" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Saturday, April 21, 2007

KENYATAAN MEDIA DPPP

Kes Subashini:
Satu ketidakadilan pada orang Islam, kenapa didiamkan?

Kes Subashini v Saravanan membuka sekali lagi lembaran baru pertembungan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil di negara ini.

Secara ringkasnya fakta kes ini adalah seorang wanita Hindu , Subashini Rajasingham telah berkahwin dengan seorang lelaki Hindu bernama Saravanan Thangathoray pada tahun 2001.

Hasil perkahwinan mereka terdapat dua orang anak iaiti Dharvin Joshua berumur 3 tahun dan Sharvind berumur 1 tahun. Saravanan kemudiannya telah memeluk agama Islam dengan nama Islamnya Muhammad Shafi.

Memandangkan isterinya kekal dalam agama Hindu, Muhammad Shafi tidak mempunyai pilihan selain daripada pergi ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan untuk mendapatkan perintah pembatalan perkahwinannya dengan isterinya yang masih beragama Hindu.

Menurut undang-undang Islam, perkahwinan Muhammad Shafi adalah dikira terbatal secara automatik apabila beliau memeluk Islam tatkala isterinya enggan masuk Islam dan kekal dalam agama Hindu.

Bagaimanapun di dalam undang-undang yang sedia ada Muhammad Shafi perlu mendapatkan perintah Mahkamah terlebih dahulu bagi membatalkan perkahwinannya dengan bekas isterinya tersebut kerana Seksyen 46 ( 1 ) Akta Undang-Undang Keluarga Islam ( Wilayah Persekutuan ) 1984 memperuntukkan bahawa:

“Jika salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan itu murtad atau memeluk satu kepercayaan lain daripada Islam , maka perbuatan yang demikian tidak boleh dengan sendirinya berkuatkuasa membubarkan perkahwinan itu melainkan dan sehingga disahkan demikian oleh Mahkamah.”

Muhammad Shafie tidak mempunyai pilihan selain daripada pergi ke Mahkamah Syariah kerana meskipun perkahwinannya dengan bekas isterinya dikawal oleh Akta Membaharui Undang-Undang ( Perkahwinan dan Penceraian ) 1976 ( selepas ini dirujuk sebagai Akta tersebut ) ,

Akta tersebut sendiri menghalang Muhammad Shafie untuk memfailkan petisyen penceraian di Mahkamah Tinggi ( Sivil ) kerana berdasarkan seksyen 51 Akta tersebut diperuntukkan:“ Jika satu pihak kepada sesuatu perkahwinan telah masuk Islam maka pihak yang satu lagi yang tidak masuk Islam boleh mempetisyen untuk penceraian.”

Berdasarkan seksyen 51 Akta tersebut adalah jelas Muhammad Shafie dihalang oleh undang –undang sivil sendiri untuk memfailkan petisyen penceraian di Mahkamah Sivil.

Seksyen 51 digubal di atas falsafah bahawa memasuki agama Islam dikira satu kesalahan matrimonial dan yang demikian pihak yang masuk Islam dinafikan haknya untuk mendapatkan remedi di Mahkamah Sivil.

Di dalam kes Pedley v Majlis Agama Islam , Pulau Pinang ( 1990 ) 2 MLJ 307 Y.A Hakim Wan Adnan menyatakan bahawa “ satu perkahwinan bukan Islam tidak dibubarkan apabila satu pihaknya memeluk Islam. Ia hanya memberi alasan kepada satu pihak satu lagi yang tidak masuk Islam untuk memfailkan petisyen penceraian ( di Mahkamah sivil ).

Meskipun di dalam kes tersebut Kadi Besar memutuskan bahawa perkahwinan di dalam keadaan tersebut akan dibubarkan mengikut undang –undang Islam, Hakim Wan Adnan menyatakan; “ pernyataan Kadi Besar itu tidak akan menjejaskan keadaan Plaintif di dalam pandangan undang-undang peribadinya dan undang-undang sivil negara.”

Kesan ketara seksyen 51 dalam konteks kes ini adalah perkahwinan antara Muhammad Shafie dan Subashini akan terus wujud selagi mana Subashini tidak memfailkan petisyen penceraiannya di Mahkamah Tinggi dan ini mendatangkan satu ketidakadilan kepada pihak yang masuk Islam.

Meskipun di dalam kes ini Muhammad Shafi telah mendapatkan perintah pembubaran perkahwinannya dengan Subashini di Mahkamah Syariah namun ianya tidak berkesan membubarkan perkahwinannya ke atas Subahsini , Ini kerana menurut seksyen 4 atau 8 Akta tersebut perkahwinan tersebut , jika sah hendaklah berterusan sehingga dibubarkan

( a ) dengan kematian salah satu pihak ;

( b ) dengan perintah sesuatu Mahkamah yang mempunyai bidangkuasa yang layak ; atau

( c ) dengan dikri pembatalan yang dibuat oleh sesuatu Mahkamah

“Mahkamah” di dalam seksyen tersebut ditakrifkan sebagai Mahkamah Tinggi atau Hakim Mahkamah Tinggi.

Di dalam kes ini bagaimanapun Subashini telah memfailkan petisyen penceraian di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi membubarkan perkahwinannya dengan Muhammad Shafi . Sebelum petisyen penceraian tersebut didengar, Subahsini telah membuat permohonan bagi mendapatkan perintah injunksi bagi :-

a.Menghalang Muhammad Shafi mengislamkan anak –anak mereka ;

b.Menghalang Muhammad Shafi untuk memulakan atau meneruskan prosiding berhubung dengan perkahwinan mereka dan anak-anak mereka di Mahkamah Syariah.

Mahkamah Tinggi yang mendengar permohonan injunksi tersebut meskipun pada awalnya membenarkan injunksi diberikan secara ex parte telah membatalkan perintah injunksi tersebut atas alasan-alasan berikut :-

a.Injunksi tidak boleh diberikan ke atas apa-apa prosiding di Mahkamah Syariah di bawah seksyen 54
(b) Akta Relif Spesifik 1950 kerana Mahkamah Syariah bukan Mahkamah yang lebih rendah daripada Mahkamah Tinggi;

b.“Subject matter” bagi permohonan injunksi tersebut adalah termasuk dalam perkara yang berkaitan undang-undang Islam maka berdasarkan Perkara 121 ( 1A ) Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa untuk mendengar permohonan tersebut.

Subashini telah memfailkan rayuannya di Mahkamah Rayuan dan di Mahkamah Rayuan dua orang Hakim ( Hakim Dato’ Suriyadi dan Dato” Hassan Lah ) telah memutuskan menolak rayuan Subashini manakala Hakim Gopal Sri Ram memberikan keputusan yang menentang ( dissenting judgment ).

Keputusan Mahkamah Rayuan khususnya keputusan Hakim Dato’ Hassan Lah telah dikritik secara bertalu-talu oleh pihak bukan Islam dan juga sesetengah orang Islam sendiri kerana Hakim tersebut telah memberikan satu pandangan bahawa Subashini masih mempunyai peluang ( recourse ) untuk pergi ke Mahkamah Rayuan Syariah jika beliau tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah kerana di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam ( Wilayah Persekutuan )1993 iaitu di bawah seksyen 53 terdapat peruntukkan yang membenarkan Mahkamah Rayuan Syariah untuk menyemak keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan permohonan Muhammad Shafie.

Yang Arif Hakim Hasan Lah di dalam penghakimannya menyatakan;

“ I think the wordings in that section ( section 53 ) is wide enough to enable the wife to apply to the Syariah Appeal Court to exercise its supervisory and revisionary powers to make the ruling on the legality of the husband's application and the interim order obtained by the husband on the ground that the Syariah Court had no jurisdiction over the matter as she is not a person professing a religion of Islam. The wife could have done that rather than asking the Civil Court to review the Syariah Court's decisions”.

Kritikan yang dibuat oleh pihak-pihak bukan Islam adalah Mahkamah Syariah tidak layak sama sekali mengadili orang bukan Islam dan cadangan Dato Hasan Lah adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa bidangkuasa Mahkamah Syariah hanya ke atas orang Islam sahaja.

Kritikan tersebut secara jelas mengabaikan atau mengenepikan perkara –perkara berikut :-

a.Cadangan Hassan Lah adalah bagi memberikan ruang untuk Subashini mendapatkan peluang untuk meminta Mahkamah Rayuan Syariah , sekiranya beliau tidak berpuashati , melihat atau menyemak legaliti keputusan Mahkamah Tinggi Syariah.

Dalam melakukan hal tersebut Subashini hanya perlu menulis surat kepada Mahkamah Rayuan Syariah untuk meminta Mahkamah Rayuan Syariah menyemak kembali keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan permohonan Muhammad Shafi

b.Tidak langsung membicarakan peruntukkan seksyen 51 Akta Membaharui Undang-Undang ( Perkahwinan dan Penceraian ) 1976 yang menghalang sama sekali Muhammad Shafi memfailkan penceraiannya dan mendapatkan perintah-perintah yang berkaitan ( ancillary orders ) di Mahkamah Sivil yang mana seksyen 51 ini adalah satu diskriminasi yang ketara ke atas orang Islam dan boleh dihujahkan bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan persamaan di sisi undang-undang ( equality before the law ).

c.Memaksa untuk Muhamad Shafie untuk tunduk dan menyerah diri kepada bidangkuasa Mahkamah Sivil ke apabila Muhammad Shafie dijadikan Responden di dalam petisyen penceraian yang difailkan oleh Subahshini di bawah seksyen 51 Akta Membaharui Undang-Undang ( Perkahwinan dan Penceraian ) 1976 sedangkan berdasarkan seksyen 3 ( 3 ) Akta tersebut secara jelas memperuntukkan bahawa Akta tersebut tidak terpakai kepada orang Islam tetapi enggan mengarahkan Subashini untuk tunduk kepada Mahkamah Syariah bagi mencabar keputusan Mahkamah Syariah.

d.Tidak langsung mengambil kira kritikan Hakim Dato Suriyadi di dalam penghakimannya kepada pihak-pihak yang menjadi pemerhati di dalam kes tersebut seperti Sisters In Islam, Woman's Aids Organization ( WAO ), Woman's Centre for Change ( WCC ), Bar Council dan yang lain yang meskipun diberi peluang untuk mengemukakan hujah mereka telah tidak membuat persiapan yang mencukupi ( ill prepared ) di dalam mengemukakan hujah bagi membantu Mahkamah.

Hakim Dato Suriyadi menyatakan, “ Well-intentionned third parties, championing certain views did not contribute much to the proceeding before us due to their ill preparedness.”

Kesimpulannya kes Subahsini ini merupakan satu lagi plot baru pihak-pihak tertentu memanipulasi keadaan bagi mewujudkan satu rasa tidak puas hati di kalangan bukan Islam khususnya terhadap peranan Mahkamah Syariah dan perlaksaaan undang-undang Islam di negara ini.

Dalam banyak keadaan isu-isu seperti ini disensasikan dengan diputarbelikan atau disembunyikan fakta atau isu yang sebenar. - mks.

Mohamed Hanipa Maidin
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Pusat.

1 Comments:

Anonymous Anonymous said...

IRC memang menyusup masuk dalam semua gerakan seperti IKD, UBU, GMI (mansuhkan ISA), Jalan Telawi, Institusi Usrah di kalangan plajar MMU, PKR (dekat dengan Anwar), reformasi, SIS, NGO liberal & pro-Yahudi spt ODC dan lain2 lagi … termasuk The Star, Berita Harian, Utusan, Karangkraf...

Lihat pengakuan terbuka fathi aris di sini http://usrah2007.blogspot.com/

10:57 PM

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home