" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Tuesday, March 28, 2006

Futsal dan Perjuangan . vol 2

Saya bukanlah mahir bermain bola , tetapi saya sangat meminati sukan atau riadhah ini. Selain ia menyihatkan badan , permainannya cukup menghiburkan malah kekadang tu memberi saya ilham untuk mengatur strategi perjuangan . Kelihatan agak lucukan ? tapi itulah realitinya.

Selepas saya merasmikan futsal DPP Indera Mahkota Ahad lalu , saya sempat menyaksikan sebahagian perlawanan yang dilangsungkan pagi itu .

Setelah saya mengamati strategi dan skill pasukan - pasukan yang bertanding , lalu saya mendekati pasukan Balok Maju yang ketika itu sedang berehat di tepi gelanggang .

Kebetulannya saya meminati penampilan pasukan itu yang kesemua pemainnya memakai seluar panjang . Justeru satu bukti bahawa pakai seluar panjang pun boleh memenangi perlawanan .

( memakai seluar panjang sememangnya menjadi syarat penyertaan , tetapi saya telah memberitahu penganjur , bahawa buat pertama kali kejohanan ini , kita wajar bertolak ansur dengan pemain yang rata - ratanya belum memahami etika syakhsiyyah muslim yang sempurna. )

Saya memberitahu Pasukan Balok Maju , bahawa pasukan mereka akan bertemu pasukan Bukit Setongkol di final dan saya harap Balok Maju akan muncul juara . Itulah kata perangsang yang sempat saya berikan kepada mereka sebelum saya meninggalkan tapak kejohanan itu.

Saya menyedari , pasukan Bukit Setongkol sangat handal tetapi sebagai motivasi kepada anak - anak muda yang minat bermain tetapi dalam masa yang sama menjaga batasan auratnya . Saya doakan mereka berjaya .

Tanpa disangka , telahan yang saya buat itu menjadi kenyataan apabila selesai solat zohor tadi ( selasa ) , saya mendapat mesej dari akhi Zamri setelah 2 hari kejohanan itu berakhir , bahawa Bukit Setongkol menjadi Johan sementara Balok Maju menjadi naib Johan . Ini bermakna benar mereka bertemu di Final .

Saya tersenyum sendiri mengenang pengamatan strategi saya masih menjadi .

Saya teringat semasa saya berada di Tanta ( Mesir ) satu ketika dulu ( tahun 1992 ) dimana saya telah mengasaskan Pasukan Fursan Tantawi dengan tunggak utamanya Ustaz Suhaimi dan Ustaz Darul Naim .

Saya pasti bukan pemain yang baik , tetapi minat saya mendalam mendorong saya mengasaskan pasukan tersebut dan menjadi motivator buat rakan sepasukan untuk terus berjaya dan berlatih gigih .

Baru - baru ni , sewaktu saya melawat kembali Mesir buat pertama kali setelah 9 tahun saya meninggal bumi yang penuh nostalgia itu , saya mendapat maklumat bahawa bukan sahaja Fursan Tantawi masih wujud tetapi ia menjadi antara pasukan yang digeruni dikalangan Masyarakat Pelajar Melayu di Mesir.

Saya sempat juga menyaksikan deretan pingat dan piala yang dimenangi oleh Fursan Tantawi .

Bola sepak adalah sejenis permainan yang perlukan kerja berpasukan ( amal jamaei ) sementara skill , stamina , semangat , teknik , taktik dan player touching pula menjadi asas penting membentuk sebuah pasukan mantap di tengah padang.

Bukankah perjuangan Islam yang kita dokong ini , turut memerlukan semua asas tersebut . Itulah yang saya katakan tadi , bagaimana permainan bola sepak ini sering memberi saya ilham kepada saya untuk bergerak dan beraksi di pentas perjuangan ini.

Kalau ramai tokoh politik dan pakar strategi mengambil permainan catur untuk ilham mereka , saya pula menjadikan bola sepak tempat saya merehatkan minda sambil berfikir kalau - kalau ada idea baru yang boleh saya manafaatkan.

Namun bukan bermakna bola sepak itu segalanya . Sekadar ianya menjadi bahan berfikir sambil rehat . ( Tentu sahaja tempat terbaik mengatur strategi jamaah ini , dalam meeting ( syura ) ataupun bengkel strategi yang diatur khusus untuk merancang strategi dan pendekatan parti .)

Saya rasa ada pimpinan - pimpinan PAS yang mempunyai kecenderungan yang sama tetapi bidang yang berbeza . Seperti Tuan Guru Hj. Abdul Hadi yang mempunyai minat yang mendalam untuk turun ke laut , samaada memancing , mencandat sotong atau menjala .

Saya teringat bagaimana Tuan Guru turun ke laut melalui pantai Endau Rompin , selepas ceramah malam tu di Rompin dan pulang hanya selepas jam 11 am esoknya. Bunyinya sangat meletihkan , tetapi bagi saya itulah kerehatan bagi Tuan guru disamping minatnya yang terlalu tinggi.

Pastinya turun ke Laut malam itu , bukan berorientasikan tangkap ikan sangat , tetapi lebih kepada kecenderungan yang saya maksudkan tadi ( rehat sambil berfikir ) . ( akhi Mazlan Aliman dan Misbahul Munir turut serta turun ke Laut malam itu )

Demikian juga Pesuruh Jaya PAS Pahang Dato' Tuan Ibrahim yang mempunyai minat yang tinggi terhadap aktiviti memburu. Biarpun padat dengan aktiviti parti , yang pastinya pula meletihkan , beliau masih bersemangat untuk masuk hutan bagi memburu , biarpun kekadang hanya pulang dengan tangan kosong.

Justeru pemburuan itu hanya satu kecenderungan yang menjadikan beliau berfikir sambil berehat .

Kini saya pula dalam debaran menanti detik 9 April , dimana akan berlangsungnya kejohanan Futsal peringkat Negeri pahang anjuran DPP Negeri pahang bagi merebut Piala Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man .

Semoga pasukan - pasukan dari seluruh negeri telah bersedia dengan segala strategi , skill dan stamina untuk memburu kemenangan dalam kejohanan tersebut , dan insyaallah sejurus selesai kejohanan itu kelak , semua pemuda ( yang berbekalkan kesegaran dan kesihatan ) pulang ke kawasan masing - masing mengatur strategi serta membina stamina dan skill yang tinggi bagi menghadapi Pilihanraya umum 2007/08 nanti .

Seperkara yang saya nak ingatkan buat semua , agar kejohanan Futsal di peringkat negeri nanti dapat dipatuhi segala syarat penyertaannya. Mungkin kita banyak bertolak ansur di peringkat kawasan - kawasan , tetapi di peringkat negeri , kawasan seharusnya memilih pasukan terbaik sementara yang terbaik itu , bukan sahaja kerana ia menjadi juara di peringkat kawasan tetapi kerena keupayaan mereka mentaati syarat penyertaan .

Lagi pun , itu menjadi imej kepada Dewan Pemuda PAS Negeri . Semoga Ketua DPP Kawasan dapat mengambil perhatian serius dalam perkara ini . Semoga anda semua berjaya .

2 Comments:

Anonymous Anonymous said...

teringat gak pasukan ana.. dolphin dumyati dibelasah fursan tantawi.. byk kenangan kat mesir dulu yerr

10:34 PM

 
Blogger Nasrudin bin Hassan at Tantawi said...

Ya , kenangan di Mesir sungguh mengharukan kita semua . Kenangan manis dan pahit hidup bersama banyak mengajar erti hidup dan perjuangan .

Rasa macam nak balik duk Mesir semula . Rasanya ni lah sebab ada yang tak balik balik duk di Mesir . :)

1:15 AM

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home