" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Sunday, January 04, 2009

KINI GILIRAN KITA
Melaksanakan Tugas Sukar ini

Malang sungguh saya tidak berkesempatan untuk menghadhiri Majlis Pengisytiharan Calon di Stadium Negeri Terengganu baru - baru ini kerana terpaksa mengambil dan menghantar anak sulong yang akan menjalani sessi persekolahannya di Maahad Muhammadi Kota Bharu esok .

Semalam saya sempat mengikuti rakaman ucapan Sohibus Samahah Dato' Seri Tuan Guru Presiden di www.terengganukini.net . suatu ucapan yang cukup mengharukan . Faham benar saya betapa sukarnya Ayah Chik nak buat keputusan . Sebagaimana sukarnya AJK PAS Pusat mahu memutuskan siapa calon PAS di P.036 Kuala Terengganu , lebih lagi sukar Ayah Chik untuk memutuskan siapa calon yang terbaik dari semua senarai calon-calon yang baik dan hebat setelah mandat diserahkan kepada Ayah Chik untuk menentukan calon dari senarai yang ada .

Kesukaran itu lebih tampak jelas melalui ucapan Ayah Chik sebelum mengisytiharkan calon baru - baru yang saya petik secara ringkas seperti berikut :

[ " Mengendalikan tugas yang berat ini saya terpaksa mengikut panduan yang diajar oleh Nabi saw iaitu istikharah dan istisyarah saya tidak payah terjemah , Dr Tan Seng Giaw tahu….dia boleh baca jawi.

Istikharah dan Istisyarah, kalau Dr Tan Seng Giaw tahu orang PAS tidak tahu malang . Sabda Nabi saw: “ Tidak sia-sia mereka yg beritikharah dan tidak sesal mereka yang beristisyarah ”.

Beristisyarah kita mendengar pandangan-pandangan manusia dan rakan-rakan semua pihak yang kita tahu yang kita kenal yang kita percayai , Istikharah memohon pertolongan dari Allah swt lepas itu kita bertawakal kepada Allah swt.Setelah mengambil pendekatan itu maka saya ingin membuat pengumuman calon yg dipilih oleh PAS yang diamanahkan untuk bertanding dalam pilihan raya ini ialah Tuan Hj Mohd Abd Wahid bin Endut.

Beliau ialah YDP PAS kawasan Kuala Terengganu. Kerana yang kita nak lawan ni Ketua Bahagian Umno Kuala Terengganu. Yang padan dengan Ketua Bahagian Umno ialah YDP PAS Kawasan. Kita beri kepercayaan sebelum saya mengulas lebih panjang dan memang dia tidak minta jadi calon dan saya pilih dia " ... ]

Tahniah saya ucapkan kepada Ayah Chik kerana telah selesai melepasi detik sukar untuk menentukan siapakah calon yang bakal mewakili parti kelak . Walaupun mengejutkan banyak pihak malah saya sendiri tidak menjangka Yb. Abdul Wahid Endut akan dipilih mewakili parti dalam pilihanraya kecil kali ini kerana namanya tidaklah tersenarai dalam senarai calon yang disebut - sebut bakal mewakili parti .

Sungguhpun begitu , sejurus nama tersebut diumumkan dan saya mendapat maklumat tersebut dari rakan yang hadhir di majlis pengisytiharan , terus sahaja terpacul perkataan Masyaallah , betapa nama itu hebat tetapi tidak terlintas dalam fikiran saya bahkan orang lain bahawa dialah sepatutnya mewakili parti atau sekurang - kurangnya masuk senarai .

Yb. Abdul Wahid Endut , begitulah nama yang sangat popular di Kuala Terengganu malah seorang yang saya kenali sejak lama dulu sebagai figure yang menarik serta mempunyai pakej yang cukup sesuai untuk menjadi wakil rakyat . Kebetulan pula beliau adalah abang kepada sahabat lama saya semasa belajar di Mesir dulu iaitu al Fadhil Ustaz Nuri Endut yang kini berkhidmat di Negeri Perak Darul Ridzuan .

Tetapi peliknya , beliau tidak masuk senarai malah tidak terlintas dalam fikiran kami sebelum ini sebagai bakal calon dan tambah pelik apabila ia diumumkan oleh Ayah Chik masing - masing kami para petugas ini merasakan Ya ! inilah calon yang paling baik dan layak ... sekali lagi saya ucapkan syabas buat Ayah Chik .

Kini Giliran Kita

Persoalannya , kita baru sahaja selesai mengisytiharkan calon sementara laluan untuk menang pilihanraya kecil ini masih jauh dan memerlukan komitmen yang jauh lebih besar dari sekadar meletak calon .

Kalau tadi Ayah Chik telah berjaya menyelesaikan tugas besarnya dengan istikharah dan istisyarah untuk meletak calon dan ia satu permulaan yang cukup baik dan hebat , maka kini saya kira tanggungjawab kitalah pula untuk menggerakkan segala upaya yang ada pada kita bermula dengan jentera UPU , MTD , Kawasan , Negeri , tenaga sokongan dari negeri - negeri lain dan semua ahli PAS demi memastikan kemenangan menjadi milik kita insyaallah .

Permulaan yang diasaskan oleh Ayah Chik memasuki gerbang pilihanraya kecil kali ini dengan mengambil petunjuk Allah swt dan bertawakkal kepadaNya dalam meletak calon sekaligus menjadi isyarat kepada kita bahawa segala kerja dan tugas yang kita laksanakan sepanjang musim kempen pilihanraya ini khasnya dan sepanjang musim perjuangan kita amnya mestilah juga berpaksi kepada petunjuk Allah swt [ taufiq & hidayah ] dan bertawakkal kepadaNya.

Mudah - mudahan [ kita harapkan dari Allah Jalla wa A'la ] dengan permulaan yang hebat , kita akan berakhir dengan hebat jua Insyaallah . Namun janganlah kita ambil mudah tugas dakwah menyedarkan insan agar menyertai perubahan yang ditaja ini untuk menolak UMNO dan BN lantas menterjemahkannya di peti undi untuk memenangkan PAS .

Saya percaya tidak mudah untuk meyakinkan semua pihak apa yang kita lakukan ini . Bukan sahaja UMNO dan BN yang sememangnya menolak Islam tetapi juga dari kalangan rakan - rakan jamaah Islam lainnya yang mulai curiga dengan pendekatan PAS dewasa ini . Banyak fitnah mula dilemparkan dan kekeliruan ditimbulkan .

Sementara itu , agak sukar juga bagi PAS untuk menjelaskan dasar dan strateginya dalam apa jua pendekatan terkini yang diambil secara terbuka dan terperinci . Cuma saya yakin dan percaya bahawa PAS masih di paksinya yang betul dan tepat untuk membawa Islam ini kepada masyarakat dan mendaulatkannya di atas tanahair kesayangan ini .

Saya juga merasakan bukan ini masanya yang sesuai untuk 'berbahas' apalagi "bertekak" dengan pelbagai pihak mengenai pendekatan - pendekatan PAS mutaakhir ini yang dianggap oleh sesetengah pihak sebagai telah lari dari prinsip perjuangan yang asal .

Selagi mana kita yakin bahawa pendekatan yang diambil tidak bercanggah dengan syariat berasaskan dalil atau nas yang ada , walau timbul khilaf pandangan dengan pihak lain , kita abaikanlah dulu dengan kita memberi fokus kepada banyak perkara yang perlu kita lakukan untuk memenangkan Islam ini . Biar cara kita tidak serupa asal objektif dan matlamat kita tidak lari dan cara kita tidak bercanggah dengan syariat Allah swt .

Hindarkanlah soal - soal remeh temeh dan khilaf fikri yang mengundang perbalahan tidak bermanafaat antara kita . Kitakan banyak urusan perjuangan yang belum selesai .

Masih ramai ummat Islam yang jahil tentang Islam , masih terlalu ramai non - muslim yang perlu didekati untuk memahamkan mereka mengenai islam sekurang - kurangnya mereka tidak lagi memusuhi Islam , masih banyak risalah Islam yang belum kita sampaikan . masih .... masih ..... masih ...... begitulah kita belum selesai banyak perkara .

Justeru itu kenapa kita mahu habiskan masa dengan perkara yang tidak banyak membantu malah membantutkan perjuangan kita seperti khilaf dan balah antara kita yang tidak membawa makna kepada perjuangan suci ini .

Sahabat sekelian ! setelah kita menyedari payahnya perjuangan ini ....

Janganlah kita leka dan bersahaja mengurus perjuangan ini sebaliknya serius dan bersungguh - sungguhlah . Juga jangan sekali - kali pandang rendah pada keupayaan musuh sebagaimana kita juga jangan sekali - kali tidak mengendahkan hubungan kita dengan Allah swt justeru pertolongan dan kemenangan adalah dari Allah swt .

Firman Allah swt yang bermaksud :

dan orang - orang yang sungguh - sungguh berjuang untuk menegakkan perintah kami nescaya kami tunjukkan jalan kami

Surah al ankabut . Ayat : 69

1 Comments:

Blogger PondokDungunTerengganu said...

Assalamu'alaikum Ustz Diin,

Saya ingin menampilkan rasa kecewa saya sehubungan dengan pujian yang diberi oleh TGHAHA kepada JamaludDiin Al-Afghani dan Muhammad Abduh dalam Kuliah Juma'at di Rusila. Saya sentiasa mengikuti Kuliah TGHAHA dalam Terengganukini. Saya tidak mahu berpolemik berhubung isu ini kerana jika kita benar-benar mahu mencari kebenaran apa yang telah dinyatakan dalam Blog http://korban-demokrasi.blogspot.com/ sebenarnya sudah lebih dari mencukupi untuk dijadikan sempadan. Tetapi, jika masih juga musykil atau ragu-ragu kepada penulisan itu berhubung kesesatan dua makhluk sesat warisan ad-Dajjal ini silalah membaca satu Tesis dalam bahasa Melayu yang telah dibukukan dan ada dijual di pasaran.

Tesis PhD itu ditulis oleh seorang pelajar Arab dalam Bahasa Melayu untuk kelulusan Universiti Malaya diketika dia belajar di situ. Tajuk buku; Sultan 'Abd Al-Hamid II dan Kejatuhan Khilafah Islamiah oleh Dr Eeman Mohamed Abbas cetakan Pustaka Salam Sdn Bhd; bulan April 2007. Sila rujuk mukasurat 782 hingga 914 yang membentangkan secara terperinci latarbelakang kedua-dua manusia terlaknat ini dan juga tentang Rasyid Ridha. Saya mendapati bahawa kajian yang dibuat adalah adil dan tepat berdasarkan semakan dan perbandingan rujukan yang dibuat oleh saya sendiri.

Saya pernah mengagumi kedua-dua manusia ini tetapi tidak lagi sekarang setelah yang haq telah timbul dengan nyatanya.

Harap perkara ini dikongsikan dengan TGHAHA.

Assalamu'alaikum
PONDOKDUNGUN

Saya mohon perkara ini

7:09 PM

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

Links to this post:

Create a Link

<< Home