" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Monday, October 06, 2008

AMARAN :
HARAKAH .. OH .. HARAKAH

Banyak SMS yang saya tidak kenali menerobos masuk ruang inbox dengan nada marah dan sinis kepada Tok Guru Presiden ekoran " AMARAN " yang disiarkan oleh Harakah bilangan : 1379 baru - baru ini .

Oleh kerana Harakah bilangan tersebut diterbitkan menjelang Aidil Fitri , sedang saya dalam perjalanan pulang ke kampung , maka saya tidak berkesempatan untuk membacanya .

Pagi ini masih ada lagi orang hantar sms dgn bahasa yang sangat tidak sedap didengar . ( apabila saya berkali - kali hubungi semula nombor handphone penghantar sms tersebut , senyap tanpa respon ) Lalu saya meminta jasa baik sahabat agar mencari Harakah bilangan 1379 untuk saya teliti terlebih dahulu .

Apabila saya membaca laporan mengenai ucapan Tok Guru Presiden ( di Majlis Ceramah Isu Semasa di Perkarangan Surau Hj Zainal Abidin Dungun ) , saya berpendapat : tajuk "AMARAN" adalah salah dan tidak wajar .

Cuba lihat bagaimana antara quote ucapan Tok Guru yang disiarkan " Kita ( PAS ) bersedia untuk mengubah kerajaan tetapi dengan syarat mestilah kerajaan itu lebih baik daripada yang sedia ada ( BN ) . Kita tidak mahu berubah kepada yang lebih buruk tetapi mesti lebih baik , dan dasar Islam menjamin keadilan buat semua rakyat. "

Saya percaya semua orang setuju dengan kenyataan tersebut. Tiada siapa mahu perubahan kerajaan tetapi sama atau lebih buruk dari kerajaan yang sedia ada . Maka ini mesti dibaca sebagai satu nasihat atau peringatan bukan amaran .

Perkataan amaran membuatkan pembaca resah serta merasakan Tok Guru ni terlalu radikal sedang realitinya Tok Guru sebagai pemimpin Gerakan Islam hanya mahu memastikan Islam terjamin , itu sahaja . Malah Tok Guru sangat bersedia untuk bersama dengan agenda perubahan.

Bahkan perubahan kerajaan ( at - taghyir ) terlebih dahulu telah digerakkan oleh Tok Guru sejak lama dulu , ( disaat orang yang bercakap pasal perubahan hari ini dulunya tidak mahu perubahan kerajaan sebaliknya mempertahankan kerajaan tersebut ) . Justeru itu sangat tidak wajar menempelak Tok Guru kononnya menganggu plan perubahan kerajaan ini dan menganggap Tok Guru tak buat kerja apa -apa untuk perubahan .

Tajuk yang selayaknya untuk Harakah paparkan ialah " Kerajaan Baru mesti Lebih Baik dari Kerajaan Sedia Ada "

Saya sekali lagi sangat yakin , tajuk sedemikian akan dipersetujui oleh semua pihak . Soal kenapa Harakah cenderung menggunakan tajuk AMARAN sebagai muka depan tidaklah saya ketahui . Tetapi saya mengharapkan agar Harakah boleh memikirkan atau menilai kewajaran pandangan saya .

Sebelum ini , saya juga cenderung menganggap malah itulah yang dikehendaki oleh Tok Guru ( apabila Tok Guru menyebut soal Islam mesti dominan atau Islam mesti terjamin dan perkataan - perkataan sama erti dengannya ) bahawa ianya adalah satu peringatan juga nasihat agar Islam tidak dipersiakan . Saya juga pernah menyebutnya sebagai lafaz Ta'lik . ( dengan maksud hubungan dan gerakkerja kita ke arah merubah dan menubuh kerajaan baru mestilah menepati syarat kita bersama dalam - tahalluf siasi - jika tidak menepati syarat maka hubungan kerjasama kita terbubar / batal )

Terdapat Hadith Nabi saw. yang menjadi satu kaedah penting dalam Islam. Hadith ini riwayat Tarmizi (hadith hasan sahih)

الصّلْحُ جَائِزٌ بَيْنَ المُسْلِمِينَ. إلاّ صُلْحاً حَرّمَ حَلاَلاً أوْ أحَلّ حَرَاماً.
والمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ، إلاّ شَرْطاً حَرّمَ حَلاَلاً أوْ أحَلّ حَرَاماً

Perjanjian adalah harus dikalangan muslimin kecuali perjanjian mengharamkan suatu yang halal atau menghalalkan suatu yang haram . dan Muslimin berpegang kepada syarat - syarat mereka kecuali syarat yang mengharamkan suatu yang halal atau menghalalkan suatu yang haram .

Apabila peringatan dan nasihat diberi , ia tidaklah bermakna kita benci atau semata - mata tidak bersetuju dengan pihak yang diberi peringatan atau nasihat . Nabi saw. pernah bersabda :

الدين النصيحة

Agama itu adalah Nasihat .

11 Comments:

Anonymous Anonymous said...

Setuju dengan ustaz,perkataan AMARAN memang mengelirukan, persoalannya kenapa pakai juga perkataan itu. Anyway, lega mendengar stand Hj. Hadi, Kerajaan Baru Mesti Lebih Baik Dari Kerajaan BN Sekarang...dan Islam sebagai asasnya...Ajak Buat Baik, Tegah Buat Jahat..

2:41 PM

 
Anonymous Anonymous said...

Assalamualaikum Ustaz.

Bagus penerangan yg baik dan jelas.. saya harap blogger yg sedang rancak menghentam TGHA sebagai begitu dan begini, selepas tebit isu yg sering diterjemahkan oleh YB Khalid Samad "3M" didalam blognya..harap semua muhasabah kembali, apa yg sebenarnya telah TGHA sampaikan, apakah ia nasihat atau amaran keras..?

Janganlah kita mengambil sikap sambarono menghentam pimpinan pada isu yg kita belum jelas..

Alhamdulillah harap2 semua blogger copy dan paste kan ke blog masing2 artikel ini iaitu penjelasan ust Nasa Tantawi kita ni.. semoga segala tohmahan negatif terhadap TGHA dapat kita hapuskan..

Sekadar berpandangan..

Mumayu

3:09 PM

 
Anonymous Anonymous said...

Realiti pada mutaakhir ini banyak pihak bersikap neganif terhadap apa sahaja pandangan dan saranan positif daripada mana-mana pihak yang kelihatan seperti tidak persetujui tindak-tanduk anuar ibrahim (mantan TPM).
Sesiapa sahaja yang menyanggah atau cuba menyentap perasaan juak-juak yang boleh dita'rifkan sebagai anuariyun akan dikambing hitamkan walaupun yang bersuara adalah presiden mereka.
malang sungguh seorang presiden yang berahlikan oleh juak-juak anuariyun ini... mereka lebih gopoh dan gelojoh daripada juak-juak umno beEnd lagi...
daripada apa yang kita semua alami kini... adalah amat baik pimpinan dan semua pihak yang bertanggung jawab dalam suara parti berhati-hati dalam laporan ataupun memberi pandangan.
Media rasmi parti jangan jadi medan telagah antara pimpinan ataupun mainan pihak yang menjadi alat pencatur politikus dalam parti.

5:25 PM

 
Anonymous Anonymous said...

Ustaz,

Bimbang dengan perkembangan terbaru dalam PKR.Nampak macam ada aktiviti negatif seperti Sedekah seks dan terbaru YB Batu Caves yang muslim menaikkan replika anwar, tinggi pulak tu 12 meter. Mufti Perlis suruh turunkan dia engkar..entahlah.. cuba lihat disini replika/patung tersebut Patung dato seri dengar ceritanya sudah dinaikkan di Batu Caves oleh YB Amiruddin Saari.Apabila Mufti Perlis minta turunkan Patung tersebut, YB tak mahu, khilaf aja katanya….entahlah PKR ni, Sedekah Seks, Khilaf Patung…Harapnya kita betulkan part yang ni dulu baru ambil alih negara kot…

http://tokgajah.wordpress.com/

5:41 PM

 
Anonymous Anonymous said...

Along menulis...

Artikel ni saya terpaksa bersetuju dengan Ust. Saya nampak perkara ni tak akan jadi besar kalau tak ada batu api yg mengelilingi pimpinan.

1. Tajuk harakah tak sepatutnya AMARAN. itu nada ugutan, sedangkan isinya tak de la ugut, akhirnya Presiden jadi mangsa. Tajuk yg ust. cadangkan sangat baik...

2. Wawancara mustafa Ali sepatutnya hanya sekadar wawancara biasa. Biasa laa kita perbezaan pendapat dalam parti. Masalahnya kenapa pula diangkat sebagai tajuk muka depan. Kalau tak diangkat tajuk depan tak de la kecoh sangat macam ni.

Tengok wawancara Dr Hamzah (TPJ PAS PAHANG).(Harakah dln bulan Ramadhan) Bila dia tak jadi tajuk muka depan, ia seperti angin lalu. Bayangkan kalau wawancara itu diangkat sebagai muka depan, mahu tsunami agaknya

3. Saya Rasa batu apinya da kat pejabat harakah.

7:01 PM

 
Anonymous Anonymous said...

Assalamualaikum... Ustaz saya tak nak komen apa2 saya cuma hendak sampaikan sedikit harapan kepada Ustaz selaku pimpinan PAS ! Mohon kepada Ustaz untuk usahakan agar polemik yg melanda sesama pemimpin PAS pada hari ini dicarikan jalan keluar yang terbaik kepada jemaah dan Islam. Saya sedih sebenarnya Ustaz melihat apa yang berlaku. Kerana keterbukaan menyebarluaskan maklumat pada hari ini pelbagai pandangan dilontarkan tanpa memikirkan natijahnya kepada jemaah dan ahli2 dibawah ! Antara didalam sedar dan tidak dek kerana lontaran2 idea, pandangan, pendapat dan pendirian kita akhirnya membuatkan sebahagian daripada kita ( walau siapa pun meraka samada ahli PAS atau pun tidak ) melakukan fitnah dengan kejian dan hinaan yg cukup menyakitkan ! Tolonglah Ustaz usahakanlah sesuatu ! Carilah jalan pendamaian yg bukan hendak memberikan yang terbaik kepada mana2 pihak tetapi kepada jemaah dan Islam itu khususnya ! Tiada siapa yang menang didalam polemik ini tapi yang pasti jemaah yg menanggung akibatnya ! Lebih teruk lagi Islam juga dihodohkannya ! Ustaz carilah jalan penyelesaian !

1:20 AM

 
Blogger Nasrudin bin Hassan at Tantawi said...

Semoga Allah memberi petunjuk kepada kita semua. Harapannya agar semua kembali bertaqwa kepada ALlah.

Artikel pendek ini bukan bertujuan menidakkan Harakah malah mungkin Harakah ada pandangan tersendiri kenapa mereka meletakkan tajuk sedemikian . ( AMARAN )

Tetapi saya berpandangan kalau tajuknya seperti yg saya cadangkan Iaitu : " Kerajaan Baru mesti Lebih Baik dari yang sedia ada" tentu sahaja lebih kurang polemik yang berlaku dan tidaklah memberi kesempatan kpd golongan yang sememangnya sdg mencari ruang dan peluang utk menterjemahkan tindakan "nakal" mereka bagi memecahkan kekuatan jamaah dari dalam .

Saya tidak mengutuk Harakah , waliyazubillah , cuma harapan saya agar pandangan saya diambil kira . Sdr. Lutfi tentu sahaja sgt faham maksud saya .

1:54 AM

 
Blogger 2kali5 said...

Perjuangan PAS 'tidak lengkap' tanpa Cromok

Ramai yang pasti mengerut kening dan dahi serta mengatakan saya gila apabila membaca tajuk saya hari ini.

Tetapi itulah kenyataan yang saya rasakan harus difahami dengan jelas oleh pimpinan PAS khasnya Dewan Pemuda PAS. Walaupun agenda dan teras perjuangan PAS amat bertentangan dengan konsep kumpulan rock metal melayu ini(Cromok) tetapi hakikat tetap hakikat. Tanggungjawab tetap tanggungjawab dan dakwah tetap berhikmah.

Sebelum anda 'melontarkan' jauh-jauh pandangan saya ini, harapan saya berilah peluang untuk membaca dahulu apa yang ingin saya nyatakan. Berikan sedikit masa anda untuk menilai sejauh mana kebenaran pandangan saya. Fikirkan dan renungkan selapang-lapangnya.

Kita selalu benar akan menjadi penghukum terhadap sesuatu tanpa kita menilai mengapa dan kenapa sesuatu itu berlaku. Sebab dan musabab. Salah dan silap kita.
Fanatisme kita mengatasi segalanya. Jika kita di dalam jamaah Islam, hanya kita yang benar dan agak sukar kita menerima pandangan orang lain terutama orang yang tidak sebulu dan sehaluan dengan kita.

Zaman Cromok

Ramai antara kita yang dibesarkan di zaman arena rock metal Cromok. Malah ramai juga di antara kita yang pernah mengoyangkan kepala (banging) dengan alunan muzik ini sebelum kita di tarbiah untuk kembali kepada kebenaran. Malah saya yakin ramai juga yang cukup arif dengan kumpulan Cromok ini melebihi apa yang saya tahu.
Sedar atau tidak kumpulan Cromok ini adalah kumpulan metal melayu yang cukup berjaya dulu, kini dan selamanya(maafkan saya kerana meminjam kata-kata ini). Rasanya belum ada kumpulan rock metal melayu yang begitu berjaya walau ramai yang mengakui mereka hanya mendengar orang menjerit dan irama lagu daripada memahami senikata yang disampaikan.

Malah ramai yang menghukum kononnya Cromok ini 'sesat' dan 'menyesatkan'. Kumpulan ini memperjuangkan sesuatu yang melekakan anak muda melayu dan membawa pelbagai budaya yang berwarna kuning, biru, merah mahupun hitam.

Anggapan kita

Cuma kerana anggapan sebegini maka mata kita terpejam rapat untuk mengetahui mengenai kegigihan anak-anak muda melayu ini dalam memperjuangkan muzik mereka. Kesungguhan mereka dalam berjuang di aliran mereka. Sikap dan komitmen mereka yang mungkin boleh dimanfaatkan untuk kerja Islam.
Kita mengatakan mereka ini lalai dan 'lagha'. Kita juga menghukum mereka sebagai golongan yang tidak mengimpikan sebuah perjuangan yang ideal seperti kita. Golongan yang terpesong jauh dari kebenaran.
Tetapi persoalannya adakah kita pasti dengan apa yang kita rasakan. Adakah benar tanggapan kita terhadap 'kelalaian' dan 'lagha' mereka.
Kita juga terlupa bahawa manusia dibesarkan dengan persepsi dunia yang berbeza-beza dan adalah tanggungjawab kita untuk memperbetulkan 'kiblat' semua hamba Allah ke arah kiblat yang satu.

Pernahkah kita?

Kita tidak pernah cuba mendekati golongan sebegini untuk menyelami apa yang terbuku di hati mereka. Hanya kerana mereka memperjuangkan muzik dan mungkin tidak berjubah seperti kita maka kita katakan mereka ini hanyut. Dan kita terus menghukum mereka untuk terus hanyut tanpa menghulurkan tangan untuk membantu.
Adakah kita sudah boleh mendabik dada dan mengakui kita ini alim dan ulama hanya kerana setitik ilmu Allah yang dianugerahkan kepada kita tetapi kita membiarkan saudara kita terus hanyut dibuai dunia yang melekakan ini.
Terlupakah kita Cat Stevens juga pernah sesat tetapi akhirnya kembali ke alam nyata yang disuluhi kebenaran.
Fikirkan dan renung-renungkanlah apakah tanggungjawab kita kepada mereka...

1:22 AM

 
Anonymous Anonymous said...

Berpesan Khalid alWalid kpd tenteranya bertolak menyerang Rom di Syam.............. Dua perkara yg patut kamu takuti,iaitu kelemahan iman dan perbalahan sesama sendiri.

Sila rujuk buku berjudul Risalah usrah jilid 3 bahagian 1 m/s 162 tulisan Abu Urwah terbitan pustaka salam,cetakan 1988.

zamri@Putiq

7:23 AM

 
Blogger dArKeR said...

Sangat merindui arwah din cromok... Masih setia mendengar lagu d'cromok sehingga hari ini... Lagu2nya walaupun agak keras, tp penuh melodi... Lirik2nya pula sangat puitis, penuh nasihat dan penuh dakwah... Liriknya juga ada berkisahkan sahabat Nabi Muhammad S.A.W, kata2 Malik bin Dinar serta petikan surah al-Qamar yg menceritakan keajaiban kejadian Tuhan berkenaan air dan banjir... Al-fatihah untuk arwah din...

2:08 AM

 
Blogger dArKeR said...

Sangat merindui arwah din cromok... Masih setia mendengar lagu d'cromok sehingga hari ini... Lagu2nya walaupun agak keras, tp penuh melodi... Lirik2nya pula sangat puitis, penuh nasihat dan penuh dakwah... Liriknya juga ada berkisahkan sahabat Nabi Muhammad S.A.W, kata2 Malik bin Dinar serta petikan surah al-Qamar yg menceritakan keajaiban kejadian Tuhan berkenaan air dan banjir... Al-fatihah untuk arwah din...

2:10 AM

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home