" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Thursday, January 12, 2006

Soal Jawab Agama : ( 001 ) Bolehkah Ustaz jelaskan mengenai Qaedah Adh - Dhorurah Tubiihul Mahzhurat . Jawapan :

الضرورة تبيح المحظورات

Asal qaedah diatas ialah : الضَّرَرُ يُزَالُ dengan maksud : Kemudharatan hendaklah dihilangkan . Asas kepada qaedah ini ialah hadis Rasulullah saw yang dikeluarkan oleh As Sayuthi daripada Malik , Al Haakim , Al Baihaqi , Ad Daaruqutni dan Ibnu majah dalam kitab Al Asybaah wan Nazhaai’r hal. 83: لاَ ضَرَرَ وَ لاَ ضِرَارَ Jangan melakukan kerosakan dan jangan membalas kemudharatan dengan kemudharatan yang sama . Daripada qaedah inilah ketika membahaskannya , para ulama’menerbitkan satu qaedah (الضرورة تبيح المحظورات ) yang berurutan dengan qaedah diatas الضَّرَرُ يُزَالُ . Dhorurah : Ialah sesuatu yang tidak mungkin tercapai lima kepentingan/ 5 perkara prinsipal ( iaitu : ugama , harta , jiwa , aqal dan kehormatan diri / keturunan ) yang asasi bagi seseorang muslim itu melainkan dengannya . Mahzhurat : Ialah perkara – perkara yang wujud nas syara’ melarang dan mengharamkannya . Maksud qaedah ini ialah : Bahawa setiap sesuatu yang dilarang pada syara’ boleh bertukar menjadi harus ketika dhorurah . maka mengharuskan oleh keadaan dhorurat akan yang haram itu dinamakan rukhsah dalam ilmu usul feqh. Rukhsah itu mengharuskan yang diharamkan kerana dhorurah , disamping kekal pengharamannya apabila hilang dhorurah . Cth . Praktikal bagi qaedah ini ialah : Harus berlafaz dengan kalimah kufur ketika dipaksa disamping hati tetap beriman kerana Allah swt . Berdasarkan firman Allah swt . dari surah An nahl ayat 106 . Harus memakan bangkai ketika keadaan menjadi getir kerana kebuluran dan mengancam nyawa yang merupakan satu dari 5 perkara principal tadi . dan seumpamanya . Islam mengharuskan yang dilarang ketika dhorurah kerana hendak menolak kemudharatan dari manusia , tetapi tidak patut bagi seseorang muslim mengambil kesempatan / peluang untuk terus menerus berjinak dengan perkara haram atas alas an dhorurah . Justeru itu , qaedah Adh Dhorurah Tubihul mahzhurat tetap terikat dengan qaedah yang lain , yang mengemaskini cara perlaksanaan agar tidak disalah gunakan qaedah tersebut . Qaedah yang mengemaskini perlaksanaanya ialah : ما أُبِيحَ للضرورة يُقدَّرُ بقََدَرِهَا Maksudnya : Setiap sesuatu yang diharuskan kerana dhorurah samaada dibuat atau tidak , adalah harus seqadar yang boleh menolak kemudharatan dan tidak boleh melebihi dari qadar itu . Qaedah ini berdasarkan firman Allah swt. Dari surah Al Baqarah ayat 173 yang bermaksud : Maka sesiapa yang terpaksa memakannya kerana dhorurah , sedang ia tidak menginginkannya dan tidak pula melampaui batas pada qadar benda yang dimakan itu , maka tidak ada dosa atasnya . Ayat ini , bukan sahaja terhenti atas makanan tetapi juga perlakuan dan seumpamanya , dengan maksud agar ia tidak dilakukan sewenang wenangnya atas alasan dhorurah .

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home