" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Monday, September 29, 2008

MT Bunga Melati 5 bebas!

Alhamdulillah, doa kita semua diperkenankan Allah swt, menurut laporan kesemua anak kapal MT Bunga Melati 5 yang ditawan oleh lanun-lanun pengganas Somalia telah dibebaskan dengan selamat setelah sejumlah wang tebusan dibayar kepada kumpulan pengganas berkenaan.

Bunga Melati 5 yang sarat dengan 30,000 metrik tan petrokimia ditawan dalam perjalanan ke Singapura dengan membawa 41 anak kapal iaitu 35 Malaysia dan bakinya warga Filipina.Reuters melaporkan wang tebusan berkenaan telah diserahkan kepada kumpulan pengganas berkenaan oleh pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Dan sementara itu rundingan lanjut sedang terus diadakan untuk membebaskan pula MT Bunga Melati 2.

Melati 2 membawa 39 orang anak kapal iaitu 29 warga Malaysia, 9 Filipina dan 1 Pakistan.Menurut laporan itu lagi kesemua tebusan Melati 5 dalam keadaan selamat dan akan dibawa pulang ke tanahair dalam kadar segera.Syukur ke hadrat Allah swt di atas perkembangan ini.

Semoga demikianlah juga nasib anak-anak kapal Melati 2, mudah-mudahan mereka semua akan pulang dalam keadaan selamat kepangkuan kaum keluarga yang tercinta pada Hari Raya ini, insyallah. Saya pasti inilah hadiah Hari Raya yang paling bermakna buat para tebusan dan kaum keluarga mereka.

Syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam urusan perundingan dan pembebasan ini termasuklah pihak MISC, kerajaan Malayisa dan TLDM.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home