" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Monday, April 10, 2006

HUKUM MELAKONKAN WATAK NABI

Respon terhadap tulisan Dinsman
Harakah bil 1309

Saya memang berhasrat memberi respon kepada tulisan Dinsman mengenai melakonkan watak para nabi semenjak kali pertama dibangkitkannya di dalam Harakah, tetapi hasrat itu terbantut kerana didahului oleh beberapa tugasan lain. Saya menjangka persoalan itu telah selesai, tetapi apabila dibangkitkan lagi dalam Harakah terbaru (bil 1309), saya cuba mengambil masa untuk memberi respon terhadapnya.

Saya bukan orangnya untuk menjawab persoalan ‘boleh atau tidak melakonkan watak nabi’, tetapi kalau semua orang mengambil sikap ‘mungkin ada orang lain yang menjawabnya’, hasilnya ialah tiada siapa pun yang menjawab.

Para ulama semenjak sekian lama telah menjawab persoalan ini kerana lakonan bukan perkara baru. Cuma saya kurang bersetuju apabila dikatakan Saidina Uthman ‘berlakon’ ketika menunjukkan kepada orang lain mengenai cara Rasulullah saw berwuduk. ‘Mengajar – ta’lim’ adalah berbeza dengan ‘berlakon – tamsil’. Saidina Uthman tidak melakonkan watak nabi, tetapi mengajarkan apa yang dibuat oleh nabi dengan cara melakukannya semula. Bukan melakonkannya.

Begitu juga apabila dikatakan ‘Jibril juga pernah berlakon seolah-olah dia seorang yang tidak tahu’. Hakikatnya, Jibril bertanya nabi bukan kerana tidak tahu tetapi ‘mengajar dengan pendekatan bertanya’ dan bukan berlakon menjadi pelajar.

Dalam kedua-dua kes itu, Saidina Uthman dan Jibril bukan ‘pelakon – mumassil’ tetapi ‘guru – muallim’. Lebih janggal lagi apabila dikatakan nabi pun pernah berlakon. Agaknya nabi memegang watak apa dalam lakonan itu?

Saya tidak berhasrat belarut-larut dengan istilah tetapi menisbahkan sesuatu istilah kepada seseorang terutamanya kekasih Allah, para sahabat yang dijamin syurga dan malaikat yang mulia hendaklah dengan penuh hati-hati dan cermat.

Saya tidak menafikan seni lakon sebagai medium dakwah. Seni lakon pada asalnya adalah harus dengan syarat semua batas-batas kebenaran dan adab dipelihara. Ia adalah salah satu cabang seni yang diabaikan oleh pendakwah. Lalu berserabutlah seni lakon itu dengan berbagai unsur maksiat. Usaha membersihkan seni lakon daripada semua kekotoran itu amat disanjung. Dinsman tentu lebih memahami hakikat ini berbanding saya yang ‘ketinggalan bas seni’ ini.

Menurut Dr Yusof al-Qardhawi, al-Azhar telah mengeluarkan fatwa semenjak sekian lama iaitu tidak harus melakonkan watak sahabat-sahabat ulung seperti khalifah yang empat, sepuluh sahabat yang dijanjikan dengan syurga dan para isteri Rasulullah saw. Melakonkan watak selain mereka adalah harus. Kerana itulah lahir filem Khalid bin al-Walid, Amru bin al-As dan lain-lain. Begitu juga dengan imam-imam seperti Ahmad bin Hanbal, Abu Hanifah, Umar bin Abd Aziz dan sebagainya.


Dapat difahami apabila melakonkan watak para sahabat ulung tidak dibolehkan, apatah lagi melakonkan watak para nabi.

Larangan melakonkan watak nabi bukan diqiaskan kepada hukum bergambar yang mendorong kepada berlakunya pengagungan dan penyembahan. Larangannya lebih menjurus kepada natijah yang terhasil iaitu berlakunya penghinaan dan pendustaan terhadap individu yang dilakonkan wataknya. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, “Tidak memudaratkan diri sendiri dan tidak memudaratkan orang lain”. Pendustaan dan penghinaan kepada sesiapa sahaja adalah kemudaratan yang dilarang oleh Islam apatah lagi terhadap para nabi..

Bukan semua perkara dinaskan secara khusus oleh al-Quran dan hadis. Sesuatu hukum boleh juga ditentukan dengan nas umum daripada kedua-duanya. Di sana juga wujud sumber hukum yang lain seperti ijma’ dan uruf. Para ulama mengambil kira semua itu dalam menentukan hukum terhadap melakonkan watak nabi.

Berikut adalah sebahagian fatwa yang telah dikeluarkan oleh individu dan institusi berautoriti tentang persoalan ini.

“Menjelmakan – melakonkan watak nabi-nabi dan rasul-rasul dengan melakukan peranan-peranan mereka adalah haram pada pandangan Jumhur Ulama Islam masa kini. Ada pun selain mereka (para nabi dan rasul) daripada kalangan orang-orang saleh dan para sahabat, berlaku khilaf – perselisihan pendapat. Para ulama melihat kepada martabat orang saleh atau sahabat yang dilakunkan wataknya itu”.

(Fatwa dikeluarkan oleh : Syeikh Faisal Maulawi, Naib Ketua Majlis Eropah Bagi Kajian dan Fatwa – lihat : http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?pagename=IslamOnline-Arabic-Ask_Scholar/FatwaA/FatwaA&cid=1122528621302).

“Haram melakonkan watak nabi dan rasul, melukiskan gambar mereka, menjelmakan mereka dengan apa cara sekali pun. Asas pengharaman itu ialah ‘menolak keburukan lebih diutamakan daripada mengambil kebaikan”. Apabila keperluan pengetahuan membawa kepada keluar daripada beradab (terhadap para nabi), maka bahayanya ketika itu mengatasi kebaikan. Pemeliharaan Allah terhadap para nabi dan rasul dengan tidak mengizinkan syaitan menyerupai mereka juga merupakan larangan terhadap penyerupaan mana-mana individu dengan mereka”.

(Fatwa dikeluarkan oleh :

i. Syeikh Hasanain Makhluf pada bulan Mei 1950 dalam kitabnya ‘al-Fatawa al-Islamiah, jld 4 mukasurat 1297.

ii. Lajnah Fatwa al-Azhar pada bulan Jun 1968.

iii. Darul Ifta’ pada bulan Ogos 1980 dan lain-lain lagi.

Lihat : Laman web seperti pada bilangan 2)

“Tidak harus melakonkan watak nabi saw, khalifah yang empat dan para isteri Rasulullah saw”.

(Fatwa dikeluarkan oleh : Lajnah Fatwa Kementerian Wakaf Kuwait – lihat : http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?pagename=IslamOnline-Arabic-Ask_Scholar/FatwaA/FatwaA&cid=1122528614792)

“……Disyaratkan tidak wujud dalam wasilah ini (wasilah dakwah melalui lakonan) sesuatu yang diharamkan seperti berdusta, melakonkan watak sebagai orang kafir, melakonkan watak para sahabat (jika melakonkan watak sahabat diharamkan, apatah lagi melakonkan watak para nabi – penulis) dan para imam yang agung selepas para sahabat atau selainnya yang mendorong kepada penghinaan terhadap mereka atau lelaki melakonkan watak wanita atau sebaliknya kerana wujud larangan menyerupai kaum yang berlainan jenis…….”

(Fatwa dikeluarkan oleh : Syeikh Muhammad bin Saleh bin Uthaimin – lihat laman web : http://www.bahraini.ws/ib/index.php?showtopic=4245)

Agama tidak akan melarang sesuatu kecuali ia mendatangkan keburukan kepada kehidupan samada diketahui oleh manusia atau tidak. Kita mengakui bahawa tidak mungkin sama sekali orang yang melakonkan watak seseorang, mampu menyerupai orang itu sepenuhnya. Perbezaan antara pelakon dengan individu sebenar pasti berlaku. Sekiranya pelakon mampu membuat lebih baik daripada individu asal, ia dapat diterima. Sebaliknya jika pelakon tidak mampu melakukan yang lebih baik daripada individu asal, ia dikira menyakiti dan menzalimi individu itu.

Menyakiti orang lain merangkumi fizikal dan adab dilarang oleh syarak. Allah berfirman dalam surah al-Ahzab ayat 58 yang bermaksud, “Dan orang-orang yang menyakiti orang mukmin lelaki dan wanita dengan perkataan atau perbuatan yang tidak menepati apa yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan tuduhan dusta dan melakukan dosa yang nyata”.

Ulama Syiah sendiri pun seperti Syed Ali al-Husaini as-Sistani berfatwa, “Apabila mampu dipelihara tuntutan supaya menghormati dan mengagungkan para nabi dan tidak mengandungi perkara yang menyakiti kedudukan mereka yang suci maka tidak ada larangan”. (Lihat laman web : http://www.almajara.com/forums/showthread.php?t=7966)

Adakah sesiapa yang mampu memberi jaminan bahawa orang yang melakonkan watak nabi tidak akan melakukan perkara yang dikira merendahkan martabat nabi? Perlu disebut semua para nabi adalah maksum. Wujudkah peribadi yang mampu melakonkan watak nabi tanpa menjejaskan kemaksuman para nabi? Tentu sekali tidak kerana namanya pun ‘lakonan’. Begitu juga akan wujud adegan-adegan tambahan untuk menarik minat penonton. Inilah yang dimaksudkan dengan pendustaan, perendahan maratabat dan penghinaan terhadap nabi dalam melakonkan watak mereka.

Para ulama mengharamkan melakonkan watak individu terhormat terutamanya para nabi dan rasul, termasuk melukis dan menjelmakan mereka dalam apa bentuk sekalipun berdasarkan alasan berikut:

i. Melakonkan watak seseorang atau melukisnya sama sekali tidak akan sama dengan individu asal. Ini adalah pendustaan. Berdusta adalah haram. Rasulullah bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud, “Sesiapa yang melakukan pendustaan terhadapku dengan sengaja, maka sediakanlah tempat tinggalnya di dalam neraka”. Pelakon watak nabi tentu tidak serupa dengan nabi dan dikira berdusta terhadap nabi.

ii. Apabila pelakon tidak mampu melakukan sama seperti yang dilakukan oleh individu asal dia dikira berdusta. Berdusta terhadap nabi dikira menyakiti nabi dan menyakiti nabi adalah haram. Allah berfirman dalam surah al-Ahzab ayat 57 yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti Allah dan rasulnya, menerima laknat Allah di dunia dan di akhirat. Dan Ia (Allah) menyediakan untuk mereka azab yang pedih”.

iii. Para nabi adalah ikutan orang ramai. Melakukan pendustaan terhadap mereka dengan melakonkan watak mereka menjadikan orang ramai tidak lagi menjadikan mereka sebagai ikutan kerana melihat kepada peribadi pelakon. Ini bercanggah dengan al-Quran yang mengarahkan manusia mengambil contoh daripada para nabi. Allah berfirman dalam surah al-An’am ayat 90 yang bermaksud, “Mereka itulah (para nabi) orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka ikut olehmu akan petunjuk mereka”.

Saya yakin, bagi mereka yang memahami ‘ruh syariat’ akan berpuashati dengan fatwa dan alasan di atas. Para nabi dan rasul adalah pembawa hidayah. Jika watak mereka tidak dilakonkan sekali pun, hidayah tetap akan terpancar dan menyelinap masuk ke dalam jiwa-jiwa yang ikhlas mencari kebenaran.

Jika watak mereka dilakonkan, pendustaan dan penyakitan terhadap peribadi mereka pasti berlaku sedangkan mereka yang menontonnya belum tentu menerima hidayah.

Satu persoalan besar, dalam teater nabi Yusof, siapakah bakal pemegang watak nabi itu? Adakah di sana atau dimana-mana manusia setabah iman, secantik, sejujur, seikhlas, setaqwa….nabi Yusof as? Jika ada siapalah agaknya orang itu?

Jika tiada, nabi Yusof akan didustai dan disakiti. Wallahu a’lam.

Zolkharnain Abidin Kampong Jejawi Dalam, Arau, Perlis.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home