" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Thursday, June 26, 2008

PAS TIDAK AKAN MENYERTAI UMNO

Oleh YB Hj Mahfuz Omar

TIDAK semena-mena bertiup kencang cerita PAS sedang berunding dengan Umno untuk mengadakan kerjasama atau pakatan politik, kononnya demi ketuanan politik Melayu.

Entah siapa yang memulakannya, tetapi ia telah tersebar luas di blog-blog dan juga berkeliaran dalam sms. Ramai juga peminat politik yang percayakan desas-desus ini kerana mungkin logik juga kalau hendak dicarikan sebab mengapa PAS perlu bekerjasama dengan Umno.

Tetapi ramai yang memandang jejek kepada perbuatan ini jika PAS berhasrat demikian.Tidak timbul isu ini benar atau tidak, kerana saya sudah pun menafikan adanya rundingan sulit untuk ‘mengahwinkan’ PAS dengan Umno. Lagipun perkahwinan politik seperti ini mungkin ‘tidak sah’ kerana antara PAS dan Umno memang tidak ‘sekufu’.

PAS mempunyai dasar Islam, sedangkan Umno ‘beraqidah’ Islam Hadhari. Jika Umno itu ‘ahli Kitab’ ada juga tendensinya, tetapi dengan Islam Hadhari ini PAS terpaksa menjauhkan diri.

Lagipun PAS amat tidak sekufu dengan Umno kerana PAS adalah parti yang masih suci, sedangkan Umno sudah terpalit dengan noda-noda rasuah, politik wang, kronisme, nepotisme dan macam-macam kebejatan yang lain.

Ada pihak yang berpandangan supaya PAS tidak harus ‘menjual mahal’ dalam konteks kepentingan politik nasional, tetapi isu yang berbangkit sekarang bukannya kepentingan negara, sebaliknya adalah kepentingan survival politik Umno itu sendiri.

Kerjasama ini adalah talian hayat yang amat diharapkan oleh Umno dan sudah tentu mereka sanggup bergolok-gadai untuk memenuhi keperluan PAS demi talian hayat ini.

PAS tidak akan menjual maruahnya dengan harga yang murah kepada Umno, sebaliknya akan terus mempertahankan prinsip demi kepentingan dan kebajikan rakyat yang sudah lama dipijak-pijak oleh Umno/BN apatah lagi kini dengan kenaikan harga minyak, kerajaan Umno/BN tergamak membawa satu usul dalam perlimen bagi menghalalkan tindakan untuk menindas rakyat.

Maka ternyatalah 129 ahli-ahli perlimen BN menyokong usul untuk menindas rakyat. PAS akan terus memikul amanah dan kepercayaan rakyat kepada Pakatan Rakyat, dan akan terus memberikan pembelaan kepada rakyat yang ditindas oleh kerajaan BN.

Sejarah telah membuktikan bahawa PAS adalah parti yang paling terbuka di negara ini sehingga menjadi parti yang paling banyak menjalin kerjasama politik. Keterbukaan Islam yang didukung oleh PAS diterjemahkan melalui siri-siri kerjasama sama bukan sahaja dengan orang Melayu, bahkan semua kaum.

PAS pernah duduk semeja dengan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP), MIC dan Persatuan Ceylonese Malaya dalam National Conference pada 1953, kemudian menyertai National Convention yang turut diserati oleh Umno dan MCA mulai September tahun yang sama.

PAS juga berpakat dengan parti-parti kiri ketika memperjuangkan kemerdekaan, sebelum bekerjasama dengan Dato’ Onn dalam pilihan raya 1959. Kerana kerjasama PAS Dato’ Onn menang di Terengganu. PAS juga mempunyai hubungan yang baik dengan Sosialis Front pada 1959 dan 1964 walaupun pakatan itu dianggotai oleh pendukung sosialis seperti Parti Rakyat, Parti Buruh dan National Convention Party.

Selepas krisis politik 1969, PAS telah memilih untuk bekerjasama dengan Perikatan yang ketika itu sudah disertai oleh parti-parti dari Sabah dan Sarawak, selain PPP dan Gerakan. Pada 1986, PAS bersama tiga parti lain menubuhkan Harakah Keadilan rakyat (HAK), di samping hubungan dengan masyarakat Cina melalui CCC. Kemudian PAS menyertai pula Angkatan Perpaduan Ummah (1988-1996) dan Barisan Alternatif (1999-2008) sebelum Pakatan Rakyat ditubuhkan selepas pilihan raya ini.

Inilah keterbukaan PAS! Dengan Umno sendiri, PAS sudah dua kali berpengalaman. Pada 1953, atas usaha keras bapa Perdana Menteri, Ustaz Haji Ahmad Badawi, PAS meninggalkan Dato’ Onn dan National Conference untuk menyertai National Convention yang ditaja oleh Umno-MCA.

Apabila berunding tentang pilihan raya pertama, cadangan PAS untuk membela kepentingan orang Melayu dengan menolak jus soli dalam hak mengundi serta menambahkan wakil ekonomi Melayu dalam Dewan Undangan Persekutuan telah ditolak oleh Umno.

Umno bersikap demikian kerana menjaga kepentingan MCA. PAS tidak dapat menerima kerjasama yang membunuh bangsa sendiri, lalu keluar daripada National Convention sebelum 1953 berakhir. Apabila berlaku peristiwa 13 Mei 1969, PAS memandang kepentingan perpaduan nasional dan survival politik orang Melayu.

Walaupun Muktamar Khas PAS meluluskan dengan majoriti mudah – sebagai tanda berat hati PAS – Kerajaan Campuran PAS-Perikatan dibentuk pada 1973. Kemudian PAS bersama-sama parti lain menubuhkan Barisan Nasional pada 1974.

PAS yang mencadangkan nama Perikatan ditukar kepada BN dan simbol dacing itupun dicadang oleh Dato’ Mohd Asri bagi menggantikan Kapal Layar. Tun Ghafar Baba melukiskan simbol dacing itu. Tetapi Umno mengkhianati PAS dengan memainkan peranan untuk melagakan pimpinan PAS di Kelantan, kemudian didaruratkan Kelantan. Akibat darurat itu, PAS kehilangan Kelantan yang dikuasainya sejak 1959.

PAS terpaksa menentang usul mendaruratkan Kelantan kerana percaya ada tujuan politik sulit di sebalik undang-undang darurat itu. Tetapi PAS tidak mengkhianati BN dengan keluar dari pakatan itu seperti yang dilakukan oleh PBS pada 1990 dahulu. Sebaliknya, Umno yang mencadangkan supaya PAS disingkirkan pada Disember 1977 dan akhirnya PAS tidak lagi sebulu dengan Umno.

Sejak itu, PAS sentiasa ditindas dalam berbagai-bagai isu seperti Pembunuhan Memali, Ops Lalang, Ops Kenari dan lain-lain. Namun, PAS masih bersedia duduk semeja dengan Umno ketika membantah isu nuklear dan isu Palestin kerana kepentingan kemanusiaan. Hari ini apabila Umno sudah tersepit, mereka mencari PAS semula seperti mana Tun Razak lakukan dahulu.

Mereka sanggup tawarkan apa sahaja jika PAS bersedia. Tidak cukup dengan itu, dek cemburu oleh kejayaan kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat di lima buah negeri, mereka melancarkan perang saraf kononnya PAS sedang berunding dengan Umno.

Mereka mahu PAS renggan dengan rakan Pakatan Rakyat dan terus menggoda PAS supaya terima sahaja tawaran mereka. PAS sedar tawaran ini bukannya untuk menjayakan matlamat politik PAS, tetapi memberikan nyawa baru kepada Umno yang sudah tidak diyakini lagi oleh rakan-rakan BN mereka. Bila adalah wartawan mengatakan PAS adalah ‘real kingmaker’, Umno merasakan PAS pasti terjerat.

PAS tidak akan mengambil sikap demikian walaupun ada pandangan pemerhati politik picisan yang melihat bahawa PAS perlu memanfaatkan peluang ini jika mahu melaksanakan dasar-dasar Islam yang diperjuangkannya. Pemerhati-pemerhati politik ini berpandangan bahawa PAS masih sukar ‘bernafas’ dalam Pakatan Rakyat yang ada DAP ini.

Mereka membangkitkan keadaan di Selangor yang lebih ‘mesra kandang babi’ daripada ‘mesra masjid’. Inilah peluang PAS untuk memaksa Umno melaksanakan Islam, kata mereka. Ada kebenarannya. Tetapi kepimpinan PAS melihat bahawa tawaran kerjasama dengan Umno ini tidak akan membawa PAS ke matlamatnya, sebaliknnya menjadi alat untuk memulihkan semula Umno yang sudah parah itu.

Pada saya, walaupun banyak perkara yang perlu dirunding dan disepakati oleh parti-parti dalam Pakatan Rakyat yang memerintah di lima negeri, tetapi semua harus faham umur Kerajaan Pakatan Rakyat baru mencapai 100 hari dan amat memerlukan kesabaran komitmen semua pihak.

PAS tetap bersabar dengan karenah rakan-rakan yang baru belajar memerintah dan yakin rakan-rakan Pakatan Rakyat tidak memandang sebelah mata kepada PAS. Kesemua pihak dalam Pakatan Rakyat mestilah boleh menerima dan memberi yang penting semua parti mesti setia sebagai rakan pakatan.

Ketiga-tiga parti mesti melihat bahawa setiap antara mereka ada wibawanya yang harus dihormati, dengan itu sahaja pakatan ini boleh dipertahankan. Jika ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat adil sesama senndiri, maka saraf Umno untuk memecahkan pakatan ini akan menjadi seperti menjual buah yang tidak laku dan akhirnya busuk begitu sahaja.

Tetapi, jika kita sengaja membiarkan ketidakpuasan hati ahli-ahli dan penyokong-penyokong pakatan di bawah, mungkin mereka akan berubah sikap terhadap pakatan ini. Sebab itu mungkin ada ahli dan penyokong-penyokong bersikap positif dengan desas-desus kerjasama ini.

PAS sudah beberapa kali belajar daripada ‘eksploitasi politik’ Umno ini dan adalah mustahil PAS dipatuk pada lubang yang sama sekali lagi. Pimpinan tertinggi PAS sudah bertegas bahawa tidak akan ada rundingan dan kerjasama politik PAS-Umno selagi Umno dengan wajah yang sedia ada.

Mursyidul Am PAS sudah bertegas dalam soal ini. Pada masa ini ahli-ahli PAS atau ahli serta penyokong Pakatan Rakyat jangan terpengaruh dengan dakyah palsu ini. Ia adalah serangan minda untuk melumpuhkan Pakatan Rakyat bagi menyelamatkan masa depan Umno.

Pimpinan PAS amat sedar tentang siuman atau tidak untuk menerima kerjasama ini. Kalau kita percayakan khabar angin ini, maka kita seolah-olah tidak siuman sebenarnya, bahkan Umno sendiripun tidak siuman jika terus mewar-warkan berita palsu ini.

Bukan PAS namanya jika kita meninggalkan harapan besar rakyat, kerana mengejarkan pangkat dan wang ringgit yang ditaburkan. Lebih tidak siuman jika kagum dengan dunia sehingga melupakan perjuangan panjangnya. Adalah menjadi tanggungjawab PAS untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat yang dibinanya dan ‘memuziumkan’ Umno bersama kebobrokannya.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

Links to this post:

Create a Link

<< Home