" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Sunday, May 18, 2008

KEPUTUSAN MAHKAMAH SYARIAH PULAU PINANG
TIDAK SELARI DENGAN PANDANGAN FUQAHA’ ISLAM.

OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN
Saya percaya ramai orang Islam yang kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang 7 Mei yang lalu yang membenarkan permohonan Siti Fatimah Tan Abdullah @ Tan Abdullah, 39, untuk mendapatkan pengisytiharan keluar daripada agama Islam (murtad).

Bekas Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang yang mendengar kes itu dahulu, Othman Ibrahim, yang kini merupakan Ketua Hakim Syarie Perlis, memutuskan demikian setelah mendapati plaintif tidak mengamalkan ajaran Islam sejak memeluk agama itu pada 25 Julai 1998.

Sehubungan itu, Hakim Othman memerintahkan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) membatalkan sijil memeluk Islam wanita itu. Untuk menukar status dalam kad pengenalan, Siti Fatimah diminta menguruskannya dengan Jabatan Pendaftaran Negara kerana itu di luar bidang kuasa mahkamah syariah.

Keputusan tersebut dilaksanakan menurut undang-undang yang mula terpakai sejak 1 Januari 2006 lanjutan kepada Seksyen 61(3)b(X) di bawah Enakmen Aturcara Mal 2004, Mahkamah Syariah Pulau Pinang.

Pada 10 Julai 2006, wanita itu memfailkan permohonannya terhadap MAIPP selaku defendan. Menurut pernyataan tuntutannya, beliau tidak pernah yakin dengan ajaran Islam dan hanya memeluk agama itu sekadar untuk mencukupkan syarat bagi membolehkannya berkahwin dengan seorang lelaki warga negara Iran bernama Ferdoun Ashanian pada 16 September 2004.

Siti Fatimah, yang pernah bekerja sebagai tukang masak, memfailkan permohonan itu selepas ditinggalkan suaminya yang menghilangkan diri tanpa sebarang sebab.

Dalam tuntutannya juga, beliau menyatakan bahawa sepanjang memeluk agama Islam, dia masih lagi menyembah berhala Tok Pek Kong, berhala Kuang Tin Ne dan berhala Ti Kong (Dewa Langit) mengikut ajaran agama asalnya, Buddha dan memakan daging khinzir.

Keputusan Mahkamah Syariah ini amat menarik kerana secara jelas Hakim yang membuat keputusan tersebut mendekati kes tersebut dengan pendekatan yang amat berbeza dengan pandangan para fuqaha’ Islam yang mengklasifikasikan perbuatan murtad sebagai satu jenayah ( jarimah ).

Meskipun para fuqaha’ Islam berbeza pandangan sama ada murtad boleh dikategorikan sebagai jenayah hudud atau ta’zir namun mereka tetap berpandangan murtad adalah satu jenayah. Memandangkan Hakim tersebut memutuskan Siti Fatimah Tan Abdullah @ Tan Abdullah keluar daripada agama Islam (murtad) keputusan tersebut boleh ditafsirkan bahawa wanita tersebut dan secara luasnya mana-mana orang Islam di Pulau Pinang mempunyai hak untuk keluar agama ( murtad ) dan Mahkamah Syariah atau Islam melindungi hak tersebut.

Keputusan tersebut membawa kesan yang amat besar dan mendalam . Ia boleh membuka ruang yang besar kepada orang Islam yang tidak begitu komited dengan agamanya untuk memohon kepada Mahkamah Syariah bagi menukar agamanya atas alasan ia tidak lagi berpegang atau beramal dengan ajaran Islam.

Dengan penuh hormat, saya berpandangan keputusan tersebut adalah tidak tepat dan silap. Kesilapannya bermula apabila Hakim tersebut tidak mendekati murtad sebagai satu jenayah sepertimana yang ditentukan oleh fuqaha’ Islam.

Apabila murtad dikategorikan sebagai satu jenayah tidak timbul seorang Islam itu mempunyai hak untuk membuat permohonan untuk murtad, Sebaliknya Negara yang bertanggungjawab membawa pesalah murtad ke Mahkamah untuk dibicarakan atas tuduhan murtad dan jika didapati bersalah si murtad tersebut boleh dihukum .

Bagaimanapun simurtad tidak boleh dihukum tanpa terlebih dahulu diberi peluang untuk bertaubat.Islam mempunyai sebab tersendiri menjadikan murtad sebagai satu kesalahan jenayah. Menjadikan murtad sebagai satu jenayah adalah selari dengan maqasid syariah yang meletakkan agama sebagai satu perkara asas yang amat perlu dilindungi.

Menjaga agama ( hifz al-deen ) bukan hanya melalui pensyariatan segala bentuk “ibadah ( solat, puasa, zakat, haji dan lain-lain ) dan juga jihad tetapi juga melalui pensyariatan hukum ke atas orang yang murtad.

Penjagaan agama ( al -deen ) diletakkan di tempat yang paling atas dari segi aulawiyatnya kemudiannya barulah diikuti oleh penjagaan nyawa ( al-nafs ), akal, keturunan ( nasab ) dan harta benda ( al-mal ).

Al-Qarafi meletakkan penjagaan air muka ( muruah ) sebagai tambahan daripada lima perkara tersebutBagi menjaga nyawa Islam mensyariatkan hukum qisas dan diyyah. Bagi menjaga aqal ada hukuman ke atas peminum arak.

Bagi menjaga keturunan Islam bukan sahaja menggalakkan perkahwinan tetapi juga mengenakan hukuman ke atas penzina dan bagi menjaga harta benda bukan sahaja zakat diwajibkan malahan pencuri juga boleh dihukum.

Bagi menjaga air muka ada hukuman ke atas jenayah qazaf. Jadi mengapa pula murtad dibiarkan bebas dan tidak perlu dihukum ?

Untuk berlaku adil kepada Hakim tersebut, beliau mungkin tersepit kerana tiada peruntukkan di dalam Enakmen Pentadbiran Agama Pulau Pinang yang membolehkan murtad didakwa di Mahkamah Syariah di Pulau Pinang.

Enakmen yang sedia ada iaitu Enakmen Aturcara Mal 2004 pula membenarkan seorang yang ingin keluar agama membuat permohonan di Mahkamah. Jika kita mengambil hujah ini bermakna yang silap bukanlah Hakim tetapi pihak Kerajaan yang menggubal undang-undang tersebut.

Bagi saya hakim tersebut tidak terlepas dari tanggungjawabnya untuk memastikan sebarang keputusannya selari dengan hukum Islam. Saya berpandangan hakim tersebut sepatutnya menggunakan kuasa sedia ada ( inherent power ) untuk mengisytiharkan Enakmen Aturcara Mal 2004, Mahkamah Syariah Pulau Pinang yang membenarkan seorang yang ingin keluar agama membuat permohonan di Mahkamah adalah satu undang-undang yang ultra vires ( bertentangan ) dengan undang-undang Islam yang sebenar.

Oleh itu, bagi saya, Hakim tersebut sepatutnya memutuskan bahawa berdasarkan hukum Islam beliau tidak ada bidang kuasa mendengar kes tersebut kerana undang-undang yang dirujuk oleh peguam wanita tersebut adalah ultra vires perundangan Islam yang sebenarnya. Malangnya peguam MAIPP mahupun peguam wanita tersebut tidak membantu Hakim dalam hal ini.

Seorang hakim Islam di Mahkamah Syariah berbeza dengan seorang hakim di Mahkamah sivil. Hakim Mahkamah sivil hanya memutuskan sesuatu perkara tanpa mengambil kira keputusan tersebut selari dengan Islam atau tidak. Sebaliknya hakim Mahkamah Syariah wajib memutuskan sesuatu perkara selaras dengan hukum Islam yang sebenarnya.

Suatu yang tidak begitu pasti mengapakah hakim tersebut tidak mengarahkan wanita tersebut bertaubat. Sepatutnya wanita tersebut sewajarnya diberi peluang dan masa yang mencukupi untuk dikaunseling dan disuruh bertaubat. Jika ini boleh dibuat mungkin ‘aqidah wanita tersebut dapat diselamatkan.

Saya berharap Mahkamah Rayuan yang akan mendengar rayuan pihak MAIPP dapat membuat koreksi terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah tersebut.

6 Comments:

Blogger Al-Jawhar Al-Yamani said...

Komen enta tidak bertepatan dengan realiti sebenar yang berlaku.... sila rujuk wawancara Ust Ahmad Jailani tentang perkara sebenar berlaku... ini kerana , ianya bukan pengisytiharan murtad tetapi permohonan pengesahan status agama...

WA

p/s..wawancara tu ada kat laman terengganu kita.

7:38 AM

 
Blogger ibnurosly said...

Tambahan,
sessi kaunseling dah juga dibuat, boleh refer wanwancara tu...

Tapi paling teruk sikap MAIPP...

1:35 PM

 
Blogger Ibnu Ali said...

Tu bukan komen ustaz. tapi komen seorang peguam Hanipa Maidin

6:35 AM

 
Blogger islamhebat said...

salam...

Untuk menjawab persoalan dan kekeliruan ini marilah kita merujuk kepada dua pusaka agung yang ditinggalkan kepada kita iaitu Al-Quran dan As-Sunnah.
Terdapat beberapa riwayat yang jelas yang menerangkan kepada kita tentang ‘status keIslaman’ seseorang, setelah dia mengucap syahadah. Ibnu Katsir di dalam menafsirkan Surah al-Nisa’ (4) ayat 92-94 menjelaskan dengan panjang lebar tentang
asbabunuzul dan makna ayat-ayat tersebut. Menurut Imam Ibn Katsir, dari Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam,ayat 92-93 dari surat al-Nisa ini diturunkan mengenai
Abu Darda’, salah seorang sahabat nabi yang telah membunuh seorang lelaki kafir yang mengucap
syahadah di saat Abu Darda’ mengangkat pedang(untuk membunuhnya). Abu Darda’ tidak menghiraukan syahadah lelaki itu lalu dibunuhnya juga. Dan apabila
dia menceritakan kepada Rasulullah akan apa yang telah berlaku (dengan tambahan keterangan) bahawa
lelaki itu mengucap sekadar untuk menghindari dirinya dari dibunuh, lalu Rasulullah bersabda “Hal syaqaqta ala qalbihi?” (“apakah kamu telah membedah hatinya?”) [Tafsir Ibnu Katsir].

Banyak lagi nas2 lain, yang menunjukkan pada saat orang itu mengucapkan syahadah, Ia telah islam walaupun sesaat selepas itu ia murtad.

Sepatutnya kita tidak berbalah dalam soal begini,kerana yang nyata dia (Fatimah Tan) telah mempermainkan Islam. Allah malah pernah menemplak para sahabah yang berbalah masalah umpama ini dalam surah an nisa:89. sila lihat asbabunnuzul untuk penjelasan lanjut.

4:36 PM

 
Anonymous myhoney said...

salam...saya juga pernah terkeliru bila mendengar penjelasan peguam Jalani...tapi bila membaca Sautun Nahdah keluaran Ht tentang perkara ini..sangat jelas dan detailnya diterang kepada kita...kes siti fatimah adalah barah yang sangat bahaya bagi umat islam di Malaysia..sedihnya

5:40 PM

 
Anonymous Anonymous said...

dari biar dia tu rosakkan Islam dari dalam, baik lepas kn je. xtimbul fitnah pd Islam

10:20 AM

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

Links to this post:

Create a Link

<< Home