muslimah yang sejati yang hidup bersama dengan ahli-ahli usrah di atas landasan persaudaraan Islam, bersedia memberi teguran dengan baik dan menerima nasihat dan pandangan dengan rasa senang hati.

Apabila kita meneliti keempat-empat ciri asas di atas, kita dapati bahawa hubungan antara naqibat dengan ahli usrah seluruhnya ditegakkan di atas rukun-rukun usrah berikut : al-Ta’aruf, al-Tafahum dan al-Takaful. Para naqibat dan ahli usrahnya yang tidak menghayati ketiga-tiga rukun ini secara mendalam tidak dapat menjayakan keempat-empat ciri asas di atas dan begitulah sebaliknya.

PENGUKUHAN NAQIBAT DALAM MENDEPANI CABARAN DAN ISU

Selepas mengetahui keperluan naqibat untuk menguasai ilmu asas dalam aqidah, ibadat, muamalah Islamiah dan peri pentingnya menjelmakan syakhsiah Islamiah dalam kehidupan mereka, mereka juga dituntut untuk mempunyai kemampuan mengaitkan perkembangan dan isu semasa dengan persoalan ibtila', istidraj, ujian-ujian Allah, tanda-tanda kemurkaan Allah, azab Allah di dunia, azab Allah di akhirat, menghuraikan bagaimana umat terdahulu menerima balasan di dunia lagi terhadap perbuatan yang mereka lakukan. Ayat al Quran berikut dikaitkan dengan apa yang sedang berlaku sekarang sebagaimana firmanNya dalam surah Ar Rum: 4 :

Maksudnya: Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

Oleh hal demikian, untuk mendepani seribu satu cabaran dan isu yang semakin kompleks perlu wujud mekanisma pengukuhan dan takwin di kalangan para naqibat sebagaimana berikut:

1) Mengetahui tujuan sebenar penciptaan manusia.

Allah swt berfirman: al Hijr: 98

Maksudnya: Dan Sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu (perkara Yang tetap) yakin.

Renungilah jawapan seorang sahabat ra Rub'ie bin 'Amir terhadap soalan Rustum panglima tentera Rom, yang menggambarkan kefahaman beliau tentang tujuan penciptaan manusia, katanya:

لقد ابتعثنا الله لنخرج من شاء من عبادة العباد إلى عبادة رب العباد ومن جور الأديان إلى عدل الإسلام ومن ضيق الدنيا إلى سعة الدنيا والآخرة

Maksudnya: Kami adalah tentera yang dihantar oleh Allah swt untuk mengeluarkan sesiapa yang berkehendak daripada penyembahan sesama manusia kepada penyembahan pencipta manusia, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam, dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.

2) Mengambil Qudwah Rasulullah saw dan para sahabat.

Berbanding agama lain, hanya Islam yang menekankan konsep qudwah dan uswatun hasanah. Ini disebabkan oleh kedudukan diri baginda saw sendiri yang telah menunjukkan qudwah dan contoh kepada umat Islam dalam pelbagai aspek. Firman Allah swt: al Fath: 29

Maksudnya: Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat ruku' dan sujud, Dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka - dari kesan sujud (dan Ibadat mereka Yang ikhlas).

Demikianlah sifat mereka Yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman Yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya.

(Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad saw dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki - dengan berkembang biaknya umat Islam itu. (dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.

Kita dapat mengambil qudwah daripada seluruh kehidupan Rasulullah saw; baginda sebagai anak saudara (kekeluargaan), baginda sebagai suami, menantu, ayah, datuk (kekeluargaan), baginda sebagai ketua tentera (keselamatan), baginda sebagai ketua negara (politik dan pentadbiran), dan sebagainya.

Allah swt telah mengakui keluhuran pekerti Rasulullah saw melalui firmanNya dalam surah al Qalam: 4 :

Maksudnya: Dan Bahawa Sesungguhnya Engkau mempunyai akhlak Yang amat mulia.

3) Mestilah optimis dengan kemenangan dan menjauhi pesimis.

Islam melarang umatnya daripada mempunyai perasaan putus asa, kecewa, dan pesimis dalam sesuatu isu dan keadaan. Firman Allah swt :

Maksudnya: Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum Yang kafir".

Dalam ayat ini Allah menegaskan bahawa golongan yang berputus asa adalah tergolong di kalangan orang-orang kafir. Lembaran sejarah ketamadunan Islam membuktikan kepada kita tiadanya perkataan putus asa dan pesimis dalam kamus kehidupan seorang muslim. Ia mengingatkan kita bagaimana kecekalan dan keyakinan khalifah pertama Abu Bakar as Siddiq dalam memerangi gerakan ar riddah dalam masa yang sama pada mulanya beliau tidak mendapat sokongan padu daripada para sahabat yang lain. Tetapi beliau tetap yakin dan percaya serta tidak putus asa dalam usahanya itu.

Begitu juga dengan kekuatan keyakinan dan perasaan optimis Salahuddin al Ayyubi ketika berhadapan dengan tentera Salibiyah, bahkan juga keazaman Saifuddin Qutuz yang berjaya mematahkan kemaraan tentera Tatar daripada memasuki Mesir.

Apa yang menghairankan kita ialah kenapa dengan tiba-tiba kita selaku pendokong pas berputus asa daripada sebarang usaha memperkemaskan jentera parti selepas sedikit ujian kekalahan dalam pilihanraya? Kita perlu melakukan sebagaiman yang dilakukan oleh panglima Khalid bin al Walid dalam peperangan Yarmouk yang telah melantik Miqdad bin 'Amru untuk membacakan surah al Anfal kepada tentera Islam, manakala Abu Sufian sebagai penceramah dan tukang cerita bagi membangkitkan semangat dan motivasi tentera Islam dengan kisah-kisah kegemilangan tentera Islam terdahulu dalam peperangan Badar al Kubro, Khaibar, Mu'tah dan lain-lain.

Renungi dan hayatilah firman Allah swt: an Nisaa': 104:

Maksudnya: Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada hari akhirat kelak). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

4) Mengetahui bahaya yang sedang melanda dunia Islam.

Naqibat mesti mengetahui perkembangan dan isu semasa dunia Islam antarabangsa kerana apa yang berlaku di Malaysia adalah juga hasil perancangan musuh di peringkat antarabangsa yang digerakkan secara kolektif dan terancang. Perbezaan yang wujud hanyalah character dan nama, manakala skripnya adalah sama dan seragam di seluruh dunia. Firman Allah swt: Ali Imran: 118:

Maksudnya: Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi "orang dalam" (yang dipercayai). mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. mereka sukakan apa Yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.

Hal ini lebih jelas dalam ucapan Raja Louis ke 9 di hadapan tentera Salibiyah selepas dibebaskan daripada penjara Dar Ibnu Luqman, Mansurah Mesir, katanya:

إذا أردتم أن تهزموا المسلمين فلا تقاتلوهم بالسلاح وحدة فقد هزمتم في معركة السلاح ولكن حاربوهم في عقيدتهم

Maksudnya: Jika kamu ingin menewaskan orang-orang Islam maka jangan perangi mereka dengan senjata semata-mata, telah terbukti kamu tewas, akan tetapi tumpukanlah serangan kamu terhadap aqidah mereka.

Selepas kejatuhan Soviet Union, pesaing tunggal kepada kuasa besar Amerika Syarikat dan pelobinya Yahudi adalah agama Islam. Tragedi 11 September telah dimanipulasikan untuk mengkambinghitamkan Islam dan umatnya. Kerajaan Afghanistan telah menjadi mangsa pertama, diikuti dengan Iraq dan kini mereka sedang berkira-kira untuk menyerang Iran ataupun Syria. Ini bagi merealisasikan penubuhan Israel Raya oleh Yahudi di tengah-tengah peta negara-negara Arab dengan selesa tanpa sebarang tentangan daripada blok negara-negara Islam.

Malaysia tidak terkecuali daripada perancangan jahat antarabangsa ini dengan beberapa isu yang berlaku diantaranya isu Sekolah Agama Rakyat (SAR), Kelab Mujahidin Malaysia (KMM), Interfaith Commission (IFC), dan sebagainya. Oleh itu sekiranya agenda musuh di peringkat antarabangsa ini dapat dikenalpasti maka memudahkan kita mengetahui apakah punca dan motif setiap isu yang berlaku di negara kita.

Benarlah fiman Allah swt dalam surah al Baqarah: 120:

Masudnya: Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar". dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu Yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.

5) Memperdalami uslub (teknik) paling berkesan dalam dakwah.

Ucapan yang paling baik adalah seruan kepada Allah swt dan ajaran Islam. Ia merupakan seruan kebenaran agar manusia dapat dikeluarkan daripada kegelapan taghut dan kejahilan kepada sinar keimanan dan keintelektualan. Firman Allah swt: Fussilat: 33:

Maksudnya: Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!"

Di kalangan manusia terdapat variasi penerimaan sesuatu seruan. Rasulullah saw telah menyatakan perumpamaan perbezaan tersebut sebagaimana tanah yang Allah swt jadikan dengan pelbagai jenis. Apabila hujan turun ada tanah yang boleh menakung air, ada yang boleh menakung tetapi hanya sebentar cuma, dan ada tanah yang poros langsung tidak boleh menakung air.

Oleh itu, naqibat perlu mahir ketika menyampaikan mesej dakwahnya. Inilah yang dinamakan hikmah sebagaimana firman Allah swt: an Nahl: 125:

Maksudnya: Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk.

Namun demikian persoalan uslub ini bukanlah yang paling utama kerana ia merupakan khilaf di kalangan para ulama' dalam menentukan teknik yang paling baik atau sesuai dengan sesuatu masa dan keadaan. Para ulama' sepakat menyatakan kewajipan amar ma'ruf dan nahi mungkar. Inilah yang perlu difokuskan dan diutamakan. Rasulullah saw bersabda:

عن النعمان بن بشير رضي الله عنهما عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : مثل القائم في حدود الله والواقع فيها كمثل قوم استهموا على سفينة فصار بعضهم أعلاها وبعضهم أسفلها فكان الذين في أسفلها إذا استقوا من الماء مروا على من فوقهم فقالوا : لو أنا خرقنا في نصيبنا خرقا ولم نؤذ من فوقنا فإن تركوهم وما أرادوا هلكوا جميعا وإن أخذوا على أيديهم نجوا ونجوا جميعا ( رواه البخاري )

Maksudnya: Perumpamaan di antara orang yang menjaga hukum Allah swt dan mereka yang melanggarnya adalah seperti satu kaum yang melakukan undian ketika menaiki sebuah kapal, maka sebahagian mereka mendapat undian duduk di bahagian atas kapal dan sebahagian yang lain di sebelah bawah. Kumpulan yang mendapat undian duduk di bahagian bawah kapal akan melalui sebelah atas apabila hendak mengambil air, lalu mereka berkata: Apa kata kalau kita tebuk sahaja sebelah bawah bahagian kita untuk ambil air, jadi kita tidak akan menyusahkan mereka yang duduk di bahagian atas. Sekiranya mereka ini dibiarkan sahaja melakukan kehendak mereka, maka mereka semua akan tenggelam, sebaliknya kalau mereka dipimpin (dicegah dan ditegur) maka mereka semua akan selamat.

Selain itu, perlu dijelaskan di sini bahawa di antara uslub (teknik) yang paling berkesan dalam dakwah ialah perbuatan seorang da'ie mestilah bertepatan dengan perkataannya, bermuamalah dengan penuh keikhlasan dan membuat kajian bi'ah terlebih dahulu. Ia boleh dibincangkan secara lebih terperinci dengan mengadakan bengkel perbincangan methodologi dakwah guna merumus cadangan serta kaedah-kaedah baru dalam urusan dakwah.

6) Memperteguh aqidah qadha' dan qadar.

Pengukuhan terakhir bagi naqibat yang ingin saya sentuh ialah dalam persoalan aqidah iaitu berkaitan dengan qadha' dan qadar. Keteguhan dalam persoalan ini menjamin keutuhan keyakinan dan ketenangan jiwa seseorang muslim. Ini kerana dia yakin bahawa semua cabaran dan ujian yang dilaluinya pasti mempunyai hikmah tersendiri yang hanya diketahui oleh Allah swt. Kerja buat musuh dan gangguan mereka tidak mampu memudharatkan jemaah kita melainkan dengan izin Allah swt.

Kefahaman ini adalah berdasarkan hadith Rasulullah saw yang berbunyi:

عن أبي العباس عبد الله بن عباس رضي الله عنهما قال : كنت خلف النبي r يوما فقال : يا غلام إني أعلمك كلمات : احفظ الله يحفظك احفظ الله تجده تجاهك إذا سألت فاسأل الله وإذا استعنت فاستعن بالله واعلم أن الأمة لو اجتمعت على أن ينفعوك بشيء لم ينفعوك إلا بشيء قد كتبه الله لك ، وإن اجتمعوا على أن يضروك بشيء لم يضروك إلا بشيء قد كتبه الله عليك ، رفعت الأقلام وجفت الصحف (رواه الترمذي)

Maksudnya: Berkata Ibnu Abbas: Suatu hari aku berada di belakang Rasulullah saw, baginda bersabda: Wahai budak, aku ingin mengajar kamu beberapa perkara: Peliharalah (kewajipan) Allah swt nescaya Allah swt akan memeliharamu, jagalah (hak-hak) Allah nescaya kamu akan dapatiNya membantumu, apabila kamu meminta mintalah kepada Allah, apabila kamu memerlukan bantuan mintalah bantuan daripada Allah, ketahuilah sesungguhnya jika suatu umat berpakat untuk memberikan manfaat kepadamu nescaya mereka tidak boleh memberi manfaat kepadamu melainkan sesuatu yang telah Allah swt tentukan kepadamu, dan jika mereka semua berhimpun untuk memudharatkanmu nescaya mereka tidak mampu melakukannya melainkan dengan sesuatu yang telah Allah swt tentukan ke atasmu, telah diangkat pena dan telah kering lembaran suhuf.

Ini menunjukkan tipu helah UMNO dan BN terhadap PAS dan BA bukanlah segala-galanya. Mereka tidak punya kuasa manfaat dan mudharat sebaliknya semuanya adalah dengan kehendak dan ketentuan daripada Allah swt. Keyakinan aqidah seumpama inilah yang perlu dipasakkan dalam hati kita. Yakinlah sesungguhnya usaha yang kita lakukan, peluh yang kita titiskan, harta yang kita infaqkan, masa yang kita luangkan dan perasaan yang kita korbankan tidak akan dipersiakan oleh Allah swt. Firman Allah dalam surah ar Rum: 47:

Maksudnya: Dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman.

Di samping itu, kerja buat yang kita lakukan juga perlu disusuli dengan tawakkal yang pasrah membulat kepada Allah swt. Kerana hanya Allah swt sahaja yang maha memberi hidayah kepada hambanya, kita hanya diminta berusaha dan berikhtiar, membuat proposal dan program tetapi Allah swt sahaja yang akan memberikan kefahaman kepada masyarakat lalu menerima agenda kita, begitu juga pencapaian sasaran objektif dan matlamat serta kesan yang mendalam kepada peserta sesuatu program. Serahkanlah segala urusan kita kepada Allah swt dengan hakikat tawakkal sebenar sebagaimana tawakkal seekor burung yang disebut oleh baginda saw:

عن عمر رضي الله عنه قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : لو أنكم تتوكلون على الله حق توكله لرزقكم كما يرزق الطير تغدو خماصا وتروح بطانا ( رواه الترمذي )

Maksudnya: Sekiranya kamu bertawakkal kepada Allah swt dengan sebenarnya nescaya Allah swt akan memberikan rezeki kepada kamu sebagaimana dia memberi rezeki kepada burung yang keluar dengan perut kosong dan kembali dalam keadaan kekenyangan.

KUALITI NAQIBAT DAN MUSLIMAT

Saya juga ingin mengenengahkan di sini secara ringkas tentang kualiti naqibat yang diperlukan dalam rangka mendepani cabaran dan isu dengan cemerlang. Di antaranya ialah:

1) kualiti ikhlas
2) kualiti taqwa
3) kualiti akhlak
4) kualiti mental
5) kualiti kerja
6) kualiti kemahiran
7) kualiti thaqafah

Kualiti tujuh perkara tersebut perlu dilunasi oleh kita semua kerana ia merupakan pemangkin ke arah pembinaan tenaga kerja naqibat yang berdaya saing dan berketerampilan. Ia juga menjamin kelangsungan istiqamah dalam perjuangan Islam.

Perkara istiqamah sangat penting dalam Islam kerana ia menjadikan seseorang itu kekal dalam jalan dakwah walau berhadapan dengan seribu satu mehnah dan tribulasi. Dia tidak mudah terpengaruh dengan suasana dan suara-suara yang menghasut. Berkenaan dengan perkara ini baginda saw bersabda:

لا تكونوا إمعة تقولون إن أحسن الناس أحسنا وإن ظلموا ظلمنا ولكن وطنوا أنفسكم إن أحسن الناس أن تحسنوا وإن أساءوا فلا تظلموا ( رواه الترمذي )

Maksudnya: Janganlah kamu menjadi seperti orang yang tidak mempunyai prinsip (pegangan) dengan berkata : sekiranya manusia baik maka kami akan baik dan jika mereka melakukan kezaliman maka kami pun akan berbuat zalim. Akan tetapi tetapkanlah diri kamu sekiranya manusia baik maka kamu akan lakukan yang lebih baik dan sekiranya mereka melakukan keburukan maka janganlah kamu melakukan kezaliman.

PENUTUP

Kesimpulannya dapatlah kita nyatakan bahawa kejayaan muslimah dan naqibat mendepani cabaran dan isu adalah bergantung kepada sejauh mana kemampuan kita mengukuhkan institusi naqibat dan kualiti diri muslimat itu sendiri. Melahirkan suatu barisan tenaga muslimat dan naqibat yang mantap dan bermutu adalah suatu jaminan dan syarat kejayaan jemaah dalam proses pembentukan sebuah jemaah yang kuat dan kukuh.

Sebaliknya kegagalan dan kepincangan di peringkat naqibat akan memberikan kesan yang buruk kepada pembentukan ahli jamaah. Hasilnya jamaah akan menghadapi kepincangan dan kelemahan yang silih berganti dan sukar di atasi. Apatah lagi untuk mendepani cabaran yang sedikit dan isu yang sangat remeh.

Saya berkeyakinan bahawa program-program seumpama ini yang merupakan sebahagian daripada usaha pemerkasaan muslimat dan naqibat perlu digerakkan dan diteruskan secara berkala guna memperbaiki kelemahan dan kekurangan. Manakala kekuatan yang dimiliki pula perlu untuk dikongsi secara kolektif dan dimanfaatkan secara maksimum.

Wassalam

Oleh: Abu Mus'ab bin Hj Abd Ghafir