" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Thursday, March 08, 2007

Muktamar Bukan Pasar Borong.

Muktamar Bukan Pasar Borong :
Surat Terbuka buat Semua

Saya terlebih dahulu mengucapkan selamat bermuktamar atau mesyuarat agong kepada semua ahli PAS di seluruh Negara yang kini sedang menghadapi musim muktamar di peringkat cawangan , kawasan dan dewan – dewan sebelum berlangsungnya muktamar penuh pada akhir bulan Mei kelak .

Semoga muktamar atau mesyuarat agong pada sessi ini berlangsung dalam suasana yang memberangsangkan ke arah membina reputasi parti yang hebat . Penuh dengan analisis dan post mortem yang jujur dan telus serta lontaran idea yang bernas dari perwakilan .

Apa yang lebih penting muktamar atau mesyuarat agong kali ini adalah peluang buat ahli memilih saf kepimpinan yang akan menerajui parti diperingkat masing – masing.

Persediaan Muktamar .

Muktamar merupakan medan buat pemimpin dan anggota parti menilai pencapaian semalam guna merangka strategi di hari esok . Kita diajar oleh Allah swt. sebagai seorang pejuang yang muttaqin pada hari ini agar senantiasa menghubungkan pencapaian semalam dengan langkahan yang akan dimulakan esok.

Firman Allah swt .

يا ايها الذين آمنوا اتقوا الله و لتنظر نفس ما قدمت لغد و اتقوا الله إن الله خبير بما تعملون

Wahai orang – orang yang beriman , bertaqwalah kepada Allah dan lihatlah apa yang telah dilakukan semalam untuk hari esok dan bertaqwalah kepada Allah , sesungguhnya Allah Tuhan yang Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan.

Surah al Hasyr. Ayat : 18

Justeru itu , sangat tidak wajar muktamar dibiarkan berlangsung suram dan hambar tanpa perbahasan yang mantap dan bernas hasil lontaran idea yang kritis dan dinamis .

Persediaan muktamar jangan hanya dilihat kepada penyediaan dokumen muktamar seperti minit , bag , name tag dan sebagainya tetapi mesti lebih ditumpukan kepada penyediaan idea yang mengandungi agenda dan objektif , menepati misi dan visi perjuangan kita untuk dilontarkan kepada parti di dalam sidang muktamar.

Saya secara kebetulan sering juga dijemput merasmikan mesyuarat agong PAS cawangan – cawangan malah juga PAS kawasan – kawasan demikian juga dewan – dewan .

Apa yang saya lihat , masih banyak cawangan , kawasan dan dewan yang gagal menepati erti mesyuarat agong atau muktamar yang sebenar . Mereka hanya sekadar membentang dan mengesahkan minit kemudian tergesa – gesa untuk pulang .

Mesyuarat agong itu berlangsung hampir sama dengan mesyuarat bulanan mereka , kecuali yang membezakan antara keduanya hanya pada majlis perasmian di mana mesyuarat agong ada perasmi yang diundang dari saf kepimpinan parti dan pemilihan saf kepimpinan yang baru pasa sessi mesyuarat agong yang ada pemilihan.

Fenomena ini tidak harus dibiarkan kekal tanpa penarafan semula terhadap standard muktamar atau mesyuarat agong tersebut. Sementelah pula kita berada di era globalisasi yang menyajikan pelbagai cabaran dan tentangan.

Mahu atau tidak , muktamar mesti hidup dengan menjana tenaga dan menggarap idea anggota parti agar menghasilkan satu gerakan yang hebat dan berkeupayaan tinggi mendepani segala cabaran dan menyerap segala tekanan.

Muhasabah dan analisa .

Muktamar jua ibarat makmal untuk melakukan bedah siasat terhadap aktiviti dan perjalanan parti secara telus dan jujur . Tidak menyembunyikan fakta apatah lagi menyelewengkannya.

Pemimpin dan anggota pula mesti berdada lapang dan bersikap mendengar pandangan dan cadangan serta teguran dan kritikan membina dari dua hala lalu mengikut apa yang terbaik daripadanya.

Firman Allah swt.

الذين يستمعون القول فيتبعون أحسنة أولئك الذين هداهم الله و أولئك هم أولوا الألباب

Orang – orang yang mendengar perkataan lalu ia mengikut apa yang terbaik , mereka adalah orang – orang yang Allah berikan petunjuk dan mereka adalah orang yang memiliki daya intelektual .

Surah az – Zumar . Ayat : 18

Perwakilan sayugianya jua mempunyai daya menganalisa yang baik terhadap perjalanan parti dan dibahas pula secara matang dan positif .

Amat malang perwakilan yang menghadhiri muktamar tanpa sebarang analisa terhadap perjalanan parti serta tidak pula mengetahui apa yang patut dibahas dan dibincang. Pendek kata , mereka hadhir dengan kepala kosong sekadar memenuhi kouta perwakilan .

Hasilnya , cawangan dan kawasan akan terus statik tanpa sebarang anjakan paradigma yang menepati zuruf dan perkembangan pemikiran masyarakat dewasa kini , malah cawangan dan kawasan tersebut dilihat ketinggalan bahkan usang berbanding zaman yang sedang mereka harungi .

Muktamar bukan Pasar Borong .

Saya ingin tegaskan di sini , bersesuaian pula dengan muktamar kali ini adalah sessi pemilihan saf kepimpinan , agar perwakilan masak dan matang dalam mengambil sikap memilih pemimpin .

Hindarkan pemilihan secara rambang tanpa menilai kemampuan dan kelayakan individu yang dipilih dan terlebih patut dihindari sebarang bentuk lobi – melobi yang negatif .

Neraca pertimbangan para perwakilan dalam memilih pemimpin mestilah sensitif dan peka terhadap keperluan jamaah dan tuntutan ummah jua mengambil kira kredebiliti pemimpin yang dipilih .

Firman Allah swt.

إن خير من استئجرت القوي الأمين

Sesungguhnya , sebaik – baik orang yang engkau berikan tugas adalah orang berkemampuan dan amanah .

Surah al Qasas . Ayat : 26

Memilih secara borong dan tangkap muat adalah trend yang mesti dielakkan dari terus mewarnai sikap kita memilih pemimpin di pelbagai peringkat parti.

Parti mestilah dibentuk dengan segala kemantapan dan kehebatan yang melibatkan struktur organisasi , karisma kepimpinan , kualiti anggota dan nilai aktiviti .

Perbaiki kelemahan Pasakkan Kehebatan .

Saban tahun , kita berhimpun dalam pertemuan tahunan yang disebut sebagai mesyuarat agong atau muktamar untuk mengesan kelemahan dan membina kekuatan .

Kelemahan tidak dikesan untuk kita saling salah menyalah dan tuding menuding antara satu sama lain , tetapi ianya dikesan untuk diatasi dan diperbaiki serta diinsafi agar kelemahan dan kepincangan bukan sahaja tidak dibiarkan tetapi dipastikan agar ianya tidak berulang lagi.

Semua pihak dikalangan kita bertanggungjawab menginsafi perkara ini. Jadikan kelemahan sebagai peluang memperkasa parti dan cermin menilai diri bukan orang lain .

Sebab itulah , saya harap kita tidak memusuhi kelemahan sebaliknya tangani kelemahan tersebut dengan tenang dan berhemah .

Kelemahan tidak menjadikan kita panik dan tergugat apalagi kecewa , sebaliknya tanggapilah ia sebagai peluang kedua untuk kita bangkit menaikkan taraf prestasi kita dalam perjuangan suci ini .

Kelemahan bukan dihukum tetapi dibaiki sementara kehebatan pula bukan dinanti tetapi dicari .

" Kabinet " Pilihanraya

Seperkara yang saya ingin ingatkan di sini , bahawa mesyuarat agong atau muktamar kali ini adalah bagi membentuk kabinet yang bakal menghadapi pilihanraya umum ke 12 .

Nota ini tidak boleh dipandang ringan melainkan skima pemilihan mestilah benar – benar kepada mereka yang layak dan sesuai dengan cabaran sessi yang dihadapi dan mereka pula mampu menjadi pelapis kepimpinan masa depan yang pastinya menjanjikan cabaran yang lebih sengit dan getir.

Lantaran itu , pencalonan dan pemilihan mesti melalui proses pengamatan dan penelitian yang serius . Dalam erti kata lain , kepentingan perjuangan dan parti sebagai platformnya mestilah dijadikan asas rujukan ketika meletak nilai kepada individu yang bakal dipilih sebagai pemimpin .

Rasa simpati , kecenderungan " kroni " , hebat berceramah , pengaruh peribadi dan sebagainya tidak wajar dijadikan sistem nilai dalam memilih pemimpin.

فإذا ضُيِّعَتْ الْأَمَانَةُ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ قال كَيْفَ إِضَاعَتُهَا قال إذا وُسِّدَ الْأَمْرُ إلى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ

Apabila berlaku penyelewengan amanah , maka tunggulah saat kehancurannya . Lalu sahabat bertanya , bagaimana penyelewengan itu ? Rasulullah saw bersabda : Apabila diserahkan tugas kepada mereka yang tidak layak maka tunggulah saat binasanya .

Riwayat Imam Bukhari di dalam sohihnya
Jilid 1 / Muka surat 33 . Kitabul ilmi .

Kewajipan Memilih Pemimpin .

Kewajipan kita memilih pemimpin yang layak dan mampu bekerja atau berjuang dengan " tangan " bukan hanya bekerja dan berjuang dengan " mulut " .

Kewajipan kita memilih memimpin yang membawa ideologi perjuangan Islam tulen , bukan mereka yang membawa agenda peribadi , apalagi membawa ideologi yang asing daripada perjuangan Islam .

Kewajipan kita memilih pemimpin yang jelas aqidah ahli sunnah wal jamaah , bukan mereka yang menganut fahaman sekular , syiah atau apa jua fahaman yang menyeleweng dari ahli sunnah wal jamaah .

Kewajipan kita memilih pemimpin yang muttaqin dan faham objektif serta matlamat perjuangan suci ini. Bukan hanya dilihat melalui karisma politiknya tetapi juga wibawanya sebagai seorang mujahid yang berjuang untuk menegakkan Islam secara syumul.

Kewajipan kita memilih pemimpin yang mengambil skima pentarbiyyah parti sebagai sebuah gerakan Islam dan memiliki syaksiyyah qiadiyyah yang soleh .

Kewajipan kita memilih pemimpin yang mempunyai semangat waja dan tenaga gigih untuk berjuang mendepani cabaran luaran mahupun dalaman sehingga Islam dapat dijulang dengan jayanya.

Surat terbuka ini .....

Akhirnya saya tujukan surat terbuka ini buat semua pemimpin dan anggota parti dipelbagai peringkat sebagai peringatan termasuk diri saya yang amat dhaif ini. Semoga muktamar kita melahirkan satu lonjakan dan rangsangan berjuang yang kian hebat dari semalam .

Mencetus gelombang kebangkitan dalaman parti , mengejutkan yang alpa dan membangunkan yang masih lena untuk segera meluru mengambil posisi masing – masing dalam menunai amanah besar perjuangan mulia ini .

Salam perjuangan dari saya
Hj. Nasrudin bin Hj Hassan at Tantawi
Pengerusi Lajnah Tarbiyyah dan Kepimpinan DPP Pusat.
Takbiir !

6 Comments:

Anonymous Anonymous said...

Satu kelemah yg saya nampak adalah cara pemilihan. Tidak semua perwakilan untuk kemesyuarat agung mengenali dan mengetahui peribadi calun. Ini kerana faktor kawasan yg luas dan juga bertukar orang yg sepatutnya menjadi perwakilan. (bidan terjun)

Apa yg saya nampak pemilihan calun drpd syura AJK cawangan cawangan lebih tepat (baik). Ini kerana kami membincangkan dgn detail berbanding pengundi yg sering mencalun berdasar pada kehadiran mesyuarat dan kenal secara kasar.

Sebelum mesyuarat untuk pemilihan calun bagi kawasan baru baru ini, saya menyebut, mungkin ini juga adalah termasuk apa yg kita panggil mengumpat yg dibenarkan! (tlg respon pandangan saya ini ).Ini kerana kami terpaksa menyebut kelebihan dan kekurangan calun calun yg dikemukakan oleh para ajk syura cawangan.(mengumpat tersebut habis di majlis itu shj)

Jika lah sidang pembaca semua bersetuju bahawa pemilihan calun untuk ajk kawasan lebih tepat (baik) jika dibuat oleh ajk syura cawangan (kerana kami membincangkan kelemahan dan kekuatan seseorang ) Kenapa tidak diangkat kertas pencalunan dari setiap cawangan cawangan serta dikira majoriti oleh SPR sebelum mesyuarat agung. Jika lah calun yg memperolehi majoriti tertinggi menarik diri maka ia jatuh kpd yg kedua terbanyak dan seterusnya.

Jadi semasa mesyuarat agung hanya menanti pengumuman, siapa yg terlantik. (telah dibersihkan drpd yg menarik diri oleh spr melalui tel dsbnya sebelum mesyuarat agung berlansung)

Kebaikanyanya.

1) Pilihan calun ajk kawasan yg lebih tepat orangnya.
2) Dapat jimat masa kerana lazimnya perbahasan diambil ringan kerana masa suntuk (byk hal lain yg juga aula)
3) Dapat bahasa lebih baik kerana cukup masa.

Pertanyaan:

Kalau cara ini baik kenapa perlu ditangguh sementara kita punya masa.
Perlukah kita terikat kemas dgn perundangan buatan manusia?

Insyallah akan di ringkaskan untuk dijadikan usul di mesyuarat agung terdekat ini dari balok baru, kuantan.

7:43 AM

 
Anonymous Anonymous said...

Surat terbuka dari seorang yg tidak menyertai mesyuarat agung...Besarlah murka Allah kepada yg bercakap tapi tak buat

11:13 PM

 
Blogger Us.Hj. Nasrudin Hj. Hassan At Tantawi said...

Assalamualaikum .

Siapa yang tak hadhir Mesyuarat Agung tu ? dan mesyuarat Agung kawasan mana ?

12:19 AM

 
Blogger Us.Hj. Nasrudin Hj. Hassan At Tantawi said...

Kalau dimaksudkan yang tidak hadhir itu saya , ( tanggapan dibuat dengan memahami perkataan sdr " surat terbuka dari seorang ..." sbb yg tulis surat terbuka itu ialah saya )

Maka suka saya maklumkan sehingga kini saya tidak menerima sebarang notis mesyuarat agung atau makluman berlangsungnya mesyuarat agong yang saya wajib hadhir kecuali Muktamar Agong Dewan Pemuda PAS Pusat yg akan berlangsung pada 30 dan 31 Mei 07 .

Saya adalah ahli PAS cawangan felda keratong 5 dalam kawasan Rompin .

Jika sdr seorang yang arif berorganisasi , perlembagaan parti menyebut soal notis mesyuarat agong mesti dihantar kepada ahli dalam tempoh 14 hari sebelum berlangsungnya mesyuarat agong tersebut.

Tidak mengapalah dengan notis tersebut , tetapi saya juga tidak menerima sebarang makluman seperti surat , e mail , telefon atau sms dari pihak PAS cawangan Felda keratong 5 untuk mesyuarat agong PAS cawangan tersebut ( yang saya tak tahu sampai hari ni , bilakah ia berlangsung )

begitu juga dengan kawasan Rompin . Tanpa sebarang makluman kecuali saya dihubungi oleh Timbalan yang diPertua PAS kawasan Rompin yg hanya bertanyakan soal pencalunan , apakah saya mahu bertanding atau tidak setelah saya dicalunkan untuk bertanding sebagai Yang diPertua dan juga AJK.

Saya bertanya berapa pencalunan yang saya terima sebagai calun YDP , pihak Timb YDP enggan memberi tahu dengan menyebut bhw itu rahsia walaupun sebenarnya itu adalah suatu yg tidak boleh dirahsiakan kpd individu yang dicalunkan.

Calun berhak tahu berapa pencalunan yang di perolehi sblm membuat keputusan utk bertanding atau tidak . Kecualilah nama cawangan yg mencalunkan , itu wajar dirahsiakan krn bimbang timbul suatu pra sangka kpd cawangan yg tidak mencalunkan.

Relevannya ialah calun dapat buat pertimbangan dgn bijak . katakanlah 20 cawangan dari 24 cawangan yg mencalunkannya , maka saya beranggapan langkah bijak ialah dia menerima pencalunan tersebut krn menghormati kehendak cawangan .

Tetapi , kiranya hanya 2 cawangan dari 24 cawangan yang mencalunkan , maka langkah yg bijak ialah menarik diri dari pencalunan dan memberi laluan kpd individu yang banyak pencalunan .

Saya menyebut ini bukan krn saya mahu bertanding , sekadar menegur masaalah merahsiakan jumlah pencalunan sebagai tidak wajar .

Saya sememangnya berhasrat dari awal utk menarik diri dari pencalunan YDP Rompin krn saya terlalu menghormati kepimpinan YDP yang sedia ada di Rompin , dimana saya rasa tiada sebab kenapa harus saya menandinginya .

Lagipun saya terlalu sibuk dengan Dewan Pemuda di peringkat negeri mahupun di Pusat .

Berbalik soal notis mesyuarat agong tadi , sungguh saya tidak menerimanya malah tidak tahu bila mesyuarat agung itu akan berlangsung kecuali beberapa hari sebelum itu . ( saya dapat tahu melalui perbualan telefon dengan seorang sahabat )

Sedang saya tidak dapat adjust program saya dlm tempoh sesingkat itu. Krn saya terpaksa menghadhiri program motivasi tarbiah di Kota tinggi dan Pasir gudang pada hari tersebut

Mungkin juga ada pihak lain memberi tahu saya semasa berbual di kedai kopi atau dalam pertemuan - pertemuan spontan yang tidak rasmi ( kalau ada ), tetapi maafkan saya . Saya langsung tidak mengingatinya . Saya harap Allah mengampuni saya .

12:45 AM

 
Blogger Us.Hj. Nasrudin Hj. Hassan At Tantawi said...

Tetapi mungkin tiada notis dari PAS kawasan krn saya tidak terpilih sebagai perwakilan ke mesyuarat agong PAS kawasan.

Sdg notis itu hanya wajib kpd perwakilan .

Maka tidak mengapalah saya tidak menjadi perwakilan , tetapi tidaklah saya menulis surat terbuka lalu disifatkan sebagai bercakap suatu yang tidak dibuat.

Apa pun sekali lagi saya mohon keampunan dari Ilahi atas apa jua salah dan dosa buat diri ini.

1:05 AM

 
Anonymous From Bentong With Love... said...

Satu statement yg baik berkenaan kepentingan muktamar tapi diganggu pula dengan persoalan2 yg bersifat peribadi..
takpe la, moga dijadikan pengiktibaran pada semua..
cuma yg saya nak tekankan di sini ialah, apabila dikenangkan kembali kenapa sesuatu muktamar menjadi hambar atau sekadar menjadi suatu agenda yg streotyep adalah kerana sikap di kalangan kepimpinan itu sendiri..
jika dilihat, aspek utama yg penting bagi merancakkan sesuatu muktamar pada saya adalah ucaptama ketua dpp itu sendiri..
pengalaman saya menghadiri muktamar baik diperingkat DPP kawasan atau di peringkat PAS kawasan itu sendiri, kebiasaaanya ucapan ketua hanya sekadar alu-aluan untuk menghargai kehadiran perwakilan dan perasmi lepas ada la maki2 sikit kat ameno..
ini sebenarnya satu kesilapan yang besar..
sepatutnya dalam ucapan ketua itulah dibentang secara ringkas atau dirumuskan segala gerak kerja yg dah dbuat, dirangcang atau akan dilaksanakan pada masa akan datang dalam organisasi pimpinannya kepada perwakilan agar ianya dapat membuka ruang atau modal yang sangat berkesan kepada perwakilan untuk berbahas, mencadang, mengkritik dan sebagainya..
saya yakin Insya-Allah, perwakilan akan lebih bersemangat dan bersedia untuk berkomitmen dengan ketua dan saf kepimpinan DPP Kawasan jika apa yang diucapkannya itu sampai dan berkesan ke dalam jiwa dan benak perwakilan...
ini tidak, jika sampai pada agenda laporan tahunan DPP, balik2 situasi bangau oh bangau yg timbul, natijahnya boleh dikatakan zero!!!lepas tu tahun depan situasi sama jugak la, naik mengantuk dibuatnya...
tiada feedback yang berkesan..
harap ustad dapat tekankan fenomena ini kepada semua ketua2 DPP seluruh negara agar hasrat untuk memastikan muktamar DPP kita ini berjalan lancar mengikut objektif dan matlamat sebenarnya...

9:07 AM

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

Links to this post:

Create a Link

<< Home