" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Thursday, December 28, 2006

Tatacara di Perbaiki , Perkasa Mahkamah
Elak tindakan dipertikai

Penulis:Zainul Rijal Abu Bakar
(Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia)
Dipetik dari:Ruangan agama,
Berita Harian Tarikh: 27 Disember 2006

Tatacara diperbaiki perkasa mahkamah, elak tindakan dipertikai

KENYATAAN Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyarankan Jabatan Agama Islam menghentikan perbuatan mengintip, mengintai dan mencari pasangan untuk ditahan atas kesalahan khalwat dianggap kontemporari oleh sesetengah golongan.

Namun kenyataan sebegini haruslah diteliti dari segi amalan dan pelaksanaan jenayah syariah di Malaysia. Pelaksanaan atau penguatkuasaan jenayah syariah dikodifikasikan sebagai undang-undang di dalam Enakmen Tatacara Jenayah Syariah negeri.

Mengikut Enakmen Tatacara Jenayah Syariah, setiap serbuan penguat kuasa agama dibuat berdasarkan aduan atau syak yang munasabah ada jenayah syariah dilakukan. Bukannya serbuan secara membuta-tuli atau mengintip secara sembrono.

Bila menerima aduan, penguat kuasa agama akan menyiasat. Aduan pula perlu dibuat dalam bentuk tulisan dengan menggunakan borang tertentu. Bagaimana siasatan dibuat ia termasuk serbuan dan penggeledahan. Pokoknya, bukan sengaja ketuk pintu hotel atau rumah orang. Enakmen Tatacara Jenayah Syariah ini memperincikan dengan jelas prosedur tertentu, malah dalam beberapa hal ia lebih lengkap lagi dengan apa yang ada dalam Kanun Prosedur Jenayah di mahkamah sivil.

Bagi Selangor umpamanya arahan tetap Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor yang dikeluarkan bagi tujuan melaksanakan tindakan oleh penguat kuasa agama.

Menurut Arahan Bil 1/2003 terdapat beberapa perlakuan yang boleh diambil tindakan seperti berikut:-

a) Nasihat dan arah beredar
b) Arah hadir kursus
c) Tindakan mahkamah

Sebelum penguat kuasa agama ini membuat serbuan, sudah tentu menjadi kewajipan baginya menyiasat kesahihan aduan yang diterima itu. Selepas dipastikan ada asas kebenaran mengenai aduan itu barulah penguat kuasa agama memulakan langkah mereka mengikut peruntukan undang-undang.

Adalah tidak benar penguat kuasa agama pergi dari satu bilik ke satu bilik yang lain di dalam hotel atau dari satu rumah ke rumah yang lain mengintip dan mengintai pasangan yang melakukan khalwat. Juga tersasar daripada realiti sebenar jika kita katakan penguat kuasa agama hanya menumpukan perhatian kepada tangkapan khalwat saja.

Banyak tangkapan lain dilakukan penguat kuasa agama seperti tangkapan ajaran sesat, merobohkan tempat yang boleh memesongkan aqidah dan banyak lagi. Jika ada kesilapan dalam melaksanakan tugas, itu adalah kesilapan manusia. Tindakan perlu diambil kepada pihak yang melakukan kesilapan.

Berilah latihan yang bersepadu kepada pegawai penguat kuasa agama. Jangan marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Pihak berkuasa agama juga perlu jujur mengaku kesilapannya jika berlaku kesilapan oleh kakitangannya. Tidak rendah keIslaman kita jika mengakui kesilapan kita sendiri.

Menghentikan tangkapan khalwat ini seolah-olah menggalakkan umat Islam melakukan maksiat kerana tidak ada tindakan pencegahan yang tegas. Inilah juga apa yang diperjuangkan oleh golongan Islam liberal. Bersorak gembiralah golongan yang suka melakukan maksiat ini.

Tinggallah golongan yang komited terhadap Islam keresahan kerana maksiat yang dilakukan di sebelah rumah mereka, mereka hanya boleh memerhati dari luar saja. Ada juga yang berpendapat bahawa tangkapan khalwat ini memalukan orang yang ditangkap dan yang demikian itu menceroboh hak persendirian dan melanggar hukum syarak.

Perkara ini perlu diperhalusi dengan lebih mendalam lagi kerana hak asasi umat Islam bukanlah hak yang mutlak. Hak ini ada batasannya sebagaimana kebebasan lain yang mempunyai batasannya tersendiri. Bukankah ada hadis menyatakan bagaimana kita ingin menegak yang makruf dan mencegah yang mungkar kita perlu berpegang kepada hadis Rasulullah antara lain maksudnya,

“Apabila kamu melihat kemungkaran hendaklah kamu menegahnya dengan tangan (kuasa), jika tidak mampu dengan kata-kata dan jika tidak mampu dengan hati. Itulah selemah-lemah iman”

(Riwayat Bukhari).


Persoalannya, kita ada kuasa di tangan kita mengapa kita mahu memilih kaedah mereka yang selemah-lemah iman. Ada juga pandangan yang mengatakan hadis itu hanya terpakai kepada orang yang melihat kemungkaran dengan mata kepalanya sendiri saja.

Tafsiran ini adalah tafsiran yang sempit kerana pada zaman Rasulullah juga kesaksian seorang sahabat yang mengesyaki ada seorang yang akan melakukan pembunuhan sedang menyorok di sebalik sebatang pokok telah diterima oleh Rasulullah. Sahabat ini tidak melihat dengan mata kepalanya sendiri. Salah satu tujuan hukuman dalam Islam juga adalah sebagai pencegahan. Dalam Islam pesalah dirotan dikhalayak awam bagi memberi pengajaran kepada pesalah dan juga orang yang melihat.

Oleh hal yang demikian tidak timbul isu memalukan orang yang ditangkap itu kerana aduan yang munasabah sudah dibuat. Memanglah benar banyak perkara yang lebih besar lagi yang perlu diberi penumpuan oleh penguat kuasa agama, tetapi hal yang demikian tidaklah memberi lesen kepada penguat kuasa agama menghentikan penguatkuasaan tangkapan khalwat.

Penguat kuasa agama perlu melakukan semua perkara dalam bidang kuasanya. Pihak kerajaan perlu menyokong dengan melantik lebih ramai pegawai tetap dan terlatih dalam melaksanakan tanggungjawab ini.

Mohd Asri juga dipetik berkata, isu yang lebih besar daripada menangkap pasangan berkhalwat di bilik iaitu perlakuan dosa secara terbuka seperti rasuah, mencuri, rompakan dan dadah yang mendatangkan masalah kepada orang lain perlu diberi penumpuan oleh pihak berkuasa agama.

Persoalannya ialah adakah perlakuan itu berada di bawah bidang kuasa penguat kuasa agama atau mahkamah syariah? Perkara besar yang dikatakan itu semuanya berada di bawah bidang kuasa mahkamah sivil dan dikuat kuasakan melalui Kanun Prosedur Jenayah.

Ia dikuatkuasa oleh polis dan badan kerajaan tertentu. Sudah tentu apabila penguat kuasa agama ingin berperanan di dalam perkara besar ini orang akan mengatakan mereka sebagai penyibuk saja. Kita juga tidak boleh mengatakan begitu banyak tangkapan dibuat, khalwat masih berleluasa.

Oleh itu, tangkapan khalwat ini tidak berkesan dan mesti diberhentikan. Hal ini sebenarnya tidak boleh dijadikan hujah kerana jika kita membuat analogi kepada masalah dadah, kerajaan melakukan ribuan tangkapan dan membelanjakan jutaan ringgit memerangi dadah serta mengadakan pusat pemulihan dadah tetapi masih tidak berjaya lagi. Adakah kita menghentikan tindakan ini?

Jika kita menghentikan tindakan maka masyarakat tentulah menjadi kucar kacir. Apa yang perlu dilakukan ialah melipatgandakan usaha dan mencari kaedah yang lebih sesuai untuk menangani masalah ini bukan menghentikannya. Memang terdapat beberapa kelemahan dalam tatacara melaksanakan tangkapan khalwat ini dan aspek inilah yang sepatutnya diberi penekanan untuk diperbaiki lagi.

Tidak ada salahnya jika pakar perundangan syariah dipanggil untuk memberi pandangan berhubung pelaksanaan tangkapan khalwat ini agar tidak kedengaran lain suara sumbang yang mempertikaikannya. Persoalan kenapa kita masih tidak dapat membendung gejala maksiat yang semakin berleluasa ini juga perlu diberi perhatian yang mendalam.

Pada masa ini mahkamah syariah dalam bidang kuasa jenayahnya hanya diberikan bidang kuasa menjatuhkan hukuman maksimum penjara selama tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 dan rotan enam kali sebatan. Hukuman yang terlalu kecil ini gagal bertindak sebagai pencegah kepada perlakuan maksiat.

Sudah tiba masanya bidang kuasa jenayah yang lebih luas diberikan kepada mahkamah syariah. Oleh itu, kita perlu melihat kepada permasalahan pokok sebelum kita boleh mencari penyelesaian kepada sesuatu perkara.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home