" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Saturday, October 27, 2007

Demokrasi , Reformasi
atau Revolusi

Written by Herman Samsudeen

Demokrasi ialah suatu sistem berkerajaan dimana kuasa menggubal undang-undang dan struktur kerajaan adalah ditentukan oleh rakyat. Dalam sistem demokrasi, undang-undang digubal samada oleh rakyat atau wakil yang dipilih oleh rakyat. Sebuah negara atau kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi adalah dipanggil negara atau kerajaaan yang demokratik.

Demokrasi

Perkataan demokrasi ini berasal dari Yunani 'demo' bermaksud "rakyat", ditambah pula dengan 'krasi' bermaksud "memerintah", dengan kata hubung yang memberi maksud "Diperintah oleh Rakyat". Terma ini kadangkala digunakan untuk mengukur sejauh mana pengaruh rakyat diatas kerajaannya.

Demokrasi secara ekstrim boleh dilihat dalam sistem kerajaan seperti anarkisme dan komunisme (menurut teori Karl Marx ia merupakan peringkat terakhir pembangunan sosial dimana demokrasi adalah diamalkan secara langsung, dan tiada kerajaan yang bebas dari kehendak rakyat).

Demokrasi cara Islam pula mengutamakan kesejahteraan rakyat dan negara berbanding dengan diri pemimpin. Kekayaan dibahagi samata rata, penindasan hatta terhadap haiwan dan alam sekitar juga tiada. Undang-undangnya juga berasaskan kepada al-quran, sunnah, ijmak, qias dan ijtihad pemimpin.

Demokrasi moden mempunyai sifat-sifat dengan institusi-institusi berikut:

Perlembagaan yang menghadkan kuasa dan kawalan operasi formal kerajaan, samada secara tulisan, secara norma atau gabungan kedua-duanya. Lazimnya Perlembagaan akan memasuki doktrin pembahagian kuasa iaitu, eksekutif, perundangan dan kehakiman untuk memastikan seseorang itu tidak diberi lebih dari satu kuasa.

Pilihan raya untuk memilih wakil-wakil rakyat, yang dikelolakan secara bebas dan adil

Rakyat diberi hak mengundi

Kebebasan bersuara (berceramah, berhimpun dan sebagainya)

Kebebasan akhbar dan akses kepada media lain

Kebebasan persatuan

Semua orang dalam masyarakat menikmati hak yang sama dari segi undang-undang. Salahsatu pra-syarat demokrasi ialah wujudnya Aturan Undang-Undang Rule of Law

Rakyat yang berpendidikan dan berpengetahuan tentang hak asasi manusia dan tanggungjawab sivik

Demokrasi Satu Pihak Di Malaysia

Demokrasi di Malaysia pula agak berbeza dengan apa yang kita biasa fahami. Dinegara ini demokrasi dierti dengan takrifan demokrasi satu pihak dan ditopengkan dengan metafora Demokrasi Berperlembagaan. Dan lembaga itu adalah Barisan Nasional (BN).

Doktrin pengasingan kuasa tidak wujud langsung dalam sistem demokrasi Malaysia. Ketua Negara juga adalah orang yang sama mengepalai badan eksekutif dan perundangan. Dalam badan kehakiman beliau menjadi penasihat malah dalam perlantikan Agung juga beliau mempunyai pengaruh untuk memberikan nasihat.

Penguasaan keseluruhan sistem kerajaan dibawah seorang individu bernama Perdana Menteri menjadikannya lebih berkuasa dari kepala Negara iaitu Yang DiPertuan Agong. Walaupun Malaysia mengamalkan demokrasi berparlimen yang meletakan YDPA sebagai orang yang tertinggi sekali pangkatnya, tetapi dalam segala urusan negara nasihat Perdana Menteri kepada YDPA adalah satu kemestian.

Secara tidak langsung, tanggungjawab berprotokol ini menjadikan Perdana Menteri sebagai mastermind dibalik sistem berkerajaan negara. YDPA hanya menjadi simbolik kepada arca pentadbiran negara.

Pilihanraya yang diadakan di Malaysia juga agak terpencil dari maksud dan tuntutan demokrasi sebenar kerana tidak semua rakyat berhak untuk menjadi calon dan tidak semua orang berhak mengundi.

Malah penguasaan Barisan Nasional yang sekian lama menjadikan mereka begitu berpengaruh dalam agensi Kerajaan. Dalam hal ini Suruhanjaya Pilihanraya diletakan sebagai badan tidak bebas, dirantai hidungnya untuk memenuhi segala fikiran pemimpin BN. Peraturan dipinda mengikut kesesuai pemimpin BN.

SPR tidak berhak membubarkan parlimen dan mengistiharkan pilihanraya kerana ia tertakluk dibawah kuasa Perdana Menteri yang mengepalai BN. SPR juga dikunci tangannya untuk membuat sebarang pembaharuan melainkan dengan izin Perdana Menteri. Perlantikan pengerusi dan jawatankuasa malah kakitangan SPR juga dibawah pengaruh Perdana Menteri.

Ini menjadikannya sebagai badan tidak bebas dan berat sebelah. Mereka dilacurkan atas nama demokrasi yang mana mereka perlu menyusun peta parlimen dan DUN mengikut potensi kemenangan pemimpin BN. Prestasi mereka bergantung pada bentuk arahan yang dikeluarkan.

Malah adakalanya ketidakcekapan berlaku hingga menyebabkan peti undi bocor dan kertas undi ditemui ditepian jalan. Pengundi hantu berleluasa, penggundi tempatan dipindahkan jauh dari wilayah asal dan macam-macam lagi.

Hak mengundi rakyat seperti satu permainan. Siapa yang nak berpolitik boleh daftar dengan SPR sebagai pengundi. Siapa yang tak nak tak apa. Seharusnya negara yang telah separuh abad merdeka ini mendaftarkan rakyatnya secara automatik selepas mereka genap 21 tahun tanpa perlu menunggu mereka datang mengadap pegawai SPR.

Data dari Jabatan Pendaftaran Negara boleh dipindah masuk kedalam database SPR dengan mudah dan para pengundi boleh terus memeriksanya tanpa perlu bersusah payah mengisi borang pendaftaran pengundi.

Demokrasi di Malaysia juga dilorongkan dengan pemikiran sempit pemimpin ditaktor BN yang tidak membenarkan kebebasan bersuara, berhimpun dan berceramah. Surat Khabar dan media dikawal ketat dan tidak dibenarkan memprotes kerajaan secara terbuka. Segala kecurangan pemimpin BN menjadi Rahsia Besar Negara dan sesiapa yang membongkarnya boleh dikenakan OSA dan yang ingkar boleh diugut ISA.

Persatuan-persatuan dan organisasi politik juga tidak bebas kerana diugut dan pemimpin mereka sering di ISA kerana tidak sehaluan dengan BN. Mereka akan dituduh Cauvinis bila menuntut apa-apa yang mereka fikirkan patut bagi kaum mereka atau kumpulan mereka.

Suara mereka disempitkan dan media arus perdana tidak dibenarkan mengambil apa-apa ucapan atau gambar pemimpin yang disifatkan pembangkang untuk disiarkan dalam media mereka tanpa keizinan pemimpin BN.

Hanya berita-berita yang memburukkan pembangkang sahaja dibenarkan untuk disiarkan malah ada yang dituduh sebagai komunis dan perusuh akhir-akhir ini.

Dalam urusan undang-undang, tidak semua rakyat mendapat layanan yang sama. Sekumpulan manusia yang dikategorikan sebagai VVIP terlepas dari bebanan undang-undang negara. Bila mereka buat jenayah, maka orang yang melaporkan akan disiasat, bahan bukti yang yang diberikan akan disiasat, tetapi orang yang dituduh dibiarkan bebas.

Undang-undang juga gagal untuk menjaminkan kesejahteraan rakyat kerana badan eksekutif dan kehakiman yang tidak berkuasa sepenuhnya bagi melaksanakan undang-undang ini. Rakyat semakin takut dengan kadar jenayah yang naik mencanak-canak.

Tiap-tiap tahun ada sahaja rang undang-undang baru diluluskan tetapi negara semakin parah kerana tiada sebarang pelaksanaan yang serius. Undang-undang hanya terpakai bagi mereka-mereka yang mengancam atau tidak sehaluan dengan pemimpin BN.

Rakyat juga dihalang untuk mengetahui hak-hak mereka. Kempen kesdaran sivik yang dilakukan tidak merangkumi keseluruhan informasi yang wajar diketahui rakyat. Pegawai-pegawai Kerajaan BN naik tocang kerana rakyat tidak tahu hak mereka di Hospital, Hak mereka dalam lembaga hasil, hak mereka dibalai polis, hak mereka di semua jabatan-jabatan Kerajaan yang seharusnya membantu mereka dan bukannya menindas mereka.

Hak rakyat untuk mengundi pun tidak ramai yang tahu. Sistem persekolahan juga diseragamkan mengikut kepala otak pemimpin BN. Sekolah-sekolah yang kerap melahirkan pemimpin pembangkang ditutup dan tidak diberikan bantuan.

Jika kita ingin bicara soal kelemahan demokrasi satu pihak (Demokrasi untuk BN) memang banyak. Tiada apa yang tidak kurang kerana setiap yang wujud dan berlaku dinegara ini haruslah dirujuk kepada pemimpin BN. Tetapi bila rakyat merana, tiada rumah, tiada duit, tiada pendidikan, tiada makanan, tiada iman sekalipun, Kerajaan BN tak buat apa-apa.

Mereka malas nak dengar sebab mereka yakin, tiap kali pilihanraya mereka akan menang kerana Kerajaan itu milik mereka selamanya, SPR itu kuli mereka selamanya, badan eksekutif, perundangan dan kehakiman semua milik mereka.

Reformasi atau Revolusi

Mengenangkan semua kepayahan dalam demokrasi dalam negara pelbagai pandangan cuba di caknakan agar setiap detik keperitan rakyat dapat dikongsikan.

Negara pernah melalui gelombang reformasi, namun apa yang kita lihat ia hanya berlaku pada peringkat rakyat marhaien dan tidak terkesan sedikit pun kepada sistem berkerajaan. Mereka pula yang diREFORMASIKAN oleh kerajaan BN. Harga minyak naik, harga barangan naik, mereka dihalau dari rumah mereka kerana pembangunan, mereka ditembak kerana dituduh merusuh, mereka dizalimi tiap masa.

Kali ini, kita mahu satu reformasi yang lebih ke atas untuk Kerajaan. Kita mahu sistem tadbir negara diperbaiki dan setiap kakitangan awam berkerja dengan sendirinya untuk rakyat tanpa perlu merujuk kepada pemimpin BN. Kehadiran ahli politik di kebanyakan Kementerian begitu merimaskan organisasi kerajaan kerana mereka tidak buat apa-apa pun.

Segala kajian dan struktur tadbiran negara diuruskan oleh kakitangan awam dengan baik. Pemimpin politik hanya menyemak sahaja kerana mereka terlalu banyak karenah dan segala isi perut mereka perlu diisi dan rakyat terus kelaparan.

Seharusnya mereka menjadi model dan pakar dan dalam menguruskan tiap kementerian dan jabatan. Mereka disitu untuk bekerja bukan berpolitik. Bekerja untuk rakyat keseluruhannya bukan untuk kroni mereka sahaja.

Reformasi dalam sistem-sistem tadbir negara perlu dimulai dengan reformasi sistem demokrasi, dimana SPR haruslah menjadi badan bebas yang diuruskan oleh YDPA dan bukannya Kerajaan yang dipengaruhi oleh BN. SPR harus diberikan kuasa untuk memimpin proses demokrasi negara dengan lebih telus dan adil tanpa campurtangan mana-mana parti politik dan kuasa mutlaknya haruslah dibawah YDPA.

Setiap rakyat juga haruslah dibenarkan bertanding tanpa ada halangan, dan mereka juga boleh mengundi secara automatik setelah genap usia 21 tahu. Pasukan polis dan tentera serta BPR juga haruslah dikelolakan dibawah kuasa YDPA agar mereka tidak dipergunakan untuk kepentingan pemimpin BN.

Setiap wakil-wakil rakyat yang terpilih selepas pilihanraya tidak boleh terlibat dalam urusan perundangan dan eksekutif atau kehakiman dalam satu masa. Pengasing kuasa sebenar harus dilakukan bagi memastikan negara dapat ditadbir dengan telus.

Seandainya reformasi ini gagal atau tidak dilaksanakan maka lama kelamaan rakyat akan beralih fikiran kepada revolusi. Mereka akan belajar dan memahami revolusi, mereka akan pelajari coup d'etat atau kudeta dan ini akan meributkan negara dan seluruh dunia.

Rakyat yang laparkan demokrasi tulen akan mencari jalan untuk menghilangkan kelaparan itu. mereka akan menyabung nyawa ditengah lautan kolonialisme moden negara dan mereka akan bangkit menyanggah tiap yang menghalang. Dengan tangan-tangan kudus dan kaki-kaki yang berdebu hangit, mereka akan membakar patung-patung agung pemerintah diktator.

Merah menyala dendam yang telah lama dipasungkan akan membakar istana-istana dan singahsana para kronisma aparat-aparat yang menzalimi mereka.

Hujan darah dan air mata akan membanjiri keramat perjuangan mereka. Waktu itu, akan bergelimpanganlah anak-anak pemusafir menuntut pembelaan dan akan terkesimalah pemimpin-pemimpin zalim ini dinisan-nisan batu yang terakhir untuk mereka.

Sebagai warga yang cintakan kedamaian, kita berdoa agar segala itu dijauhkan dari negara kita. Cukuplah dengan reformasi dan kembalikanlah kuasa YDPA pada tempatnya. Perkasakan sistem demokrasi agar negara dapat diurus diatas pundak rakyat dengan tenteram.

lawati laman web rasmi Himpunan Rakyat Aman Bersih di http://10nov.himpunan.info

* Herman Samsudeen
adalah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

1 Comments:

Anonymous Anonymous said...

MasyaAllah,tulisan yang amat membuka mata.Wajar disebar-sebarkan.Jazakallah

6:06 PM

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home