" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Saturday, February 07, 2009

HIMPUNAN
100 RIBU RAKYAT

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Hrkh) -

Satu himpunan 100 ribu rakyat untuk menyerahkan memorandum kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong di Istana Negara akan diadakan bagi membantah pelaksanaan Pengajaran & Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Himpunan yang akan diadakan pada 7 Mac bermula jam 2 petang itu anjuran Lajnah Penerangan PAS Pusat bersama Lajnah Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat & Gerakan Memansuh PPSMI.

Demikian menurut Setiausaha Gerakan Memansuh PPSMI (GMP), Hasni Abas dalam majlis penerangan bantahan terhadap pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di Taman Melewar.

Himpunan yang diadakan akan memberi tekanan kepada kerajaan dan Umno yang akan mengadakan pemilihan dalam mesyuarat Agung Umno pada 24 hingga 28 Mac nanti.

Beliau berharap pimpinan di semua peringkat seluruh negara mesti bersama-sama menyokong himpunan tersebut. Sebelum itu satu penyerahan memorandum kepada ahli Parlimen di hadapan bangunan Parliman akan diadakan pada 17 Februari jam 10 pagi.

Dalam majlis yang sama Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Mahfuz Omar menegaskan gerakan PPSMI perlu dilaksanakan bagi mengembalikan kuasa terhadap rakyat. Beliau berharap golongan wanita di semua peringkat perlu menyokong perhimpunan besar-besaran itu untuk mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa utama.

Katanya, pelaksanaan pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris merupakan satu gerakan merampas kuasa Perlembagaan dan Perundangan negara yang dilakukan oleh BN. _

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home