" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Sunday, April 16, 2006

As Sultah At Tanfizziyah dalam Negara Islam

Muqaddimah

Suatu yang menjadi tandatanya kebanyakan masyarakat hari ini sama ada Muslim atau bukan muslim ialah berkenaan dengan kedudukan wanita dan bukan Islam di dalam negara Islam yang melaksanakan Islam secara menyeluruh.

Kebimbangan bukan muslim terhadap hak-hak dan kebebasan mereka dalam negara Islam menjadi isu penting dibincangkan oleh mereka dan juga beberapa pihak yang tidak senang dengan sokongan masyarakat bukan muslim terhadap usaha gerakan Islam yang berusaha mengembalikan system pemerintahan Islam yang berasaskan keadilan al-Quran dan al-Sunnah dan al-Siyasah al-Syar’iyyah secara menyeluruh.

Bertolak dari sini kertas ini cuba mengolah kedudukan bukan Islam dan wanita Islam dalam skop “al-Sultah al Tanfiziyyah” di dalam sebuah negara Islam dengan melihat pandangan ulama’ fiqah terdahulu dan kontemporari sebagai usaha menjelaskan tanggapan salah terhadap keadilan Islam dan negara Islam. Dari situ diharap dapat dibuat satu kesimpulan terhadap kedudukan mereka dalam kontek negara Malaysia apabila Islam diberi peluang memerintah.

Ta’rif Daulah dan Daulah Islamiah

Dr. Mohammad Adul Qadir dalam bukunya al Nizam al Siayasi Fi al Islam mena’rifkan daulah seperti berikut:

“Sekumpulan manusia yang menetap di satu kawasan bumi secara tetap, di mana urusan kehidupan mereka diurus atau diperintah oleh satu badan pemerintah tertentu”.

Dari ta’rif tersebut jelas kepada kita bahawa negara atau daulah itu terdiri dari tiga rukun utama iaitu Sekumpulan manusia atau dikenali sebagai rakyat, Bumi tertentu yang didiami oleh manusia tersebut, dan kuasa pemerintah yang mentadbir segala urusan manusia sama ada urusan dalam negara atau luar. Kuasa in lebih dikenali sebagai “al-Sultah” atau dengan kata majmuknya “al Sultaat”.

Sesuatu yang sudah dimaklumi bahawa al Sultah pula dalam mana-mana system pemerintahan ianya dibahagi kepada tiga jenis sultah yang utama iaitu: Sultah Tashri’iyyah (Kuasa Penggubalan dasar dan undang-undang), Sultah Tanfiziyyah (Kuasa Perlaksanaan) dan Sultah Qadha’iyyah (Kuasa Kehakiman).

Penentuan terhadap jenis pemerintahan yang dipakai oleh mana-mana negara adalah bergantung secara langsung kepada bentuk dan dasar yang dipakai dalam ketiga-tiga sultah tadi. Ianya boleh dianggap kerajaan komunis apabila dasar-dasar yang dipakai dalam ketiga-tiga sultah tadi berasaskan kepada dasar, prinsip dan nilai komunis, ianya boleh dianggap negara Islam apabila dasar Islam menjadi asas kepada ketiga-tiga sultah tersebut dan begitulah seterusnya.

Kertas ini akan difokuskan perbincangannya terhadap satu sultah sahaja iaitu sultah tanfiziyyah bagi melihat apakah dasar-dasar umum Islam berkenaan dengan sultah ini dalam kontek kedudukan dan hak-hak warganegara bukan Islam dan wanita Islam dalam negara Islam yang mengamal sebagai dasar pemerintahannya.

Definasi al-Sultah al-Tanfiziyyah

Al-Sultah al-Tanfiziyyah ialah kuasa yang bertanggungjawab melaksana segala dasar dan undang-undang yang telah diluluskan oleh al-Sultah al-Tanfiziyyah. Pada kebiasaannya mereka yang memegang jasatan ini tidak terlibat dalam kerja penggubalan dasar dan undang-undang.

Syeikh Abdul Wahab dlam kitabnya “al-Siyasah al-Syar’iyyah” menyebut bahawa semua urusan pentadbiran Negara yang terkeluar dari al-sultah al-Tasyriyyah dan al-Sultah al-Qadhaaiyyah adalah termasuk dalam Al-Sultah al-Tanfiziyyah. Kuasa ini pada umum diberi kepada peringkat al wizarah atau peringkat kementerian.

Ianya juga dapat dilihat sebagai satu badan pemerintahan (al hai’ah al Hakimah) yang menjalankan urusan pentadbiran Negara yang diketuai oleh Perdana Menteri dan Menteri-menteri. Kedudukan ini dapat dilihat lebih jelas dalam Negara-negara yang menggunakan system demokrasi berparlimen, seperti Malaysia, Jordan dan lain-lainnya.

Jenis-Jenis al-Sultah al-Tanfiziah

1.al-Sultah al-Tanfiziah (Kementerian) yang terletak dibawah kerajaan pusat yang dipimpin oleh al Khalifah, atau al Imam atau Perdana Menteri. Kuasa mereka meliputi semua negeri-negeri yang berada di bawah naungan kerajaan pusat.

2.al-Sultah al-Tanfiziah Kementerian khas yang terletak di bawah bidang kuasa Wazir al Tafwiid, atau Gabnor wilayah atau Menteri Besar dalam konteks Malaysia. Menteri atau exco dalam konteks kerajaan Malaysia adalah dilantik oleh Gabenor aldah dilantik oleh Gabenor atau Menteri Besar bagi melaksanakan segala peraturan dan urusan yang terletak dalambidang kuasa Wizarah al-Tafwidh yang diluluskan di peringkat tersebut. Peraturan yang diluluskan di peringkat ini tidak boleh bercanggah dengan dasar dan prinsip atau perlembagaan pusat di bawah khalifah.

Kelayakan Menteri-Menteri al Sultah al Tanfiziah

Ulama Fiqah terdahulu yang dianggap sebagai pelopor dalam bidang politik dan pemerintahan iaitu Al-Imam al-Mawardi dan al Imam Abu Ya’la dalam mensyaratkan beberapa kelayakan untuk dilantik sebagai wazir al Tanfiz sebagaimana berikut:

1.Amanah, supaya dia tidak mengkhianati amanah dan tanggungjawab yang diberi.

2.Jujur tidak berbohong, supaya dipercayai apa yang hendak disampai dan dilaksanakan

3.Tidak tamak, supaya tidak melakukan rasuah dan pecah amanah

4.Tidak ada hubungan buruk atau permusuhan dengan orang ramai, supaya apa yang hendak dilaksanakan dapat diterima oleh rakyat

5.Bijak dan pintar, mampu memahami reality dan keutamaan sesuatu perkara sebelum dilaksanakan

6.Tidak mengikut hawa nafsu, supaya tidak ditukar kebenaran dengan keadilan

7.Lelaki, kerana dianya bertanggungjawab secara langsung kepada khalifah (seorang lelaki) dan layak menjadi saksi kepada khalifah dalam laporannya

8.Berpengalaman, supaya melakukan sesuatu berasaskan reality dan penilaian yang teliti tentang kesan-kesan baik dan buruk terhadap sesuatu perkara

Perbincangan

Daripada syarat-syarat di atas jelas bahawa mereka telah memberi penekanan kepada beberapa perkara asas sebagai kelayakan-kelayakan yang minimum bagi seorang yang akan dilantik menjawat jawatan menteri dan jawatan umum yang berada di bawah al- Sultah al-Tanfiziyyah di antara perkara yang dapat diperhatikan adalah seperti berikut:

1.Mereka menekankan soal kualiti menyeluruh iaitu TQM 1 – (total quality man) dan TQM 2 (total quality management) sebagai prasyarat seorang menteri yang melaksanakan segala dasar dan undang-undang yang telah diputuskan oleh al Sultah al Tasyriyyah.

Sebab itu mereka menekankan soal amanah, jujur, pintar, tidak tamak atau rakus di samping seorang yang berpengalaman yang mampu melaksanakan tugas dan amanah yang diberi sesuai dengan objektif, halatuju dan matlamat yang telah diputuskan, di samping memahami keutamaan, berasaskan tuntutan setempat dan semasa.

Sifat-sifat ini adalah asas kepada kejayaan segala perancangan dan tugas yang telah diamanahkan kepada mereka. Al-Quran dengan jelas membayangkan cirri-ciri seperti ini seharusnya diberi keutamaan dalam melantik pekerja yang akan melaksanakan ketetapan negara atau majikan.

Firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya sebaik-baik yang kamu lantik itu ialah seorang yang berkebolehan dan amanah”

Oleh itu ketaqwaan Abu Zar tidak dapat meyakinkan Rasulullah untuk melantik beliau ke jawatan yang dimintanya, seraya menasihati Abu Zar dengan sabda yang bermaksud :

“Wahai Abu Zar, sesungguhnya kamu lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah, di mana di Hari Kiamat boleh membawa kerugian dan penyesalan, kecuali mereka mendapatkannya dengan cara hak dan menunaikan segala yang dituntut padanya”

2.Islam tidak dijadikan salah satu saripada syarat-syarat menjadi wazir atau menteri. Ini beerti warganegara bukan Islam boleh dilantik menjadi menteri, selagi mana mereka mempunyai cirri-ciri dan kelayakan di atas dan mampu melaksana ketetapan mengikut halatuju kerajaan Islam ketika itu.

3.Wanita tidak boleh dilantik menjadi menteri kerana mereka bertanggungjawab kepada khalifah yang menrupakan seorang lelaki, di ajuga tidak layak menjadi saksi kepada laporan yang akan diberikan kepada khalifah. Alasan yang diberikan oleh ketiga-tiga imam dalam persoalan ini pada pandangan penulis boleh dibawa kepada perbincangan yang lebih luas sesuai dengan perkembangan semasa.

4.Al-Imam al Mawardi mengharuskan juga perlantikan hamba sebagai menteri kabinet (pelaksa), di mana merdeka bukan sebagai syarat kelayakan sebagaimana yang terdapat dalam syarat-syarat perlantikan lain dalam al Sultah al-Tasyriyyah. Di sini beliau berpendapat hamba lebih layak dari wanita yang merdeka walaupun wanita itu berilmu dan berpengalaman, serta mempunyai (kemerdekaan ke atas dirinya).

Dari alasan yang diberikan oleh al-Imam al-Mawardi menampakkan kepada kita bahawa apa yang dibimbangi apabila wanita dilantik menjadi menteri ialah lahirnya masalah social, apabila Khalifah adalah seorang lelaki. Oleh kerana menteri adalah orang yang bertanggungjawab secara langsung kepada khalifah, maka hubungan ini dibimbangi dapat mencetuskan masalah social. Di samping itu kekuatan kebenaran apa yang akan dilaporkan oleh menteri wanita tidak kuat atas asa dia seorang tidak layak menjadi saksi kepada laporan tersebut. Wa Allahu A’lam.

Isu Yang Pertama: Perlantikan Bukan Muslim Sebagai Menteri Kabinet

Terdapat di kalangan ulama’ yang tidak bersependapat dengan Imam al Mawardi, antaranya al Imam al Haramain dan Imam Ahmad bin Hambal berkata seorang Zimmi tidak boleh dilantik dalam Kementerian ini sama ada dalam urusan orang-orang Islam seperti al-Kharaj. Dr Mohamad Abdul Qadir Abu Faris dalam bukunya system politik Islam tidak bersetuju dengan pendapat al-Imam al-Mawardi.

Mengikut Dr. Abu Faris, al-Quran dengan jelas memperkatakan tabiat buruk orang Yahudi dengan memberi amaran bahawa mereka (Yahudi) tidak pernah mempercayai selain dari kalangan mereka, jadi bagaimana kita boleh mempercayai mereka dengan melantik mereka sebagai menteri dan mendedah rahsia umat Islam kepada mereka. Firman Allah yang bermaksud:

“dan janganlah kamu percaya kecuali kepada mereka yang mengikut agama kamu”.

Firman Allah yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman jangan kamu ambil penyimpanan rahsiamu selain daripadamu (yang mengikut agamamu), mereka itu tiada segan untuk membinasakan kamu, mereka bercita-cita hendak memberi kemelaratan kepada kamu. Sesungguhnya telah terang perkataan (kebencian) dari mulut mereka, dan apa-apa yang tersembunyi dalam dada mereka lebih besar kejahatannya. Sesungguhnya telah kami nyatakan beberapa keterangan kepada kamu mudah-mudahan kamu berfikir”.

Mengikut Ibn Kathir, perkataan “Bitanatan” ialah dikalangan mereka (bukan Islam) yang memang bertugas mengkaji urusan dan keadaan mereka. Abu Bakar al Jasas dalam tafsir Ahkam al Quran juga mengatakan “Bitanatan” ertinya di kalangan mereka yang melakukan penyelidikan dan keputusan tentang urusan mereka. Ayat-ayat ini adalah dalil yang tidak membenarkan melantik orang-orang zimmi sebagai menteri pelaksana (kabinet).

Antara ayat lain yang dijadikan hujah oleh Dr. Abu Faris ialah. Firman Allah yang bermaksud:

“Jangan kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani sebagai wali-wali kamu”

Hadis yang telah diriwayatkan oleh Ibnu Majah dari Aishah r.a. berkata, Sabda Rasulullah s.a.w. maksudnya:

“Saya tidak mengambil pertolongan dari orang musyrik”

Dalam hadis al Tirmizi, Aishah menceritakan bahawa semasa Rasulullah keluar untuk menuju ke peperangan Badar, tiba-tiba datang seorang musyrik yang berani menawarkan diri untuk berperang bersama Rasulullah, lalu Rasulullah bertanya kepada muyrik tersebut dengan berkata: adakah awak beriman kepada Allah dan RasulNya?, lelaki itu menjawab tidak, lalu Rasullullah meminta di asegera pulang dan berkata: “Saya tidak meminta pertolongan dari orang musyrik”

Dr. Abu Faris menambah bahawa Rasulullah tidak mengambil orang muyrik ini hanya sebagai tentera untuk berperang di bawah pengalima Islam, bagaimana boleh dilantik sebagai menteri yang akan menguruskan urusan orang-orang Islam dan mengetahui segala rahsia mereka.

Satu rwayat daripada Ibnu Abi Hatim dari Abi al Dahqanah berkata: Dikatakan kepada Saidina Omar r.a: Ini seorang remaja dari Hirah, boleh dilantik sebagai penulis khalifah, maka jawab Saidina Omar: Ini bererti saya telah mengambil “Bitanatan” selain daripada orang Islam”

Dr Abu Faris menambah, di samping ayat-ayat dan hadis, serta amalan para al Khulafa’ al Rasyidin, sesungguhnya Maslahah umum orang Islam hendaklah diutamakan dengan tidak melantik orang bukan Islam sebagai menteri kerana dia boleh membawa kepada pembocoran rahsia muslimin terutama dalam soal ketenteraan Islam, sedang tidak boleh dijamin kejujruan mereka kerana sejarah telah membuktikan sejak dahulu dada-dada orang Yahudi, Nasrani, Majusi dan lain-lain dipenuhi oleh perasaan hasad dengki terhadap Islam dan orang-orangnya.

Pandangan Dr. Abu Faris agak bersalahan dengan pendapat ulama’ lain semasa dengan beliau seperti Dr. Yusuf al Qaradhawi, Syeikh Rasyid al Ghanushi dan Dr. Abdul Karim Zaidan. Mereka berpendapat harus perlantikan bukan Islam dalam al Sultah al Tanfiziyyah setelah mereka memenuhi syarat-syarat yang telah diwajibkan. Syeikh Rashid al Ghanushi berpendapat sebuah negara Islam yang mengamalkan dasar pemerintahan Islam hendaklah menjadikan asas-asas berikut sebagai dasar-dasar pemerintahan dalam melayani rakyat atau warga negara yang bukan Islam.

1.Keadilan

Firman Allah yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah memerintah kamu supaya berlaku adil dan ehsan”

Usul ini adalah paksi kepada segala perundangan dan syariat Islam. Mengikut al Imam Fakhr al-Razi, “Keseluruhan al-Quran adalah merupakan olahan dan tafsir kepada dasar ini dan ayat di atas adalh merupakan hati kepada al Quran”. Keadilan Islam adalah untuk semua sama ada muslim atau bukan muslim

Firman Allah yang bermaksud:

“Allah tidak melarang kamu dari berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu, kerana agamamu dan tiada pula mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang adil. Hanya Allah melarang kamu mengangkat wali (pemimpin) dari orang yang memerangi kamu, kerana agama kamu dan mengusir kamu dari negeri kamu. Barangsiapa yang mengangkat mereka itu, maka mereka adalah orang-orang yang zalim”

Negara Islam adalah negara yang menyebar segala bentuk keadilan kepada kesemua warganegaranya tanpa mengira aqidah, keturunan dan warna kulit. Firman Allah yang bermaksud:

“Dan apabila kamu menghukum, hendaklah kamu menghukumnya dengan adil”

Firman Allah lagi yang bermaksud:

“Janganlah kamu tertarik dengan kebencianmu kepada satu kaum, sehingga kamu tidak berlaku adil. Berlaku adillah kerana keadilan itu lebih dekat kepada ketaqwaan dan takutlah kepada Allah”

2.Kebebasan beragama

Maksud firman Allah:

“Tiada paksaan dalam agama:

Usul umum ini adalah satu dasar kukuh sebagai jaminan terhadap kebebasan yang diberikan oleh Islam kepada bukan Islam untuk terus menjadi warganegara Islam secara aman dan damai, memperolehi hak-hak mereka dalam beragama.

3.Minoriti bukan Islam adalah satu ummah yang bersama dengan ummah muslim, bagi mereka agama mereka dan bagi muslim agama mereka.

Dasar ini tercatat dengan jelas dalam perlembagaan Madinah berkenaan hak-hak minority Yahudi yang telah mengiktiraf kerajaan Islam Madinah ketika itu. Satu hakikat yang mesti diterima oleh kita pada hari ini ialah bukan Islam yang berada dalam negara-negara umat Islam adalah warganegara yang telah diiktiraf oleh perlembagaan negara tersebut.

Lantaran itu hak-hak mereka telah diiktiraf oleh perlembagaan tersebut. Ini agak berlainan dengan keadaan bukan Islam di zaman Rasulullah seperti Yahudi dan sebagainya, di mana asalnya mereka bukan warganegara Islam, kecuali setelah mereka membuat perjanjian dan membayar Jizyah. Justeru itu mereka mendapat hak-hak sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan Islam atau Piagam Madinah.

Realiti ini harus diambilkira dalam merangka keadilan negara Islam di zaman mutakhir ini.

4.Persamaan antara warganegara muslim dan bukan muslim

Persamaan ini dapat dilihat secara jelas dari wasiat Rasulullah s.a.w. kepada seorang panglima tentera bahawa “musuh-musuh yang memerangi umat Islam, apabila mereka tunduk dan patuh kepada negara Islam maka mereka akam memperolehi apa yang diperolehi oleh warganegara muslim yang lain”. Mereka lebih berhak apabila mereka adalah warganegara sebelum tertegaknya Negara Islam dan diiktiraf oleh Perlembagaan.

Berasaskan kepada dasar-dasar di atas maka warganegara yang bukan Islam ada hak untuk dilantik ke jawatan umum yang tidak melibatkan urusan agama secara langsung, dan tidak melibatkan jawatan asas dalam pembentukan dasar dan halatuju negara. Perlantikan ini boleh dibuat setelah mereka memenuhi syarat-syarat kelayakan yang lain iaitu seperti Amanah dan berkebolehan.
Firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya sebaik-baik yang kamu lantik itu ialah seorang yang berkebolehan dan amanah”

Firman Allah yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman jangan kamu ambil penyimpanan rahsiamu selain daripadamu (yang mengikut agamamu), mereka itu tiada segan untuk membinasakan kamu, mereka bercita-cita hendak memberi kemelaratan kepada kamu. Sesungguhnya telah terang perkataan (kebencian) dari mulut mereka dan apa-apa yang tersembunyi dalam dada mereka lebih besar kejahatannya. Sesungguhnya telah kami nyatakan beberapa keterangan kepada kamu mudah-mudahan kamu berfikir”

Ayat di atas dijadikan hujah utama oleh Dr. Abu Faris untuk mengharamkan bukan Islam dilantik sebagai menteri kabiner. Syeikh Rashid al Ghanushi mengatakan bahawa: mengikut para mufassirin, ayat tersebut turun ke atas dua orang muslim, untuk menegah mereka dari menjalinkan hubungan dengan beberapa orang jiran Yahudi. Dikatakan juga ayat ini turun bagi menegah daripada menjalinkan hubungan dengan orang-orang munaafiqin, bukan untuk menegah orang Islam dari menjalinkan hubungan dengan bukan Islam secara keseluruhannya.

Mengikut tafsir al Manar, ayat ini melarang menjalinkan hubungan dengan bukan Islam yang mempunyai sifat-sifat yang disebut dalam ayat tersebut, iaitu mereka yang cuba merosak kehidupan orang Islam, melakukan kemudaratan, menyebarkan kemarahan dan permusuhan di kalangan orang-orang Islam. Mengikut Ibn Jarir, ayat ini melarang orang Islam mengambil orang bukan Islam yang telah diketahui sifat dan niat buruk mereka. Mereka yang baik adalah diharuskan.

Syeikh Rashid menambah lagi, sejarah Islam telah membuktikan bahawa negara Islam dahulunya telah mengamalkan dasar persamaan antara warganegara muslim dan bukan muslim dalam perkara yang tiada kaitan langsung dengan Agama Islam.

Mereka telah dibenarkan menjawat jawatan dalam negara tanpa mengira aqidah mereka kecuali dalam jawatan yang menjadi asas kelansungan dasar Islam iaitu Khalifah, al-Sultah al-Tasyriyyah, sultah al-Tafwidh dan Kempimpinan tentera. Sejarah Islam telah memaparkan nama-nama bukan Islam (zimmi) yang telah dilantik dalam kerajaan Islam termasuk di zaman Rasulullah, antaranya Amru bin Umayyah al Dhamri sebagai safir Baginda di Habshah, beberapa musyrikin juga telah dilantik mengajar menulis dan membaca. Begitu juga dilantik beberapa musyrikin sebagai mata-mata gelap kepada Rasulullah.Khalifah Umar r.d juga menamakan beberapa orang zimmi sebagai penulis buku.

Isu Kedua: Perlantikan Wanita Islam Dalam al Sultah al Tanfiziyyah

Dr. Abu Faris dalam kitabnya menyokong penuh apa yang telah dinyatakan oleh al Imam al Mawardi. Alasan yang diberi adalah asasnya lebih kepada persoalan “Sadd al-Zarai” dan kekurangan nilai wanita dari sudut penyaksian. Sokongan dibuat berasaskan hadis Rasulullah yang bermaksud:

“Tidak berjaya satu kaum yang melantik wanita menerajui urusan mereka”

Walaupun begitu ada di kalangan ulama’ yang memberi pandangan yang berbeza dalam hal ini berasaskan kepada reality dan fakta-fakta semasa. Dr. Abdul Karim Zaidan dalam kitabnya al Mufassal fi Ahkam al Mar’ah wa al Baiti al Muslim fi al Syariah al Islamiyyah menyatakan keharusan perlantikan wanita Islam kepada jawatan umum yang sesuai berada di bawah al Sultah al Tanfiziyyah. Beliau berpandukan kepada beberapa pendapat lain:

1.Mazhab Hanafi mengharuskan perlantikan wanita sebagai qadhi kecuali dalam menyelesaikan kes-kes hukum hudud dan qisas

2.Ibn Jarir al Tabari pula menyatakan harus melantik wanita Islam sebagai qadhi dalam semua bentuk perundangan.Hujah al Tabari ialah al Qadha’ adalah seperti al Ifta’ dan dalam ifta’ tidak disyaratkan lelaki. Al Tabari juga mengasaskan pandangannya kepada pendapat Ibnu Hazmi dalam “al Mahalli” yang mengatakan harus wanita Islam dilantik sebagai Qadhi

3.Khalifah Omar Ibnu al Khattab pernah melantik al Syifaa’ (seorang wanita dari kaumnya) sebagai pegawai Hisbah di satu pasar ketika itu.

4.Manakala hadis yang menyatakan bahawa sesuatu kaum tidak akan berjaya jika mereka melantik wanita menerajui urusan mereka adalah ianya berkaitan denga perlantikan wanita sebagai Khalifah, Imam atau Ketua Negara, bukan jawatan yang di bawahnya. Ini kerana mengikut riwayat al Bukhari : Apabila sampai berita kepada Rasulullah s.a.w bahawa orang-orang Farsi telah melantik anak perempuan sebagai Raja mereka, maka lantas bersabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Tidak berjaya satu kaum yang melantik wanita menerajui urusan mereka”

Kesimpulan

Dari perbincangan ini saya ingin simpulkan bahawa keharusan melantik bukan Islam dan wanita Islam ke dalam jawatan yang berada di bawah al –Sultah al Tanfiziyyah ini tidak sepatutnya ditutup rapat. Keharusan ini tidak bererti dari segi praktik perlu dilaku dengan mudah yang disangka, malah ianya perlu dikaji terlebih dahulu dari pelbagai sudut. Pintu ini amat perlu dibuka terutama dalam kita menghadapi reality dan suasana serta perkembangan zaman ini. Saranan ini di buat kerana sebab berikut:

1.Sistem pemerintahan Islam haruslah diperlihatkan kepada dunia yang ianya lebih adil dari system lain yang diamalkan sekarang ini termasuk system demokrasi yang ada, yang tidak menafikan hak-hak bukan Islam dan wanita dalam negara Islam, sebagaimana banyak negara bukan Islam yang memberi hak ini kepada warganya yang Islam, seperti yang berlaku di Britain dan lain-lainnya.

2.Bukan Islam dalam negara yang ada pada hari ini adalah telah diiktiraf sah sebagai warganegara di sisi perlembagaan yang ada, maka tidak seharusnya apabila Islam memerintah, hak tersebut dinafi secara total. Persamaan hak di kalangan warganegara Islam dalam jawatan umum negara perlu ditonjolkan sebagai bukti keadilan Islam.

3.Dalam konteks dakwah Islamiyyah, keadilan dan kerahmatan Islam perlu ditonjolkan kepada bukan Islam dan wanita dalam usaha memperlihatkan Islam adalah agama yang benar-benar menjamin hak-hak mereka sebagai warganegara. Dengan ini usaha Islam untuk menegakkan sebuah negara yang benar-benar adil akan mendapat sokongan mereka terutama apabila peratusan mereka adalah penentu kepada usaha tersebut.

4.Keharusan perlantikan bukan Islam dan wanita hendaklah berasaskan kepada meritokrasi, keperluan dan kepentingan Negara. Kaedah umum dalam masalah ini ialah jika perlantikan itu menyebabkan kelemahan dan mudharat kepada negara Islam dan Maslahah Umat Islam, maka ianya tidak dibenarkan.

5.Wanita pada hari ini telah terdedah dengan pembelajaran dan pengalaman luas menyamai golongan lelaki, malah ada antara mereka melebihi golongan lelaki, yang mana keadaan ini tidak mustahil ada di kalangan mereka layak untuk menjawat tertentu dalam negara setelah criteria asas dipenuhi.

6.Sejarah dan dunia hari ini membuktikan peranan wanita dalam pentadbiran negara cukup besar yang perlu diberi kredit oleh negara Islam. Namun begitu peratusan mereka yang mampu berada di peringkat tinggi agak terbatas dalam semua system pemerintahan yang ada pada hari ini. Ini bermakna jika system meritokrasi dan kelayakan lain seperti yang disebut sebelum ini diguna pakai dalam perlantikan sudah tentu lelaki akan ke depan dalam jawatan yang mencabar ini.

Akhirnya di harapkan kertas ini boleh dijadi asas untuk perbincangan di kalangan ulama’ untuk kepentingan dan kemenangan ummah. Wallaahu a’lam

Oleh ABU ANIF

3 Comments:

Anonymous Anonymous said...

Penjelasan tentang daulah Islam dan pemerintahan Islam boleh diperolehi dari kitab-kitab Hizbut tahrir, dimana hizbut tahrir telah merinci konsep tersebut didalam kitab Sistem Pemerintahan Islam (Nizomul Hukmi). Pembahasan mengenai topik ini juga boleh dirujuk kedalam kitab-kitab yang lain seperti : Muqaddimatul Dustur, Nizomul Islam, Daulah Islamiyyah dan sebagainya.

Semua konsep tersebut digali dari al quran dan sunnah serta merujuk kepada pandangan ulamak yang muktabar.

Sebagai contoh;

Daulah Islam;
Daulah Islam adalah sebuah negara dimana dilaksanakan didalamnya hukum-hakam Islam serta jaminan keamanan ditangan Islam.
2 syarat ini wajib dipenuhi serentak.

Pemerintahan Islam:
4 syarat ;
1. Kedaulatan ditangan syarak
2. Kekuasaan milik ummat
3. Ada seorang Khalifah
4. Hanya khalifah yang berhak mentabanni hukum menjadi undang-undang negara

Struktur Pemerintahan Islam;
1. Khalifah
2. Muawwin Tafwidh
3. Muawwin Tanfidz (Setiausaha)
4. Amirul Jihad
5. Qadhi
6. Para Wali ( Gabenor Wilayah)
7. Jihazul Idari (Kakitangan Awam)
8. Majlisul Ummah (Badan Perwakilan Ummat)

Yang unik & menariknya, hukum-hukum Islam ini, disusun dalam format moden, itu sahaja. Konsepnya sama dengan dulu.

Diharapkan teman-teman dari Pas dapat mengenepikan perasaan ego dalam mencari kebenaran dan tidak menolak kitab tersebut semata-mata kerana ianya tulisan ulamak Hizbut Tahrir. Bersahabat dengan hizbut tahrir , insyallah tidak mengurangkan martabat anda disisi Allah.

8:48 AM

 
Blogger Nasrudin bin Hassan at Tantawi said...

<< Diharapkan teman-teman dari Pas dapat mengenepikan perasaan ego dalam mencari kebenaran dan tidak menolak kitab tersebut semata-mata kerana ianya tulisan ulamak Hizbut Tahrir. Bersahabat dengan hizbut tahrir , insyallah tidak mengurangkan martabat anda disisi Allah. >>

( Assalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh )

Saya ingin merujuk kepada << petikan di atas >>

Apa perlunya nada ayat seperti diatas bagi mengakhiri satu - satu pandangan. Elok sudah dilihat pandangan di atas , tetapi dicalar dengan nada bersifat prejudis . Seperti syabab ht agak prejudis dengan sahabat dalam PAS .

Siapa pula yang ego dalam mencari kebenaran , melainkan seseorang yang apabila melihat kebenaran itu lahir dari pihak yang lain , maka tergesa - gesa ia memberi tahu bahawa sumber kebenaran itu juga datang dari pihaknya .

Walhal tiada siapa pun yang menafikan kebenaran walau dari mana ia datang .

Yang dinafikan bukan kebenaran tetapi pembohongan .

Yang ditolak bukan kebaikan , tetapi pengkhianatan .

Yang diketepikan bukan persahabatan tetapi kecurangan .

11:33 PM

 
Anonymous Anonymous said...

Mohon maaf jika kata-kata sebelumnya menyinggung perasaan mana-mana pihak. Kata-kata tersebut dibuat secara umum, tanpa niat utk menyidir kepada mana-mana individu termasuk ustaz.

Namun, ianya juga bukan suatu yang bersifat prasangka atau prejudis. Ianya berdasarkan beberapa pengalaman ketika berinteraksi dgn rakan-rakan di dalam Pas. Sebenarnya tuduhan yang dilemparkan ke atas syabab HT lebih tajam lagi, tetapi insyaallah kami tidaklah menaruh perasaan dendam kepada PAS. Lagi pula, sikap sedemikian bukanlah dasar Pas thdp HT melainkan kelemahan bbp individu. Perkara yang sama mungkin juga boleh berlaku dikalangan syabab HT.

HT optimis, segala perasaan prejudis thdp HT akhirnya akan hilang bersama angin lalu. Umat dan sahabat-sahabat dari Pas akhirnya akan mengetahui akan keikhlasan dan kesungguhan HT serta syababnya, berjuang menegakkan syariat di muka bumi.

Dan ana secara peribadi sangat suka untuk melihat gerakan-gerakan Islam di Malaysia dapat duduk semeja, secara "lebih agresif" mengadakan program bersama bagi membincangkan isu-isu kaum muslimin, samada isu nasional mahupun antarabangsa, dari persepektif Islam, yang pastinya berbeza dengan "konsep Islam" tajaan golongan sekuler : Islam Hadhari.

Sekali lagi, ana mohon maaf jika komen sebelumnya atau komen di atas tidak layak untuk diungkapkan. Mungkin ana perlu sebut di sini, syabab HT juga patut menerima kebenaran dari Pas jika ianya terbukti suatu kebenaran. Wallahualam.

12:52 PM

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home