" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Sunday, March 26, 2006

Futsal dan Perjuangan.

Saya merakamkan sekalung tahniah buat Dewan Pemuda PAS Kawasan Indera Mahkota dan kawasan – kawasan yang telah berjaya menganjurkan kejohanan atau pertandingan futsal di peringkat kawasan masing – masing sebelum Pusingan Akhir Futsal peringkat Negeri Pahang bagi merebut piala Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man pada 9 April ini .

Saya diberi penghormatan untuk merasmikan Karnival Futsal DPP Kawasan Indera Mahkota pagi tadi ( jam 9.00 am ) di Gelanggang Futsal Seberang Balok .

Gembira bukan kepalang rasa hati ini apabila melihat penyertaan yang sangat menggalakkan . Saya difahamkan oleh ketua DPP Kawasan Indera Mahkota bahawa mereka menerima 20 pasukan yang menyertai karnival sehari ini , setelah mereka terpaksa menolak beberapa buah pasukan yang turut memohon untuk menyertainya. ( kerana terlalu banyak pasukan yang mendaftar berbanding keupayaan penganjur )

Kegembiraan ini bukanlah terhenti semata – mata melihat kepada sambutan , tetapi lebih kepada penerimaan remaja dan pemuda terhadap PAS yang selama ini sering dilabel sebagai golongan ekstrim , anti masyarakat dan anti perpaduan .

Kini segala imej negatif yang sengaja dilontar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memfitnah dan mempalit imej buruk kepada PAS yang pastinya pula bermaksud menjauhkan masyarakat dari PAS yang memperjuangkan Islam telah dijawab dengan penuh hikmah.

Ternyata PAS kini mesra masyarakat , mesra pemuda malah mesra pelbagai aktiviti sihat yang mampu membina jati diri bersih dan terpuji .

Tidak ada apa lagi yang perlu ditakuti oleh masyarakat khasnya anak – anak muda untuk mendekati PAS . Pagi ini saya melihat bagaimana anak – anak muda dengan pelbagai latar belakang dan penampilan begitu mesra dengan pemuda – pemuda PAS .

Barangkali selama ini mereka dikelirukan oleh pihak tertentu dalam membuat tanggapan terhadap PAS. Seolah – olah PAS adalah parti agama yang jumud dan dunianya hanyalah surau dan markaz . Tambahan pula mereka dihasut dengan nada fitnah yang tidak berasas kononnya PAS adalah parti yang menganggu perpaduan dan menimbulkan perpecahan.

Saya mengucapkan terima kasih dan melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga menyaksikan usaha gigih DPP kawasan – kawasan untuk memecah tembok yang membentengi PAS dengan masyarakat .

Selaku ketua DPP PAS Negeri , saya menyeru agar DPP Kawasan mempergiatkan lagi segala usaha yang mampu mendekatkan diri kepada masyarakat dan mengambil pendekatan penuh hikmah berhadapan dengan golongan yang telah bersarang dalam kotak pemikiran mereka persepsi negatif terhadap PAS .

Rakan – rakan ustaz serta ulama’ muda dalam DPP , sayugianya rancak dan tangkas melangkah turun ke padang guna membimbing mereka ke jalan yang benar .

Segalanya adalah ibadah dan perjuangan , demontrasi adalah ibadah , edar handbill dan risalah adalah ibadah , ziarah sahabat adalah ibadah dan begitulah Futsal adalah ibadah dan perjuangan seandainya ia berorientasikan dakwah dan pengabdian diri kepada Allah swt .

1 Comments:

Anonymous Anonymous said...

TAkbir .... Ustaz kita jumpa di kejohanan Futsal Negeri insyaallah 9 hb April nanti .

10:35 PM

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home