" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Friday, June 15, 2007

Al Fatihah
Pelajar kita di al-Azhar mati ditikam rakan sendiri
14-06-2007 10:09:55 PM

KUALA LUMPUR: Seorang penuntut Malaysia di Universiti al-Azhar dari kampus Mansurah, Mesir mati ditikam lebih 10 kali oleh rakan senegara yang turut belajar di kampus berkenaan, di sebuah rumah di sana semalam.

Dalam kejadian 12.30 malam (waktu tempatan), Mohammad Ishak, 22, yang berasal dari Kampung Rajawali, Chendering, Kuala Terengganu, meninggal dunia selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Antarabangsa as-Salam akibat kecederaan parah di kepala dan lehernya.

Jurucakap Bahagian Atase Pendidikan Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) Kaherah, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian pembunuhan itu dan memaklumkan suspek sudah ditahan polis Mesir dan siasatan sedang dijalankan. "Laporan hospital mendapati Mohammad kehilangan banyak darah akibat dipukul teruk di kepala, selain ditikam bertubi-tubi di bahagian leher menyebabkannya gagal diselamatkan, " katanya.

Lelaki yang menyerang Mohammad, berasal dari Dengkil, Selangor, tidak sempat melarikan diri dan ditahan di tempat kejadian oleh jiran mangsa sebelum diserahkan kepada polis, katanya.

Lelaki itu, pelajar Tahun Dua Pengajian Islam, Universiti al-Azhar (Kampus Mansurah), ditahan bersama tiga pisau berlumuran darah, dipercayai senjata yang digunakan dalam pembunuhan berkenaan, kata jurucakap itu.

"Ibu bapa mangsa dan suspek sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu. Kita juga sedang menunggu perkembangan siasatan kes bagi mengenal pasti motif kejadian," katanya.

Di KUALA TERENGGANU, abang Mohammad, Hussein Ishak, 28, berkata beliau mendapat berita tentang kejadian yang menimpa adiknya itu kira-kira 9.15 pagi tadi daripada salah seorang abangnya yang berada di Kuala Lumpur.

"Saya terus menghubungi Kedutaan Malaysia di Mesir untuk bertanyakan kesahihan cerita tersebut dan pegawai berkenaan memberitahu adik saya meninggal dunia akibat ditikam oleh seorang pelajar Malaysia yang berasal dari Selangor di rumah sewanya," katanya ketika ditemui di rumah keluarganya.

Hussein berkata beliau dimaklumkan bahawa ketika kejadian, adiknya bersendirian di rumah sewanya itu apabila didatangi oleh pelajar terbabit yang datang mencari salah seorang daripada temah serumah adiknya.

Bagaimanapun, katanya teman serumah adiknya itu telah keluar dari rumah menyebabkan pelajar terbabit menjadi berang.

"Ketika itu adik saya keseorangan dan mungkin kerana ingin melepaskan geram, dia pergi ke dapur dan mengambil pisau lalu menetak adik saya. Adik saya cuba melawan tetapi dia terus mengejar dan menetak adik saya sehingga mengalami luka parah," katanya.

Beliau berkata ketika adiknya melarikan diri ke bilik air dan cuba mendapatkan pertolongan, pelajar terbabit terus menetak adiknya sehingga pengsan.

Beliau berkata adiknya akan dikebumikan di Mesir oleh pihak kedutaan Malaysia di sana kerana keluarganya tidak mampu menyediakan kos sebanyak RM10,000 bagi urusan membawa pulang jenazah.

1 Comments:

Anonymous Anonymous said...

Semoga Allah memasukkan arwah dlm kumpulan para syahid.
Semoga para pelajar disana meningkatkan siasah diri untuk menjadi contoh.Semoga adik adik ku disana akan kembali kenegara bagaikan intan yg menyinarkan cahaya yg germerlapan.

9:06 AM

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home