" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Monday, May 08, 2006

PEMIKIRAN UMMAH CENTRIC SEMAKIN KUSUT .

Artikel ini adalah merupakan kali kedua saya menulis mengenai isu ummah centric setelah saya menulisnya buat kali yang pertama dengan tajuk Ummah Centric : Satu Kekeliruan yang di Sengajakan.

Seorang sahabat telah memberi kepada saya dua keping vcd yang memuatkan ceramah Akhi Maszlee bin Malik di rumah Kapten Hafiz Firdaus Abdullah . Saya melihat dan mendengar ucapan beliau , juga saya berkesempatan untuk membaca artikel terbaru Akhi Maszlee dalam isu ini yang bertajuk :
Amal Tajammu’i satu Dimensi baru dalam Amal Islami .

Saya mengambil langkah menulis sekali lagi berkaitan isu ini bagi menjelaskan beberapa keadaan setelah saya melihat pemikiran Ummah Centric kian menjadi kusut dan dinodai pula oleh sinis dan fitnah yang agak liar oleh Akhi Maszlee .

Justeru itu , kepada sesiapa yang membaca dan menilai tulisan saya kali ini , sewajarnya dibaca sekali dengan artikel Amal Tajammu’i tulisan Akhi Maszlee dan melihat atau mendengar ceramah beliau yang bertajuk Ummah Centric vs Jamaah Centric . Agar tulisan saya tidak lihat berasingan dengan isu yang timbul.

Kemana arah tuju pemikiran Ummah Centric ?

Akhi Maszlee mahu membawa pemikiran Ummah Centric , tetapi dalam tulisan dan ucapan beliau , banyak menyerang ”jamaah” yang beliau ajak untuk di ”ummah centric”kan.

Seperti sinis beliau kepada PAS dalam beberapa tempat dalam tulisan dan ucapan beliau . ( kecuali beliau sendiri tidak menganggap PAS sebagai anggota Ummah Centric yang beliau gagaskan sendiri . )
Sikap yang diambil oleh Akhi Maszlee melukakan perasaan pihak lain dari mengharmoni suasana dan keadaan .

Sekadar mengambil beberapa contoh , saya merujuk kepada kenyataan Akhi Maszlee :

  • Baiah yang kononnya di adakan di Taman Melewar yang dimomokkan oleh beliau , andainya melanggar baiah itu nantinya akan ditimpa musibah. Beliau merujuk kepada pelajar KIK pada tahun 90an yang kononnya berbaiah di Taman Melewar dan jika melanggar baiah itu akan ditimpa musibah , tanpa lampiran bukti .

  • Kritikan beliau terhadap Ust Harun Taib bersama hasil karangannya yang berjudul Taadud Jamaah , tidak dilakukan secara kritikan ilmiah dan bermoral , sebaliknya Akhi Maszlee lebih cenderung mengambil pendekatan sinis dan prejudis melampau sehingga beliau menganggap ada pihak yang menjadikan buku Taadud Jamaah adalah buku kedua kena khatam selepas Al Quran .

Saya terlibat langsung dengan Al Fadhil Ust. Harun Taib dan bermesyuarat bersama beliau ( dimana saya sebagai Ajk Lajnah Tarbiyyah PAS Pusat ) . Ust Harun Taib tidak pernah mendidik ahli PAS mahupun pembaca bukunya agar menjadikan taraf buku Taadud Jamaah itu adalah buku kedua yang mesti khatam selepas Al Quran , melainkan itu hanya sikap prejudis dan sinis melampau Akhi Maszlee .

Saya sendiri sebagai pengerusi Lajnah Tarbiyyah DPP Pusat , tidak pernah meletakkan manhaj atau silibus sedemikian , termasuk di zaman Ust. Idris Ahmad sebagai Pengerusi Lajnah Tarbiyyah dan saya sebagai setiausahanya pada masa itu .

Begitu juga pada zaman – zaman sebelumnya , di mana saya pada waktu itu sebagai Ajk Lajnah Tarbiyyah DPP pahang dan Pengerusi Lajnah Tarbiyyah PAS Kawasan . malah saya telah menggeledah khazanah Tarbiyyah PAS , tidak ada satu tanda yang menunjukkan ajaran mahupun sikap meletakkan buku Taadud Jamaah sebagai no 2 selepas Al Quran .

Saya mula terlibat dengan PAS sejak tahun 1985 sebagai ahli , saya tidak pernah diajar oleh pimpinan PAS sejak dari tarikh itu hingga sekarang untuk bersikap taasub sedemikian rupa .

Persoalannya kenapa Akhi Maszlee , dalam membawa pemikiran Ummah Centric dengan maksud menghimpunkan semua jamaah kononnya dengan Amal Tajammu’inya lebih gemar mengambil pendekatan sinis dan menyerang pihak lain yang berbeza fikrah dengan beliau .

Sebagai contoh lain , apabila saya membaca artikel beliau mengenai Pemikiran Ummah Centric , beliau menyentuh isu kerjasama politik dalam pilihanraya dan akhirnya secara sinis beliau menyebut apabila mencapai kemenangan di sebuah negeri , maka berlaku monopoli kuasa . ( Beliau cuba menyebut perkara ini sebagai implikasi pemikiran Jamaah Centric yang perlu dibuang )

Soalnya , benarkan isu monopoli kuasa itu berlaku atau hanya persepsi politik Akhi Maszlee yang terlebih dahulu didorong oleh prasangka , bahawa kumpulan ini berfikiran Jamaah Centric sedang yang beliau mahu ialah Ummah Centric .

Isu kerjasama politik dalam pilihanraya yang melibatkan Barisan Alternatif adalah suatu kerjasama yang diurus dengan mematerikan perjanjian antara parti dan kumpulan yang bekerjasama , malah di sana ada majlis presiden yang mengendalikannya termasuk isu pengagihan kerusi .

Biarpun di sana ada pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan dan ketetapan perjanjian , namun semua pihak sewajarnya akur dan menerima keputusan dan ketetapan bersama tanpa pelanggaran hak . ( kerana sudah tentu keputusan yang diambil , terlalu sukar untuk memuaskan hati semua pihak, melainkan akhlak berjamaah mengajar kita menerima konsep syura biarpun keputusannya berbeza dengan pandangan peribadi atau individu anggotanya. )

Pendekatan Akhi Maszlee ini , jika berhadapan dengan mereka yang tidak mahir dengan ilmu ”pertahanan tradisional” akan menjadikan sasarannya terperangkap dan cedera sebagai mangsa.
Justeru tindakannya bagai menggunakan ”kerambit” untuk merobek keharmonian berjamaah dikalangan ummat islam .

( Penggunaan kerambit - sejenis senjata tradisional - , sewaktu menerjah untuk menikam tidak lah memberi apa – apa kesan kepada sasarannya , tetapi sewaktu ia menarik kembali kerambitnya , itulah masanya membuatkan sasarannya terburai urat perut dan mengalami cedera parah . )

Saya bukan bersikap curiga terhadap Akhi Maszlee dan hati kecil saya berharap agar Akhi Maszlee tidak sedemikian .
Namun melihat gerak kelibat Akhi Maszlee dalam artikelnya terdahulu yang saya sifatkan sebagai kekeliruan yang disengajakan , dan kini setelah saya menonton vcd beliau , tidak salah sangkaan saya malah pemikiran Ummah Centric ini kian kusut .

Saya juga mengamati sikap Akhi Maszlee sewaktu mempersoalkan pergaduhan yang berlaku di Mesir dan airport Mesir yang disifatkan oleh beliau sebagai manifestasi dari pemikiran Jamaah Centric .

Cara Akhi Maszlee menilai kes yang berlaku di Mesir dengan nilaian pemikiran beliau yang membawa gagasan Ummah Centric sebagai mengusutkan keadaan.

Saya berada di Mesir selama 6 tahun dan menangani serta menyaksikan kes seperti ini diantara dua anak mata saya . Ia bukanlah lahir dari pemikiran Amal Jamaei. Sebaliknya ini adalah soal sikap dan perangai . ( saya bersetuju dengan olahan sikap yang dikemukakan oleh Ust Hasrizal Abd Jamil dalam artikel beliau , Jamaah adalah Keperluan dan Ummah adalah Tuntutan .) – rujuk
http://saifulislam.com .

Soal saya ialah untuk apa Akhi Maszlee membawa kes ini sebagai bahan pemikiran Ummah Centricnya , pula tanpa pendetailan kes yang berlaku . Perlu diingat , yang menilai itu ialah Akhi Maszlee dan beliau menilai menurut persepsi beliau , bagaimana dengan nilaian pihak lain ?

Saya enggan mengulas lanjut mengenai kes pergaduhan di Mesir ini , kerana ia tidak banyak menguntungkan sesiapa kecuali saya dipaksa berbuat demikian . Saya harap ia tidak berbangkit dan tidak juga menganggap bahawa pergaduhan itu adalah manifestasi dari pemikiran Amal Jamaei.

Amal Jamaei bukan Jamaah Centric .

Saya pertahankan Amal Jamaei bukan bermaksud saya berfikiran Jamaah Centric seperti takrifan Akhi Maszlee ( iaitu beramal untuk jamaah dan berkepentingan jamaah )

Jamaah adalah platform atau wadah . Berkali telah dikatakan bahawa Jamaah itu adalah wadah perjuangan kita untuk Islam dan untuk ummah . Untuk menegakkan Daulah Islamiyyah dan mengembalikan Khilafah Islamiyyah .

Apabila kita berjamaah , kita bukan Jamaah Centric sebagaimana yang dimaksudkan oleh Akhi Maszlee . Namun kita juga tidak boleh menerima Pemikiran Ummah Centric yang dibawa oleh Akhi Maszlee sehingga melanggar prinsip intima’ tanzimi , yang dianggap oleh Akhi Maszlee bahawa prinsip intima’ tanzimi ini masih dalam kerangka pemikiran Jamaah Centric .

Sewaktu saya menuntut di bumi Syam tempoh lalu , masih segar dalam ingatan saya bagaimana saya berkawan baik dengan Ust Hasanudin ( IRC - Jordan pada waktu itu dan kini bersama PAS di Johor ) . Saya juga bersahabat rapat dengan Ust. Zulkifli Ahmad ( IRC – Syria pada waktu itu dan kini bersama dengan PAS ). Malah saya tinggal serumah dengan Ust. Jamaludin Ahmad ( Abim – Syria pada waktu itu dan kini juga telah bersama PAS ) . Jua saya pernah tinggal serumah dengan Dr. Asri Zainal Abidin di Suweileh Amman satu ketika dulu dan beliau menjadi sahabat baik saya .

Saya ambil sikap sedemikian dengan saya tidak merombak intima’ tanzimi saya bersama PAS dan saya tidak bersifat Jamaah Centric yang hanya berkepentingan Jamaah . Dari jamaah dan berakhir dengan jamaah sebagaimana istilah yang digunakan oleh Akhi Maszlee .

Tetapi saya juga tidak boleh bersetuju dengan pemikiran Ummah Centric yang mengajar agar merombak intima’ tanzimi atas nama Amal Tajammu’i .

Amal Tajammu’i tidak boleh merombak Amal Jamaei dan Intima’ Tanzimi .

Amal Tajammu’i menurut pemikiran Ummah Centric ialah boleh menyertai mana – mana jamaah tanpa perlu memberi intima’ kepada jamaah yang disertainya . Inilah yang dipertegaskan berulangkali oleh Akhi Maszlee dalam ucapan beliau .

Pemikiran ini membawa kecelaruan dan kekusutan dalam amal islami . Menjadikan ummat Islam tidak lagi bernizam dalam mengurus amal islami ke arah melaksanakan syariat Allah swt .

Harus diingat bahawa Islam ini tidak terhenti setakat kita boleh mengamalkan beberapa bentuk amal Islami seperti solat , puasa , zakat dan seumpamanya . Juga tidak terhenti setakat kita boleh memberi sedikit sumbangan terhadap Islam dengan kita melakukan beberapa amal Islami seperti mengajar , kuliah , menulis buku dan lainnya .

Tetapi Islam dengan ghayahnya ( matlamat akhir ) mencari redho Allah swt. juga mesti mencapai hadaf ( objektif atau matlamat semasa ) seperti antaranya ialah : Melaksanakan Syariat Islamiyyah yang semestinya pula memerlukan kuasa pemerintahan dan kuasa politik untuk menguatkuasakan syariat .

Sudah tentu ia memerlukan satu perjuangan yang utuh lantaran ia akan berhadapan dengan pihak yang akan pasti menghalang hasrat melaksanakan syariat di atas muka bumi ini .

Perjuangan ini terpaksa melalui episod getir dan sukar yang memaksa kita mengatur dan mengurus perjuangan ini dengan segala strategi , teknikal dan taktikal . Bagaimana mungkin perjuangan ini boleh diurus secara personal .

Kekusutan Fikrah Amal Tajammu’i dan Ummah Centric bawaan Akhi Maszlee .

Beliau menegaskan dalam ucapannya , bahawa seseorang yang memberi intima’ kepada jamaah , masih dalam kerangka Jamaah Centric lalu beliau minta supaya melepaskan diri dari intima’ tersebut dan boleh menyertai jamaah lain .

Uniknya pemikiran Ummah Centric ini , kononnya mereka tidak menolak jamaah tetapi mereka enggan memberi intima’ kepada Jamaah . Mereka boleh masuk mana – mana jamaah atas nama ummah centric dan kebebasan untuk beramal Islami .

Pemikiran ini agak ganjil dan mukhalafah sunnah . ( bersalahan dengan sunnah )

Sebagai contoh saya bawakan disini , mana mungkin seorang Guru yang berada di bawah Kementerian Pelajaran dalam masa yang sama nak jadi anggota Polis yang berada di bawah Kementerian Dalam Negeri dan dalam masa yang sama jua mahu menjadi anggota Tentera yang berada di bawah Kementerian Pertahanan .

Tetapi menurut logik pemikiran Ummah Centric yang tidak memerlukan intima’ , contoh di atas boleh dilakukan . Sudah tentu normal pemikiran kita tidak boleh menerima realiti ini .

Demikianlah sebagai contoh : Seorang akh menyertai PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang mengambil pendekatan politik pilihanraya dalam perjuangannya , pada masa yang sama menyertai Hizbut Tahrir yang menolak sistem pilihanraya yang dianggap tidak islamik ( menurut beberapa tulisan HT dan beberapa tokoh mereka yang pernah berdialog dengan saya . )

Bagaimana akh ini mahu memberi komitmen sedang PAS menuntut komitmen dari ahlinya agar turun berkempen dan menyertai pilihanraya sementara HT pula menuntut komitmen ahlinya agar jangan menyertai pilihanraya justeru ia bukan Islamik .

Realitinya akh tersebut tidak boleh memberi intima’ tanzimi dan komitmennya kepada kedua – dua jamaah tersebut , maka menurut pemikiran Ummah Centric , akh tersebut mesti keluar dari jamaah tersebut ekoran jamaah ini masih lagi dalam kerangka Jamaah Centric menurut pandangan Akh Maszlee.
( merujuk kepada ucapan beliau semasa menjawab soalan mereka yang hadhir dalam ceramah beliau di rumah Kapten Hafiz Firdaus ) .

Lalu ke mana akh ini akan pergi ? katakan beliau masuk Abim , sebagai jamaah yang turut memperjuangkan Islam dan dakwah Islamiyyah , dalam masa yang sama akh ini boleh menyertai UMNO ( sebab Akhi Maszlee turut menyenaraikan UMNO liga jamaah yang boleh di tajammu’kan dalam gagasan Ummah Centric )

Bagaimana pula akh ini mahu memberikan komitmen , apabila Abim mahu supaya ahlinya giat turun berdakwah dan menyampaikan Islam seperti menghidupkan budaya Qiamulail , seminar pemikiran Islam , mencegah kemungkaran atau kezaliman dan sebagainya , sedang UMNO pula menuntut komitmen ahlinya supaya memberi sokongan padu kepada usaha kerajaan UMNO seperti penganjuran pelbagai Pesta hiburan dan tarian ( seperti tarian berkemban Mak Yong dan gelek Inul Daratista ) dibawah Kementerian Kebudayaan , Kesenian dan Warisan .

Begitu juga dasar kerajaan UMNO yang mengekalkan ISA ( menahan tanpa bicara ) di bawah Akta Keselamatan dalam Negeri .

Sudah tentu akh tersebut tidak boleh memberikan komitmen dan intima’ tanzimi kepada kedua – dua jamaah tersebut . Oleh kerana jamaah tersebut menuntut intima’ tanzimi sedang ia bercanggah dengan pemikiran Ummah centric , maka akh tersebut mesti keluar dari kedua – dua jamaah tadi .

Akhirnya ke mana perjalanan akh ini ? sudah tentu akhirnya ia akan berseorangan , bagaimana ia mahu mengurus perjuangannya ?

Dari sinilah bermulanya pemikiran ganjil Ummah Centric untuk menyelesaikan fenomena ini , menganggap gerakkerja berseorangan juga adalah jamaah , justeru ia juga sebahagian dari ummah .

Sekali lagi Akhi Maszlee bagi membenarkan fikrah yang mukhalafah sunnah ini terpaksa melemparkan sinis tajam dalam ucapannya dengan menganggap bahawa seseorang yang berjuang bersendirian ( secara berseloroh beliau refer kepada Akhi Kapten Hafiz Firdaus ) lebih baik dan banyak sumbangan nya terhadap Islam berbanding mereka yang menyertai jamaah tetapi tidak banyak sumbangannya kepada Islam . ”Apakah mereka ingat dengan menyertai jamaah itu gerenti boleh masuk syurga ” ? begitulah nada Akhi Maszlee yang kaya dengan sinis dalam ucapannya .

Soalnya , kalau semua terpaksa buat kerja bersendirian atau berseorangan lantaran mengalami krisis komitmen dan intima’ tanzimi dari jamaah yang wujud , dan mereka terpaksa pula keluar dari jamaah yang seperti ini justeru menganggap mereka masih dalam kerangka Jamaah Centric , maka saya rasa Akhi Maszlee juga akan gagal membina Ummah Centric dan Amal Tajammu’i nya .

( peliknya pemikiran Akhi Maszlee , satu masa beliau mengatakan beliau dengan pemikirannya tidak menolak jamaah tetapi dalam masa yang sama , apa yang beliau ajar dalam ucapannya tempohari ialah supaya menolak dan keluar dari jamaah ini kerana jamaah yang menuntut komitmen dan intima’ tanzimi ini masih berada dalam kerangka Jamaah Centric . )

Pada pemerhatian saya lah , semua jamaah yang telah wujud ini memerlukan komitmen dari ahlinya demikian juga Intima’ tanzimi dari anggota dan kepimpinannya . Mana ada Jamaah yang longgar tanpa komitmen ahli dan Intima’ Tanzimi , barangkali Ummah Centric yang akan wujud ini pun menuntut komitmen dan Intima’. Wallahua’lam.

Terlalu nyata kekusutan pemikiran Ummah Centric dengan Amal Tajammu’inya.

Bagaimana sepatutnya Amal Tajammu’i

Saya melihat Amal Tajammu’i hanya boleh dilaksanakan melalui organisasi dengan organisasi seperti PAS + JIM + ABIM dan lain – lain sementara anggotanya terus kekal bersama prinsip Amal Jamaei dan memberi komitmen serta Intima’ Tanzimi terhadap Jamaah mereka untuk memperjuangkan Islam melalui kepelbagaian uslub dan wasilah yang sememangnya dira’i oleh Amal Jamaei .

Komitmen dan Intima’ Tanzimi itu bukan untuk Jamaah tetapi ” komitmen dan Intima’ ”terhadap” Jamaah untuk memperjuangkan Islam dan ummah.

Jika Amal Tajammu’i itu dilakukan oleh anggota atau individu dengan maksud individu boleh masuk mana – mana jamaah dan menjadi ahli yang kemudiannya pasti akan berhadapan dengan krisis komitmen dan intima’ sebagaimana yang kita bincang tadi , maka Amal Tajammu’i seperti ini akan menjadi Amal Kusuti. ( Amal yang kusut , celaru dan keliru tanpa gerakkerja yang munazzamah )

Adapun hubungan sesama anggota dengan anggota daripada Jamaah lain terus berjalan baik dengan prinsip Amal Jamaei yang mengajar kita bertolong bantu dalam perkara yang kita sepakati dan bertolak ansur dalam perkara yang kita berbeza padanya , tanpa perlu kita melonggarkan atau melucutkan komitmen dan Intima’ Tanzimi terhadap Jamaah masing – masing .

Amal Jamaei tidak mengajar kita menjadi taasub sebaliknya mengajar kita bekerja menegakkan Islam dan mengangkat martabat ummah dengan menjadikan Jamaah kita sebagai platform atau wadah perjuangan agar ia bergerak secara munazzamah .

Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berperang untuk membela ugamaNya, Dalam saf Yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan Yang tersusun kukuh.

Surah As Saff Ayat 4

( Saya tidak perlu menulis panjang perbahasan mengenai Intima’ , wala’ dan baiah kerana saya telah menyediakan artikel berasingan yang boleh dirujuk tajuk – tajuknya seperti Kewajipan Baiah dan Tuntutannya , Intima’ dan Ibtila serta Baiah dan Wala’ melalui blog ini . )

Berjuang secara bersendirian adalah Mukhalafah Sunnah .

Perjuangan Rasulullah saw. untuk menyebarkan agama Islam ke seluruh pelusuk benua dan mendaulatkan Islam di mukabumi ini telah diurus oleh baginda saw. secara berjamaah .

Rasulullah saw yang dikurniakan mukjizat , sehingga mampu membelah bulan dilangit , من باب الأولى / terlebih wajar bergerak dan berjuang secara solo jika ianya suatu yang مشروع / disyariatkan .

Rasulullah saw. tidak mengalami kesukaran pun untuk berhadapan dengan Abu Jahal dan Abu Lahab yang kepala mereka berjuta kali ganda lebih kecil berbanding bulan yang dibelah oleh Rasulullah saw.

Persoalannya , kenapa Rasulullah saw. membentuk jamaah , membina Nuqaba’ dan mengatur strategi secara Jamaei bersama para sahabat . Terlalu banyak dalil yang menjelaskan persoalan ini .

Boleh jugak kita rujuk pandangan Prof . Dr. Yusuf Al Qaradhawi dalam muqaddimah kitabnya yang berjudul أولويات الحركة الإسلامية في المرحلة القادمة .

Bagaimana AL qaradhawi menegaskan , ” bahawa gerakkerja Islam secara solo atau berseorangan tidak mampu untuk berhadapan dengan segala mungkar dan maksiat dan tidak mampu pula untuk memastikan ( tahkik ) hadaf Islam dapat dicapai .”

Mungkin ada orang berkata , realitinya hari ini , berjamaah pun kelihatan sukar dan tidak mampu berhadapan dengan arus maksiat yang liar hari ini . Ya... jika berjamaah pun tidak mampu jawabnya bersendirian pula beribu kali tidak akan mampu .

Al Qaradhawi menegaskan :

فالدين يدعوا إلى الجماعة و يكره الشذوذ فيد الله على الجماعة و من شذ شذ في النار و إنما يأكل الذئب من الغنم القاصية و لا صلاة لمنفرد خلف الصف و لا لمقتدم على الصف والمؤمن للمؤمن كالبنيان يشد بعضه بعضا .إلج

Justeru agama menyeru supaya berjamaah dan benci berseorangan ( dengan beliau membawa beberapa kesimpulan hadis nabi saw ) : sedang pertolongan Allah ke atas jamaah , barangsiapa berseorangan berseoranganlah ia di dalam api neraka , sesungguhnya serigala akan menerkam kambing yang bersendirian, tidak sempurna solat bersendirian di belakang saf dan tidak juga di hadapan saf dan seorang mukmin terhadap mukmin yang lain saling kuat menguat diantara satu sama lain .

Muka surat 11 dan 12 Kitab Aulawiyyatul Harakatil Islamiyyah fil Marhalatil Qaadimah . Cetakan Maktabah Wahbah Qaherah 1991 .

16 Comments:

Anonymous Anonymous said...

assalamualaikum ustaz.. dulu, sewaktu ana didedahkan dgn pemikiran ummah centric ni, ana pun agak keliru sebenarnye. mula2 terganggu juga fikiran dan kefahaman ana ttg jamaah. (ana terlibat dgn Pas dan Nisa' secara lansung)walauapepun, alhamdulillah.. setelah ana sungguh2 lakukan istikharah dan berdoa diberikan petunjuk, sekarang ni ana yakin dan jelas dengan apa yang ana pegang.. intima' dgn jamaah lebih selamat dan meyakinkan. ana rasa kekuatan ana yg ana miliki utk terus berjuang ana dapat hasil dr tarbiyyah sepanjang ana berintima' dalam jamaah. jamaah banyak mendidik ana, melatih ana utk ke depan.. utk jadi lebih berani dan teguh,lebih semangat utk menyampaikan dakwah, dan jamaah juga banyak mendidik ana utk jadi muslimah yg berani bercakap di depan ramai... berbanding semasa waktu ana hidup secara solo (ada fikrah islam tapi tak intima' dgn jamaah), ana rasa waktu tu ana tak kuat.. pegangan ana mudah goyah, kurang yakin pd diri, pemalu yg melampau sampai menghadkan usaha dakwah... ana yakin, hidayah dan taufiq dari Allah lah yang mendorong ana untuk intima' dgn jamaah. ana yakin wujudnya jamaah adalah rahmat dari Allah. pada pandangan ana, manusia mmg kena hidup berkumpulan..itulah fitrah manusia.. manusia tak boleh hidup sendiri2... sebab manusia yg suka sendiri2 ni ibarat kambing yg diintai oleh serigala. dg mudah saja serigala menyerang kambing yg seekor berbanding kambing yg berada bersama kawanannya..

berapa ramai sahabat2 kita yg dahulunya cukup lantang menyuarakan kebenaran, tetapi setelah mereka sibuk dgn kerja.. dan kurang masa utk intima' dgn kerja2 dakwah ni..mereka nampaknya seperti semakin jauh dr Allah. maaf, ana bukan nak merendahkan sesiapa.. tapi buktinya ada banyak. sahabat2 ana sendiri muslimah yg dulunya cukup menjaga maruah dan akhlak, kini berubah cara pakaian dan pemikiran mereka. dari pakaian menutup aurat, sudah berani membuka aurat. dari berfikrah islam..kini fikrah neutral.. tiada lagi semangat juang menegakkan islam. yg dikejar hanya kerjaya dan hal2 dunia.dan ada juga yg mengkritik balik cara pembawaan politik pas dan usaha2 kerja dakwah jamaah2.

kenapa mereka jadi begitu? kerana apabila mereka menjauhkan diri dr jamaah mereka tak punya sahabat2 sefikrah lagi utk mengingatkan, utk menegur kesilapan... untuk memperbetulkan mana yg kurang.bila kita intima' dgn jamaah, kita masih ada sahabat2 yg baik dan beragama utk ingatkan kita, masih ada sahabat2 yg berhati mulia yang sudi memperbetulkan kesilapan kita..dan insya Allah selagi mana kita bersama jamaah,kita takkan tersasar.. kerana sahabat2 kita itulah sahabat yg Allah hadirkan pada kita agar kita sentiasa berada di landasan yg benar. mukmin adalah cermin diri mukmin yg lain..

kefahaman ana ttg ummah centric ialah...
libatkanlah diri dalam jamaah, itu satu perkara yg sangat penting.. tetapi dalam berjamaah tak boleh ada rasa taasub dan memandang rendah dan hina pada jamaah lain. ana cakap begini kerana biasa berhadapan dgn individu2 yg sebegitu dan mereka lebih banyak mengutuk dn mencari2 keaiban saudara muslim mereka daripada menjalankan kerja dakwah.. contohnya, apabila diadakan majlis taalim, ada individu2 satu2 jamaah yang mencebikkan muka apabila mendengar berita bahawa majlis taalim itu bukan dianjurkan oleh jamaah mereka tetapi jamaah lain...

dan satu contoh lain, ada sesetengah individu yang tergamak utk tidak menjemput sahabat mereka dr jamaah lain utk sama2 mendengar kuliah agama (yg dianjurkan jamaah mereka) .. atas sebab hanya mereka berlainan jamaah.

itu adalah antara contoh2nya.. mungkin sahabat2 lain boleh fikir sendiri apa itu jamaah centric.

itulah pemikiran jamaah centric yg kita kena kikis kerana ia hanya memecah belahkan ummat.

jamaah adalah wasilah..bukan batu penghalang utk kecemerlangan ummah...

tanpa wasilah, usaha dakwah takkan dapat dijalankan dengan jayanya..

dan semua jamaah kena berganding bahu melaksanakan misi dakwah ini. bukanlah bermaksud semua jamaah kena bubarkan jamaah masing2 dan tubuhkan hanya satu jamaah saja. tindakan yg sepatutnya ialah buang sikap suka merendah2 usaha orang lain,
dan semua ahli jamaah mesti amalkan sikap suka bantu membantu...selagi mana ada program dakwah dan tarbiyyah tak kisahlah jamaah manapun yg anjurkan, selagi mana ada majlis ilmu, kita bantu dan bagi sokongan.. malah menggalakkan mad'u kita utk menyertai program dan aktiviti2 dakwah tersebut..
itulah ummah centric namanya.

sekadar pandangan ana..

wallahua'lam...

-muslimah hadhari, hadharah Islamiyyah-

1:18 PM

 
Anonymous Anonymous said...

...Hizbut Tahrir yang menolak sistem pilihanraya yang dianggap tidak islamik.... semoga maklumat ini akan dapat mencerahkan sedikit gambaran ustaz tentang pilihanraya di dalam system demokarsi... Demokrasi itu adalah suatu aqidah / ideologi yang berbeda dengan Islam. Di
zaman sekarang, negara-negara Barat yang dipimpin oleh Amerika begitu hebat
menyebarkan ideologi mereka sehingga kita terpengaruh dengan asakan mereka
dan jika kita menentang ideologi mereka seperti demokrasi dan kapitalisme
kita dilabel sebagai ketinggalan zaman, primitif, fanatik dan sebagainya.
Malangnya ramai umat Islam terpengaruh dengan kecaman seperti ini dan mereka
merasa inferiority complex, merasa terhina dan mula mencampurkan Islam
dengan demokrasi dan kapitalisme. Kita mesti berhati-hati supaya jangan
masuk dalam perangkap mereka.
Janganlah mencampur adukkan demokrasi dengan teknologi dan kemajuan
material. Penciptaan teknologi adalah hasil dari penggunakan intelek
manusia. Islam tidak menghalang penggunaan intelek untuk kemajuan manusia
walaupun ia dihasilkan oleh orang-orang kafir tapi jangan terkeliru antara
pandangan manusia yang berkaitan dengan ideologi dan pandangan manusia yang
berkaitan dengan teknologi. Orang-orang Islam boleh menggunakan akalnya
untuk menghasilkan komputer, kapal, pesawat, internet dan sebagainya dan
boleh juga belajar dari orang-orang kafir tetapi umat Islam tidak boleh
menggunakan akalnya untuk menghasilkan dan melaksanakan ideologi yang
bertentangan dengan Islam dan membawa kehancuran kepada manusia seperti
demokrasi, kapitalisme, sosialisme dan komunisme. Saya sendiri menggunakan
teknologi internet untuk mencelah di dalam ruangan ini.
Jangalah kita hanya mengambil beberapa contoh dari sejarah Nabi dan para
khalifah yang lain dan terus mengatakan bahwa Islam sama dengan ideologi
lain. Kita juga lihat dalam beberapa contoh Rasulullah SAW dan para Khalifah
tidak menerima pandangan majoriti (mayoritas) umat Islam. Contohnya dalam
Perjanjian Hudaibiyah, Rasulullah SAW tidak mau menerima pandangan majoriti
sahabat termasuk Saidina Umar. Setelah Rasulullah SAW wafat, ramai orang
Islam yang murtad, keluar dari Islam. Abu Bakar RA mau memerangi mereka
tetapi ramai sahabat tidak setuju sehinggakan Abu Bakar berkata: “Aku akan
memerangi mereka walaupun seorang diri”. Tidakkah beberapa tindakan tersebut
menunjukkan bahwa Rasulullah SAW dan para sahabat tidak demokratik.
Janganlah kerana kita malu orang-orang kafir akan mengkritik atau mengejek
kita kerana kita tidak mau menerima demokrasi, maka kita mengalah dan tunduk
kepada tekanan dan cuba mencar-cari persamaaan antara Islam dan demokrasi.
Kita juga mesti faham makna demokrasi yang sebenar. Demokrasi itu datang
dari perkataan Greek demos dan kratos yang bermaksud kuasa rakyat. Dalam
erti kata lain rakyatlah yang membuat peraturan sendiri tanpa mempedulikan
Allah SWT. Rakyat berhak ikut atau melanggar perintah Tuhan dalam demokrasi.
Demokrasi bukan hanya bermakna pilihanraya. Pilihanraya itu
hanyalah satu cara bagi menjalankan demokrasi tetapi inti utama demokrasi
ialah rakyat/manusia adalah sumber undang-undang bukan Allah SWT. Jangalah
kerana dalam Islam ada pilihanraya maka kita terburu-buru menyamakan Islam
dengan demokrasi. Rasulullah SAW bersabda “Islam itu tinggi dan tidak ada
yang lebih tinggi darinya”. Janganlah kita merendahkan Islam sehingga
menyamakan Islam dengan ideologi-ideologi ciptaan manusia yang lain.
Kita mesti faham tentang perbedaan antara "Hadarah" dan "Madaniyah."
Hadarah adalah sekumpulan mafahim (idea yang dianut dan mempunyai fakta)
tentang kehidupan. Madaniyah adalah bentuk –bentuk fizikal (fisik) bagi
benda – benda yang terindera yang digunakan dalam berbagai urusan kehidupan.
Hadlarah itu bersifat khas (bagi suatu bangsa), sesuai dengan pandangan
hidup yang dianutinya.
Madaniyaah boleh bersifat khas, boleh pula bersifat umum untuk seluruh umat
manusia. Bentuk – bentuk madaniyah yang dipengaruhi oleh hadarah, seperti
patung, adalah termasuk madaniyah yang bersifat khas. Sedangkan bentuk
–bentuk madaniyah yang dihasilkan oleh kemajuan sains dan perkembangan
teknologi/ industri adalah madanniyah yang bersifat umum, milik seluruh umat
Islam. Bentuk madaniyah yanag terakhir ini tidak dimiliki secara khusus oleh
suatu umat tertentu, akan tetapi bersifat universal seperti halnya sains
dan teknologi/ industri.
Perbezaan antara hadlarah dengan madaniyah ini harus senantiasa
diperhatikan, sama perhatiannya terhadap perbezaan antara bentuk – bentuk
madaniyah yang dipengaruhi oleh suatu hadlarah dengan bentuk – bentuk
madaniyah yang dihasilakan oleh sains dan teknologi / industri. Hal ini
menjadi penting pada saat kita akan mengambil madaniyah, agar kita dapat
membezakan bentuk- bentuk atau dapat membezakannya dengan hadlarah. Jadi,
bentuk- bentuk madaniyah Barat yang lahir dari sains dan teknologi /
industri, tidak ada larangan bagi kita untuk mengambilnya, akan tetapi
madaniyah Barat yang dipengaruhi oleh hadlarahnya, jelas tidak boleh kita
ambil, sebab kita tidak boleh mengambil hadlarah Barat oleh kerana jelas-
jelas bertentangan dengan hadlarah Islam, baik dari segi asas dan
pandangannya terhadap kehidupan, maupun dari arti kebahagiaan hidup bagi
manusia. Demokrasi, Kapitalisme, sosialisme dan komunisme tergolong dalam
hadarah Barat bukannya madaniyah.
Dari sudut inilah sebenarnya kita perlu melihat tentang pertentangan pilihanraya di dalam system demokrasi dengan pilihnaraya di dalam cakupan Islam.

10:53 PM

 
Anonymous Anonymous said...

alhamdulillah...penerangan yang baik untuk kefahaman semua. Jazakallah.

12:42 AM

 
Blogger Nasrudin bin Hassan at Tantawi said...

Assalamualaikum

Terima kasih buat semua atas pandangan yang dikemukakan .

Sepatutnya isu Jamaah Centric dan Ummah centric tidak berbangkit .

Sebab , Ummah centric sebagaimana yg dibawa oleh tokoh pemikirnya ialah bekerja untuk agama tanpa Intima' . So boleh masuk mana - mana jamaah dalam satu masa . ini tindakan yang tidak munazzamah dan ini yang saya tidak bersetuju dengan pemikiran Ummah Centric .

Sebab komitmen dan Intima' dengan jamaah ( jamaah yang memperjuangkan islam = UMNO tak masuk senarai ! ) adalah suatu yang wajar .

Pemikiran Ummah Centric menerima UMNO sebagai satu jamaah yang masuk senarai untuk di Ummah Centrickan atau di Tajammu'kan tapi dalam masa yang sama menolak SIS sebagai satu jamaah . Ummah centric sendiri semakin kusut .( Rujuk ucapan Tokoh Pemikir Ummah Centric , Akhi Maszlee )

Adapun sikap taasub dengan jamaah sendiri dan menafikan jamaah islam yang lain ( UMNO bukan Jamaah Islam ) adalah sikap yang salah dan bukan ajaran Amal Jamaei . kalau nak kata itu Jamaah centric pun , katalah dan kita tolak tapi dia tidak kena mengena dengan ajaran Amal Jamaei .

Justeru Amal Jamaei bukan Jamaah centric . Jamaah centric bukan lahir dari Amal Jamaei .

Pemikiran Ummah centric menolak Jmaah centric dan menganggap Amal Jamaei membawa kepada jamaah centric dan taasub jamaah .

Itu nokhtah penolakan saya terhadap pemikiran Ummah Centric .

1:09 AM

 
Blogger Nasrudin bin Hassan at Tantawi said...

Ya Terima kasih ... Ana rasa pun cukuplah 2 artikel itu .

Seterusnya kita tumpukan kepada kerja - kerja amal Islami yang masih banyak tertunggak .

Selamat berjuang .

2:43 PM

 
Anonymous Anonymous said...

Amal Kusuti. ( Amal yang kusut , celaru dan keliru tanpa gerakkerja yang munazzamah )

apa maksud sebenar ustaz tentang Amal Kusuti nie?? ustaz nie macam pak lah pulak.. buat istilah campuran bahasa.. aaihhh sesat bahasa arab betul...

3:36 PM

 
Anonymous Anonymous said...

walaupun ust maszlee bercakap secara umum sahaja, kita boleh membca bahawa beliau maksudkan tidak salah menjadi ahli PAS dan waktu yang sama menjadi ahli ABIM atau JIM. Itu point sebenarnya.

adakah ustaz rasakan boleh menjadi ahli JIM dan serentak menjadi ahli JIM? atau adakah itu memecahkan wala'?

6:12 AM

 
Blogger Nasrudin bin Hassan at Tantawi said...

Assalamualaikum ustaz...
Actually ana keliru dengan artikel yang ustaz tulis dalam website enta...
Ana selalu folo up hasil tulisan Ustaz Maszlee Malik dalam ummahonline dan jugak dalam majalah I..

Actually dari pemahaman ana,Ustaz Maszlee tak menegah mana individu untuk join jemaah..cuma jangan terlampau taksub..
Tu jer..
Tapi apa yang ana nampak,ustaz banyak menghukum tindakan Ustaz Maszlee Malik...

Dari pemerhatian ana di kampus,ana pun actually keliru dengan jemaah yg kawan2 ana join..
Most diorang macam lebih mementingkan politik dalam berdakwah..
Bukan ana nak tolak politik,tapi politik sekarang ni macam tak Islamik walaupun atas nama Islam...

Naper kita perlu nak buruk2 kan orang lain dalam politik?
Kalau betul kita nak guna kuasa untuk berdakwah,kenapa kadang2 ana tgk ada tindakan boikoit contohnya dalam pilihanraya?
Give up?

So,sebab tu bila baca artikel Ustaz Maszlee ana rasa ana dah dapat jawapannya..

JAWAPAN SAYA :

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Pertamanya salam persahabatan saya hulurkan . Semoga tiada sengketa dalam perbedaan pendapat ini . Jua saya terlebih dahulu memohon maaf seandainya artikel saya yang lalu tidak disenangi oleh saudara .

Bukan maksud artikel itu disiarkan untuk menimbulkan kekerohan di medan amal islami yang suci. sebaliknya ia sebagai usaha untuk menjernihkan kekeliruan dan merungkai kekusutan .

Latar belakang artikel tersebut bermula dengan saya menerima pertanyaan bertali arus dari rakan rakan mahasiswa yang keliru dengan artikel Akhi maszlee . Artikel yang bertajuk Pemikiran Ummah Centric.

Saya hanya mengambil langkah menjawab artikel itu apabila terlalu ramai yang sangsi dan keliru . Lalu saya menulis artikel saya yang pertama mengenainya dengan tajuk : Pemikiran Ummah Centric . Satu kekeliruan yang disengajakan .

Artikel pertama saya adalah tanpa kritikan peribadi dan juga tanpa kritikan direct kepada pemikir Ummah centric , sebaliknya sekadar menjelaskan buah fikirannya iaitu ( Ummah Centric ) adalah suatu yang keliru berasaskan perbahasan dan hujjah yang dibawa untuk menyokong pemikiran Ummah Centric dalam artikel Akhi Maszlee tersebut.

Pandangan atau pendapat yang berbeza saya kemukakan dalam artikel saya yang pertama adalah dengan penuh cermat dan mengemukakan nas sebagai dalil kenapa saya berbeza pendapat dengan pemikiran Ummah Centric .

Tetapi apabila saya menonton VCD Akhi Maszlee yang menjelaskan fikrah Ummah Centric di rumah Kapten Hafiz Firdaus ( saya harap saudara juga telah menontonnya - kalau belum , saudara pasti tidak memahami kenapa artikel saya yang kedua menyusul ) Artikel saya yang disiarkan .

Artikel saya yang kedua bertajuk : Pemikiran Ummah Centric yang kian Kusut adalah menjawab langsung ucapan dan hujjah Akhi Maszlee dalam VCDnya yang bertajuk : Ummah Centric vs Jamaah Centric .

Sangkaan dan telahan saya setelah saya membuat pengamatan teliti sebelum menulis untuk artikel pertama , tidak meleset apabila saya mendengar VCD Akhi Maszlee yang saya rasakan ( ucapan Akhi Maszlee ) itulah rahsia sebenar Ummah Centric yang dibawa oleh beliau .

Satu pemikiran yang kian kusut . Artikel saya yang kedua ini lebih kepada menjawab dan menolak kembali segala tuduhan dan fitnah Akhi Maszlee.

Kalau saudara kata saya banyak hukum Akhi Maszlee , apa saudara nak kata kepada Akhi Maszlee yang banyak fitnah PAS dan melemparkan sinis kepada PAS dalam ucapannya di Rumah Kapten hafiz Firdaus ( saya harap saudara telah mendengar ucapannya )

Saya tidak mengambil sikap memburukkan orang lain tetapi hanya menyingkap keburukan orang yang memburukkan saudara seperjuangannya sendiri dan rakan yang tidak sealiran dengan nya.

Artikel yang kedua , barulah saya ambil strategi menyentuh langsung sikap Pemikir Ummah Centric disamping saya dedahkan kekusutan pemikirannya.

Saudara menyebut bahawa Akhi maszlee tidak menegah join jamaah . ( saya harap saudara dengar elok - elok ucapan Akhi Maszlee di rumah kapten Hafiz yang saya maksudkan tadi . Agar saudara tidak membela yang batil )

Disinilah letakknya kekusutan pemikiran Ummah Centric .

Akhi Maszlee kata , kita tidak tolak jamaah tapi sebaliknya boleh masuk mana - mana jamaah dan tidak perlu intima' . kalau ada intima' itu Jamaah Centric bukan Ummah Centric . maka kita kena keluar dari jamaah yang masih dalam kerangka Jamaah Centric .

Cuba saudara halusi maksudnya itu . Umumnya tidak tolak jamaah . Tetapi kalau masuk jamaah tak perlu intima' ( keterikatan ) dengan jamaah tersebut . kalau ada intima' itu Jamaah Centric ( pemikiran lapok ) .

Masaalahnya , kalau masuk jamaah bukan mesti ada intima' . Cuba saudara sebutkan kepada saya , mana jamaah yang tidak memerlukan intima' dari ahlinya .

Mana satu jamaah yang boleh menerima ahlinya tidak terikat dengan disiplin jamaah yang dibentuk . masuk ikut suka sahaja . Daftar diri , pas tu nak ikut pun tak apa , tak ikut pun tak apa tanpa perlu intima' .

Sebab mengikut pemikiran Akhi maszlee , Intima' itulah Jamaah Centric = pemikiran lapok dan membawa kepada taasub .

Masaalahnya , kalau semua Jamaah perlukan intima' dari ahlinya , sedang pemikiran ummah centric menolak intima' ...disinilah pertembungan saya dengan pemikiran Ummah Centric.

Saya tidak menolak perpaduan dan kerjasama krn amal Jamaei sememangnya mengajar kita bertolong bantu dalam perkara yang kita sepakati bersama dan bertolak ansur pula dalam perkara yang kita berbeza pendapat padanya .

Tetapi mewujudkan gagasan Ummah Centric tanpa Intima' , tanpa baiah , tanpa Amal Jamaei yang dianggap membawa kepada Taasub adalah suatu yang salah dan batil .

Saya bukan pejuang Jamaah Centric , yang berjuang untuk jamaah dan menganggap jamaah saya yang terbaik .

Tetapi saya berjuang untuk Islam dan Ummah dengan Jamaah itu adalah platform perjuangan saya yang mesti saya berikan intima' tanzimi utk mengurus perjuangan saya secara munazzamah .

Justeru itu , dalam masa yang sama , saya tidak boleh menerima Ummah Centric yang menolak Intima' , baiah dan Amal Jamaei .

Seperkara lagi yang ingin saya tegaskan disini . Persoalan mengenai taasub .

Apakah pengertian taasub ? Taasub ialah Ãä ÊÚíä Þæãß Úáì ÇáÙáã , yang bermaksud : kamu menolong saudara kamu sedang ia zalim .

Taasub ialah apabila kita menolong dan menyokong kawan kita walaupun kita tahu dia salah dan batil .

Adapun bermati – matian menolong mereka yang berada di pihak kebenaran atau yang hak itu bukan taasub , tetapi Iltizam , komitted atau mutamassikubiddeen . ( berpegang teguh dengan agama )

Saya pun tidak bersetuju dengan taasub ( menurut erti yg benar ) tetapi menganggap Intima’ , amal jamaei dan baiah membawa kepada taasub adalah suatu pandangan liar yang batil .

Sekadar ini dululah penjelasan saya . Sekali lagi memohon maaf dari saudara kiranya penjelasan ini turut tidak disenangi oleh saudara . Cuma apa yang perlu saya tegaskan di sini ialah saya tidak bermaksud sesuatu melainkan Islah .

P/S . Kenyataan saudara tu , saya betul sikit iaitu : Saya tak kata kita perlukan kuasa untuk berdakwah tetapi kita perlukan kuasa untuk mendaulatkan syariat Allah swt .

Sementara isu boikot pilihanraya tu , satu langkah strategi untuk menekan pihak berkuasa dan menarik perhatian umum bahawa sistem satu satu pilihanraya yg diboikot itu tidak dilaksanakan secara adil dan telus.

dan itu juga bukti kita tidak beriman dengan pilihanraya atau demokrasi sebaliknya kita guna ruang yang terbuka . kalau ruang itu sudah ditutup , mungkin kita terpaksa berperang atau berjuang seperti saudara saudara kita di palestin sebelum ini yang penting , nak daulatkan Islam kita perluykan kuasa . Sudah tentu untuk dapatkan kuasa seperti itu , tidak boleh diurus oleh individu melainkan jamaah yang munazzamah dalam menggerakkan ummah .

tidak juga oleh individu yang masuk banyak jamaah tanpa ikatan intima' kononnya bersifat ummah centric . kelak gerakkerja islam tidak munazzamah jika situasi itu diizinkan berlaku .

Untuk menetang taasub , tak perlu Pemikiran Ummah centric Ala Akhi maszlee Malik yang menoklak intima' dan Amal jamaei . Amal jamaei mmg mengajar kita betapa celanya taasub .

Wallahua'lam bissowab

12:42 AM

 
Anonymous Anonymous said...

mantap!
berjamahlah....elakkan taassub.
sama2 jaga adab&akhlaq berjamaah. kekadang jamaah tak ajar tapi dibuat oleh ahli jamaah, itu tak sepatutnya melambangkan jamaah.

Demokrasi.
rasanya majoriti (termasuk ulama')faham dr segi falsafah dsb.
Kekadang kita gagal melihat secara bersepadu trhdp sesuatu prkara.

9:38 AM

 
Anonymous Anonymous said...

Dulu ada konsep ahli bersekutu atau orang kafir boleh jadi ahli Pas.

Jadi orang ni bukan sekadar ahli jamaah lain, tapi ahli AGAMA lain.

Adakah idea ini masuk dalam maksud polemik ini ?

Bagaimana pula konsep bercampur baur dari segi pemikiran. Maksudnya, jamaah Islam, tetapi membawa idea pemikiran kufur seperti idea-idea Kapitalisme (Demokrasi, HAM, Dialog Tamaddun dsbgnya ?).

Sekadar berbincang.......?

8:32 AM

 
Anonymous Anonymous said...

Saya bersetuju dengan kita mengambil demokrasi pada strukturnya bukan pada falsafah,saya rasa semua gerakan islam faham nih,Kita boleh ambil selagi tidak bercanggah dengan syariat,Macam juga ubat kau Man,Falsafahnya ubat itu menyembuhkan,dan aku pasti kau tak pakai falsafah tuh,tapi struktur buat ubat tuh,makan ubat tuh tentu engkau pakai. Begitu juga dengan sains,struktur nak buat besi yang kuat dan ringan tentu umat mengikut dan meniru,tapi umat tidak akan bersetuju falsafah sains yang sering mengakhiri ayat mereka dengan perkataan natural atau semulajadi.Jangan nilai dari jauh rumah orang bak kata hassan albanna "berbaik sangka"

10:32 AM

 
Anonymous Anonymous said...

Assalamualaikum ustaz, ana nak minta pandangan ustaz tentang masalah ana...ana bekerja dengan sebuah organisasi dakwah (NGO)yang menuntut komitmen ana dalam usrah sebagai staf (HELWA) dan turut mendaftar di bawah satu organisasi dakwah yang lain (juga NGO)dan turut terlibat dengan usrah badan tersebut..ada juga teman yang menyarankan ana supaya menukar tempat pekerjaan,dan ada pula yang memberikan riaksi sebaliknya. Apakah kesan daripada penglibatan ana ini terhadap kedua-dua jamaah? mohon komen ustaz...

Muslimah yang keliru..

6:31 PM

 
Blogger Ustadz kemn said...

Assalamualikum .....
Ikhwah yang dikasehi. Perjuangan islam bukan lah satu perjuangan yang hanya dapat dimonopoli dan direalisasi oleh satu satu jamaah sahaja tetapi adalah ditaklifkan kepada semua individu individu yang memang sewajibnya melalui jamaah.Dalam kontek malaysia yang berbilang jamaah ini kita kena mengiktiraf satu sama lain selagi matlamat perjuangan adalah sama yakni tertegaknya syariat islam.Cumanya perjuangan ini bila salah wasilahnya maka salah lah jalan perjuangannya.Apa yang ingin ana sentuh disini adalah perjuangan PAS itu sendiri sekalipun ramai tok tok guru didalmnya tetapi dari segi pembawakan ahli ahli bawahan begitu cetek tasawurnya.Bagi ana PAS mungkin kedepan dari segi politiknya tetapi amat sempit dan terkebelakang dari segi Dakwah & Tarbiyah. Justru itu kita lihat ahli ahli PAS kebanyakannya amat jahil dan lemah syaksiyah dan tidak dapat memahami islam secara kulli.Juga mereka mereka ini tidak dapat dijadikan qudwah kepada masyarakat.Paling malang sekali musuh pun tidak mereka kenali. UMNO dianggap musuh.KEADILAN dianggap kawan sedangkan perlembagaan antara UMNO dan keadilan lebih lah baik berbanding perlembagaan UMNO sekalipun kedua2 nya adalah Jamaah Batil.Bukan politik yang ingin ana fokuskan disini tetapi disini sepatutnya ahli2 PAS yang dah tua dan matang ini memahami realiti perjuangan yang sebenarnya.Perjuangan kita bukan hanya digelanggang politik demokrasi yang batil ini tetapi sepatutnya lebih kepada usaha2 dakwah untuk menyelamatkan ummah termasuk UMNO kepada Islam. Sepatutnya kita tidak boleh menganggap UMNO atau parti lain ini sebagai musuh tetapi kita kena lah menganggap mereka sebagai mad'u kita untuk kita selamatkan! Dengan sebab itu ana melihat PAS dah tidak releven untuk dakwah & Tarbiyah dan hanya relevan untuk Politik Demokrasi.Dulu, bila mula2 ana mengenali islam dan PAS ana merasakan bahawa inilah satu2nya Parti yang dapat ana intima' dan memberi sumbangan tetapi lama kelamaan keyakinan itu hapus apabila ana mula matang denagn perjuangan Islam. Baru ana dapat lihat betapa pentingnya persoalan Tarbiyah dan Dakwah. Betapa pentingnya kita bina institusi yang boleh melahirkan pendakwah2 yang membawa orientasi dakwah dan Tarbiyah dan bukan bergelumang dengan najis demokrasi yang tidak boleh membawa ummat kepada penyatuan malah menuju kepada perpecahan.Rugi kiranya PAS mempunyai tenaga2 ustadz yang hebat2 tetapi tidak dapat menafaatkan ilmu dan menggunakannya untuk dakwah dan tarbiyah dan hanya digunakan untuk berhujjah dan membuang masa mencari kesalahan UMNO.Natijahnya kita lihat sekarang diTmn Melewar semua ceramah PAS tidak mendapat sambutan.Hantarlah sesiapa saja pimpinan semuanya tidak dapat sambutan. Kerana apa? Kerana PAS lebih memperjuangkan isu dari kepentingan Umat islam yang dahagakan Tarbiyah dan penghayatan Islam.Ahli ahli PAS termasuk ana pun dah jelak dengan pendekatan PAS walau pun ana masih setia menyokong PAS kerana ianya perkara yang wajib. Sekali lagi ingin ana katakan pemimpin PAS kebanyakannya tidak boleh dijadikan Qudwah apalagi ahli ahli bawahan yang taksub kepada tok tok guru yang mensucikan tok guru.Maaf cakap, ana tinggal disebuah kampung diDarul Hidayah diselangor. Kampung ini adalah kampung PAS tetapi penduduknya lebih teruk pada orang2 UMNO. Ukuhuwahnya, anak2 yang banyak ketagih gam dan dadah,mencuri,AJK pemimpin yang taasub dengan PAS.Tidak bertegur sapa antara satu sama lain.Tidak mahu melaksanakan tarbiyah, usrah dan lain2, berkelahi dan macam macam negatif terjadi. Sebab apa? Sebab tiada tarbiyah. Mengabaikan Tarbiyah.Apakah ini dapat memberi Qudwah pada penduduk setempat? Bagi ana jika PAS ingin menjadi satu2 jamaah Islam yang dihormati kenalah kembali kepada uslub Rasul yaani kembali kepada dakwah dan Tarbiyah. Tanpa tarbiyah PAS akan hanyut dan akan jadi jamaah bye bye satu hari nanti kerana manusia semakin memahami islam dan pastinya menolak PAS dengan kefahaman mereka kepada Islam sebenar dan PAS tidak relevan lagi untuk menyelamatkan ummat malaysia hanya bersandarkan pilihanraya yang tidak sunnah itu apalagi bersama2 dalam najis demokrasi yang juga ditolak oleh islam. Akhir kalam ........walau apa pun ana tetap penyokong PAS setiap pilihanraya dan membantu sekadar mampu seisi keluarga. Takbir.

1:13 AM

 
Anonymous Anonymous said...

stakat ana mengenali ust maszlee malik..

beliau tidak pernah minta untuk rombak "intima'" atau amal jamaie..atau bekerja dengan jemaah secara komited..

yang dia tolak adalah sikap yang terhasil daripada tarbiah yang salah..mana tak nya, menarik mad'u dengan menggunakan sentimen "jim,abim,haluan" tak syumul..geng2 profesional jer..jim,abim ni jemaah yg kurang tu..kurang ni..adakah ini hasil tarbiah..


ustaz menulis sangat baik dan seperti ustaz tidak pernah berpengalaman dalam hal ini..ana juga dengar bahawa ustaz juga suka memperkatakan tentang jemaah lain...adakah ini tarbiah yang ustaz war-warkan selama ini?

5:34 PM

 
Anonymous Anonymous said...

salam,

mmg perlu utk intima' dgn pergerakan islam/jemaah islam. namun, perlu ke dgn cara terus berbai'ah? dgn menggunakan sumpahan, dan laknat kepada diri jika keluar dari jemaah? habis tu kalau kita berjumpa dgn jemaah yg lebih baik mcmner? ke kena laknat jugak kalau keluar dari hizbi utk join yg lain?


"insan" yg confuse bila dh sign borang bila dgr tpf...

10:12 AM

 
Anonymous Anonymous said...

Mungkin bahasa saya agak kasar maaf, namun faktanya..
Ahli2 Ikrom ni sembang je lebih. The fact they are taksub pada kepimpinan mereka tidak diwar warkan pula. Boleh pulak ye buat macam2 tambah lagi ketika pru baru baru ini. Hingga kan bangga menyebarkan fitnah dan menjdi cybertrooper fitnah. #kitamestimenang namun dengan apa jua cara tidak pernah diajar Islam. Maka, jangan layan provokasi pemikiran mereka. Mereka pelik dan konfius tentang perjuangan. Tapi tak mengapa bagi saya kita hormati perjuangan masing masing walaupun ada yang konfius, at the end of the day Allah akan hisab setiap orang.Kebenaran akan terbentang depan mata.

Pesanan ikhlas dari penaja untuk ahli ikrom= MATLAMAT TIDAK PERNAH MENGHALALKAN CARA!

-bekas ahli ikram

4:13 AM

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home