BERSEDIAKAH UNTUK TSUNAMI KEDUA ?
Perutusan Aidil Adha dan Tahun Baru
Hj.Nasrudin bin Hj. Hassan at Tantawi
Ketua DPP Negeri Pahang .
Ketua DPP Negeri Pahang .
Saudara dan saudari yang dihormati sekelian .
Lazimnya sambutan tahun baru di negara kita akan dicemari oleh pelbagai aktiviti maksiat dan mungkar . Saya masih ingat bagaimana hampir setiap tahun, majlis keraian , tari menari , konsert para artis , tembakan bunga api , pergaulan bebas lelaki dan perempuan , sorak sorai dan hilai tawa akan menghiasi sambutan tahun baru.
Hanyalah 2 tahun lalu , sambutan tahun baru tenang tanpa segala aktiviti yang menjolok mata . Apabila Perdana Menteri mengarahkan agar segala majlis keraian menyambut tahun baru dihentikan bagi ”berkabung” mengenang mangsa Tragedi Tsunami .
Biarpun berkali para ulama’ menegur agar sambutan yang bukan sahaja melahirkan gejala sosial yang negatif , tetapi juga sangat membazirkan harta negara serta mensia – siakan masa depan remaja itu dihentikan , sebaliknya digantikan dengan aktiviti bermoral yang boleh melahirkan keinsafan dan jati diri dikalangan rakyat atau masyarakat.
Malangnya teguran dan anjuran itu tidak pernah dipeduli oleh kerajaan mahupun pihak penganjur , sehingga Allah sendiri memberi tegurannya dengan gerak gempa bumi serta Tsunami yang mengorbankan ratusan ribu nyawa .
Kelihatan hanya Tsunami yang boleh menginsafkan mereka yang keras kepala ini biarpun buat seketika .
Persoalannya , apakah kedegilan berulang ini telah bersedia untuk menerima kehadhiran Tsunami kedua ?
Selatan negara kita diuji Allah beberapa hari lalu dengan Tsunami Kecil yang turut mengorbankan nyawa dan memusnahkan harta benda .
Kebetulan saya sempat menyaksikan sendiri dari jarak dekat bagaimana kemusnahan harta benda dan penderitaan yang dialami oleh masyarakat yang dilanda banjir besar di negeri Johor.
Tiada siapa yang bersedia menghadapinya . Apatah lagi untuk menghadapi kedatangan Tsunami kedua . Justeru itu saya menyeru dan merayu kepada pihak berwajib agar sambutan tahun baru pada kali ini , yang secara kebetulannya pula berlangsung serentak dengan hari kebesaran ummat Islam Aidil Adha tidak dicemari lagi oleh pelbagai aktiviti yang tidak bermoral .
Renungilah satu peringatan baginda Rasul saw. :
عن علي بن أبي طالب كرم الله وجهة قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : إذا فعلت أمتي خمس عشرة خصلة حل بها البلاء : قيل و ما هن يا رسول الله : قال إذا كان :
المَغنمُ دوَلاً , و الأمانةُ مَغنماً , والزكاةُ مَغرماً , و أطاعَ الرجُلُ زوجتَهُ , و عَقَّ أُمَّهُ , و بَرَّ صديقَه , و جَفا أباه , و ارتفعتْ الأصواتُ في المساجد , و كان زعيمُ القومِ اَرْذَلَهُمْ , و أُكرمَ الرَجُلُ مخافةَ شَرّه , وشربت الخمور , و لبس الحرير , و اتخذت القينات , و المعازف , و لعن آخر هذه الأمة أولَها فليرتقبوا عندك ذلك ريحا حمراء أو خسْفاً أو مسْخاً .
رواه إمام الترمذي
Dari Saidina A’li bin Abi Talib Karramallahuwajhah : Rasulullah saw telah bersabda : Apabila ummatku melakukan 15 perkara ini maka layaklah ke atasnya bala bencana ( musibah ) .
Lalu sahabat bertanya : Apakah 15 perkara itu ya Rasulullah ?
Rasulullah saw. menjawab : Apabila berlaku .
Harta khazanah kekayaan negara hanya berlegar dikalangan orang- orang tertentu .
Amanah menjadi batu loncatan untuk mengumpul kekayaan .
Zakat dianggap sebagai hutang yang menyusahkan mereka .
Lelaki tunduk kepada isterinya.
Derhaka kepada ibunya .
Sedang ia terlalu menurut kemahuan kawannya.
Sering menjauhi bapanya .
Meninggikan suara ( bising ) di dalam Masjid .
Pemimpin yang dilantik adalah yang paling hina ( jahat ) dikalangan mereka.
Dimuliakan seseorang ( bukan kerana mulia tetapi ) kerana takut akan kejahatannya.
Meminum Khamar ( arak )
( Lelaki ) memakai sutera .
Menyanjung para artis ( penyanyi )
( Menyanjung para artis ) pemuzik .
Dan mengutuk golongan ( ummat/ulama’ ) terdahulu
Maka layaklah mereka ditimpa Angin Ahmar ( yang melumpuhkan ) atau gempa bumi ( yang menghancurkan ) atau mereka ditukar wajah menjadi makhluk lain ( beruk atau lainnya ) .
ٍSunan at - Tarmizi .
Jilid 4 / Muka surat 494 . Cetakan Dar Ihya at Turath Beirut .
Pesan buat sahabat .
Sementara buat semua pencinta Islam , kedatangan tahun bersulam Aidil Adha ini harapnya meningkatkan komitmen kita terhadap tanggungjawab dan amanah perjuangan untuk mendaulatkan Syariat Allah di bumi tercinta ini.
Pelajarilah semangat pengorbanan nabi Allah Ibrahim as. dan keluarganya yang saya pasti kisahnya akan kita dengar serba ringkas dari khatib yang menyampaikan khutbah Aidil Adha nanti.
Demikian juga kehadhiran tahun baru yang meninggalkan diary perjuangan kita setahun yang lalu . Muhasabahlah dan pertingkatkan prestasi dan kualiti perjuangan bersama diary perjuangan kita yang baru .
Biarpun hari muka terus menjanjikan cabaran yang kian getir , namun kita tidak punya pilihan melainkan terus memacu perjuangan ini demi memartabatkan kembali maruah ummah dan keagungan Islam .
Abaikan persoalan remeh temeh .
Usahlah kelemahan dan ketidak upayaan kita selama ini dalam menyaingi cabaran , ditambah parah dengan sikap kita yang tidak mengenal priority dalam tindakan lalu kita bergelumang dengan persoalan khilafiah dan isu yang remeh.
Segalanya hanya meletakkan kita makin berpecah , lemah dan melambatkan masa pergerakkan kita .
Saya percaya , kita mempunyai hadaf yang mahu dicapai dan tentunya pula hadaf kita ialah untuk menegakkan agama Allah di mayapada ini . Lantaran itu , saya tidak nampak ruang untuk kita terus melayani persoalan ”tengek bengek” yang hanya menambah sukar perjalanan kita .
Semoga Allah mengurniakan kita kekuatan dan petunjuk untuk menunaikan tanggungjawab besar ini .
Jumpa sahabat semua di Batu Talam nanti . Salam perjuangan dari saya buat semua.
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home