KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS PUSAT
23HB APRIL 2007
23HB APRIL 2007
ORGANISASI HARAM PANTAU IPTA
Meskipun sesudah didedahkan di dalam media alternatif suatu dokumen berkenaan dengan penubuhan organisasi ‘haram’ Jawatankuasa Pemantau IPTA semasa Pilihanraya Kecil DUN Machap, Kementerian Pengajian Tinggi yang diterajui oleh Mustapa Mohamed masih meneruskan agenda kotor yang sama di Pilihanaraya Kecil DUN Ijok kali ini, iaitulah tindakan tidak bermoral dengan menggunakan jentera Hal Ehwal Pelajar (HEP) untuk mengesan sebarang keterlibatan mahasiswa IPTA untuk membantu Parti Keadilan Rakyat (PKR) di dalam pilihanraya kecil ini dan pada masa yang sama menyusun gerakerja kakitangan IPTA dan mahasiswa pro kerajaan bagi memenangkan calon Barisan Nasional.
Dengan menyelewengkan peruntukan dana awam yang diperolehi dari rakyat Malaysia pembayar cukai, jawatankuasa ini menjadikan Kampus UNISEL di Batang Berjuntai sebagai bilik gerakan utamanya. Jawatankuasa Pemantau tersebut kali ini khabarnya diketuai pula oleh Profesor Dr Razali Agus, Timbalan Naib Canselor HEP Universiti Malaya .
Menurut maklumat yang kami perolehi dari KPT sendiri, semua IPTA diarahkan untuk menghantar petugas-petugas mengikut giliran untuk meronda di seluruh kawasan pilihanraya sepanjang masa kempen hingga ke hari pembuangan undi.
Pasukan petugas tersebut dilengkapi dengan peralatan canggih seperti kamera digital, perakam video dan bertugas menaiki kenderaan rasmi IPTA yang mana segala perbelanjaannya termasuk penginapan dan makan minum ditanggung sepenuhnya dengan ‘mencuri’ peruntukan yang sepatutnya digunakan untuk meningkatkan reputasi akademik IPTA Malaysia yang memang jauh tertinggal di belakang.
Modus operandi jawatankuasa ini ialah dengan menjadikan siri-siri ceramah dan kempen serta bilik gerakan pilihanraya Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai sasaran utama intipan untuk mencari sekiranya ada pelajar IPTA yang turut serta.
Bahkan sekiranya disyaki ada pelajar yang berada di sekitar pekan, taman perumahan dan kawasan estet dan kampung sekalipun, jawatankuasa ini akan mengekori pergerakan pelajar tersebut, takut-takut mereka merayu undi untuk calon PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Semalam (Ahad 22hb April), sekumpulan lebih kurang 15 orang pelajar progresif dari DEMA dan Youth For Change (Y4C) juga telah diekori, diambil gambar mereka semasa berada di sekitar pekan Ijok dan dipercayai akan diambil tindakan tatatertib oleh pihak universiti masing-masing.
Dewan Pemuda PAS Pusat sekali lagi mendesak Mustapa Mohamed supaya membubarkan segera jawatankuasa ini dengan menutup bilik gerakan dan memanggil semua petugas dari IPTA untuk kembali bertugas seperti biasa di kampus masing-masing.
Mustapa Mohamad juga mesti memberi penjelasan kepada Parlimen tentang hal ini dan mendedahkan berapakah peruntukan wang yang sudah dihabiskan untuk membiayai jawatankuasa ini. Jawatankuasa ini bukan sahaja ‘haram’ dari segi moral, bahkan tindakannya juga bercanggah dengan undang-undang dan juga mencabul peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan hak samarata di sisi undang-undang (equality before the law) dan juga kebebasan berpolitik kepada seluruh warganegara termasuklah pelajar.
Dengan hanya menumpukan intipan kepada pelajar yang menyokong pembangkang dengan mengambil tindakan tatatertib kepada mereka, ianya jelas berlawanan dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan disebabkan diskriminasi di dalam melaksanakan undang-undang.
Sedangkan pada masa yang sama jawatankuasa ini, jika berdasarkan dokumen yang telah didedahkan, tidak langsung menjadikan pelajar yang berkempen untuk BN sebagai sasaran. Seksyen 15 (1) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 jelas memperuntukkan bahawa pelajar universiti dilarang untuk terlibat dengan MANA-MANA PARTI POLITIK samada parti pemerintah mahupun pembangkang.
Dewan Pemuda PAS Pusat juga menyeru kepada para pelajar IPTA yang turun memberikan sokongan dan bantuan kepada PKR di dalam Pilhanraya Kecil DUN Ijok ini dan juga para pelajar yang berhasrat untuk turun membantu Barisan Alternatif (BA) semasa Pilihanraya Umum Ke -12 yang akan datang, supaya jangan gentar dan takut dengan jawatankuasa pemantau ini.
Sekiranya ada di kalangan pelajar yang dikenakan tindakan dengan dihadapkan ke perbicaraan tatatertib universiti, Dewan Pemuda PAS Pusat khususnya dan Pemuda BA amnya berikrar akan serta merta memberikan khidmat guaman untuk membela pelajar terbabit dan seterusnya mengheret pihak pengurusan universiti terbabit dan juga KPT ke Mahkamah Tinggi atas sebab melakukan diskriminasi di dalam melaksanakan undang-undang.
Apa yang berlaku sebelum ini di Universiti Putra Malaysia (UPM) di dalam kes perhimpunan aman pelajar di Bangunan Parlimen untuk menuntut Pilihanaraya Kampus yang bersih dan adil pada tahun 2005, telah menjadi bukti sahih betapa pentadbir IPTA dan TNC HEP yang menjadi perkakas UMNO/BN sebenarnya penakut apabila pelajar mempertahankan haknya melalui saluran undang-undang dengan menggunakan khidmat peguam, dimana akhirnya semua pelajar yang didakwa terlibat dengan perhimpunan tersebut telah dibebaskan dari sebarang pertuduhan.
Percayalah, mereka yang zalim dan menindas, sebenarnya adalah manusia paling pengecut dan penakut apabila keadilan sebenar terserlah!.
Yang benar,
ABDULLAH HAJI ABDUL KARIM
Pengarah
Jabatan Pembangunan Mahasiswa
Dewan Pemuda PAS Pusat
1 Comments:
Mungkin lebih baik kita bertindak sebelum pelajar diambil tindakan.
Prevention is better than cure.
2:06 AM
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home