" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Tuesday, April 03, 2007

Menangani sebuah Krisis Kefahaman
Terhadap Perjuangan ini.

Krisis Kefahaman.

Kekeliruan dan kecelaruan fikrah yang dialami oleh pemimpin dan anggota sebuah gerakan Islam adalah suatu penyakit yang parah mengakibatkan berlakunya salah faham terhadap perjuangan dan matlamatnya.

Seringkali tindakan yang tidak berasaskan kefahaman yang jelas dan tepat, menghasilkan natijah yang yang salah dan tersasar dari matlamat yang murni.

Lebih malang kiranya salah faham itu membentuk satu manhaj perjuangan yang salah sedang mereka merasakan itu adalah suatu yang benar. Akhirnya mereka berjuang di atas landasan yang salah untuk tujuan yang salah pula.

Apa yang saya ingin tegaskan di sini ialah perlunya kita merungkai krisis kefahaman ini agar kekeliruan dan kecelaruan dapat di atasi dan kembali meletakkan mereka di atas landasan perjuangan yang benar bersama misi dan visi yang tepat. Seterusnya mendapat redho daripada Allah swt.

Saidina Omar al Khattab pernah menegaskan :

تفقهوا قبل أن تسودوا

Fahamilah oleh mu ( akan perkara agama dan urusan kepimpinan/perjuangan ) sebelum kamu dipilih menjadi pemimpin .

من يرد الله به خيرا يفقه في الدين

Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah swt. kebaikan nescaya Ia diberi faham tentang agama .

Riwayat Imam Bukhari dan Muslim

Pertama : Memahami Ghayah .

Ghayah adalah matlamat akhir yang ingin kita capai dalam perjuangan ini. Justeru itu , ghayah atau matlamat akhir kita Allah Jalla wa A’la . Segala yang kita lakukan dalam perjuangan ini tidak boleh bermatlamatkan selain dari Allah azza wa jalla kerana kelak menjadikan kita menyeleweng dari petunjuk Ilahi.

و أن هذا صراطي مستقيما فاتبعوه و لا تتبعوا السبل فتفرق بكم عن سبيله

“ dan sesungguhnya inilah jalanku yang lurus , maka hendaklah kamu mengikutinya dan jangan kamu mengikut jalan – jalan yang lain kerana kelak akan menyelewengkan kamu dari jalan Allah swt.”

Surah al Ana'am : 153

Apabila kita benar – benar memahami bahawa matlamat akhir kita ialah Allah swt. , maka kita akan memiliki jiwa yang optimis terhadap kemenangan Islam yang kita perjuangkan dan hati yang tenang sekalipun berhadapan dengan cabaran yang getir lantaran tawakkal yang kukuh berpaut kepada Allah swt.

Allah swt. sebagai matlamat akhir perjuangan ini meletakkan kita ikhlas dan tajarrud dalam perjuangan demi mencapai nilai dan standard tawajjuh kepada Allah swt.

Saat itu , tidak akan berlaku lagi pergelutan dingin merebut jawatan kerana hubbur riyaasah atau gila jawatan atau berasa resah dan penat sehingga mahu menarik diri dari medan perjuangan yang serba mencabar ini .

Sebaliknya bangga dan puas dengan apa yang dilakukan untuk Islam ini , sekalipun hanya sebagai penampal poster dan pengedar handbill justeru matlamat akhirnya ialah Allah swt. yang pasti memberikan ganjaran bernilai terhadap usaha untuk menegakkan agamanya.

Saya harap semua pemimpin dan anggota jamaah kembali menghayati slogan perjuangan kita yang saya lihat sedikit sebanyak makin diabaikan :

الله غايتنا
Allah Matlamat kita
الرسول قدوتنا
Ar Rasul Ikutan Kita
القرآن دستورنا
Al Quran Perlembagaan Kita
الجهاد سبيلنا
Al Jihad Jalan Perjuangan Kita
الموت في سبيل الله أسمى أماننا.
Mati Syahid di atas Jalan Allah setinggi – tinggi cita – cita Kita .

Kedua : Memahami Hadaf .

Hadaf ialah matlamat semasa atau objektif yang ingin dicapai bersama perjuangan ini. Gagal memahami hadaf atau objektif memungkinkan kita berjuang tanpa sebarang pencapaian atau paling tidak menjadikan kita sukar dan semakin jauh dari destinasi.

Sebagai contoh , antara hadaf yang ingin kita capai ialah tertegaknya daulah islamiyyah di atas tanahair kita.

Mereka yang memahami hadaf atau objektif perjuangan ini akan memastikan dirinya berjuang gigih tanpa lengah dan membazirkan waktu dengan perkara yang tidak mendatang faedah buat diri dan perjuangannya.

Apa yang lebih penting untuk tahqiqul hadaf , kita terlebih dahulu diwajibkan menghayati objektif yang ingin dicapai . Sebagai contoh tadi , Daulah Islamiyyah menjadi salah satu hadaf kita yang ingin dicapai , maka kita dituntut supaya memahami dan menghayati terlebih dahulu nilai dan ruh Daulah Islamiyyah di dalam jiwa dan kehidupan kita.

Al Imam Hasan Hudhaibi pernah menyebut :

أقيموا دولة الإسلام في قلوبكم تقم على أرضكم

Tegakkan Negara Islam dalam diri kamu nescaya ia akan tertegak di atas tanahair kamu

Malang , andainya kita meletakkan Daulah Islamiyyah sebagai objektif perjuangan ini sedang kita bukan sahaja tidak memahami prinsip dan ciri – ciri daulah islamiyyah bahkan tidak menunjukkan syakhsiyyah sebagai seorang pejuang yang berjuang untuk menegakkan syariat Islamiyyah .

Manakan tidak , semangat berkobar – kobar untuk menegakkan Negara Islam tetapi ibadat kita “hancur” , tawakkal kita lemah dan fikrah kita hambar . Tentu sahaja semangat tidak memadai untuk mencapai objektif yang telah kita gariskan .

Begitulah apabila kita turut meletakkan Dakwah Islamiyyah antara objektif kita. Kita mestilah terlebih dahulu menghayati criteria ad daaei atau pendakwah yang berkesan. Bahkan kita sewajibnya menguasai methodology dakwah yang efektif berasaskan maudhu’ dakwah yang tepat dan bersesuaian dengan tahap madu’u .

Bertindak melulu dalam usaha dakwah tanpa memahami dan menghayatinya inilah yang melahirkan pelbagai polemic dan kontraversi . Ada yang menggunakan perkataan kesat dan kasar dalam ucapan atau ceramah , akhirnya menjauhkan madu’u dari perjuangan kita .

Demikian juga sebuah penampilan yang tidak sesuai dengan masyarakat atau audien sehingga menimbulkan rasa jengkel di hati madu’u .

Firman Allah swt :

فبما رحمة من الله لنت لهم ولو كنت فظا غبيظ القلب لانفضوا من حولك

Maka dengan rahmat Allah , engkau ( Muhammad saw ) berlaku lemah lembut terhadap mereka . Sekiranya engkau bersikap keras dan berhati kasar , tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitarmu .

Surah Aali Imran : 159

Sebagai pemimpin biarpun di mana jua peringkat kepimpinan kita dan sebagai anggota sekalipun kita hanya ahli biasa , berilah perhatian terhadap persoalan ini. Fahami objektif atau hadaf ini sedalam – dalamnya .

Kita bukan berdakwah dan berceramah untuk mencari publisiti , apalagi laba duniawi . Kita berdakwah untuk membawa mesej perjuangan kita kepada masyarakat agar mereka menerima Islam.

Bertolak dari keinsafan ini , sampaikan Islam dengan penuh penghayatan terhadap kandungan Islam itu sendiri dan jiwailah ia dalam penyampaian kita agar dakwah kita menembusi jiwa madu’u.

Firman Allah swt :

ادع إلى سبيل ربك بالحكمة و الموعظة الحسنة و جادلهم بالتي هى احسن .

Berdakwahlah mengajak manusia kembali kepada tuhanmu dengan hikmah , nasihat yang baik dan debatlah mereka dengan cara yang terbaik.

Surah an Nahl : 125

Ketiga : Memahami Manhaj .

Landasan dan hala tuju perjuangan Islam sewajarnya difahami secara jelas sebagaimana jelasnya Islam itu sendiri sebagai cara hidup yang diwahyukan Ilahi .

Al Quran dan Sunnah mendasari manhaj perjuangan kita . Kita bergerak dan membentuk polisi perjuangan berasaskan wahyu dan sunnah bukan nafsu dan aqal yang terpisah dari wahyu Allah .

Firman Allah swt :

ثم جعلناك على شريعة من الأمر فاتبعها و لا تتبع اهواء الذين لا يعلمون .

Kemudian kami telah meletakkan engkau di atas syariat ( peraturan agama ) , maka ikutlah peraturannya dan janganlah engkau mengikut nafsu mereka yang tidak mengerti.

Surah al Jaathiyah : 18

Secara organisasinya , jamaah kita berperlembagaan dan dipimpin melalui konsep syura. Kita telah menggariskan polisi dan manhaj perjuangan ini serta menurunkannya kepada setiap peringkat jamaah .

Ianya mesti difahami dan dihayati . Pengamatan saya mendapati masih ramai yang kabur mengenainya biarpun mereka telah lama menyertai jamaah . Fenomena ini berlaku kerana mereka menyertai jamaah tanpa memahami dan mendalami manhaj perjuangan.

Sebagai contoh , Jamaah kita mengambil pendekatan Muwaajahah bissilmi sebagai polisi perjuangan kita di Malaysia . Pendekatan ini merumuskan satu jawapan yang akhirnya membawa penyertaan kita dalam persada politik tanahair sekaligus menyertai pilihanraya.

Pihak yang tidak memahami manhaj kita sering menuduh bahawa kita salah dan bercanggah dengan syara’ kerana menyertai pilihanraya dan demokrasi . malangnya ada dikalangan ahli jamaah terpedaya dengan tuduhan tersebut. Ini adalah kerana mereka tidak memahami manhaj perjuangan sendiri .

Ada pemimpin yang turut keliru terhadap manhaj perjuangan mereka sendiri. Ini suatu yang sangat malang , namun ianya satu reality .

Realiti ini berlaku kerana sebahagian mereka tidak menyertai usrah atau liqa’ fikri anjuran jamaah sebagai medan untuk memahami dasar dan manhaj perjuangan. Saya sifatkan mereka yang menyertai jamaah tetapi tidak menyertai usrah sama seperti mereka masuk sekolah tetapi tidak masuk kelasnya.

Biarpun sekolah itu adalah sekolah yang ternama dan tersohor dengan kegemilangannya, tetapi keengganan memasuki kelas hanyak mengekalkan kebodohan dan kejahilan mereka. Tiada apa yang dapat mereka pelajari tanpa memasuki kelas.

Ketidakfahaman terhadap manhaj perjuangan inilah menyaksikan pelbagai aliran yang bercanggah cuba disogok kepada ahli jamaah .

Ada yang cenderung membawa aliran syiah semata – mata kerana tersilau dengan kehebatan Iran , sedang Iran bukan hebat kerana mereka syiah dan kita lemah bukan kerana kita ahli sunnah wal jamaah.

Mereka menjadi kuat kerana kesediaan pemimpin dan rakyat mereka menolak ideology barat dan menggerakkan kebangkitan rakyat mereka di atas nama jihad untuk menentang kuasa besar dunia yang digelar mereka sebagai syaithanul akbar.

Sementara masyarakat kita yang mendakwa diri mereka sebagai ahli sunnah wal jamaah tetapi menganut faham dan ideology barat serta mengikis semangat jihad daripada diri mereka. Ini menjadikan diri mereka lemah dibawah pengaruh barat .

Lantaran itu , membawa masuk fahaman atau aliran syiah ke dalam jamaah ini untuk menjadikannya kuat adalah suatu langkah yang salah dan tidak membawa sebarang faedah . Sebaliknya apa yang penting ialah menyalakan semangat jihad dikalangan ummah dan mendidik mereka agar menolak fahaman dan ideology asing dari terus menguasai minda dan jiwa ummah.

Begitu juga ada pihak yang cuba menyeludup aliran liberal memasuki jamaah untuk mengelirukan ahli dan terdapat juga yang anti ulama’ dengan tanggapan serong bahawa ulama’ tidak pandai dan mampu memimpin serta jahil berorganisasi.

Semuanya adalah terhasil daripada kekeliruan terhadap manhaj perjuangan sendiri .

Keempat : Memahami Bia’h . ( reality )

Kebenaran Islam mestilah disampaikan melalui kaedah dan cara yang benar , pula penampilan dan method yang tepat dan sesuai .

Perkara ini memerlukan kita memahami bia’h atau reality yang dihadapi dengan ijtihad yang tepat supaya Islam dapat sampaikan dengan baik kesetiap hati sanubari masyarakat , sementara dalam masa yang sama kita mestilah memelihara prinsip Islam.

Kita mestilah terbuka tetapi jangan hanyut dalam arus massa sebagaimana kita mestilah berprinsip tetapi jangan jumud dalam berfikir dan bertindak.

Tidak memahami bia’h menyebabkan kita bertindak salah dengan meletakkan suatu yang benar pada tempat yang salah dan masa yang salah pula.

Kajian terhadap tahap keupayaan minda masyarakat dan tuntutan ummah terhadap kehadhiran perjuangan kita serta keperluan jamaah dalam mendepani cabaran masa kini menjadi syarat dan bukti kita memahami bia’h.

Kita tidak boleh syok sendiri dan mementingkan diri serta mencari kepuasan sendiri tanpa memikirkan apakah pendekatan kita sesuai dengan zaman dan method kita diterima masyarakat umum ?

Kelima : Memahami Isti’dad . ( persediaan )

Allah berfirman :

و اعدوا لهم ما استطعتم من قوة و من رباط الخيل ترهبون به عدو الله و عدوكم

Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu akan musuh Allah dan musuh kamu .

Surah al Anfaal : 60

Kita tidak boleh berjuang semborono tanpa persiapan . Sungguhpun perjuangan ini membawa Islam sebagai dasar perjuangannya , kita tidak diajar menyerah kepada taqdir tanpa usaha gigih untuk membawa Islam kembali ke orbitnya yang mengatasi segala ideology yang dicipta oleh manusia.

Persediaan dan persiapan yang akan dilakukan mestilah pula mengambil kira kekuatan yang ada pada musuh dengan tidak lupa untuk menangani kelemahan yang ada pada kita .

Saidina Omar al Khattab menyatakan :

إنما تنقض عرى الإسلام عروة عروة اذا نشأ في الإسلام من لا يعرف الجاهلية

Akan terungkai tambatan Islam serungkai demi serungkai dari leher ummat Islam apabila berleluasa di dalam Islam mereka yang tidak mengetahui sepak terajang jahiliyyah.( musuh )

Persiapan kita mesti mantap terhadap 2 faktor kemenangan .

Faktor pertama ialah Faktor Penentu iaitu Allah Qadhi Rabbul jalil.

Hubungan kita dengan Allah mestilah akrab guna meraih taufiq dan nusrah buat perjuangan yang kita dokong ini justeru ia lah Tuhan yang akan menentukan kemenangan dan kejayaan kita .

Jangan putuskan hubungan antara kita dengan Allah swt. malah jangan biarkan hubungan kita dengan Allah berlangsung dalam keadaan hambar .

يا ايها المزمل قم اليل إلا قليل نصفه او انقص منه قليلا
او زد عليه و رتل القرآن ترتيلا إنا سنلقى عليك قولا ثقيلا

Wahai orang yang sedang berselimut ! bangunlah pada malam hari kecuali sedikit iaitu separuh atau kurang sedikit dari itu atau lebih dari seperdua itu dan bacalah al quran dengan tartil , Sesungguhnya kami akan menurunkan perkataan yang berat kepadamu.

Surah al Muzammil : 1 - 5

Faktor kedua ialah Faktor Membantu .

Kita tidak boleh memandang sebelah mata terhadap factor - factor ini sekalipun ia hanyalah factor yang membantu . Faktor ini tergolong dalam ikhtiar yang diwajibkan oleh syara’ kepada kita .

Faktor ini dalam bentuk dana ekonomi yang kukuh , organisasi dan jentera penggerak yang mantap , anggota yang ramai , pengaruh yang lebar dan sebagainya.

3 Comments:

Anonymous Anonymous said...

moga perjuangan kita diberkati Allah....Ya Allah bantu lah kami menusuri jalan ini.....

1:59 PM

 
Anonymous Anonymous said...

perjuangan ini memang banyak ujiannya.....harap kita dapat saling ingat mengingati untuk terus istiqamah atas jalan ini....

6:30 PM

 
Anonymous Anonymous said...

alhamdulillah,

Saya menunggu2 artikel seperti ini. Membebaskan PAS dari fahaman2 karut Islam liberal, Syiah dll.

12:24 PM

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home