" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Saturday, July 22, 2006

SIKAP KITA TERHADAP ISU SERBAN .

Latar belakang kes ( ringkas )

Isu ini berbangkit ekoran tindakan tegas Pihak Sekolah Kebangsaan Felda Serting Hilir Jempol Negeri Sembilan ( 1997 ) memecat 3 orang pelajarnya yang memakai serban ke sekolah. ( Meor Atiqulrahman bin Ishak , Syed Abdullah Khaliq Aslamy bin Syed Ahmad Johari dan Syed Ahmad Syakur Dihya bin Syed Ahmad Johari . )

Kes ini pernah dibicarakan di Mahkamah Tinggi Seremban ( dikenali sebagai kes Meor Atiqurrahman & Ors vs Fatimah Sihi Abdullah & Ors ) dan dimenangi oleh pihak pelajar ( plaintif ) . Rayuan dibuat dan kes ini dibawa ke Mahkamah Tinggi Persekutuan ( Bidang Kuasa Rayuan ) dengan permohonan sivil No. 01 – 3 – 2005 (N) . Mahkamah Persekutuan ( 3 panel hakim : Tan Sri Abdul malek Ahmad , Tan Sri Steve Shim Lip Kiong dan Dato' Abdul Hamid bin Hj. Mohamad ) baru – baru ini ( 12 Julai 06 ) telah memutuskan kes ini dimenangi oleh pihak Fatimah Sihi dan Kerajaan Malaysia . ( Perayu )

Sikap dan Pandangan Kita .

Sikap 1 .

Hakim Dato' Abdul Hamid bin Hj. Mohamad telah membuat kenyataan menghina Islam dalam kes serban ini sewaktu mengemukakan keputusan penghakimannya.

Hakim Dato' Abdul Hamid dalam penghakimannya yang dibacakan oleh Timbalan Pendaftar mahkamah Persekutuan , Kamarudin Kamsun berkata :

" daripada apa yang dapat saya pastikan , al Quran tidak menyebut mengenai pemakaian serban . Saya tahu bahawa rasulullah saw memakai serban , tetapi baginda juga menunggang unta , membina rumahnya dan masjid daripada tanah liat dan berbumbungkan daun kurma dan menggosok gigi menggunakan sugi ."

" Adakah itu bermakna bahawa menunggang unta itu satu amalan lebih alim daripada bergerak menaiki kapal terbang? Wajarkah dipilih bahan dan cara serupa yang digunakan oleh Rasulullah untuk membina rumah dan masjid seperti di zaman baginda ?

‘‘Soalnya ialah sama ada pemakaian serban oleh kanak-kanak lelaki sebaya usia perayu (dalam kes ini) merupakan satu amalan dalam agama Islam. Islam bukan sekadar memakai serban dan berjanggut.
Arab jahiliah, termasuk Abu Jahal, memakai serban dan berjanggut. Tidak hairanlah bagi Rasulullah yang lahir dan membesar dalam masyarakat itu , berbuat demikian .

Kenyataan hakim tersebut tidak boleh dilihat sebagai kenyataan jujur apatah lagi menepati roh Islam . Biarpun hadis mengenai serban terdedah kepada khilaf ulama' samaada ianya sebagai sunnah atau tidak , tetapi tidak bermakna pemakaian serban boleh diperlekeh sehingga menyamakan pula tindakan Rasulullah saw memakai serban dan berjanggut sebagaimana Abu Jahal memakai serban dan berjanggut.

Kenyataan itu adalah berasaskan kejahilan dan sikap yang prejudis terhadap amalan sunnah . Sedang Rasulullah saw. bersabda :

عن أبي المليح بن أسامة عن أبيه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : إعتموا تزدادوا حلما .

Maksudnya :

Dari Abil Maliih bin Usaamah dari ayahnya telah berkata : Rasulullah saw telah bersabda : Berserbanlah kamu nescaya bertambah sifat Hilman ( tenang penyabar. )

Diriwayatkan oleh : Imam At Tabrani , Al Hakim dan Ibnu Abbas Di dalam kitab Al Jaamiu's Soghiir. Jilid 1 . M/s 74

Sabda Rasulullah saw :

عن عائشة رضى الله عنها قالت : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : عشر من الفطرة : قص الشارب و إعفاء اللحية و السواك و استنشاق الماء و قص الأظفار و غسل البراجم و نتف الإبط و حلق العانة و انتقاص الماء .
قال زكرياء : قال مصعب : و نسيت العاشرة إلا أن تكون المضمضة . زاد قتيبة قال وكيع: انتقاص الماء يعنى الإستنجاء .

Maksudnya :

Dari Aisyah Rha. telah berkata : Rasulullah saw telah bersabda : Sepuluh perkara yang terdiri dari fitrah .Mengandam misai , menyimpan janggut , bersugi , memasukkan sedikit air ke dalam hidung ( membersihkan hidung ) memotong kuku , membasuh celahan jari , mencabut bulu ketiak , mencukur bulu ari – ari dan Istinja' .

Riwayat Imam Muslim dalam sohihnya. 491 , Kitaabut Tohaarah . bab 16 .

Kita bersetuju bahawa Islam bukan semata – mata terhenti di atas serban dan janggut , tetapi perbuatan mempersenda dan memandang sinis terhadap sunnah nabi ( serban dan janggut ) adalah suatu yang tercela di sisi syara' .

Soal kita tidak mahu melaksanakannya ( selama mana sunnah itu tidak bertaraf wajib laksana ) maka terpulanglah kepada diri kita sendiri , namun sekali – kali kita tidak boleh menidakkan pihak lain yang mahu beramal dengannya.

Pakaian Orang Bertaqwa

Secara umumnya , pemakaian serban dan berjanggut ini adalah pemakaian orang – orang yang beriman dan bertaqwa . Justeru itu para ulama' muktabar sebagai golongan yang disebut oleh Allah swt sebagai golongan yang paling takut atau bertaqwa kepada Allah swt
[1] ( samaada daripada Negara Arab atau pun bukan Arab ) kebanyakkan mereka berserban dan berjanggut .

Maksudnya :

Wahai anak Adam , Sesungguhnya kami telah menurunkan kepada kamu ( bahan – bahan untuk ) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik – baiknya . yang demikian itu adalah dari tanda – tanda ( limpa kurnia ) Allah dan ( rahmatNya kepada hamba – hambaNya ) supaya mereka mengenangnya ( dan bersyukur ) .

Al a'araf : 26

Mungkin di sana ada pihak yang akan berhujjah bahawa ramai yang berserban dan berjanggut , tetapi masih melakukan maksiat malah ada juga yang menganut fahaman sesat .

Fenomena itu tidak dapat saya nafikan . Tetapi maksiat dan sesatnya mereka bukan kerana serban dan janggut mereka . Faktor yang menyumbang kepada fenomena demikian adalah kejahilan dan tiada penghayatan . Mereka memakai serban dan menyimpan janggut dalam keadaan mereka jahil tentang agama dan tiada penghayatan hidup berasaskan syariat dan sunnah .

Ianya sama lah seperti solat . Biarpun Allah swt telah menegaskan di dalam Al Quran bahawa Solat
[2] menegah mereka daripada melakukan kekejian dan mungkar . Namun di sana ramai mereka yang mengerjakan solat tetapi masih lagi melakukan maksiat .

Fenomena tersebut berlaku bukan kerana penegasan Ilahi itu tidak betul , tetapi , mereka yang mengerjakan solat itu masih jahil tentang agama dan kalaupun mereka berilmu , tiada pula pengahayatan terhadap syariat dan sunnah .

Malah pandangan umum turut melihat bahawa mereka yang berserban dan berjanggut adalah mereka yang terdiri dari orang – orang yang baik dan wara' . Kecuali mutaakhir ini , kelihatan wujud segolongan yang cuba untuk menghakis pandangan ini .

Berserban dan berjanggut juga dilihat sebagai bentuk pemakaian yang membezakan antara mereka yang mutadayyin ( beragama dengan segala penghayatannya ) berbanding mereka yang culas akhlak dan runtuh moralnya.

( saya tidak menafikan di sana ada orang – orang kafir yang memakai turban dan berjanggut , tetapi tidaklah boleh kita menyamakan prinsip perlaksanaan dan penghayatannya . Seperti kita memiliki dan menaiki kereta VIOS , tidaklah boleh kita samakan dengan orang kafir yang bukan sahaja memiliki dan menaikinya , bahkan menciptanya . Justeru di sana terdapat jurang perlaksanaan dan penghayatan yang teramat jauh bezanya antara Islam dan kufur )

Demikian juga , sekali - kali saya tidak menafikan keilmuan dan ketaqwaan mereka yang berilmu dan hidup menghayati syariat dan sunnah semata – mata kerana ia tidak berserban dan berjanggut .

Sebagaimana perkembangan yang dapat kita lihat hari ini . Ada ilmuan Islam yang bersongkok ( "sunnah jibiliyyah" melayu ) dan ada juga yang tidak meletakkan sebarang penutup di kepalanya .

Cuma apa yang saya ingin tegaskan disini , jika songkok kita boleh menerima dan memakainya dengan selesa walhal ia hanyalah adat melayu , kenapa kita harus prejudis terhadap pemakaian serban dan berjanggut , walhal itu adalah nyata sebagai pakaian Rasulullah saw.

Bagaimana berinteraksi dengan Sunnah.

Kalaupun kita tidak menerima hadis mengenai serban sebagai hadis sohih dan menganggap bahawa serban hanyalah merupakan sunnah adat yang diterima dan dipraktis oleh Rasulullah saw. , bukankah ianya menjadi mulia apabila ia dipakai oleh Rasulullah saw. ? Bukankah mempertahankan suatu yang diamal oleh Rasulullah saw. itu pula , adalah suatu yang mulia ?

Terdapat sang hakim yang prejudis mengatakan Rasulullah saw. naik unta , maka apakah mulia kita naik unta berbanding naik kapal terbang ? Rasulullah saw. buat rumah dengan tanah liat , apakah mulia kita buat rumah dengan tanah liat sedang kini semua orang berumah batu ?

Tempelakan sedemikian sekali lagi membuktikan dirinya yang jahil terhadap bagaimana berurusan atau interaksi dengan sunnah Rasulullah saw.

Dalam kes ini , yang menjadi sunnah Rasulullah saw. ialah kenderaan yang baik dan rumah yang baik . Unta adalah kenderaan yang terbaik di zaman itu dan pastinya kapal terbang menjadi kenderaan yang baik pula di zaman ini . ( Maksudnya : andai kapal terbang sudah wujud di zaman itu sebagai kenderaan yang baik , nescaya Rasulullah saw. tidak menolak penggunaan kapal terbang . )

Satu hadis yang dikeluarkan oleh Imam Ahmad dan disohihkan oleh Ibnu Hibban dan Al Haakim dari hadis Saad marfuua'n :

من سعادة ابن آدم ثلاثة : المرأة الصالحة و المسكن الصالح و المركب الصالح و من شقاوة ابن آدم ثلاثة : المرأة السوء و المسكن السوء و المركب السوء و في رواية لإبن حبان : المركب الهنى و المسكن الواسع .

Maksudnya :

Sebahagian dari kebahagiaan hidup anak Adam ialah 3 perkara : Isteri yang solehah, tempat tinggal ( rumah ) yang baik dan kenderaan yang baik . Sementara sebahagian dari penderitaan ( kesengsaraan ) hidup anak Adam ialah 3 perkara : Isteri yang jahat , tempat tinggal ( rumah ) yang buruk dan kenderaan yang buruk . Dalam satu riwayat bagi Ibnu Hibban : Kenderaan yang hebat/selesa dan tempat tinggal ( rumah ) yang luas .

Fathul Baari : Bagi syarah Sohih Bukhari. 4095 Kitaabun Nikaah . Bab 18

Termasuklah makanan sebagai contoh . Sunnah Rasulullah saw. ialah memakan makanan yang baik dan halal . ( bukan dilihat kepada jenis makanan yang dimakan oleh Rasulullah saw . kecuali datang nas secara khusus dari Nabi saw. yang menggalakkan kita memakannya seperti buah tamar , madu lebah dan sebagainya .)

عن أبي هريرة رضى الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : يا أيها الناس إن الله طيب لا يقبل إلا طيبا و إن الله أمر المؤمنين بما أمر به المرسلين فقال : ( يا أيها الرسل كلوا من الطيبات و اعملوا صالحا ) و قال : يا أيها الذين آمنوا كلوا من طيبات ما رزقناكم )

Dari Abi Hurairah Rha. telah berkata : Rasulullah saw. telah bersabda : Wahai Manusia , sesungguhnya Allah baik , ( lantas ) ia tidak menerima kecuali kebaikan dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang – orang yang beriman sebagaimana Ia ( Allah ) memerintah para Rasul as. Lalu baginda saw. membaca firman Allah ( yang bermaksud ) : Wahai para Rasul , makanlah kalian dari perkara – perkara yang baik ( halal ) dan beramallah ( dengan amalan yang ) soleh . dan baginda saw. membaca lagi firman Allah swt. ( Yang bermaksud ) : Wahai orang – orang yang beriman , makanlah olehmu dari perkara – perkara yang baik ( halal ) yang telah kami ( Allah ) rezekikan kepada kamu .

Diriwayatkan oleh Imam Muslim .

Sikap 2.

Setelah dipertegaskan sikap kita yang pertama berhubung kedudukan serban dan janggut , maka sokongan yang diberi kepada hakim tersebut atas keputusan penghakimannya adalah suatu yang tidak wajar dan memberi pulangan negative kepada Islam dan perjuangannya di tanahair kita dewasa kini .

Apatah lagi sokongan padu dengan tanggapan bahawa hakim tersebut membuat keputusan yang bertepatan dengan ruh Islam dan menunjukkan hakim berkenaan memahami Islam dan sunnah Nabi saw . dalam topic berkenaan secara ilmiah .

Saya tidak nampak di mana ilmiahnya dan bagaimana pula tepatnya kenyataan hakim tersebut dengan ruh Islam , ( berkaitan dengan serban dan janggut ) melainkan kedangkalan yang menjengkelkan , terutamanya apabila hakim tersebut membariskan nabi besar kita Muhammad saw. dengan Abu Jahal a'laihi laknatullah yang juga berserban dan berjanggut.

Sokongan yang memberi advantage kepada Musuh Islam.

Perasaan terhiris dan tersinggung ummat Islam di Negara ini dengan beberapa insiden
[3] yang menghina Islam dan Rasul saw. belum pun reda , kenyataan hakim ini dilihat sebagai satu lagi percubaan berterusan untuk terus menguji sensitivity ummat Islam terhadap agama suci ini , dengan mempersendakan serban dan janggut Rasulullah saw. apabila secara sinis , hakim tersebut menegaskan bahawa Nabi berserban dan berjanggut kerana nabi orang arab sama dengan Abu Jahal yang juga Arab dan berserban serta berjanggut .

Lebih parah apabila kelihatan ada tokoh ilmuan Islam bertindak songsang menyokong dan membenarkan kenyataan hakim tersebut yang disifatkan sebagai menepati ruh Islam .

Sudah cukup keputusan penghakiman itu sebagai satu keputusan yang legal dan kelak dijadikan satu authority untuk diguna pakai dalam tindakan mereka yang cuba menghalang perlaksanaan dan penghayatan sunnah dikalangan ummat Islam di Negara ini.

Sebagai contoh , ( saya difahamkan bahawa seorang peguam bela kepada Lina Joey ( Azlina Jelani ) telah mengeluarkan kenyataan, sejurus kes murtad ini berpihak kepada Lina Joey . )

"…it is time that we must knock into the heads of Malay that our country Malaysia is never been an Islamic country …."

"…..Ini masanya , kita mesti ketuk kepala orang melayu di Malaysia , supaya dia tahu bahawa Malaysia tidak pernah menjadi Negara Islam…."

Jika kenyataan ini benar , jelas inilah sikap musuh Islam . Mereka menanti peluang dan ruang untuk menyerang Islam dan ummatnya di Negara ini . Maka keputusan mahkamah seperti ini akan diguna pakai dalam mengendali kes – kes serupa di masa – masa akan datang . Ia menjadi senjata musuh untuk menyerang Islam .

Tambah pula sokongan yang tidak berhati – hati oleh ilmuan Islam terhadap kenyataan hakim Mahkamah Persekutuan ( dalam isu serban dan janggut ) tempohari , bagai membekalkan peluru kepada senjata musuh yang telah tersedia untuk menyerang Islam .

Siapa Angkuh ?

Tanggapan bahawa bapa pelajar ( plaintif ) tersebut bersikap angkuh kerana membawa kes pemecatan anaknya ke mahkamah adalah satu tanggapan yang tidak wajar .

Saya telah menghubungi peguam Hanifa Maidin dan jelas bahawa permulaan kes ini ke mahkamah bukan atas isu mempertahankan serban yang hukumnya hanyalah sunat ( bukan wajib ) . Tetapi kes ini dibawa ke mahkamah atas asas anak mereka dipecat dari sekolah sedang puncanya sangat kecil iaitu memakai serban ke sekolah , berbanding kes – kes social yang berat tetapi tidak pun sampai dipecat dari sekolah .

Sebenarnya siapa yang angkuh ? bapa yang anaknya dipecat dari sekolah hanya kerana memakai serban ? atau pihak sekolah yang system mereka tidak boleh menerima pelajar yang memakai serban lantas memecatnya ? , sedang tidak pula dipecat kalau pelajarnya tidak bertudung , tidak mendirikan solat dan tidak mengapa pula memakai turban bagi kaum sikh sedang turban itu juga tidak wajib bagi kaum sikh .
Mereka bukan berbalah di Mahkamah kerana isu serban yang hukumnya sunat , tetapi mereka mempertahankan hak mereka untuk belajar di sekolah dan kenapa mereka dipecat dengan hanya kerana mereka memakai serban ?

Kalau serban itu adalah adat orang arab lalu tidak sesuai dipraktik di dalam system sekolah kita di Malaysia , maka tali leher itu pula tidak pernah dikenali dalam adat orang melayu kecuali ia adalah tinggalan "orang putih" , soalnya kenapa pula tali leher pada setengah sekolah di"wajib"kan pakai .

Tidak pula ilmuan Islam modern kita hari ini menghukum angkuh tindakan mewajibkan pakai tali leher bagi pelajar sekolah , yang pastinya tiada hadis khusus bagi pemakaian tali leher kecuali ia hanyalah "sunnah jibiliyyah" bagi orang putih yang datang menjajah Negara kita dulu .

[1] إنما يخشى الله من عباده العلمؤا إن الله عزيز غفور ./ سورة فاطر : 28 [2] Surah Al Ankabut : Ayat 45 [3] Lakaran karikatur nabi oleh beberapa majalah dan akhbar tempatan serta tindakan IFC dan kumpulan Article 11 yang mencabar survival ummat Islam dan agamanya di tanahair Malaysia . Tambah pula penglibatan aktif faham Islam Liberal dan fahaman Pluralisme yang menyelewengkan fakta Islam dan mengelirukan ummah dengan desakan mereka yang mencabar status quo institusi Islam dalam negara ini .

9 Comments:

Anonymous Anonymous said...

Terjemahan ustaz tidak tepat. Ustaz kata bahawa ayat:
"…it is time that we must knock into the heads of Malay that our country Malaysia is never been an Islamic country …."

bermaksud:

"…..Ini masanya , kita mesti ketuk kepala orang melayu di Malaysia , supaya dia tahu bahawa Islam bukan lagi agama rasmi di Malaysia …."

Ini salah.

Terjemahan sebenar ialah:

"…..Ini masanya , kita mesti ketuk kepala orang melayu di Malaysia , supaya dia tahu bahawa Malaysia TIDAK PERNAH MENJADI NEGARA ISLAM..."

Hakikatnya, peguam Lina Joy hanya menyebut semula apa yang selama ini dihujahkan dan dikempenkan oleh pemimpin PAS seperti Ustaz sendiri, iaitu Malaysia kini BUKAN NEGARA ISLAM.

Sekiranya Ustaz menterjemahkan ayat itu dengan betul, maka pasti Ustaz menyedari bahawa apa yang disebut oleh peguam Lina Joy adalah sama dengan apa yang Ustaz sendiri hujahkan.

4:59 AM

 
Blogger Nasrudin bin Hassan at Tantawi said...

Assalamualaikum .

Terima kasih atas pembetulan itu , maklumlah bahasa inggeris ni terlalu lemah .

Saya akan betulkan . Terima kasih sekali lagi. secara tak langsung sdr telah menjadi guru bahasa inggeris saya.

3:36 PM

 
Anonymous Anonymous said...

Menterjemah sesuatu dengan tepat sangat penting,Saya mendengar ayat ini ketika solat munajat beramai ramai.Saya ingat peguam lina joy tuh keluar kenyataan akhbar dalam bahasa melayu,rupanya hanya terjemahan yang disampaikan pada subuh yang hening itu.Tuan tuan cuba bayangkan bertapa marahnya kita apabila terjemahan yang disampaikan itu sama dengan terjemahan yg ust Din tulis.Mungkin elok jika kurang mahir menterjemah lebih baik jangan terjemah.Dibimbangi perkara lebih buruk berlaku.Sejarah ada mengajar kita.Ingat kesilapan pembaca membaca tulisan tanpa baris yg di rakamkan oleh tng Nik Aziz, akibat dari perbezaan bacaan Faqtuluh dan Faqbuluh!

7:03 PM

 
Blogger Nasrudin bin Hassan at Tantawi said...

Betullah apa yg disebut oleh peguam Lina joy tu sama nada dgn apa yg kita dok sebut selama ini bhw Malaysia bukan lagi Negara Islam .

Tetapi maksudnya berbeza . Kita sebut Malaysia bukan negara Islam adalah untuk menyedarkan ummat islam betapa perlunya kita kembali melaksanakan syariat Allah swt. Jgn anggap malaysia sudah Islam tanpa perlaksanaan hukum Allah swt.

Maksud lawyer Lina joy tu pula ialah padan muka org melayu ( islam ), apa mrk ingat mereka beragama Islam , mrk nak suruh isu murtad di bicara dibawah mahkamah syariah , jgn harap ! skrg kita telah berjaya bawa ke mahkamah sivil .

Kita berjaya memurtadkan Lina joy ( Azlina Jeilani )

Tak ada lagi Islam di malaysia . dan malaysia tak kan pernah menjadi negara Islam ..

itu perbezaan maksud antara dua . Sebab tu , peringkat awal ana lebih cenderung kpd terjemahan bebas , merujuk kpd maksud lawyer tu ,

tapi salah nahu , terima kasih kpd yang membetulkan terjemahan ana . Ana pun masih belajar . Bukan sengaja mahu buat silap . Tersilap .

Ana pun dah rujuk kamus tu , tapi kantoi juga . Insyaallah bhs inggeris ana akan dipertingkatkan .

Usahkan bahasa inggeris , ana ni kekadang bahasa melayu pun tergeliat lidah .

3:32 AM

 
Anonymous Anonymous said...

hujah anta memang bagus, tantawi... teruskan... depa tu saja je nak melemahkan semangat anta dalam memperjuangkan Islam. Ana ingat, diorang semua geng geng al-ahkam. Dah teruk kena bantai kat situ, buat kacau kat sini pulak

12:08 AM

 
Anonymous Anonymous said...

AlHakam - aper agenda dia org kadang2 pelik jugak !!! .Ustaz layak ke seseorang yg hanya pandai baca buku ( buat rujukan) tapi pandai bahasa arab skit2 ,tulis buku pasal islam ?

12:41 AM

 
Anonymous Anonymous said...

TUAN Hassan Tuan Lah nak join maza jugak kot

thtl
Panel Feqh



Joined: Aug 22, 2001
Posts: 4666
Location: KL/WP/Mal
Posted: July 23, 2006 - 01:08 AM


--------------------------------------------------------------------------------
Nabila,

bagitau ust tantawi (pas), bahawa hadith "Berserbanlah kamu nescaya bertambah sifat Hilman " adalah Dha'if Jiddan oleh al-Imam al-Albani, Dha'if alJaami' # 931 dan Silsilah adDha'iifah/ 2819, Nampaknya ust nasruddin memiliki pemikiran spt tenki_super. melihat isu serban dari sudut pembangkang utk mendapat mileage politik.

_________________
[img:ecf040282f]http://al-ahkam.com.my/forum/images/panel_feqh.gif[/img:ecf040282f]

12:47 AM

 
Blogger Nasrudin bin Hassan at Tantawi said...

Terima kasih krn membawa teguran itu .( yg saya rasa , teguran itu diambil dari perbahasan laman ahkam.net )

( Saya sempat juga sesekali membaca komentar di ahkam.net .)

Perbahasan di situ , saya tidak mahu campur krn ia tidak melibatkan authority perbahasan ilmiah yang sempurna , melainkan di sana terdapat ruang pihak yg kita tidak kenali mencelah , pula dgn bahasa yg boleh menyinggung perasaan kedua - dua pihak .

Namun saya sempat juga melihat satu dua thread yg siarkan .

Adapun berhubung dgn hadis yg dikatakan dhoif itu , telah ada di nyatakan dlm artikel saya Sikap Kita Terhadap isu Serban ( SKTIS dan SKTIS 2 ) dan saya membuat pertambahan dalil di SKTIS 3 )

Mmg hadis itu mempunyai khilaf dikalangan ulama' . Sebagaimana ada ulama' yg mendhoifkannya , disana juga ulama' yg mendohihkannya .( boleh Rujuk Jaamius Soghir )

So khilaf ini saya raikan . Tak mengapalah pada teguran itu .

Saya pun tidak menguatkan hadis tersebut ( yg dikatakan dhoif tadi ) sebagai hujjah mempertahankan serban. Sbb saya dlm artikel pertama lebih kpd maksud menafikan persendaan hakim terhadap serban dan janggut nabi saw.

Kebanyakan ulama' sangat yakin serban adalah pakaian Rasulullah saw.

Yang khilafnya , nabi suruh atau tidak ummatnya pakai serban .

So isu khilaf ni tidaklah harap membawa permusuhan dan perbalahan sesama ummah .

Saya ulas isu serban just nak maklumkan / tegaskan bahawa serban pakaian nabi saw. so jgn permainkan pakaian nabi saw.

Ada pun polemik isu serban yg melibatkan plaintif dan defendan . Itu sukar diredakan disebabkan masing - masing mempunyai sudut pandangan yg berbeza .

Namun saya harap kita boleh bersetuju utk tidak mempersendakan sunnah ( sekalipun sunnah Jibiliyyah - rujuk ulasan saya di SKTIS 3 )

2:55 AM

 
Blogger Nasrudin bin Hassan at Tantawi said...

Seperkara lagi , dalam sepanjang saya berhujjah dan mengulas isu serban dalm 3 artikel itu , tiada satu pun baris ayat saya kaitkan dengan parti atau jamaah yg saya dokong .

Ini bukan isu kepartian , bahkan isu ummah yg melewati batas kepartian .

Justeru itu , menganggap saya mengulas isu ini demi political milaege adalah satu yang tidak benar .

Saya menyentuh dan mengulas isu ini apabila saya merasakan sunnah nabi dipersenda , so saya bermaksud untuk membela . Andai saya silap dalam tujuan membela ini , semoga Allah mengampuni saya .

Tunjuk ajar dan bimbingan para ulama' terus saya alu - alukan .

3:02 AM

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home