" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Sunday, April 09, 2006

Melakunkan Watak Nabi saw. ( di dalam Filem / Teater )

Usaha-usaha menfilemkan watak Nabi-Nabi :

Usahasama antara Tehran dan Amerika untuk menerbitkan filem yang mengesahkan RasuluLlah saw dan kehidupan baginda. Kontrak yang bernilai 6 juta dolar itu ditandatangani pada 25 ogos 1973. Dewan tertinggi syiah Lebanon telah memberikan persetujuan mereka dengan usahasama itu.

Terdahulu dari itu sebuah filem mengesahkan kehidupan Nabi Isa yang bertajuk " The King of King" telah di terbitkan oleh kerajaan Denmark. Filem yang melakunkan watak Nabi Isa itu diselitkan dengan adegan-adegan sex pemegang watak Nabi Isa dengan Maria Magdelena. Filem tersebut ditayangkan di Tokyo pada November 1965.

1968 sebuah filem yang menampilkan watak Nabi Adam di tayangkan di pawagam Jakarta.

Bantahan :

Ratusan Ulama Indonesia melahirkan bantahan terhadap usahama Tehran dan Washington itu.

Paus Paulus VI dan ummat Islam diseluruh dunia Islam mengecam Filem yang diterbitkan oleh Denmark

1968 bantahan besar ummat Islam dijakarta membantah penayangan filem "Nabi Adam".

PANDANGAN ISLAM MENGENAINYA

Melakunkan watak Nabi-Nabi, lebih-lebih lagi Watak peribadi RasuluLlah saw bermakna :

a) Memalsukan dan berbohong terhadap RasuluLlah saw :

Siapa pun yang melakunkan watak RasuluLlah saw. pastinya tidak akan sama dengan hakikat sebenar fizikal, watak dan penampilan suci Baginda RasuluLlah saw .

عن البراء يقول : كان رسول الله صلى الله عليه وسلم أحسن الناس وجها وأحسنهم خلقا ليس بالطويل البائن ولا بالقصير
[1]

Daripada AL Barra’ berkata : Adalah Rasulullah saw. Sebaik – baik rupa wajah manusia dan sebaik – baik akhlak / kejadian manusia . Tidak terlalu tinggi dan tidak pula rendah .

Hadis Riwayat Bukhari. Lihat sohih Bukhari Jilid 2 halaman 148.

Penampilan yang tidak sama dengan Baginda bermakna pembohongan dan pendustaan. Pendustaan terhadap sebahagian daripada tingkah laku RasuluLlah saw adalah dosa yang sangat terkutuk.

عن المغيرة قال: سمعت رسول الله (صلى) قال ان كذبا علىَ ليس ككذب على أحد من كذب الىَ متعمدا فليتبوأ مقعده من النار
[2]

Dari Al Mughirah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah saw. Bersabda: Sesungguhnya pendustaan ke atas diri ku tidakl sama sebagaimana pendustaan ke atas seorang yang lain . Barangsiapa yang telah berdusta terhadapku secara sengaja , maka hendaklah ia menyediakan tempat tinggalnya dari api neraka.

Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim . Lihat Lu’ Lu’ wal Marjan Juz. 1 halaman 1

من كذب علىَ فليتبوأ مقعده من النار
[3]

Barangsiapa yang telah berdusta terhadap diriku maka hendaklah ia menyediakan tempat tinggalnya dari api neraka .

Hadis Riwayat Bukhari , Muslim , Nisa’ , Ibnu Majah dan Abu Daud. Lihat Faidhul Qadir Juzu’ 4 Halaman 214.

b). Memperolok-olok dan Mempermainkan –mainkan Nabi saw.

Dan ( Tuhan menerangkan pula kehinaan ahli neraka dengan firmanNya : ahli neraka menyeru ahli syurga ( dengan berkata ) : “ Limpahkanlah kami sedikit dari air atau dari rezeki ( makanan ) yang telah dikurniakan Allah kepada kamu “ . Mereka ( ahli syurga ) menjawab : “ sesungguhnya Allah telah haramkan kedua – duanya atas orang – orang kafir . Iaitu orang – orang yang menjadikan perkara - perkara agama. Sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan dan orang – orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia .

Surah Al A’raaf Ayat : 50 – 51

Katakanlah ( wahai Muhammad ) “ Mahukah kami khabarkan kepada kamu akan orang – orang yang rugi serugi – ruginya amal – amal perbuatannya ? Iaitu orang – orang yang telah sia – sia amal usahanya dalam kehidupan ini , sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan . Merekalah orang – orang yang ingkar akan ayat – ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya , oleh itu gugurlah amal – amal mereka , maka akibatnya kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka pada hari kiamat kelak . Mereka yang bersifat demikian , balasannya neraka jahanam disebabkan mereka kufur ingkar dan mereka pula menjadikan ayat – ayatKu dan rasul – rasulKu sebagai ejek – ejekan .

Surah Al Kahfi : Ayat 103 – 106

Dan apabila orang – orang kafir itu melihatmu , mereka hanyalah menjadikan perkara yang engkau sampaikan itu sebagai ejek – ejekan sahaja , sambil berkata sesame sendiri : “ inikah dia orangnya yang mencaci tuhan – tuhan kamu ? Mereka berkata demikian sedang mereka sendiri kufur ingkar kepada Al Quran yang mengandungi peringatan Allah swt yang melimpah – limpah rahmatnya .

Surah AL Anbiya’ : 36

Dan apabila mereka melihatmu wahai Muhammad , mereka hanyalah menjadikanmu ejek – ejekan sambil mereka berkata : Inikah orangnya yang diutuskan oleh Allah sebagai rasulNya .

Surah Furqan . Ayat : 41

Dan jika engkau bertanya kepada mereka tentang ejek – ejekan itu , tentulah mereka akan menjawab : Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain – main . Katakanlah : Patutkah nama Allah dan ayat – ayatNya serta RasulNya kamu memperolok – olok dan mengejeknya .

Surah At taubah : 65

c). Melakunkan watak RasuluLlah saw adalah kerja yang lebih jahat daripada syaitan.

عن أنس رضى الله عنه قال قال النبي (صلى) من رانى فى المنام فقد رانى فان الشيطان لا يتخيل بى
[8]

Dari Anas rha. Telah berkata : Telah bersabda Nabi saw. : Barangsiapa yang melihat ku dalam tidurnya ( mimpi ) maka sesungguhnya ia telah melihatku kerana sesungguhnya Syaithan tidak boleh menyerupaiku .

Riwayat Bukhari dalam Sohihnya jilid 4 halaman 149

Melakonkan watak Nabi saw.

Melakonkan watak Nabi adalah perkara baru yang tidak berlaku pada zaman salaf. Namun bagi ulama` muasirin tidak ada khilaf dalam mengharamkan melakonkan watak Nabi. Malah pengharaman ini boleh dikatogerikan sebagai ijma` sukuti.

Asas pengharaman ini adalah berdasarkan prinsip dar ul mafassid muqaddamun `ala jalbi al-masolih. Begitu juga Allah swt menjaga nabi dan rasul (`ismah) daripada dijelmakan oleh syaitan ini juga menandakan larangan manusia daripada melakonkannya.

Selain itu para ulama menyatakan haram perkara tersebut kerana:

Mengukir,melukis atau melakonkan sudah tentu tidak tepat seperti yang sebenar maka ini diklaskan sebagai berdusta terhadap nabi dan rasul.

Mengukir,melukis atau melakonkan sudah tentu tidak tepat seperti yang sebenar atau semakin rendah sifatnya ini diklaskan sebagai izaa yang diharamkan sebagaimana firman Allah dalam surah al-Ahzab:57

Sesungguhnya orang-orang Yang melakukan perkara Yang tidak diredai Allah dan RasulNya, Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan untuk mereka azab seksa Yang menghina.

Mereka ( rasul – rasul ) adalah Qudwah, jika melakonkan yang tidak tepat ini menyesat para pengikutnya sebagaimana firman Allah dalam surah al-Ahzab:21

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang Yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)

Apa pun keadaan mengukir, melukis atau melakonkan watak nabi dan rasul adalah hukumnya haram.

Kesimpulan dan Penegasan semula .

Berlakon atau dalam bahasa arab (at-tamthil) membawa makna (al-musyabahah) iaitu menyerupai. Seseorang pelakon akan berusaha sedaya upaya meniru untuk menyerupai watak orang yang dilakonkan melalui percakapan, perbuatan dan tindak lakunya .

Dalam lakonan,sudah tentu pelakon yang meniru watak tersebut tidak akan mampu menyerupai watak sebenar orang yang dilakonkan tersebut.Hal ini menyatakan bahawa pelakon tersebut sebenarnya telah bertindak tidak adil pada hak orang yang dilakonkan apabila meniru gaya dan watak tidak sama dengan yang sebenarnya.Tidak adil pada hak seseorang yang lain ini adalah zalim ( kerana dianggap telah menyakiti (iza’) hak peribadinya ) dan zalim ini membawa kepada haram sebagaimana firman Allah swt dalam surah Al-Ahzab:58.

Dan orang-orang Yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki Yang beriman dan orang-orang perempuan Yang beriman Dengan perkataan atau perbuatan Yang tidak tepat Dengan sesuatu kesalahan Yang dilakukannya, maka Sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa Yang amat nyata.

Para Ulamak telah membuat ketetapan bahawa tidak boleh sama sekali untuk melakonkan watak As-Syahkssiah al-muhtaramah (insan yang mempunyai kehormatan tinggi ) sebagaimanalah para Nabi dan Rasul. Para Nabi dan Rasul ini diharamkan sama sekali untuk dijadikan bahan lakonan manusia sepertimana juga melakarkan rupa bentuk mereka.

Hal ini kerana:-

1. Lakonan sebagaimana yang diketahui, tidak akan menyerupai watak asal, apatah lagi insan yang dilakonkan tersebut ialah Para Nabi dan Rasul atau Nabi akhir zaman Rasulullah saw. Dengan lakonan watak sebagai Rasulullah ini sebenarnya merupakan satu penipuan dalam bentuk perbuatan keatas perilaku Baginda saw.Rasulullah telah mengingatkan perkara ini dalam sabdanya :

من كذب على متعمدا فليتبوأ مقعده من النار

2. Lakonan yang tidak menyerupai watak asal Nabi saw ini adalah merupakan iza’ (menyakiti peribadi Baginda). Setiap perlakuan yang menyebabkan iza’ kepada batang tubuh Rasulullah ini adalah haram sebagaimana dalam ayat surah Ahzab :57

3. Nabi Muhammad saw adalah ikutan Qudwah kepada seluruh umatnya sebagaimana dalam surah Ahzab:21.

Lakonan watak Nabi tidak lain tidak bukan merupakan jalan ke arah memesongkan akhlak dan peribadi sebenar Nabi terhadap umatnya. Ini kerana tidak ada manusia yang boleh meniru watak sebenar ( bukan sifat ) Baginda dalam percakapan mahupun perbuatannya.

Sesungguhnya Baginda saw telah menyatakan bahawa syaitan tidak akan mampu untuk menyerupai Baginda sebagaimana dalam hadis :

من رانى فى المنام فقد رانى فان الشيطان لا يتخيل بى

Maka begitulah juga manusia tidak akan mampu menyerupai Baginda dalam meniru wataknya kerana perbezaan taraf dan kelebihan yang dianugerahkan kepada Nabi tidak dianugerahkan kepada manusia lain.

Rasulullah saw adalah insan yang dipelihara khusus oleh Allah swt (maksum). Dengan kemaksuman ini, maka baginda terjaga/terpelihara dari melakukan kesilapan dosa dalam menyebarkan wahyu dan dalam tindakan ketika mana berdakwah. Akan tetapi sebagai manusia biasa dalam mentadbir kehidupan, Rasulullah juga tidak terlepas dari kesalahan-kesalahan kecil ( yang tidak berbentuk dosa ) seperti manusia lain.

Kemaksuman ini sebenarnya yang memelihara hak-hak Nabi dari dicemari oleh anasir-anasir yang tidak sesuai dengan perwatakan Baginda saw. Melakonkan watak Nabi ini,merupakan salah satu ciri yang memasukkan anasir-anasir yang tidak sepatutnya ke atas peribadi Baginda. Ini adalah haram.
Oleh yang demikian,daripada penjelasan diatas dapat disimpulkan bahawa berlakon watak Rasulullah saw dalam apa jua filem adalah HARAM.

Pusat Fatwa Kebangsaan Mesir telah mengeluarkan fatwa ini pada bulan Ogos tahun 1980 dalam menyanggah segala bentuk teater / filem yang menayangkan peribadi Rasulullah saw. Bahkan dinyatakan juga pengharaman ini dalam lakonan terhadap ahli bait, ummahaatul mukminin dan juga para Sahabat Baginda. Hal ini dinyatakan dalam ungkapan fatwa tersebut:

إن الأنبياء والرسل أعز وأكرم من أن يمثله الانسان أو يتمثل به الشيطان. إن عصمة الله لأنبيائه ورسله من أن يتمثل بهم شيطان مانعة من أن يمثل شخصياتهم إنسان, ويمتد ذلك إلى أصولهم وفروعهم وزوجاتهم وصحابة الرسول عليه الصلاة والسلام

Selain itu, Fatwa lain lagi yang mengharamkan lakonan watak Nabi sebagaimana dlm Fatawa Islamiah-Syeikh Husainin Makhluf [10], fatwa yang dikeluarkan oleh Lajnah Fatwa Al-Azhar [11], fatwa Majma’ Buhus Islamiah [12] yang antara lain menyatakan kaedah ( dar’ul mafasid muqaddam ala jalbil masoolih ) bilamana lakonan tadi telah menyebabkan banyak mafasid terhadap hak Nabi dan juga silap faham umatnya terhadap perilaku Baginda saw melebihi dari maslahah industri perfileman yang kononnya menayangkan filem Nabi untuk tujuan menceritakan kembali silsilah kehidupan murni mereka. Maka hukum lakonan tetap juga haram walau dengan tujuan yang baik .

Lakonan filem atau teater pastinya pula akan terdedah kepada pengkritik filem atau teater , juga terdedah kepada kritikan umum untuk menilai kualiti lakonan atau persembahan seorang pelakon . Jika watak yang dilakonkan itu adalah watak Nabi saw. sementara ia terdedah kepada kritikan umum , maka ia merosakkan keperibadian Nabi saw. sebagai Rasul yang maksum . ( bebas dari dosa apalagi kritikan . )

Melakonkan watak nabi seperti Nabi Yusuf as. sebagai contoh , persoalannya siapakah yang akan menjadi pelakonnya yang boleh memaparkan kecantikan Nabi Yusuf as. , kehebatan iman dan taqwanya serta tinggi dan luhurnya syakhsiyyah baginda . Siapa pelakonnya ? Demikian juga untuk melakokan watak nabi saw. Siapa pelakonnya yang boleh menjelmakan akhlak Nabi yang tinggi , setinggi Al Quranul Karim , siapa pula yang boleh mewatakkan perwatakan Nabi yang begitu indah lagi suci dari segala dosa dan kealpaan . Siapakah pelakon itu ?

PENUTUP .

Hujjah yang mengatakan boleh kita melakonkan watak nabi saw. sering mengambil contoh dari perbuatan Saidina Othman bin Affan rha. ketika beliau melakukan semula aksi Nabi saw mengambil wudhu’ untuk memberi pelajaran kepada yang bertanya mengenai wudhu’ nabi saw . Ulasan kepada hujjah ini ialah :

Aksi Saidina Othman bin Affan rha. sewaktu mengajar para sahabat cara mengambil wudhu’ yang betul adalah berasaskan apa yang dilihat oleh Saidina Othman dengan mata kepala beliau sendiri terhadap apa yang dilakukan oleh Nabi saw. Ianya tidak mungkin boleh disamakan dengan keadaan kita untuk mengaksikan semula perlakuan Nabi saw. sebab tiada siapa dikalangan kita dapat melihat perlakuan Nabi saw. secara tepat .

Adapun aksi yang berbentuk ibadah ( seperti wudhu’ , solat dll ) , yang wajib atau sunat dilakukan oleh ummat islam di atas perintah Nas Quraani ( wahyu ) mahu pun Nas An Nabawi ( hadith ) , itu bukan bersifat lakonan atau melakonkan watak nabi saw. sebaliknya itu adalah suatu yang mesti dilakukan secara menurut / mengikut dengan patuh ( taabi’ / muqtadi ) berasaskan apa yang diwahyukan ataupun apa yang diajar oleh Lisan dan Perbuatan baginda saw.

Nabi saw. mengajar melalui hadith baginda , maka kita melaksanakan apa yang diajar oleh baginda saw . , itu tidak boleh disifatkan sebagai satu lakonan .

Lakonan watak , aksi dan kehidupan Nabi saw. dalam bentuk perlakuan kita yang dirujuk sebagai perbuatan Nabi saw. itulah yang dimaksudkan sebagai HARAM oleh para ulama’ .

Berbeza dengan perbuatan ibadah yang kita lakukan , ianya merujuk kepada apa yang diajar oleh Nabi saw. kepada kita melalui hadith baginda. Bukan kita melakonkan semula perbuatan Nabi saw.

[1] . Hadis Riwayat bukhari. Lihat Soheh Bukhari jilid 2 halaman 148.
[2] Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim. Lihat Lu' lu' wal Marjan juzu 1 halaman 1.
[3] Hadis Riwayat Bukhari , Muslim , Nisa', Ibnu Majjah dan Abu Daud. Lihat Faidhul Qadir juzu 4 Halaman 214.
[4] Al-Kahfi ayat 103 -106
[5] Al-Anbia' ayat 36
[6] Furqan ayat 41
[7] At-Taubah ayat 65
[8] Riwayat Bukhari dalam Soheh Bukhari jilid 4 halaman 149.
[9] Syeikh A’tiah Saqar . Al Fatawa . Maktabah At Taufiqiah Qaherah
[10] Bulan Mei 1950,Fatawa Islamiah,jil.4 hal.1297
[11] Bulan Jun 1968
[12] Bulan Febuari 1972

3 Comments:

Anonymous Anonymous said...

Saya harap Dinsman ada baca artikel ni dan faham maksudnya. Apalah Dinsman susah2 nak lakunkan watak nabi.Ikut sajalah ajaran Nabi tanpa banyak soal.Apakah kalau dah lakunkan watak nabi,seseorang akan jadi lebih hebat dari Salahudin al Ayubi,Shafie atau alGhazali?

9:37 AM

 
Anonymous Anonymous said...

Kita berharap ustaz Nasarudin dapat memberi ulasan yang bernas terhadap dakwaan2 yang dibuat oleh Sisters in Islam yang sangat mengelirukan orang ramai dan memberi gambara buruk terhadap Islam terutamanya dalam isu yang hangat dibincangkan sekarang iaitu Undang2 Keluarga Islam dan poligami.

11:31 AM

 
Anonymous Anonymous said...

Melakonkan watak nabi seperti Nabi Yusuf as. sebagai contoh , persoalannya siapakah yang akan menjadi pelakonnya yang boleh memaparkan kecantikan Nabi Yusuf as. , kehebatan iman dan taqwanya serta tinggi dan luhurnya syakhsiyyah baginda . Siapa pelakonnya ?

ADAKAH Dinsman orangnya???

11:36 AM

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home