IRAN BUKAN KUAT KERANA SYIAH &
KITA LEMAH BUKAN KERANA AHLUS SUNNAH
KITA LEMAH BUKAN KERANA AHLUS SUNNAH
Tiga hari ( 6 hingga 9 April 07 ) saya berada di bumi Tehran untuk menghadhiri Muktamar Ad – Dauli al – I’syruun Lil Wehdatil Islamiyyah ( 20th International Islamic Unity Conference ) dengan pembentangan 36 kertas kerja oleh para ulama’ sunnah dan syiah , termasuk satu kertas yang dibentang oleh Dato’ Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi selaku anggota Majlis Taqrib Mazahib di peringkat antarabangsa .
Setelah saya meneliti hujjah , pandangan dan persoalan yang timbul sepanjang muktamar tersebut , dapatlah saya membuat kesimpulan awal bahawa Iran yang kini gah di peringkat antarabangsa dan digeruni oleh Eropah serta dibimbangi oleh barat , bukanlah kerana mereka menganut mazhab syiah .
Syiah adalah satu mazhab yang meletak cara fikir , aqidah , feqah dan segala cabang agama untuk pengikut mereka .
Demikian juga Ahlissunnah wal Jamaah adalah satu mazhab yang meletak cara fikir , aqidah , feqah dan segala cabang agama untuk pengikut mereka .
Persoalannya , kenapa hari ini Iran mencipta nama di peringkat antarabangsa dengan penampilan yang sangat menggerunkan musuh – musuhnya ?
Ramai menanggapi bahawa kehebatan itu adalah kerana mereka syiah , sehingga ada percubaan untuk memasarkan syiah ke pasaran terbuka termasuk ke negara kita bahkan jamaah kita.
Ini adalah tanggapan yang tidak benar !
Iran dan lebih 70% rakyatnya adalah syiah sejak lama dulu , sedang mereka menjadi hebat di persada antarabangsa , menggerunkan barat serta Eropah hanyalah dalam tempoh 30 tahun kebelakangan ini.
Sementara Ahli sunnah wal Jamaah , ulama’ dan para pejuangnya pernah menguasai 2/3 dunia sejak zaman Khulafa’ ar Raasyidin sehinggalah zaman kejatuhan Khilafah Othmaniyyah di Turki. Hanyalah dalam tempoh 100 tahun kebelakangan ini , penganut ahli sunnah wal jamaah dilihat lemah di pentas antarabangsa .
Kenapa Iran Kuat ?
Kekuatan Iran bertolak dari keberanian mereka , di atas nama jihad mereka menentang kuasa musyrikin mustakbirin dan tegas melabelkan Amerika sebagai Syaithanul Akbar . Kuasa politik mereka digunakan sepenuhnya untuk membangunkan jiwa insani yang bebas dari pengaruh ideology ciptaan manusia dan budaya hedonisme.
Ulama’ mereka sangat menguasai ilmu mua’asir dan tegas mencegah kemungkaran . Mereka tidak membenarkan anasir – anasir yang melalai dan melekakan ummah bertapak kukuh dalam negara mereka .
Mereka bangga dengan bahasa dan bangsa mereka. Malah mereka sangat optimis terhadap masa depan negara dan bangsa mereka untuk tampil bersaing di pentas antarabangsa tanpa mereka meninggalkan pegangan hidup mereka.
Mereka responsive terhadap perkembangan teknologi dunia dan mereka tidak prejudis terhadap rakyat sendiri untuk bangkit sebagai sebuah kuasa yang mampu bersaing malah mencabar kewibawaan kuasa besar dunia.
Kenapa Kita Lemah ?
Sekali lagi saya tegaskan bahawa kita tidak lemah kerana kita berpegang kepada mazhab Ahlis sunnah wal Jamaah tetapi kerana :
Kita tidak melaksanakan tuntutan jihad yang membebaskan ummah dari belenggu ideology ciptaan manusia malah lebih malang apabila negara kita menjadi negara pengkagum Amerika .
Budaya hedonisme yang melalai dan melekakan ummah membanjiri negara kita dan menjadikan generasi kita lemah mental dan cemar budaya serta rosak sosial.
Negara kita dan pemimpinnya sering bersikap prejudis terhadap bangsa sendiri malah tergamak menggadai dan menjual tanahair sendiri kepada pihak asing.
Ulama’ yang lesu dan hanya minat bertelagah dalam soal yang remeh seperti menyapu muka selepas solat dan seumpamanya sementara membiarkan pengaruh ideology modern ciptaan manusia membarah dalam masyarakat.
Benar Firman Allah swt :
و أطيعوا الله و رسوله و لا تنازعوا فتفشلوا و تذهب ريحكم واصبروا ان الله مع الصابرين
“ dan taatilah olehmu akan Allah dan RasulNya , Jangan sekali – kali kamu bertelagah kerana kelak kamu akan celaka dan hilang kekuatan kamu dan bersabarlah sesungguhnya Allah bersama orang – orang yang sabar ”
Surah al – Anfaal : 46
Ini satu reality yang mesti difahami oleh setiap individu dikalangan kita agar tidak menjadi fitnah . Menganggap kita lemah kerana pegangan kita terhadap mazhab ahlis sunnah adalah satu tanggapan yang tidak berasaskan melainkan mereka mempunyai agenda tersembunyi yang sangat mencurigakan.
Anggapan seperti inilah akhirnya membuatkan mereka meninggalkan fahaman ahlis sunnah dan mengimport fahaman syiah . Akhirnya penyebaran fahaman syiah yang sangat asing bagi masyarakat kita , hanya menimbulkan ketegangan dan pertelingkahan terutama dikalangan masyarakat awam.
Ingin saya tekankan di sini , bermula dari tanggapan yang silap akhirnya membawa mereka salah dalam mengambil langkah . Saya mungkin memahami maksud mereka supaya kita boleh menjadi kuat seperti Iran dan dikagumi oleh barat.
Tetapi , mestilah terlebih dahulu kita membetulkan tanggapan . Apabila betul tanggapan kita maka insyaallah , kita akan melangkah dengan betul dan benar.
Ahlus sunnah wal Jamaah Manhaj kita .
Kita tidak perlu membawa masuk syiah ke negara ini apatah lagi membawanya masuk ke dalam jamaah kita yang manhaj dan dasar perjuangannya sangat jelas termaktub dalam undang – undang tubuhnya bahawa ia berasaskan pegangan ahlus sunnah wal jamaah.
Apa yang perlu kita pastikan ialah menggerakkan ummah dan seluruh anggota jamaah supaya memahami , melaksana dan menghayati tuntutan perjuangan berasaskan jihad fi sabilillah agar seluruhnya bangkit membebaskan diri dari kepongan jahiliyyah modern.
Bangkit membebaskan diri dari perhambaan sesama hamba dan tidak lagi menjadi tikus di hadapan kuasa besar dunia. Berani memperjuangkan isu – isu yang melibatkan masa depan ummah biarpun ianya dicabar oleh kuasa mustakbirin.
Segala silibus dan modulnya untuk bergerak dan bangkit sebagai ummatul faadhilah sememangnya telah sedia wujud dalam manhaj ahlis sunnah wal jamaah .
Sebab itu , dalam artikel saya yang lalu , telah saya tekankan agar kita memahami manhaj perjuangan kita , insyaallah kita tidak keliru dalam menangani persoalan ini.
Menyokong Iran bukan bererti syiah .
Tatkala kita meletakkan prinsip politik kita di peringkat antarabangsa dan kita menyokong Iran dalam beberapa perkara dan isu , maka itu tidak bermakna kita menerima syiah dan menghukumkannya sebagai simpati terhadap syiah juga adalah suatu yang tidak wajar.
Mereka dengan mazhab mereka dan kita dengan mazhab kita , namun di sana kita mesti bersikap rasional untuk kita bersama dalam isu yang membawa kepentingan kita bersama sebagai ummat Islam .
Saya di sini bukan bertujuan malah tidak bermaksud berbincang soal syiah itu benar atau salah dan sesat atau tidak . Pun begitu suka saya jelaskan bahawa ulama’ ahlissunnah sendiri berbeza pendapat ( khilaf ) dalam menentukan kedudukan syiah.
Sebahagian mereka ( ulama’ ahlissunnah ) menganggap tidak semua mazhab syiah itu kufur dan sesat. Justeru itulah terlalu ramai ulama’ sunni yang bersetuju agar taqrib mazahib terus dilangsungkan agar tercapai matlamatnya untuk menyatukan ummat .
Antara ulama’ sunni ( sekadar membawa contoh ) yang bercakap soal taqrib ialah Syeikh Mahmud Syaltut rhm. , Imam Hassan al Banna rhm. , Syeikh Jaadul Haq a’li Jaadul Haq rhm. , Syeikh Ahmad Kiftaroo rhm. , Syeikh Dr. Yusuf al Qaradhawi , Syeikh A’li Jumuah , Syeikh Fathi Yakan , Syeikh Mohd Taqiy al Uthmani , Syeikh Mohd Sayyid Tantawi , Syeikh Mohd al Habib bin al Khojah , Syeikh Said Abdul Hafiz al Hajawi , Syeikh Dr. Wahbah az Zuhaili , Syeikh Dr.Mahmud Siyam , Syeikh Taajudin al Hilali Mufti Australia , Syeikh Dr. Ahmad Badruddin Hussun Mufti Am Syria dan ramai lagi .
Maksud saya , andai kufurnya syiah adalah merangkumi semua mazhab dikalangan mereka dan ianya muktamad dengan ijma’ nescaya tidaklah ulama’ – ulama’ sunni ini bercakap soal taqrib secara konsisten .
PAS selalu ke Iran maka PAS itu Syiah !
Inipun satu tanggapan liar yang tidak berasas . Malah lahirnya satu blog yang memfitnah secara terang – terangan bahawa PAS itu syiah menunjukkan bahawa mereka sedang melangsungkan agenda untuk melemahkan sokongan ummah kepada perjuangan Islam yang digerakkan oleh PAS .
PAS mempunyai dasar luar yang jelas untuk membina jaringan ummat Islam antarabangsa. PAS bukan sahaja selalu ke Iran , tetapi juga selalu ke Mesir , selalu Saudi , selalu ke Iraq , selalu ke Syria , selalu ke Turki , selalu ke Algeria , selalu ke Lubnan , selalu ke Pakistan , selalu ke United Kingdom , selalu ke Amerika . Kenapa hanya nampak PAS selalu ke Iran ? biasanya orang bermata juling yang memandang serong begitu .
Alhamdulillah , kali ini saya berkesempatan mengiringi Dato’ Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi ke Tehran selaku anggota Majlis Taqrib di Peringkat Antarabangsa untuk membentangkan Kertas kerjanya yang bertajuk :ثقافة الوحدة و المسؤلية المتبادلة .
Jelasnya kami tetap sunni . Bahkan yang hadhir kebanyakkannya adalah dikalangan sunni. Namun suatu yang menghairankan saya , biarpun berkali kita menegaskan bahawa PAS adalah sunni , mereka ( yang bukan PAS ) tetap mengatakan kita syiah. Sebenarnya apa yang mereka mahu ? dan apakah agenda mereka disebalik tohmahan bertubi kali itu ?
Sememangnya ada pihak yang cuba memasarkan syiah tetapi alhamdulillah PAS tidak pernah membelinya kerana PAS mempunyai produk “ halal ” sendiri iaitu Ahlis Sunnah wal Jamaah .
Saya akui bahawa PAS komited dengan agenda taqrib atas tujuan untuk membentuk kesatuan ummah yang mantap berhadapan penguasaan kuasa mustakbirin ke atas dunia hari ini. Memang sukar untuk mentaqribkan dua mazhab yang jauh berbeza ini , tetapi atas daya usaha para ulama’ yang ikhlas dari kedua – dua pihak telah banyak kepentingan bersama dapat dipelihara.
Jangan terperangkap dengan Agenda Amerika.
Rata – rata ulama’ dan penganut sunni daripada Iraq yang hadhir ke muktamar tersebut menjelaskan bahawa Amerika sedang melaga – lagakan antara sunni dan syiah di Iraq malah apa yang paling menyedihkan ialah kini berlakunya sunni membunuh sunni kerana salah faham dan khianat . Ini diakui sendiri oleh Ustaz Mahdi A’kif ketika menjelaskan bagaimana peranan Amerika di Iraq.
Ustaz Fathi Yakan turut mendedahkan kepada rombongan kami ketika Tuan Guru menziarahinya di Lubnan , bagaimana perancangan Amerika untuk melagakan sunni dan syiah di Lubnan tetapi alhamdulillah , berasaskan kerjasama dan persefahaman yang baik antara sunnah dan syiah maka di banyak tempat dan keadaan Amerika gagal untuk melangsungkan propaganda jahatnya.
Gerakkan Jihad dan Bangkitkan Ummah.
Kini menjadi tanggungjawab setiap individu dikalangan kita untuk menyedarkan ummah agar menyedari dan memahami siapakah musuh mereka yang sebenarnya.
Ummat Islam yang bermazhab sunnah sering dilabel lemah dan penakut bukan kerana mereka bermazhab sunnah tetapi adalah akibat mereka menerima ideology secular serta tanpa segan silu mereka tergamak ruku’ dan sujud dihadapan Amerika untuk menagih simpati .
Walaupun negara – negara mereka merdeka , tetapi mereka lemah tenaga zahir dan batin tanpa mampu berbuat apa – apa melainkan hanya melihat sayu ummat Islam diratah dan dijarah oleh Amerika dan sekutunya.
OIC yang secara kebetulannya pula Malaysia menjadi pengerusinya juga dilihat sangat tidak bermaya . Lemah segala siku tulangnya membiarkan ummat Islam dijajah dan diperkosa peradaban mereka.
Isu di sini bukan lagi antara sunnah dan syiah , tetapi antara kita dengan pelbagai isme yang kini disogok dan dipaksa dengan pelbagai helah ke atas ummat Islam. Isme yang mencairkan semangat Islam dan ruh jihad di kalangan ummat Islam . Bahkan turut melesukan ulama’ – ulama’ mereka yang hanya mencari makan dan kemewahan dunia dengan mengatasnama diri mereka sebagai ulama’ .
Tidak kurang juga ulama’ – ulama’ yang salah menyasarkan peluru . Menembak syiah bertalu – talu atau berdas – das dengan topic bahaya Syiah , tetapi membiarkan ummah menganut faham secular dan murtad meninggalkan ajaran Islam tanpa satu das pun peluru mengenai mereka.
Lebih menghairankan saya , mereka menentang syiah berapi – api dalam keadaan hanya beberapa orang sahaja yang terpengaruh dengan syiah di Malaysia , sementara mereka membiarkan pula ( tanpa serangan berapi ) ke atas ideology kuffar yang sedang mengasak ummah di Negara kita , sedang jutaan ummat Islam di negara kita terpengaruh dan menganut ideology – ideology yang menyesatkan ini.
Akhirnya saya menyeru agar semua pihak berperanan menyatukan saf ummat Islam dan meredakan pertelingkahan dalam perkara yang tidak membawa keuntungan kepada kita ummat islam seluruhnya.
Meletak agenda ummah mengatasi agenda peribadi . Kita saling bertolong bantu dalam perkara yang kita boleh dan mampu bersepakat padanya sekalipun sukar. Agar ta’awun dapat meringankan yang berat dan memudahkan yang sukar . Mengelak khilaf sedaya upaya dan sedia berlapang dada serta saling menghormati andai khilaf tercetus jua .
Marilah kita bekerja keras untuk Islam dan membawanya melepasi segala kepongan dan sekatan kuffar mustakbirin sehingga kalimah Allah menjadi kalimah yang paling tinggi dan tiada yang lebih tinggi mengatasinya.
Tempohilah segala jalan sukar dan jauh dengan penuh sabar dan gigih , nescaya kemenangan dan pertolongan Allah menanti kita dihujung cahaya .
Firman Allah swt :
و لينصرن الله من ينصره إن الله لقوى عزيز
…. Nescaya Allah akan memberi pertolongan ( kemenangan ) kepada orang yang menolong agamaNya . Sesungguhnya Allah swt maha Kuat lagi Maha Perkasa .”
Surah al Hajj : 40
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home