" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Wednesday, May 11, 2005

Remaja di Penjara kerana gagal hadir PLKN : Kerajaan Bertanggungjawab Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) kesal dengan tindakkan keterlaluan pihak Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menyebabkan seorang remaja di Kangar, Perlis dipenjarakan hari ini. Ahmad Hafizal Ahmad Fauzi, 18, menjadi remaja pertama dihukum atas kesalahan tidak menghadiri Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada Julai tahun lalu. Beliau yang tidak diwakili peguam telah dibicarakan dengan menggunakan Akta 628 Seksyen 18(1) Akta Khidmat Negara 2003; 18. (1) Mana-mana orang yang tidak menghadirkan dirinya bagi latihan khidmat negara seperti yang dikehendaki supaya dibuat olehnya menurut kuasa pemberitahuan yang dikeluarkan oleh Majlis di bawah subseksyen 17(2) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya. Majistret Wan Norzanuar Wan Ahmad telah menjatuhkan hukuman penjara 14 hari kepada beliau setelah beliau gagal membayar tawaran denda sebanyak RM 600 ekoran kemiskinan yang dialami oleh beliau dan keluarga. Dalam rayuan yang dikemukakan, Beliau, yang tinggal di Kampung Titi Serong, Jalan Kuala Perlis telah memaklumkan mahkamah bahawa beliau gagal hadir ke PLKN ekoran kesempitan hidup yang memaksa beliau bekerja dibendang untuk membantu menyara keluarga. Pihak DPPWP tidak mempersoalkan tindakkan mahkamah yang telah menjatuhkan hukuman, tetapi tindakkan kerajaan BN melalui Jabatan Peguam Negara amat keterlaluan kerana perkara sebegini boleh diselesaikan diluar mahkamah. DPPWP mempersoalkan, adakah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Kementerian Pertahanan Malaysia telah benar – benar menjalankan langkah – langkah yang betul bagi memastikan semua remaja yang gagal menghadiri program ini dapat dihubungi. Adakah pihak JLKN ada menghantar pegawai untuk memaklumkan beliau atau menyiasat punca – punca beliau gagal hadir ke program tersebut. Adakah pihak Kerajaan membuat penyiasatan terhadap latar belakang remaja ini sebelum membawa kes beliau ke Mahkamah. Seharusnya pihak Kerajaan membantu keluarga beliau dan bukannya membebankan beliau dengan sesuatu perkara yang beliau tidak boleh lakukan dalam satu masa yang sama iaitu bekerja untuk menyara keluarga dan menyertai PLKN. Program PLKN selama 3 bulan yang menawarkan elaun bulanan sebanyak RM 100 adalah tidak memadai untuk beliau menanggung keluarga beliau setiap bulan. Seharusnya pihak Kerajaan menawarkan bantuan kewangan yang lebih kepada remaja seperti beliau agar mereka boleh menyertai PLKN tanpa rasa risau terhadap masalah kewangan keluarga beliau. Pihak DPPWP dimaklumkan bahawa pihak JLKN membayar RM 80 – RM 150 sehari bagi setiap jurulatih dan Fasilitator yang bertugas dalam PLKN. Kebanyakkan jurulatih dan fasilitator tersebut adalah dari kalangan mereka yang sudah bekerja dan mendapat pelepas bergaji dari majikan mereka untuk menjalankan tugas Negara. Keadaan ini jauh berbeza dengan apa yang diperolehi oleh peserta PLKN, iaitu RM 100 sebulan dan juga kakitangan Kerajaan yang lain. Kerajaan tidak perlu menambahkan elaun tersebut kepada semua peserta PLKN, tetapi Kerajaan perlu menggunakan geran bantuan dari Jabatan Kebajikkan Masyarakat untuk membantu remaja yang mempunyai masalah seperti beliau. Kenyataan bahawa beliau tidak hadir ke PLKN lantaran masalah ekonomi keluarga perlu dipertimbangkan. Hukuman penjara yang beliau hadapi hanyalah menambahkan beban kepada beliau. Tindakkan tersebut sekaligus, telah menyamakan beliau dengan penjenayah yang lain dan status banduan bakal menghantui hidup serta masa depan beliau selepas ini. Justeru itu pihak DPPWP berharap agar pihak Kerajaan menilai semula tindakkan yang diambil agar tidak merosakkan masa depan remaja ini. Di sudut yang lain, DPPWP mengesa agar Dewan Pemuda PAS Pusat dan Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis mengambil langkah – langkah segera dan yang bersesuaian untuk membantu remaja ini. Disamping itu, DPPWP juga bersedia untuk menawarkan khidmat Guaman kepada mana – mana remaja yang tidak berkemampuan seperti beliau agar perkara sebegini dapat diadili dengan sebaiknya dan memastikan nasib orang - orang seperti beliau mendapat pembelaan yang sewajarnya. Selain itu, DPPWP juga berharap agar cara perlaksanaan modul - modul PLKN dikaji semula agar ianya dapat menjaminkan keberkesanan dalam mendidik akhlak remaja. DPPWP berharap agar masalah percampuran remaja lelaki dan perempuan yang terlalu bebas dapat diatasi. Program – program PLKN sebenarnya jauh berbeza dengan apa yang cuba ditiru oleh Malaysia dari Negara lain seperti Singapura dan Korea. Di Malaysia PLKN hanya sekadar program latihan yang menyamai program – program Biro Tatanegara (BTN) yang lain dan tiada apa – apa yang luar biasa. Bila mana pelajar – pelajar ini berjaya memasuki Universiti, mereka akan dipaksakan pula menghadiri program BTN dan semua ini hanyalah bertujuan untuk mengindoktrinasikan mereka agar patuh kepada Kerajaan BN dan bukannya pada Agama dan Negara. Herman Samsudeen Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

1 Comments:

Anonymous Anonymous said...

tepuk dada tanya selera.patutnya kita kaji knp dia tak pergi dan kenapa kerajaan hukum dia.pada saya peraturan tetap peraturan.dan setiap yg bakal menyertai plkn itu perlu bersedia dan rayuan boleh dibuat sekiranaya ada alasan yg kukuh untuk tidak menyertai program tersebt

12:50 PM

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home